Lihat mayat atas pokok
Oleh Hadzlan Hassan, Ahmad Rabiul Zulkifli dan Nazdy Harun
am@hmetro.com.my
2010/08/23
am@hmetro.com.my
2010/08/23
ROSAK...anggota polis melihat rangka motosikal yang remuk terkena letupan, semalam.
Menurutnya, sebelum kejadian, kira-kira jam 12.30 tengah hari, dia berehat bersama keluarga sebelum dikejutkan dentuman kuat tidak jauh dari rumahnya menyebabkan tingkap serta siling rumahnya pecah.
“Saya terus bergegas ke tempat kejadian dan melihat kepulan asap dari rumah tinggal itu manakala bahagian hadapan rumah terbabit termasuk sebuah motosikal hancur.
“Sebaik sampai di tempat kejadian, saya terkejut melihat dua remaja terbaring kesakitan dengan kaki mereka cedera teruk selain cedera di muka,” katanya.
Nor Syafri berkata, seorang daripada mangsa itu memintanya mencari seorang kanak-kanak (Khairul Arif) yang ada bersama mereka, lalu dia segera menggeledah timbunan runtuhan berkenaan, tetapi gagal menemui budak terbabit.
“Bagaimanapun, ketika mendongak ke pokok, saya terkedu melihat jasad kanak-kanak yang tidak bernyawa tanpa otak itu melekat pada dahan pokok berkenaan.
“Saya tidak sanggup melihat mayat kanak-kanak itu dan memanggil penduduk kampung untuk menurunkannya sebelum semua mangsa dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ),” katanya
Sementara itu seorang lagi saksi, Wan Mayuni Wan Daud, 34, dari Kampung Kubang Buyong di sini, berkata, dia mendengar letupan kuat disusuli gegaran ketika berniaga di Pasar Cabang Tiga, kira-kira 400 meter dari tempat kejadian.
“Mengesyaki sesuatu buruk berlaku, saya ke tempat kejadian dan melihat orang ramai mengerumuni kawasan berkenaan sebelum melihat ketiga-tiga mangsa diangkat untuk dibawa ke HSNZ.
“Ketiga-tiga mangsa itu saya kenali. Hanya Tuhan yang tahu perasaan saya ketika melihat mereka, bayangkan kanak-kanak terkulai dengan kepalanya terlopong.
“Itu kali pertama saya mendengar letupan amat kuat sehingga menggegarkan pasar. Bagaimanapun saya tidak pasti punca letupan itu,” katanya.
Sementara itu, menurut ibu saudara kanak-kanak berkenaan, Rozita Abd Rahman, 35, ibu Khairul Arif memberitahunya sebelum kejadian, kanak-kanak itu bersama suaminya, Ayub Abd Rahman, 28, menghantar kenalan mereka ke mahkamah.
“Sepatutnya Khairul Arif ke tabika hari ini (semalam), tetapi kerana demam sejak seminggu lalu, dia tidak dapat ke tadika.
“Saya tidak pasti bagaimana dia boleh ke sana (tempat kejadian). Bagaimanapun, dia seorang yang cepat mesra tambahan pula dia anak tunggal menyebabkan dia mudah mengikut kenalan bapanya.
“Beberapa hari sebelum kejadian, dia pernah memberitahu mahu ke suatu tempat yang jauh dan apabila di tanya ke mana, dia berkata ingin ke tempat atuknya (kubur) yang meninggal awal Ramadan lalu,” katanya
Ibu, bapa pergi jamin rakan di mahkamah
2010/08/23
Menurut emak saudara mangsa, Rozita Abd Rahman, 35, yang ditemui, adiknya Ayub Abd Rahman, 28, dan isterinya Kamariah Sufian, 25, ke mahkamah untuk mengikat jamin bapa saudara mereka yang ditahan atas kesalahan memiliki mercun.
Katanya, bapa mangsa melihat beberapa rakannya berada di rumah kosong itu, adiknya meninggalkan anaknya (Khairul Arif) kepada rakan untuk dijaga sementara dia berurusan di mahkamah.
“Selepas mendengar letupan kuat kira-kira jam 12.30 tengah hari dan jiran mula memenuhi kawasan rumah kosong itu, saya menghubungi adik memaklumkan kejadian berkenaan kerana Khairul Arif berada di kawasan itu sebelum kejadian,” katanya.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata sebelum menerima berita letupan itu, dia bersama Ketua Polis Negeri Datuk Mohd Shukri Dahlan; Ketua setiausaha negeri, Mazlan Ngah; bermesyuarat menyatakan kesyukuran kerana Terengganu bebas kemalangan membabitkan mercun.
“Bagaimanapun, selepas itu Datuk Mohd Shukri, memaklumkan berita yang menggemparkan apabila seorang kanak-kanak maut serta mayatnya tersangkut pada satu pokok berhampiran rumah kosong yang hancur akibat letupan,” katanya
Budak maut stor mercun meletup
KUALA TERENGGANU 22 Ogos - Sebuah rumah lama yang dijadikan stor menyimpan mercun dan bunga api di Kampung Seberang Baruh Cabang Tiga, di sini hari ini, meletup dan mengorbankan seorang budak lelaki berusia enam tahun yang tercampak dan melambung di atas pokok sejauh kira-kira 15 meter.
Letupan dahsyat pada pukul 12.30 tengah hari itu mengakibatkan mayat mangsa, Khairil Arif Ayub terlekat di celah dahan pokok berhampiran rumah tersebut selain sebahagian kepalanya berkecai.
Dua lagi mangsa berusia 19 dan 20 tahun cedera parah dengan kaki salah seorang daripadanya hancur.
Kedua-duanya yang belum dikenal pasti identiti masing-masing ditemui bergelimpangan di depan halaman rumah itu dalam keadaan berlumuran darah.
Mayat kanak-kanak malang itu hanya dapat dibawa turun oleh penduduk kampung kira-kira setengah jam selepas kejadian.
Mangsa-mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan kecemasan.
Mayat mangsa yang merupakan anak tunggal kepada pasangan peniaga, Ayub Abd. Rahman, 28, dan Kamariah Suffian, 25, itu turut dibawa ke HSNZ untuk bedah siasat.
Tinjauan Utusan Malaysia di tempat kejadian hari ini mendapati, keadaan bahagian depan dan anjung rumah tinggal berkenaan musnah akibat letupan tersebut.
Seorang saksi, Nurshefli Azhar, 36, berkata, letupan itu mengejutkan dirinya yang ketika itu sedang berehat di rumahnya tidak jauh dari tempat kejadian.
Katanya, gegaran itu turut dirasainya dan dia yang menjengah ke luar rumah melihat asap tebal dari arah rumah tinggal terbabit.
Dia terus bergegas ke lokasi kejadian lalu mendapati dua remaja lelaki bergelimpangan di atas tanah di halaman rumah.
"Saya tak pernah dengar bunyi letupan sekuat ini dan saya terus ke tempat kejadian dan terlihat dua remaja cedera parah," katanya.
Katanya, seorang daripadanya, tidak sedarkan diri dengan sebahagian kakinya hancur manakala seorang lagi di bawah timbunan kayu.
"Pemuda yang cedera itu sempat beritahu saya ada seorang lagi budak jadi mangsa lalu saya naik ke atas rumah untuk mencarinya sehinggalah saya jumpa mangsa (Khairil Arif) terlekat di atas pokok dalam keadaan mengerikan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shukri Dahlan ketika ditemui pemberita di tempat kejadian hari ini menyifatkannya sebagai kejadian paling dahsyat di negeri ini yang membabitkan mercun.
Beliau memberi jaminan polis sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk pemilik bahan-bahan berkenaan.
Katanya, pihaknya menubuhkan pasukan khas berhubung kejadian itu agar siasatan terperinci dapat dilakukan.
"Kita juga minta bantuan Unit Forensik daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur untuk bantu kita jalankan siasatan mengenai kejadian ini.
"Kita harap orang ramai jangan terlalu ghairah mencari keuntungan dengan menjual bahan terlarang dan membiarkan anak-anak bermain mercun," ujarnya.
Murid hampir putus jari
ALOR SETAR 22 Ogos - Menjelang setiap kali musim perayaan khususnya Hari Raya Aidilfitri, kisah kanak-kanak cedera bermain mercun pasti kedengaran.
Kali ini, seorang murid tahun dua di Pokok Sena dekat sini, semalam, menjadi mangsa pertama akibat bermain mercun pada perayaan ini.
Akibat kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, mangsa yang enggan dikenali hampir putus jari tengah kanannya setelah mercun yang dipegangnya tiba-tiba meletup.
Selain itu, sebahagian tapak tangan mangsa juga melecur dan terpaksa menerima beberapa jahitan.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika dia bermain mercun tersebut bersama seorang lagi rakannya berhampiran rumahnya.
Mereka dipercayai menyalakan sumbu sebutir mercun bola sebelum membaling ke tanah tetapi tidak meletup.
Mangsa mengambil semula mercun bola itu untuk melihat apa yang berlaku, tetapi malangnya ia tiba-tiba meletup.
Kanak-kanak itu yang kesakitan kemudian berlari pulang ke rumahnya bagi memaklumkan kejadian tersebut kepada keluarganya.
Jiran mangsa membantu menghantar mangsa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk mendapatkan rawatan.
Cedera di mata mercun meletup
KUALA TERENGGANU 22 Ogos - Akibat bermain mercun bola, seorang murid tahun tiga cedera di mata kanan akibat terkena letupannya dalam satu kejadian di Batu Enam, Manir, dekat sini semalam.
Mangsa, Irwan Mustaffa Abu Bakar, 9, dipercayai bermain mercun tersebut seorang diri di hadapan rumahnya pada pukul 6.30 petang.
Seorang anggota keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, mereka menyedari kejadian itu apabila melihat mangsa berlari masuk ke dalam rumah sambil memegang mata kanannya.
Katanya, setelah memeriksa mereka mendapati mata kanan mangsa cedera dan berlumuran darah.
"Ketika itu kami sedang sibuk menyediakan juadah berbuka," ujarnya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini.
Ujarnya, mereka yang terkejut dengan keadaan mangsa, terus membawanya ke HSNZ untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Tambahnya, setakat ini mereka masih tidak pasti keadaan mata mangsa sama ada mengalami kecederaan serius atau sebaliknya.
"Apa yang saya lihat, kelopak mata mangsa sedikit terkoyak dan kami tidak pasti mengenai nasibnya selepas ini," katanya
Dentuman hingga 4km
2010/08/23
Kejadian turut mengakibatkan dua lagi parah di kaki dan muka manakala beberapa rumah berdekatan rosak apabila cermin tingkap berderai dalam kejadian itu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Shukri Dahlan, yang ditemui di tempat kejadian berkata, seorang mangsa terbunuh manakala dua lagi cedera dalam kejadian dipercayai berpunca akibat bahan letupan itu.
Menurutnya, mangsa yang terbunuh Khairul Arif Ayub, 6, manakala mangsa cedera belum dikenal pasti.
“Ia (kejadian) berpunca akibat bahan letupan dan kita akan mendapatkan pakar forensik dan unit pemusnah bom dari ibu negara untuk membantu siasatan kerana mereka lebih arif berhubung perkara ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan polis akan mencari bagaimana dan apa jenis bahan letupan tersimpan dalam rumah berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya menemui beberapa cebisan atau serpihan yang boleh memberikan bayangan bahan yang menjadi punca letupan itu.
“Apapun ia letupan yang memberikan impak kuat dan kita akan siasat kemungkinan ia membabitkan bahan lain kerana letupan itu umpama bom kerana boleh didengari sehingga empat kilometer,” katanya.
Mohd Shukri berkata, polis sudah mengenal pasti beberapa individu disyaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu dan mereka akan ditahan dalam tempoh terdekat,” katanya.
Difahamkan, rumah berkenaan menjadi tempat simpanan mercun dan bunga api malah selepas letupan itu, beberapa kelongsong mercun bola ditemui sekitar kawasan rumah.
Beberapa anggota polis yang tiba tidak menghampiri kediaman yang menjadi lokasi letupan kerana bimbang serpihan mercun di dalam rumah berkenaan masih aktif dan meletup.
Setakat ini, polis masih mencari punca letupan dan tidak menolak kemungkinan ia berlaku ketika aktiviti membungkus mercun dalam rumah terbabit menyebabkan api menyambar keseluruhan bahan letupan yang tersimpan.
Lokasi kejadian hanya beberapa ratus meter dari Balai Polis Chabang Tiga dan Pasar Besar Chabang Tiga yang turut menjadi lokasi penjualan mercun dan bunga api.
Selain serpihan kaca, beberapa ikan darat turut terpelanting atas jalan akibat ledakan bahan letupan itu manakala dua lelaki yang cedera dikenali sebagai Lan dan Botak, 20-an, dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan.
Polis minta bapa tuntut mayat Khairul
2010/08/23
KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu meminta Ayub Abd Rahman, 29, bapa kanak-kanak yang terbunuh dalam letupan mercun di Kampung Seberang Baroh, Chabang Tiga, semalam, segera menuntut jenazah anaknya untuk urusan pengebumian.Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata mayat mangsa, Khairul Arif, 6, masih berada di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, sejak semalam
Beliau berkata, mengikut peraturan, mayat Khairul hanya boleh dituntut oleh terdekat saja dan mereka yang boleh membuktikan mempunyai hubungan persaudaraan
"Sehingga kini belum ada lagi ahli keluaga mangsa datang menuntut jenazah Khairul Arif di HSNZ," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Bapa Khairul serah diri di tempat letupan
2010/08/23
KUALA TERENGGANU: Bapa kanak-kanak yang terbunuh dalam letupan rumah menyimpan mercun di Kampung Seberang Baroh, Chabang Tiga, semalam, menyerah diri kepada polis hari ini.Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Zamri Samsudin, berkata Ayub Abd Rahman, 29, menyerah diri pada jam 12.55 tengah hari tadi di tempat kejadian di mana anaknya, Khairul Arif, 6, terbunuh
Katanya, polis menahan beliau di lokap Ibu Pejabat Polis Kuala Terengganu untuk siasatan lanjut
Ayub dipercayai menyimpan mercun dan bunga api di sebuah rumah sebelum kejadian letupan itu tengah hari semalam
Murid cedera di mata terkena serpihan mercun
2010/08/23
KOTA BHARU: Seorang pelajar tahun dua cedera di mata, muka dan tangan kirinya apabila mercun bola yang dijumpainya meletup di Padang Tembak, Pengkalan Chepa, di sini, semalam.Dalam kejadian 4.30 petang itu, Muhammad Aman Azrol Che Senik, 8, sedang bermain di padang permainan dan terjumpa mercun berkenaan.
Mangsa dan adiknya, Muhammad Azin, 5, cuba menyalakan mercun itu dengan mencampakkan ke dalam nyalaan api pada kertas yang terbakar menyebabkan mercun itu meletup dan serpihannya terkena mangsa
Ibu mangsa, Yusnita Abas, 39, berkata anaknya itu berlari pulang ke rumah yang terletak 50 meter dari padang berkenaan sambil menangis dan menutup mata kirinya yang berair.
"Saya juga lihat ada kesan putih dan kemerahan pada pipi dan jari tangan kirinya melecur. Saya kemudian meminta bantuan adik ipar saya untuk menghantarnya ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) bagi mendapatkan rawatan," katanya ketika ditemui di hospital HRPZ II, di sini, semalam.
Katanya, doktor mengesahkan anaknya itu tidak mengalami kecederaan serius dan hanya memerlukan rawatan susulan bagi memulihkan kecederaan. - BERNAMA
Meraung muka melecur
Oleh Mohd Fitrie Muhamad
2010/08/24
2010/08/24
BERBALUT...Mohd Haziq cedera dua jari tangan kanan akibat terkena mercun ketika bermain bersama kakaknya Nurin Imani yang turut cedera di lengan kiri.
Ibunya yang dikenali sebagai Che Nab, 30-an, kemudian meminta bantuan sepupu anak saudaranya, Eddy Sofian Li, 21, untuk membawa anak ketiga daripada enam beradik itu ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini untuk rawatan.
Menceritakan kejadian itu, Eddy berkata, kejadian yang menimpa sepupunya itu disedari ibu mangsa apabila anaknya pulang ke rumah dalam keadaan melecur di bahagian muka sambil menangis kesakitan.
“Ibu mangsa panik kerana terkejut. Dalam keadaan kelam-kabut, ibunya meminta bantuan saya menghantar anaknya ke hospital bagi mendapatkan rawatan segera,” katanya ketika ditemui di Wad Melati HRPZ II di sini, semalam.
Menurutnya, mangsa dan adiknya menjumpai sebutir mercun botol sebelum mencucuh mercun itu beberapa kali namun tidak berhasil
Eddy berkata, selepas beberapa kali mencuba, mercun itu meletup tiba-tiba dan mencederakan muka mangsa, namun adiknya tidak cedera.
Menurutnya, ketika kejadian, ayah mangsa, Raja Zakaria tiada di rumah kerana menunaikan umrah di Makkah dan keluarganya tidak bercadang memaklumkan kejadian itu kerana bimbang menjejaskan ibadahnya
Sementara itu dalam kejadian di Bachok, dua kanak-kanak masing-masing berusia empat dan lima tahun cedera dengan seorang daripadanya hampir putus jari kanan dan terpaksa menerima 19 jahitan di hospital sama kira-kira seminggu lalu.
Kanak-kanak itu, Mohd Haziq Haikal Mohd Zukrin, 4, cedera di jari kanan selepas dikatakan bermain mercun bola dijumpai di laman berhampiran rumahnya di Kampung Aril, dekat Bachok.
“Ketika kejadian, Mohd Haziq dan kakaknya, Nurin Imani, 5, asyik bermain dengan rakan seusianya di hadapan surau di kampung ini, manakala saya dan isteri sedang menunaikan solat sunat Tarawih apabila dikejutkan dengan tangisan mereka.
“Sebaik mendengar tangisan itu, saya bergegas keluar dan terkejut melihat tangan Mohd Haziq berlumuran darah, manakala Nurin pula cedera di lengan kirinya. Mereka dibawa ke HRPZ II Kota Bharu untuk rawatan sebelum dimasukkan ke wad untuk beberapa hari,” katanya.
Kira-kira dua minggu lalu, seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun cedera di muka dan tangan selepas dipercayai bermain mercun bola di laman rumahnya di Kampung Tersang dekat Pasir Mas.
Akibat kecederaan itu, mangsa, Shamin Nasran Abd Rahman, terpaksa menerima rawatan di HRPZ II selama beberapa hari dan sudah dibenarkan pulang
Bapa ditahan
Oleh Hadzlan Hassan
2010/08/24
2010/08/24
RAMAI...sanak-saudara dan orang ramai menghadiri pengebumian budak mangsa letupan mercun di Kampung Seberang Baruh, semalam.
TAHAN...anggota polis menahan bapa kepada mangsa letupan selepas pengebumian anaknya.
Ibu mangsa yang turut kelihatan di lokasi kejadian, rebah beberapa kali dan dipimpin ahli keluarga. Bapa mangsa berusia 28 tahun sentiasa dikelilingi beberapa anggota polis turut menyiram air di pusara anak tunggalnya.
Lelaki berkenaan ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan sejumlah besar bahan letupan di lokasi dan polis mendapatkan keterangan dua lagi saksi, mangsa yang cedera parah dalam kejadian berkenaan yang turut memusnahkan rumah terbabit.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Zamri Shamsudin berkata, lelaki berkenaan ditahan di lokasi kejadian dan ia hasil kerjasama pemimpin masyarakat dan penduduk di Chabang Tiga yang menasihatkan lelaki berkenaan menyerah diri.
“Lebih sesuai jika kami katakan lelaki berkenaan menyerah diri kerana dia pergi ke lokasi kejadian walaupun tahu kami memerlukan keterangannya membantu siasatan. Kami mendapatkan perintah reman membolehkan siasatan dilakukan,” katanya
Beliau berkata demikian ketika meninjau keadaan seorang mangsa kejadian, Mohd Asrizan Muda, 22, di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini semalam. Seorang lagi mangsa, Mazlan Abdullah, 29, masih berada dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) tetapi keadaannya dilaporkan stabil
No comments:
Post a Comment