Sunday, August 22, 2010

ADAKAH DIBENAR SYARAK...SEPERTI BERGAUL BEBAS...MASALAH AURAT DLL...WALAUPUN NIAT BAIK SERTA BAGUS KITA TIDAK BOLEH MENGHALALKAN CARA...KECUALI ADA NAS QURAN DAN HADIS MEMBENARKAN...JANGAN KITA BUAT BENDA YANG JELAS ALLAH LARANG...NANTI NAHAS KITA DI AKHIRAT...KITA ROSAK DAN MEROSAKKAN ORANG LAIN

Beri kesedaran melalui lakonan



2010/08/22

BERDASARKAN statistik dikeluarkan oleh Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), lebih 700,000 rakyat negara ini lebih senang menyumbang bakti dan berhijrah ke luar negara berbanding berkhidmat di tanah air sendiri.
pix_middle

Isu itu cuba diketengahkan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang mempertaruhkan hasil karya mereka dalam Pertandingan Video Anugerah Merdeka (MAViC) 2010 bagi kategori video pendek.

Menerusi video pendek berdurasi lapan minit bertajuk 'Titis-Titis Kealpaan' itu, isu berkenaan dikupas melalui garapan menarik.

Bagi pengarahnya, Syafika Ghazi, 20, kebanyakan rakyat negara ini, terutama golongan muda, berebut-rebut untuk bekerja di luar negara yang jauh lebih menguntungkan dan menganggap ia sebagai lubuk emas.

Katanya, dalam keghairahan mengejar pendapatan lumayan, mereka lupa negara sentiasa menagih kepakaran dan khidmat mereka untuk berbakti di tanah air sendiri.

"Walaupun negara bakal menyambut ulang tahun ke-53 kemerdekaan, tahap pemikiran kita masih dijajah secara tidak langsung.

"Apalah erti kemerdekaan jika kita sebagai rakyat bumi bertuah ini tidak menabur bakti kepada ibu pertiwi," katanya.

Isu berkenaan diterjemahkan melalui hubungan antara ibu dan anak dengan jalan cerita yang meruntun perasaan dan pada masa sama menyampaikan mesej.

Katanya, idea untuk mengarah video ini tercetus apabila membaca di akhbar mengenai bilangan rakyat negara ini yang lebih selesa bekerja di luar negara.

"Jumlah didedahkan agak besar dan secara tidak langsung menimbulkan tanda tanya di manakah semangat patriotik yang sepatutnya ada dalam hati mereka.

"Kami cuba menggunakan tema ini menerusi video pendek dengan harapan dapat memberi kesedaran di samping mencipta kelainan," katanya.

MAViC 2010 dianjurkan oleh Sekretariat Anugerah Merdeka dan Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) serta Astro.

Mengangkat tema 'Aku dan Merdeka', MAViC menerima sebanyak 169 penyertaan daripada institusi pengajian tinggi (IPT) di mana hanya 82 penyertaan dipilih ke peringkat 'Super Pitch' iaitu saringan khas.

Pertandingan yang berlangsung sejak 29 Mei lalu itu menyaksikan hanya 10 penyertaan iaitu lima daripada kategori video pendek dan lima kategori pengumuman khidmat awam layak ke peringkat akhir dan diberi peruntukan untuk menjalankan penggambaran.

Setiap peserta diberi RM5,000 bagi kategori filem pendek dan RM3,000 bagi pengumuman khidmat awam dalam tempoh sebulan sebelum penjurian dilakukan pada 10 Ogos lalu.

Syafika berkata, mereka memilih Kuala Tahan, Pahang sebagai lokasi penggambaran bagi menghidupkan suasana kampung tambahan pula pemandangan kawasan itu cantik dan menarik.

"Tidak banyak cabaran dihadapi selama dua minggu penggambaran itu berlangsung kerana semua kru produksi memberi kerjasama sepenuhnya.

"Cuma kami berdepan masalah untuk mencari pelakon tambahan di kalangan penduduk kawasan itu kerana rata-rata mereka pemalu," katanya.

Ditanya mengenai harapannya, Syafika berkata, mana-mana kumpulan yang menyertai pertandingan itu pasti meletakkan harapan untuk muncul sebagai pemenang, namun dia tidak mahu terlalu mengharap.

"Semua peserta mempamerkan hasil memberangsangkan dan kami menerima saingan sengit daripada beberapa peserta lain.

"Soal menang atau tidak bukan keutamaannya kerana kami hanya mahu menyampaikan mesej di sebalik video ini, di samping menyemarakkan semangat Hari Kemerdekaan yang ke-53," katanya.

Sementara itu, Pengerusi MAViC 2010, Dr Megat Al-Imran Yasin berkata, MAViC menerima 169 penyertaan dari institusi pengajian tinggi di seluruh negara.

Selepas penilaian dilakukan, hanya 10 penyertaan layak ke peringkat akhir dan keputusannya akan diumumkan pada 25 September depan.

Katanya, objektif penganjurannya untuk memberi pengiktirafan terhadap hasil kerja pelajar jurusan komunikasi, penyiaran, perfileman dan multimedia menerusi video yang dipersembahkan.

"Selain itu ia bertujuan menggalakkan penghasilan kerja kreatif bermutu tinggi dalam kalangan pelajar terbabit.

"Malah ia dapat mencungkil bakat baru di kalangan pelajar, sekali gus mengenal pasti pelapis karyawan yang berilmu, berkemahiran dan berbakat," katanya selepas Majlis Tayangan Video dan Penjurian Karya finalis MAViC di UPM, baru-baru ini.

Barisan juri yang diberi kepercayaan untuk membuat penilaian akhir adalah Penerbit Astro Entertainment, Ben Nambiar; Pengarah Finas Production, Mustaza Mustapha; Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia, Jurey Latiff dan Penyampai Radio Televisyen Malaysia, Sayed Munawar Sayed Mustar.

Megat berkata, juara dan naib juara setiap kategori akan menerima Anugerah Perdana dan wang tunai sebanyak RM5,000 dan RM3,000 berserta trofi dan sijil penghargaan.

Katanya, bagi Anugerah Cipta iaitu Pengarah Terbaik, Konsep/Skrip Terbaik, Sinematografi Terbaik, Penataan Bunyi/Kesan Khas Terbaik, Suntingan Terbaik dan dua Anugerah Khas Juri masing-masing akan menerima wang tunai RM1,000 berserta trofi dan sijil penyertaan.

Menariknya, pihak stesen televisyen berbayar, Astro akan menyiarkan hasil karya yang terpilih menerusi saluran Astro Prima.


>PROFIL
NAMA: Nur Hakimah Izzati Jaafar
UMUR: 21 tahun
ASAL: Sri Gombak, Selangor
KELUARGA: Kedua daripada tiga beradik
POSISI: Penulis skrip
PENDIDIKAN: Pelajar tahun kedua Sarjana Muda Komunikasi (Penyiaran), UPM

PERLU kreativiti dan ketekunan. Itu yang dapat diungkap mengenai peranan sebagai penulis skrip yang dipikulnya selama dua minggu penggambaran video berlangsung.

Walaupun sebelum ini pernah mempelajari teknik menulis skrip ketika dalam kuliah, ia nyata berbeza apabila diaplikasikan dalam dunia sebenar.

Katanya, pernah timbul rasa tidak yakin kepada diri sendiri ketika diberi kepercayaan untuk menggalas tugas berkenaan sehingga pernah terlintas di hati untuk menarik diri.

"Namun atas sokongan pensyarah dan rakan, saya tekad menyahut cabaran untuk terus berada dalam produksi ini.

"Bukan mudah menulis skrip bagi sesuatu tayangan video, apatah lagi drama dan filem, kerana ia memerlukan penelitian dan pemerhatian tinggi," katanya.

Gadis kelahiran Sri Gombak ini berkata, ini pembabitan pertamanya dalam penulisan skrip untuk video berskala besar.

"Saya bertuah kerana mendapat tunjuk ajar pensyarah yang bertindak sebagai penasihat kumpulan serta bantuan dan kerjasama rakan produksi.

"Kami bersama berkongsi idea untuk menulis satu skrip yang benar-benar berkualiti bagi menghidupkan jalan cerita," katanya.

Baginya, skrip yang baik akan menjadikan sesuatu cerita itu menarik dan secara tidak langsung dapat menyampaikan mesejnya kepada penonton.


>PROFIL
NAMA: Raziatul Hanum A Rajak @ Atan
UMUR: 21 tahun
ASAL: Johor Bahru
KELUARGA: Bongsu daripada lapan beradik
POSISI: Pengurus Produksi
PENDIDIKAN: Pelajar tahun kedua Sarjana Muda Komunikasi (Kewartawanan), UPM

MESKIPUN mengambil pengkhususan dalam bidang kewartawanan, itu tidak menghalang gadis ini untuk terbabit dalam produksi ini.

Baginya, penyiaran dan kewartawanan tidak terlalu berbeza kerana ia masih di bawah 'paksi' bidang komunikasi.

Tugasnya bukan mudah, dia bertanggungjawab memastikan segala kelengkapan produksi disediakan dan 'perjalanan' penggambaran berjalan lancar.

"Memang tidak dinafikan kami berdepan pelbagai masalah ketika melakukan penggambaran di sana (Kuala Tahan) kerana lokasinya jauh dari pekan berdekatan.

"Saya perlu bersedia berdepan sebarang kemungkinan dan juga harus ada rancangan alternatif jika sesuatu yang dirancang tidak berjalan seperti sepatutnya," katanya.

Mengakui dirinya tegas ketika melakukan sebarang kerja, dia berkata, ciri itu perlu ada dalam diri pengurus produksi.

Katanya, dia seakan-akan memiliki dua personaliti kerana ketika kerja dia menjadi serius tetapi ketika bersantai bersama rakannya dia menjadi periang dan peramah.

"Mungkin faktor itu menyebabkan saya dipilih untuk memikul tanggungjawab sebagai pengurus produksi.

"Selain itu sikap toleransi, kerjasama dan berfikiran terbuka perlu diterapkan supaya setiap kru produksi berasa selesa antara satu sama lain," katanya.


>PROFIL
NAMA: Muhammad Fakhri Izzat Mohd Nazmi
UMUR: 20 tahun
ASAL: Kota Bharu, Kelantan
KELUARGA: Ketiga daripada tujuh beradik
POSISI: Jurukamera
PENDIDIKAN: Pelajar tahun kedua Sarjana Muda Komunikasi (Penyiaran), UPM

TUGAS digalasnya penting kerana tanpanya mana mungkin penggambaran video berkenaan dapat dijalankan.

Memikul peranan sebagai jurukamera sememangnya menjadi cabaran kepada anak muda ini untuk mencari dan merakam sudut menarik.

"Lokasi penggambaran dilakukan di tepi sungai adalah paling sukar kerana saya berdepan permukaan tidak rata selain berisiko untuk terjatuh.

"Adakalanya sudut diambil tidak memuaskan hati pengarah dan saya terpaksa merakam semula babak berkenaan," katanya.

Namun semua itu dianggap masalah kecil kerana bekerja dalam satu kumpulan memerlukan sikap tolak ansur.

Katanya, walaupun ia tugas pertamanya sebagai jurukamera, dia tidak menjadikan ia alasan untuk melakukan sebaik mungkin.

"Sebelum ini saya pernah terbabit dalam rakaman video, tetapi ia hanya rakaman ringkas dan tidak rumit dan ini pengalaman pertama memikul tugas ini sepenuhnya.

"Bagaikan satu kepuasan apabila rakaman saya mendapat maklum balas positif daripada pengarah dan kru produksi dan secara tidak langsung menyuntik semangat saya untuk terus memberikan hasil kerja yang terbaik.


INFO
>> MAViC dianjurkan buat julung kali untuk mencungkil bakat baru di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi
>> Ada dua kategori iaitu video pendek dan pengumuman khidmat awam
>> Dianjurkan oleh Sekretariat Anugerah Merdeka dan Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) serta Astro
>> Peserta diberi tempoh sebulan untuk menyiapkan hasil karya masing-masing
>> Bertemakan 'Aku dan Merdeka'
>> 10 finalis berentap dalam dua kategori berkenaan dan keputusan akan diumum pada 25 September depan


Sinopsis TITIS-TITIS KEALPAAN
Mengisahkan seorang anak yang alpa pada janji di mana ia bermula dengan kehidupan dua beradik pada zaman kanak-kanak di samping ibu yang menyayangi mereka.

Setiap hari mereka perlu mengharungi sebatang sungai ke sekolah kerana kampung mereka tiada jambatan merintangi sungai itu.

Satu hari si anak berjanji akan menjadi arkitek dan membina jambatan bagi memudahkan orang kampung ke seberang.

Ditakdirkan anak ini berjaya melakar kejayaan serta mengaut keuntungan di negara orang sehingga dia lupa tanah airnya sendiri.

Dia mencipta nama sebagai arkitek berjaya tetapi kejayaannya bagaikan tidak bermakna kerana dalam tidak sedar dia melukakan hati insan yang paling menyayanginya.

Akhirnya dia tersedar dan kembali ke pangkuan keluarga, tetapi sudah terlambat apabila ibunya terlebih dulu dijemput Ilahi. Sesalnya kini tidak berguna lagi.

No comments:

Post a Comment