Monday, April 30, 2012

UNDANG2 HUDUD BILA NAK LAKSANA DAN DIPERJUANGKAN...SAMPAI DIRI KITA MATIKAH...DUNIA BOLEHLAH...AKHIRAT JAWAB JE LAH...MANA PUSAT ZAKAT...HINGGA SIMISKIN TERUS MISKIN...TU WANG ZAKAT...BUKAN WANG SYARIKAT

Barang kemas, wang lesap
ROSALWANI CHE SOH
30 April 2012
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman mengunjungi premis batik terbabit
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman mengunjungi premis
batik terbabit dalam lawatannya sambil bertanyakan mengenai kes kecurian
yang berlaku, semalam.
KOTA BHARU- Seorang peniaga terpaksa berputih mata, selepas kedai pakaian batik di Bazar Buluh Kubu, dimasuki seorang wanita yang melarikan barangan kemas dan beg duit dalam kejadian petang kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 4 petang itu hanya disedari Noriza Ariffin, 26, ketika melihat seorang wanita keluar dari kedai milik mertuanya dalam keadaan mencurigakan.
 
“Semasa kejadian, saya berada di luar, berborak dengan peniaga di depan kedai dan hanya menyedari seorang wanita keluar dalam keadaan tergesa-gesa. Melihatkan keadaan itu, saya tidak sedap hati, lalu terus menuju ke bahagian laci meja dan mendapati, beg tangan yang mengandungi barang kemas termasuk rantai, gelang serta duit bernilai hampir RM11,000 lesap,” katanya kepada pemberita semalam.
 
“Saya tidak sempat kejar dia kerana berlaku terlalu cepat. Ini kejadian pertama sepanjang lima tahun menjaga kedai milik mertua. Saya masih trauma dengan kejadian ini,” katanya.
 
Manakala bagi seorang lagi peniaga di situ, Nor Hamizah Isha, 24, turut menjadi mangsa apabila mendapati beg duitnya hilang kira-kira jam 4.30 petang dengan kerugian dianggarkan RM60.
 
“Semasa kejadian, tiada pelanggan yang berada di dalam kedai ini, jadi saya duduk di bahagian hadapan untuk menyusun kain bersama seorang lagi rakan. Tiba-tiba rakan saya sedar kehadiran seorang wanita yang memakai baju kemeja T, seluar jeans dan bertudung, masuk ke dalam kedai sambil mendukung anak dan keluar dengan pantas sambil bertanya mengenai harga kain," katanya.
 
Nor Hamizah berkata, tanpa perasaan curiga dia melayan wanita itu yang sebenarnya, hanya berpura-pura bertanya mengenai harga kain.
 
“Sehingga tiba waktu Asar, barulah saya masuk kedai dan melihat beg duit yang diletakkan dalam kedai hilang. Rakan saya mula mengesyaki wanita terbabit mencuri beg itu kerana semasa melipat kain di bahagian depan dia nampak kelibat wanita itu masuk dalam kedai,” katanya.
 
Kedua-dua peniaga terbabit membuat laporan polis dan menyerahkan kes itu kepada pihak berkuasa bagi menyiasat kes berkenaan.
Seorang lagi suspek ditahan bantu siasatan kes bunuh dan bakar
Wartawan Sinar Harian
29 April 2012
GUA MUSANG - Polis menahan seorang lagi suspek lelaki berusia 42 tahun untuk membantu penyiasatan kes bunuh dan bakar seorang gadis yang ditemui tulang rangka dalam dalam belukar berhampiran ladang sawit di tepi jalan Limau Kasturi, petang Isnin lalu.

Lelaki tersebut ditahan di rumahnya di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Sungai Asap A, dekat sini, kira-kira jam 11.45 malam Jumaat lalu ketika lelaki tersebut berada dalam rumah bersama beberapa rakanya.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, serbuan yang dilakukan anggota polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang itu sebaik siasatan awal mendapati seorang lagi sedang diburu bagi membantu penyiasatan kes berkenaan.

Beliau berkata, semasa serbuan dilakukan, lelaki terbabit yang terkejut dengan kehadiran sepasukan anggota polis cuba melarikan diri bersama rakan mereka, tetapi tidak sempat hingga berjaya ditahan.

“Semasa siasatan dijalankan ke atas lelaki tersebut turut menemui beberapa biji pil dipercayai pil kuda pada dirinya dan kita harap penangkapan itu dapat membantu kes ini,” katanya.

Dalam kejadian Isnin lalu, seorang pekerja ladang sawit menemui rangka tulang Nor Ain Shafnie Mohd Azizi, 16, yang dipercayai dibunuh dan bakar dalam belukar berhampiran ladang sawit tersebut. Dia dilaporkan hilang sejak 3 April lalu selepas keluar dari rumahnya jam 9 pagi untuk menemui beberapa rakannya di jalan berkenaan.

Menurut Saiful Bahri, sebelum ini pihaknya menahan lapan penduduk tempatan termasuk rakan mangsa berumur antara 17 hingga 30 tahun bagi membantu penyiasatan kes tersebut. Bagaimanapun dua daripada lapan yang ditahan itu sudah dibebaskan dan lima masih ditahan di lokap IPD Gua Musang termasuk seorang suspek terbaru ditahan itu untuk siasatan lanjut.
OKU kudung kaki ugut tetak, bunuh ibu saudara
Wartawan Sinar Harian
30 April 2012
Azhar yang kudung kedua-dua kakinya dan menghidap tibi mengaku salah ugut ibu saudaranya
Azhar yang kudung kedua-dua kakinya dan menghidap tibi mengaku salah
ugut ibu saudaranya dengan parang panjang di Mahkamah Majistret
Kuala Terengganu, semalam.
KUALA TERENGGANU- Tidak kenang budi! Seorang lelaki yang kudung kedua belah kaki sanggup mengugut akan menetak dan membunuh ibu saudaranya yang memelihara sejak kecil dengan parang panjang semata-mata kehendaknya untuk mendapatkan wang tidak diendahkan.
Bagaimanapun, perbuatan biadap tertuduh, Azhar Mohd Noor, 32, dari Kampung Maras, Batu Rakit, di sini, menerima pembalasan apabila dijatuhi penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.
 
Tertuduh yang datang dengan berkerusi roda dan memakai topeng muka kerana menghidap tibi itu mengaku melakukan ugutan jenayah terhadap ibu saudaranya, Midah Said, 58, dengan mengamuk dan merosakkan barangan di dalam rumah dengan niat menyebabkan rasa cemas terhadap mangsa.
 
Kejadian berlaku di rumah ibu saudaranya di Kampung Maras, Batu Rakit, 5.30 petang, Sabtu lalu.
 
Azhar mengaku melakukan kesalahan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
 
Berdasarkan fakta kes, semasa kejadian, mangsa berada di rumahnya sebelum tertuduh balik dalam keadaan marah-marah serta memaksa mangsa memberikan sejumlah wang kepadanya.
 
Sebaik mangsa memberitahu tidak ada wang untuk diberikan, tertuduh terus naik angin dengan mengamuk dan membaling barang di dalam rumah sambil mengangkat sebilah parang panjang di tangan serta mengugut mahu menetak serta membunuh mangsa sekiranya tidak mahu menyerahkan wang.
 
Bimbang perkara tidak diingini berlaku, mangsa terus membuat laporan polis dan tertuduh ditahan pada hari sama kejadian kira-kira jam 8.40 malam di rumahnya.
 
Sementara itu, semalam, tertuduh mengundang perhatian orang ramai di galeri awam mahkamah apabila beberapa kali menukar pengakuan bersalah dan mohon dibicarakan, sebelum akhirnya mengaku bersalah selepas ditanya oleh Majistret Abdul Hayyi Salim.
Mengantuk petanda ajal anak
Wartawan Sinar Harian
29 April 2012
Mengantuk petanda ajal anak
Mayat mangsa diusung orang ramai untuk dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun
BUKIT LAT - “Petang itu, makcik rasa tak sedap hati, jantung berdebar-debar, mata pula asyik mengantuk, tak sangka ia petanda anak mak cik terbabit dalam kemalangan sehingga menemui ajal.”

Demikian kata Ramlah Hamzah, 60, ibu kepada Halimaton Saa’diah Mohamad@Ariffin, 29, kerani syarikat swasta yang menemui ajal selepas terbabit dalam satu kemalangan jalan raya, dekat sini, petang kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 5.40 petang di Kilometer 8 Jalan Dungun-Bukit Besi dekat Bukit Lat itu dipercayai berlaku ketika Halimaton Saa’diah yang bekerja di sebuah syarikat di Dungun dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bukit Besi.

Mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala selepas motosikal yang dinaikinya dipercayai merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dikatakan berhenti di bahu jalan.

Menurut Ramlah, sebelum kejadian, anak gadisnya yang masih bujang itu keluar dari rumahnya di Bukit Besi kira-kira jam 8 pagi lalu menuju ke tempat kerjanya di bandar Dungun.

Ramlah berkata, sebelum pergi kerja, anak ketujuh daripada lapan beradik itu keliha-tan gembira kerana dapat memakai baju kurung baru yang siap ditempah sebelumnya.

“Ketika hendak keluar rumah, dia sempat beritahu makcik, sebaik pulang dari kerja, dia akan ambil dua pasang lagi baju kurung yang sudah siap ditempah di kedai jahit, manakala sepasang sudah dipakainya.

“Tak sangka dia tidak sempat memakai dua lagi baju baru, rupanya dia lebih dahulu menemui ajal,” kata Ramlah yang masih hiba dengan pemergian anak perempuannya itu.

Ramlah berkata, pemergian anaknya itu amat dirasainya kerana arwah sebelum ini banyak membantu meringankan beban hariannya.

Katanya, setiap kali mendapat gaji, arwah yang berulang-alik ke tempat kerja dengan motosikal sejauh lebih 60 kilometer setiap hari akan menghulurkannya wang untuk belanja harian selain turut membeli keperluan lain.

“Mak cik tak sangka dia pergi terlalu cepat. Kini, dia sudah tiada, makcik hilang tempat bergantung,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Jenazah mangsa kemudiannya dituntut ahli keluarga untuk dibawa pulang ke rumahnya di Bukit Besi.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kejadian dan kes berkenaan masih dalam siasatan.
Perkemas undang-undang
NOOR AZIANTY NORMAN
30 April 2012
Tengku Abdullah dan Tengku Azizah bergambar bersama peguam syarie Pahang.
Tengku Abdullah dan Tengku Azizah bergambar bersama peguam syarie Pahang.
KUANTAN - Peguam syarie diminta mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak bagi memperkemaskan perundangan Islam dan keluarga Islam di negeri ini.
Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, banyak perkembangan berlaku sejak 25 tahun lalu di mana enakmen berkaitan undang-undang itu diperkemas ahli-ahli Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), bekas mufti, cendekiawan dan pemimpin terdahulu.
 
“Langkah itu sedikit sebanyak dapat menjalankan pentadbiran hal ehwal agama Islam sebaik mungkin.
 
“Walaupun proses tersebut agak perlahan tetapi kita harus mengambil kira tentang aplikasi dan kesannya kepada masyarakat,” titahnya semasa melancarkan Persatuan Peguam Syarie Pahang, di sini.
 
Turut berangkat, Tengku Puan Pahang, Tengku Azizah Maimunah Aminah Iskandariah
 
Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua Muip, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan; Pengerusi Persatuan Peguam Syarie Pahang, Najib Husin dan Pengerusi Jawatankuasa Panel Temuduga Peguam Syarie Pahang, Profesor Abdul Munir Yaacob.
 
Tengku Abdullah berharap penasihat undang-undang negeri bersama mufti membawa segala pandangan yang dikemukakan ke peringkat Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) untuk dijadikan satu warta yang boleh diguna pakai.
 
“Saya juga berharap persatuan dapat bekerjasama dengan Muip dalam memberi pandangan mereka berkaitan perkara itu di samping bertukar fikiran bagi memperkemaskan perundangan Islam di Pahang.
 
“Usaha itu adalah tanggungjawab hakim dan peguam syarie untuk mengamalkan segala pelaksanaan dengan adil dan saksama,” titahnya.
 
Baginda turut meminta peguam syarie menyampaikan maklumat tepat kepada rakyat berkaitan Perlembagaan Persekutuan dan negeri supaya mereka memahami undang-undang yang telah digubal sebelum ini.
 
“Kebelakangan ini, banyak pihak tidak memahami tentang peruntukan undang-undang di dalam negara ini yang mana ia digubal oleh pemimpin terdahulu.
 
“Saya berharap peranan peguam berkenaan dapat digerakkan secara konstruktif dan meningkatkan komuniti Islam kepada sistem yang ada sekarang,” titahnya.
Rohani setia jaga suami terlantar
Wartawan Sinar Harian
29 April 2012
Rohani setia jaga suami terlantar
Mat Yaziz menerima kunjungan ziarah Ahli Parlimen Maran bersama pemimpin setempat , kakitangan Kemas dan JKM daerah di rumah
MARAN - Kasih isteri tiada batasnya. Begitulah besarnya pengorbanan seorang isteri di Kampung Kuala Sentul, di sini, yang tabah menjaga keluarga selepas suaminya terlantar akibat kecacatan anggota badan kekal sejak lima tahun lalu.

Rohani Osman, 41, berkata, suaminya, Mat Yaziz Daud, 52, patah kedua kaki dan tangan, tulang pinggul dan tulang belakang setelah terlibat dalam satu kemalangan ketika dalam perjalanan mengambil upah mengait kelapa sawit di Felda Ulu Jempol.

Menurutnya, mereka mempunyai seorang anak berusia 10 tahun dan bagi menyara kehidupan, dia bekerja sebagai tukang sapu di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Sentul ­dengan pendapatan RM450 sebulan.

“Suami kini hanya terlantar di katil dan memerlukan perhatian sepenuhnya memandangkan perlu memakai lampin pakai buang sepanjang masa.

“Alhamdulillah, bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 sebulan meringankan beban kami,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan ziarah Ahli Parlimen Maran, di sini.

Rohani berkata, dia terpaksa mengeluarkan kos membeli katil khas berharga RM2,100 supaya suaminya selesa kerana perlu berbaring sepanjang hari.

Menurutnya, kerusi roda yang diberikan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) tidak dapat digunakan lagi.

“Walau apa yang berlaku, saya setia di sisi suami dan anak. Saya menerima takdir ini dengan tabah.

“Ia menguatkan lagi kasih sayang kami tiga beranak dalam menempuh dugaan mendatang,” katanya.
Lelaki ditemui mati dalam ladang
Wartawan Sinar Harian
29 April 2012
Lelaki ditemui mati dalam ladang
Mayat mangsa ditemui dalam keadaan terbaring di ladang kelapa sawit berhampiran rumahnya.
RAUB - Seorang lelaki berusia 56 tahun ditemui mati dalam ladang kelapa sawit di Kampung Baru Sungai Klau, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman ­­­berkata, lelaki berkenaan ­ adalah penduduk tempatan yang dikenali sebagai Wong Ng.

Menurutnya, mangsa ditemui tidak bernyawa dalam keadaan terbaring di ladang kelapa sawit berhampiran rumahnya.

“Pakar Patologi Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, Dr Norzaimah Mohd Idris menjalankan bedah siasat ke atas mayat mangsa di Unit Patologi Hospital Raub.

“Siasatan mendapati ­masalah saluran darah yang meng­alir ke jantung ter­sumbat sehingga mengakibatkan ­kematiannya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Wan Mohd Samsudin berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Orang ramai disaran menghubungi talian kilat polis Raub menerusi 09-3554999 sekiranya ingin menyalurkan sebarang maklumat berkaitan keselamatan atau menghadapi kecemasan supaya tindakan wajar dapat dilakukan segera,” katanya.
Kutip sampah sara anak OKU
DIANA SURYA ABD WAHAB
30 April 2012
Tok (kanan) tabah menjaga anaknya yang cacat penglihatan.
Tok (kanan) tabah menjaga anaknya yang cacat penglihatan.
KUANTAN – “Perasaan malu kutip besi buruk, kotak, botol dan segala jenis sampah lain memang tidak ada memandangkan ini sahaja kerja yang mampu dilakukan untuk mencari sesuap nasi,” kata warga emas, Tok Mat, 80, yang memulakan pekerjaan itu menggunakan beca sejak 10 tahun lalu.
Menurut Tok Mat, walaupun ada yang memandang serong pekerjaannya itu, dia tetap meneruskan dengan sabar kerana memikirkan anaknya yang cacat penglihatan, Zakaria Tok, 37.
 
“Mana tidaknya segala jenis sampah dibawa pulang ke rumah untuk dipilih sebelum dijual, jadi rumah pun semak dan penuh dengan barang kotor. Apa boleh buat semua ini yang menanggung kehidupan saya sekeluarga sejak dahulu.
 
“Walaupun pendapatan mencari besi buruk dan kotak tidak menentu iaitu paling sikit RM80 dan paling banyak RM400 sebulan, namun pekerjaan ini sahaja yang dapat dilakukan memandangkan saya sudah tua, mana ada orang hendak berikan pekerjaan lain,” katanya.
 
Tok yang sudah kematian isteri berkata, sebelum ini dia pernah bekerja kontrak dan menjadi pengawal keselamatan, namun apabila usia semakin meningkat, dia lebih suka bekerja sendiri.
 
“Saya selesa bekerja sendiri memandangkan boleh keluar mengikut masa sendiri. Ada masanya saya keluar pagi dan adakala petang baru larat memulakan proses mengutip sampah.
 
“Setiap hari saya menjelajah seluruh bandar Kuantan, termasuk memasuki mana-mana kawasan perumahan seperti Bukit Setongkol, Cenderawasih dan banyak lagi. Pernah sekali saya bersama arwah isteri mengayuh beca hingga ke Kota Bharu mencari barang terbuang,” katanya.
 
Tok berkata, dia dan anaknya tidak menerima sebarang bantuan kewangan daripada mana-mana agensi kerajaan.
 
“Sesekali, ada juga yang memberikan sumbangan dan derma ikhlas secara persendirian berupa barangan harian. Bantuan kewangan secara tetap memang tidak ada memandangkan saya pun tidak pernah memohon.
 
“Setakat ini saya masih boleh menyara diri dan anak. Kami makan apa sahaja yang ada, lagi pun rumah ini adalah rumah sendiri yang sudah didiami sejak 20 tahun lalu,” katanya.
 
Anaknya, Zakaria berkata, dia tidak pernah bersekolah dan melalui kehidupan seperti pemuda lain.
 
“Sejak kecil saya memang duduk di rumah sahaja tanpa melakukan sebarang pekerjaan. Selepas kematian ibu, kehidupan saya bertambah rumit kerana sebelum ini ibu yang banyak bantu saya bergerak ke mana-mana.
 
“Seperti orang lain, saya juga ada perasaan hendak keluar berjumpa kawan-kawan atau saudara-mara dan menjalani kehidupan berkeluarga macam orang lain,” katanya.
 
Menurutnya, dia pernah terfikir untuk keluar bekerja dan belajar seperti golongan yang senasib dengannya.
 
“Saya ada memasang angan-angan untuk bekerja dan membantu ayah yang sudah tua tetapi saya tidak pernah keluar dan bersekolah. Masa yang ada selama 37 tahun hanya duduk memerap di rumah,” katanya.

No comments:

Post a Comment