Thursday, May 3, 2012

BILA DAH ADA BOYFRIEND...KAHWINKAN AJE...KALAU TIDAK IA LARI...BERZINA...BUANG ANAK....LAGI KITA SUSAH...MUDAH CARA TANPA MENINGGALKAN KEHENDAK@TUNTUTAN SYARAK...

Kena tembak selepas beli gula-gula

NASRUR yang cedera dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Seorang wanita tidak menyangka jeritan jiran memberitahu ada orang kena tembak di Taman Sentosa Jaya, Badang dekat sini semalam rupa-rupanya membabitkan suami sendiri yang cedera ditembak oleh dua lelaki berpakaian serba hitam.
Dalam kejadian pada pukul 10 pagi itu, Nasrur Alimin Mohamad, 34, ditemui cedera parah akibat terkena beberapa das tembakan di betis kanan dan ditetak di kepala dan pergelangan tangan kanan.
Cerita isteri mangsa, Ira Shamimi Shamsuddin, 24, sebelum kejadian, suaminya yang bekerja sebagai pembekal peralatan makmal di hospital di sini singgah di sebuah kedai runcit yang terletak kira-kira 50 meter dari rumahnya untuk membeli kad tambah nilai prabayar dan gula-gula sebelum pergi ke tempat kerjanya di sini.
“Tidak lama selepas suami keluar rumah, saya terdengar bunyi letupan bagaikan mercun menyebabkan saya keluar dari rumah untuk melihat apa bunyi itu.
“Sebaik saya jenguk ke luar rumah, saya nampak pemilik kedai runcit itu melambai-lambaikan tangan ke arah saya dan dalam masa sama saya terdengar jiran menjerit ada orang kena tembak,” cerita Ira yang tidak bekerja ketika ditemui di tempat kejadian semalam.
Kata Ira lagi, dia kemudian cuba menghubungi suaminya untuk memberitahu kejadian tersebut tetapi panggilan itu tidak dijawab sebelum ada jiran datang ke arahnya dan memaklumkan suaminya cedera terkena tembakan.

Bayi maut kena renjatan elektrik

SEORANG ahli keluarga mangsa menunjukkan soket penyambung elektrik yang dipegang Syahmina di Pokok Sena, Alor Setar semalam.


ALOR SETAR - Seorang bayi berusia enam bulan maut akibat terkena renjatan elektrik selepas memegang wayar soket penyambung elektrik yang diletakkan di lantai ruang tamu rumah neneknya di Kampung Lancor Tok Leed, Pokok Sena di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 10 pagi itu, mangsa, Syahmina Zulaika Mohamad Hazim Akmal yang baru pandai meniarap dikatakan memegang wayar tersebut sebelum tidak sedarkan diri.
Difahamkan terdapat bahagian wayar dalam terdedah selepas bahagian penebatnya terbuka.
Ketika kejadian, Syahmina berada di ruang tamu bersama kakaknya, Sofina Zulaika, 3, sementara ibu saudaranya, Noraina Rosli, 14, sedang memasak di dapur.
Ibu saudara mangsa, Siti Hajar Idris, 26, memberitahu, mangsa dan kakaknya ketika kejadian dijaga oleh Noraina kerana datuk dan nenek mangsa, Rosli Ahmad, 43, dan Rohani Napiah, 43, keluar menoreh getah.

Dibebaskan selepas 6 hari diculik

Saffiya berpelukan dengan Nayati sebaik sahaja mereka bersatu semula semalam.


RAWANG – Pelukan dan ciuman yang diiringi tangisan kegembiraan menyelubungi kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh di Lebuh Raya Utara-Selatan dekat sini semalam apabila Nayati Shamelin Moodliar yang hilang diculik sejak seminggu lalu bersatu semula dengan keluarganya.
Nayati, 12, yang diculik pada 27 April lalu ketika dalam perjalanan ke sekolahnya di Mont Kiara International School di sini ditemui dibebaskan di tempat letak kenderaan berat R&R Rawang pada pukul 7.55 pagi.
Kanak-kanak itu kemudian dibawa oleh seorang wanita yang menemui mangsa di R&R Rawang ke R&R Sungai Buloh bagi menemui keluarganya.
Jarak lokasi mangsa diculik dan lokasi ditemui semula kira-kira 58 kilometer.
Nayati, anak sulung daripada dua beradik itu ditemui semula selepas keluarga mangsa menerima panggilan telefon dipercayai daripada penculik mengatakan anak mereka ditinggalkan di R&R Rawang.
Tidak lama selepas ditinggalkan penculik, seorang wanita menemui mangsa dan menghubungi keluarganya sebelum membawa mangsa ke R&R Sungai Buloh bagi mempertemukan dia dengan keluarganya.
Berikutan itu, keluarga Nayati bersama pegawai Kedutaan Belanda menaiki sebuah kereta Mercedes Benz dan diiringi pasukan polis bergegas ke R&R Sungai Buloh.
Sebaik menemui Nayati pada pukul 8.30 pagi, bapa mangsa, Sham Moodliar, 41, dan ibunya, Janice Smith, 40, terus memeluk Nayati dengan tangisan kegembiraan.

Pelajar Al-Azhar lumpuh dibantu


MOHAMMAD ZAHIR (tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan kepada Abdullah ketika melawat Abdul Aziz (terbaring) di Bukit Gantang, Taiping semalam.


TAIPING - Seorang pelajar Universiti Al-Azhar terpaksa melupakan sementara pengajiannya selepas lumpuh separuh badan akibat terjatuh ke dalam lubang sedalam lima meter di Kaherah, Mesir dua bulan lalu.
Dalam kejadian pada 9 Mac itu, Abdul Aziz Abdullah, 20, terjatuh ke dalam lubang di sebuah bangunan yang sedang dalam pembinaan berdekatan asramanya.
Pelajar jurusan Syariah Islamiah itu terjatuh ketika berjalan ke sebuah kedai pada pukul 9 malam sebelum ditemui berlumuran darah di tempat kejadian.
Dia yang parah di kepala dan kedua-dua kaki kemudiannya dikejarkan ke Hospital Pakar Ain Syam, Mesir dan menjalani pembedahan sebelum dibawa pulang ke Malaysia pada 20 Mac lalu.
Abdul Aziz memberitahu, walaupun keadaan kesihatannya sekarang tidak memungkinkan dia sembuh dalam masa terdekat, dia masih menyimpan harapan tinggi untuk meneruskan pengajian.
"Saya mahu cepat sembuh dan jika ada rezeki, saya mahu menyambung semula pengajian yang tertangguh," katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Perak, Datuk Mohammad Zahir Khalid di rumahnya di Jalan Baru, Bukit Gantang di sini semalam.

Polis tolak elemen bunuh diri

JOHOR BAHRU – Polis percaya kematian lima beranak yang ditemui di sebuah pusat servis hawa dingin di Jalan Serangkai 4, Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang di sini kelmarin berpunca daripada kemalangan dan bukannya membunuh diri.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin berkata, ia berdasarkan pihaknya tidak menjumpai sebarang nota bunuh diri dan selain itu tidak ada elemen jenayah.
“Pada malam kejadian, pendingin hawa di tempat tersebut yang juga menjadi kediaman mereka rosak dan mereka sekeluarga dipercayai tidur dalam kereta.
“Namun, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan polis,” katanya ketika dihubungi semalam.
Kosmo! semalam melaporkan kematian lima sekeluarga tersebut yang dijumpai bapa mangsa lelaki yang curiga selepas gagal menghubungi sejak Ahad lalu.

Guna pistol tiruan takutkan gadis

PASIR PUTEH – Seorang lelaki ditahan polis kerana disyaki berniat jahat menakutkan seorang gadis berusia 21 tahun dengan mengacukan pistol tiruan sebanyak dua kali semasa gadis itu membonceng motosikal di sini tengah hari kelmarin.
Lelaki itu didakwa kali pertama mengacukan pistol tiruan tersebut di Jalan Kota Bharu-Jeram Pasu dan kemudian di hadapan pejabat cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bukit Jawa, Jalan Pasir Puteh-Kota Bharu.
Bagaimanapun lelaki berusia 24 tahun dari Tumpat itu berjaya ditangkap setengah jam selepas perempuan itu membuat laporan polis sejurus kejadian berlaku pada pukul 12 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd. Kamal Zainal berkata, suspek didakwa telah mengacukan pistol tiruan ke arah mangsa semasa motosikal yang ditunggangi rakannya cuba memotong kereta Satria yang dipandu suspek.
“Mangsa yang berada dalam ketakutan dan mencurigai tindakan itu segera membuat laporan polis di Balai Polis Selising,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh di sini semalam.

Anak hilang ketika keluar beli nasi lemak

NORSHAMIELLA dilaporkan hilang selepas keluar membeli nasi lemak berhampiran rumahnya di Labu, Seremban pada 20 April lalu.


SEREMBAN - Seorang ibu kini terpaksa menahan kerinduan setiap hari kepada anak gadisnya yang hilang selepas keluar membeli nasi lemak bulan lalu.
Afidah Abdul Aziz, 46, dari Taman Gadong Indah, Labu dekat sini berkata, Norshamiella Mad Alias, 19, hilang ketika keluar membeli sarapan pada pukul 8.30 pagi, 20 April lalu dan tidak pulang selepas itu.
Katanya, sejak itu, dia sekeluarga bimbang dengan keselamatan anak kedua daripada tiga beradik tersebut.
"Saya tidak tahu apa yang menyebabkan Norshamiella tidak balik kerana kami tidak pernah bertengkar atau berlaku perselisihan faham.
"Sebelum menghilangkan diri, saya selalu menasihatkan dia supaya menyambung pengajian dan tidak leka berseronok dengan rakan-rakan," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Ujarnya, dia sekeluarga sudah puas mencari Norshamiella di beberapa tempat tetapi gagal dan menurut rakan-rakannya, anaknya itu mengikut seorang lelaki dipercayai teman lelakinya berusia 24 tahun dan bekerja di Petaling Jaya, Selangor.

Tumpang kereta dapat wang


NURAINI yang menjadi 'joki' menahan kereta di Jakarta pada 8 Februari lalu.


JAKARTA - Sejumlah orang memperoleh pendapatan dengan menumpang kereta bagi melalui laluan tertentu di bandar raya ini.
Ratusan lelaki, wanita dan kanak-kanak menunggu di beberapa laluan penting pada setiap hari dengan menawarkan perkhidmatan untuk menumpang kereta persendirian semasa waktu puncak.
Ketika waktu puncak itu, kereta-kereta persendirian dikehendaki membawa hanya tiga penumpang di laluan-laluan penting.
Sejumlah orang yang menawarkan perkhidmatan itu diberi gelaran sebagai 'joki'.
Antara yang menjadi 'joki' itu ialah ibu yang mengendong anak dengan kain.
Seorang 'joki' yang hanya mahu dikenali sebagai Jimmy, 22, memakai pakaian kemas semasa dia menawarkan perkhidmatan itu.
"Para pemandu kereta BMW dan Mercedes selalu mengambil saya kerana saya boleh berpura-pura menjadi saudara dan rakan majikan.
"Pemandu-pemandu tidak mahu ditangkap oleh polis menyebabkan joki perlu membantu mereka untuk mengurangkan risiko ditangkap," katanya.
'Joki' itu boleh didenda sehingga AS$109 (RM330.95) jika ditangkap polis.
Menurut Jimmy, dia memperoleh sebanyak AS$7.50 (RM22.76) sehari dengan menjadi 'joki'.
Namun, kebanyakan wanita yang menjadi 'joki' kerap mengalami gangguan seksual daripada pemandu kereta.
Salah seorang daripada mereka, Nuraini, 39, menyatakan, ketika dia hamil, seorang pemandu meminta dia melakukan perbuatan tidak senonoh.
"Ia amat tidak selesa menyebabkan saya bertindak keluar dari kereta itu," katanya.
Peraturan berkongsi kereta itu diperkenalkan pada tahun 1992 bagi mengurangkan kesesakan jalan raya. - AFP

No comments:

Post a Comment