Telefon anak sebelum maut
Oleh Shamsul Munir Safini
2010/08/26
2010/08/26
TRAGEDI...orang ramai di tempat mangsa ditikam peragut atas jejantas di Sungei Way, semalam.
Peragut yang berumur 20-an cuba merampas beg tangan Leong, namun mangsa melawan menyebabkan dia ditikam di rusuk kiri.
Suami mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Lock, 60, berkata isterinya sempat menghubungi anak mereka berusia 19 tahun yang menuntut di Kedah menggunakan telefon bimbit sejurus dia ditikam.
Bagaimanapun, katanya, isterinya tidak sempat memberitahu apa yang berlaku berikutan parah sebelum menghembuskan nafas terakhir.
“Saya amat terkejut kerana isteri tidak membawa barang berharga jauh sekali memakai barang kemas. Setiap hari dia akan menaiki bas dari rumah kami di Taman Muda, Shah Alam, untuk pergi ke tadika di Subang Jaya
“Dia biasanya akan bangun jam 4 pagi untuk memasak sarapan sebelum keluar rumah jam 6 pagi setiap hari,” katanya.
Menurutnya, isterinya pernah bertarung nyawa mengharungi kanser payu dara sebelum sembuh hampir setahun lalu
Sementara itu, Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Asisten Komisioner Omar Mamah, berkata mangsa parah di rusuk kiri akibat ditikam dengan sebilah pisau oleh seorang lelaki dipercayai cuba menyamunnya.
“Ia berlaku apabila mangsa melintas jalan menggunakan jejantas itu ketika ingin ke tempat kerjanya.
“Suspek yang berusia awal 20-an itu dipercayai menikam rusuk kiri mangsa sebelum melarikan diri ke arah sebuah stesen minyak berhampiran,” katanya ketika ditemui, semalam.
Menurutnya, dalam kejadian itu, pihaknya percaya motif utama adalah cubaan samun, tetapi suspek tidak berjaya kerana mangsa cuba melawan.
Katanya, selepas kejadian mangsa ditemui tidak sedarkan diri oleh orang ramai dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan pemeriksaan forensik menemui sebilah pisau dipercayai digunakan suspek yang dibuang di tepi longkang berhampiran kawasan kejadian.
Omar berkata, polis akan mengesan cap jari pada pisau berkenaan bagi mengetahui identiti suspek terbabit.
Beliau berkata, polis juga akan mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sekitar lokasi kejadian bagi menjejaki suspek. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh
No comments:
Post a Comment