Alasan suami tidak masuk akal
|
PETALING JAYA - Pelakon popular, Rita Rudaini Mokhtar berkeras tidak mahu diceraikan oleh suaminya, Mohd. Aidil Zafuan Abd. Razak selepas mendakwa alasan yang diberikan lelaki itu bahawa mereka tidak lagi serasi dan tiada persefahaman sebagai tidak masuk akal.
Ketika prosiding di hadapan Hakim Wan Mahyuddin Wan Muhammad, Rita, 36, yang diwakili peguam Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain memberitahu, dia tetap ingin mempertahankan rumah tangga yang dibina bersama pemain bola sepak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berusia 25 tahun itu ekoran tidak berpuas hati dengan alasan yang diberikan suaminya.
Dakwa Zaidi, anak guamnya membantah perceraian tersebut kerana mahukan perbincangan secara baik diadakan terlebih dahulu.
"Mohd. Aidil tidak pernah berbincang secara bersemuka atau secara maya dengan anak guam saya sejak meninggalkan rumah pada 10 Januari lalu.
"Jika perceraian dipersetujui secara drastik, ia tidak adil bagi pihak anak guam saya kerana dia mengharapkan perkahwinan ini dapat diteruskan, kalau hendak bercerai pun, biarlah alasan itu berbaloi," katanya.
4 tertuduh diarah bela diri
SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini semalam mengarahkan bekas peguam, N. Pathmanabhan membela diri atas tuduhan membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain dua tahun lalu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mengemukakan kes prima facie.
Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan tersebut selepas mendapati Pathmanabhan mempunyai motif untuk berbuat demikian kerana dia gagal mempercepatkan bayaran cek bernilai RM3 juta kepada mangsa dari 9 September kepada 30 Ogos 2010.
Selain Pathmanabhan, 43, Akhtar turut membuat keputusan yang sama terhadap tiga pekerja ladang iaitu T. Thilaiyangan, 21; R. Matan, 22, dan R. Kathavarayan, 32, yang dituduh bersama-sama majikan mereka membunuh kesemua mangsa.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan berdepan hukuman mati mandatori.
Semua tertuduh didakwa membunuh Sosilawati, 47; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38, di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam 30 Ogos 2010 iaitu pada hari ke-20 Ramadan.
Dalam penghakiman yang dibaca selama hampir sejam itu, Akhtar berkata, mahkamah hanya perlu membuktikan kehadiran semua mangsa ke ladang tersebut pada waktu kejadian serta niat bersama tertuduh untuk membunuh.
Mati ditembak sebab hutang
SUBANG JAYA - Seorang kontraktor yang mewarisi perniagaan daripada bapanya ditemui mati dengan satu kesan tembakan di kepalanya dalam kejadian di tempat letak kereta di Jalan Central 2, USJ 1 di sini semalam.
Mayat Loh Kon Chong, 34, ditemui dalam keadaan terbaring pada pukul 4.30 pagi oleh tiga sekawan yang hendak meletakkan kereta di situ.
Mereka yang menyangka mangsa mabuk bagaimanapun terkejut apabila mendapati Kon Chong telah mati dengan kepalanya berlumuran darah.
Mangsa yang telah berkahwin itu dipercayai ditembak di tempat kejadian berdasarkan penemuan tiga kelongsong peluru dan sebutir peluru berdekatan mangsa.
Pemeriksaan mendapati mangsa telah ditembak dengan pistol jenis kaliber 22mm.
Difahamkan, mangsa mengambil alih syarikat pembinaan milik bapanya selepas lelaki itu diisytiharkan muflis. Syarikat itu turut dikongsi dengan seorang rakan bapanya.
Pemuda maut tertimbus tanah
MARANG – Seorang lelaki tidak sempat menghabiskan kerjanya apabila dia maut selepas tertimbus bersama jengkaut yang digunakan untuk mengorek tanah dalam kejadian di Bukit Kolah, Kampung Undang di sini semalam.
Kejadian pukul 5.15 petang itu mengakibatkan Mohd. Amri Sidek, 26, meninggal dunia selepas tanah bukit yang sedang dikoreknya tiba-tiba runtuh lalu menimpanya dan jengkaut tersebut.
Rakan mangsa, Abdul Hadi Yaakob, 51, memberitahu, kira-kira lima minit sebelum kejadian dia yang memandu lori menuju ke atas bukit tempat mangsa mengorek tanah masih nampak jengkaut dipandu mangsa bergerak.
“Tetapi apabila saya sampai atas bukit ini, saya terkejut nampak jengkaut dipandu mangsa tertimbus.
“Bimbang perkara buruk berlaku, kami terus mendapatkan bantuan,” ceritanya.
PPZ-MAIWP anjur kuiz silang kata
KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dengan kerjasama akhbar Kosmo! akan menganjurkan Kuiz Silang Kata Bersiri PPZ-MAIWP bertemakan ‘Zakat Harta’ bermula pada 4 Mei hingga 22 Jun depan.
Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Mohd. Rais Alias berkata, kuiz itu menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM10,000 dengan hadiah tempat pertama berupa pakej umrah untuk seorang bernilai RM6,000 tajaan Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia).
Hadiah tempat kedua dan tempat ketiga pula berupa baucar percutian tajaan Rakyat Travel Sdn. Bhd. (Rakyat Travel) dan Poto Travel & Tours (Poto Travel & Tour) Sdn. Bhd. yang masing-masing bernilai RM3,000 dan RM2,000.
Menurutnya, kuiz sebanyak lapan siri itu akan dipapar dalam akhbar Kosmo! pada setiap hari Jumaat sepanjang tempoh peraduan itu berlangsung.
“Teka silang kata pada setiap siri akan mengandungi sebanyak 20 soalan yang berkisar mengenai zakat harta dan ia perlu dijawab dengan betul oleh pembaca.
“Semua jawapan kuiz dari Siri 1 hingga Siri 8 hendaklah dikumpul dan dihantar sebelum tarikh tutup penyertaan iaitu pada 15 Julai depan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Prapelancaran Kuiz Silang Kata Bersiri PPZ-MAIWP di sini semalam.
Suami rayu isteri hamil tujuh bulan pulang
KUALA LUMPUR – Seorang pekerja bahagian teknikal sebuah kilang di Singapura merayu isterinya yang kini sedang mengandung tujuh bulan kembali ke pangkuannya selepas menghilangkan diri 5 Mac lalu.
Pang Wey Kwang, 38, mendakwa, isterinya, Ng Sow Kuan, 40, yang berasal dari Rawang tidak pulang ke rumah mereka di Singapura selepas keluar rumah kononnya untuk menziarahi rakan di Indonesia.
“Dia menelefon saya beritahu hendak melawat rakannya di Indonesia ketika saya sedang bekerja dan akan pulang selepas beberapa hari.
“Namun, selepas lima hari menunggu, dia tidak pulang dan gagal dihubungi. Saya dapati dia membawa bersama barangan kemas dan dokumen penting,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA di sini semalam.
63 pelajar kaki ponteng ditahan
KUALA TERENGGANU - Seramai 63 pelajar diberkas dalam operasi gerak gempur basmi pelajar ponteng sekolah peringkat negeri Terengganu yang dilancarkan semalam.
Operasi yang bermula pukul 8 pagi dan berakhir pukul 12 tengah hari itu mendapat kerjasama daripada Pejabat Pendidikan Daerah, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, polis dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Zakaria Hussin berkata, kesemua pelajar yang ditahan diberikan sesi kaunseling sebagai peringatan sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing.
"Kita telah memberi mandat kepada pihak sekolah untuk mengambil tindakan disiplin ke atas pelajar terlibat sama ada dikenakan tindakan tatatertib ataupun digantung persekolahan bagi menyedarkan pelajar terlibat," katanya selepas tamat operasi tersebut di sini semalam.
Jadi 'mata dan telinga' polis
KOTA BHARU - Para pengusaha barangan terpakai dan peniaga barangan lusuh diminta supaya menjadi 'mata dan telinga' polis dalam usaha membendung masalah kecurian kabel, besi dan tembaga di negeri ini.Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, mereka merupakan golongan yang paling hampir dengan penjual barangan tersebut yang turut mempunyai kaitan dengan kes-kes kecurian harta milik pihak tertentu.
Menurutnya, pihaknya kini sedang giat memberikan kesedaran kepada golongan peniaga berkenaan bagi memastikan mereka tidak bersekongkol dengan membeli barangan lusuh yang diperoleh secara tidak sah.
"Lazimnya barangan seperti kabel, besi dan tembaga ini adalah milik syarikat telekomunikasi (Telco) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mana ia adalah untuk kepentingan awam.
"Di Kelantan kita mempunyai lebih 200 peniaga yang mempunyai lesen membeli barangan lusuh dan tidak dinafikan ada yang terlibat tetapi kita sentiasa membuat pemeriksaan dari semasa ke semasa," katanya
One Trade Centre atasi Empire State
|
NEW YORK - Bangunan One World Trade Centre yang menggantikan bangunan berkembar World Trade Centre (WTC) diumumkan sebagai bangunan pencakar langit tertinggi New York semalam.
Ketinggian bangunan baharu itu hanya melebihi 381 meter daripada bangunan Empire State di sini selepas para pekerja memasang beberapa tiang besi di atas menara itu.
One World Trade Center kini menjadi mercu tanda kebanggaan bandar raya New York dan pembinaannya bakal siap pada hujung tahun depan.
Menara itu setinggi 541.3 meter dan memiliki 104 tingkat jika siap sepenuhnya.
Ia juga lebih tinggi berbanding WTC yang runtuh akibat serangan pengganas pada 11 September 2001 yang mengorbankan hampir 3,000 orang.
Bangunan tertinggi di dunia kekal milik Burj Khalifa di Dubai yang setinggi 828 meter.
Namun, One World Trade Center akan menjadi bangunan tertinggi di barat AS. - AFP
No comments:
Post a Comment