Ahmad Asri sudah boleh panggil mak
|
|
PADANG BESAR 24 Ogos - Kanak-kanak yang dipatuk ular tedung, Ahmad Asri Mohd. Indra Suwardy, 2, kini semakin pulih dan sudah boleh memanggil ibunya dengan menyebut 'mak'.
Menurut ibunya, Noramali Ahmad, 27, perkara itu disedarinya semalam semasa anaknya mendapatkan rawatan secara tradisional.
"Ketika itu seorang pengamal perubatan tradisional mengurut badan Ahmad Asri yang sedang menangis dan pada masa sama, saya mendengar dia menyebut 'mak' beberapa kali," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Kampung Bukit Merah di sini hari ini.
Noramali bersyukur dan gembira terhadap perubahan fizikal yang dialami oleh anaknya itu.
Menurutnya, anaknya itu juga sudah boleh menggerakkan kepalanya dan lebih kerap memberi tindak balas jika tubuhnya disentuh.
Selain menjalani rawatan moden menggunakan ubat dan fisioterapi, Ahmad Asri turut mendapatkan rawatan tradisional.
Rawatan tersebut dilakukan sejak enam hari lalu oleh seorang pengamal perubatan tradisional dari Sungai Petani, Kedah.
Menurut Noramali, badan Ahmad Asri diurut untuk mengeluarkan bisa yang dikatakan masih ada dalam tubuh kanak-kanak itu.
Ahmad Asri dipatuk ular pada 26 Mei lalu menyebabkan dia mengalami kekejangan otot di seluruh anggota badan.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu merupakan anak yatim setelah kematian bapanya ketika dia masih dalam kandungan.
No comments:
Post a Comment