Amy Search terkilan tak sempat tunai hajat Bob Kuman
|
PETALING JAYA – “Bro, gua sebenarnya dah jauh.”Itulah kata-kata pelakon dan pelawak, Allahyarham Bob Kuman yang tidak dapat dilupakan oleh penyanyi rock, Amy Search semasa mereka berbual menerusi telefon kira-kira dua minggu lalu.
Menurut Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 54, kata-kata arwah itu masih terngiang-ngiang ditelingannya seolah-olah sudah memberi petanda bahawa dia akan pergi buat selama-lamanya.
“Saya juga terkilan kerana tidak dapat memenuhi permintaan terakhir Allahyarham yang inginkan alat pemain MP3 sebagai hadiah hari jadinya.
“Saya sudah membeli alat tersebut dan menyimpannya di rumah. Malangnya saya tidak dapat menyerahkan alat itu kepadanya,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Surat Osama didedahkan
WASHINGTON - Bekas ketua Al-Qaeda, Osama bin Laden pernah menyuarakan kebimbangan tentang kelunturan kepercayaan dunia Islam terhadap rangkaiannya dalam beberapa pucuk surat yang ditulis semasa dia bersembunyi di sebuah banglo di bandar Abbotabad, Pakistan.
Dalam surat berkenaan, beliau turut khuatir berhubung organisasi pengganas berkenaan yang semakin tidak tersusun.
Sebilangan dokumen berkenaan yang dirampas dalam serbuan pasukan komando AS, Navy Seal ke kediaman Osama di Abbottabad, disiarkan di Internet kelmarin oleh Pusat Memerangi Keganasan Tentera AS.
"Saya merancang untuk mengeluarkan satu kenyataan bahawa kita (Al-Qaeda) akan memulakan fasa baharu bagi membetulkan kesilapan yang kita lakukan," kata Osama dalam sepucuk surat berkenaan pada 2010.
"Dengan berbuat demikian, kita akan memperoleh kembali kepercayaan sebahagian besar mereka yang telah hilang keyakinan terhadap perjuangan kita," tambahnya.
Dokumen berkenaan turut menyuarakan kekesalan Osama ekoran tindakan anggota-anggota Al-Qaeda yang membunuh terlalu ramai orang Islam.
Namun, sehingga ke akhir hayatnya, Osama tetap memberikan tumpuan untuk menyerang rakyat AS dan berkomplot membunuh barisan pemimpin tertinggi negara kuasa besar berkenaan termasuk Jeneral David Petraeus, Naib Presiden Joe Bidden dan tidak terkecuali, Presiden AS, Barack Obama.
Ketua Al-Qaeda itu terbunuh dalam serangan komando AS ke kediaman persembunyiannya di Abbottabad pada 2 Mei 2011 ketika berusia 54 tahun. - Agensi
Rancang ke Eropah
PETALING JAYA – Keluarga kepada budak lelaki yang diculik Jumaat lalu dan kemudian dibebaskan kelmarin bercadang untuk bercuti di Eropah bagi menghilangkan tekanan akibat kes berkenaan.
Sham Moodliar, 41, berkata, beliau dan keluarganya termasuk isteri, Janice Smith, 40, bercadang untuk bercuti selepas berlaku kes penculikan terhadap anak mereka Nayati Shamelin, 12 (gambar kecil).
“Saya dan keluarga akan bercuti di Eropah,” katanya kepada pemberita di sini semalam sambil menitiskan air mata.
Nayati bagaimanapun tidak hadir pada sidang akhbar tersebut kerana dikatakan bertegas mahu ke sekolahnya di Sekolah Antarbangsa Mont Kiara di sini.
Menjelaskan lebih lanjut, Sham berkata, anak sulungnya itu telah kembali menjalani kehidupan seperti sediakala.
“Setelah pulang ke rumah, Nayati meminta hidangan nasi ayam daripada kami,’’ katanya.
Janice pula berkata, anaknya tidur nyenyak sejak kembali ke kediamannya malam khamis lalu.
Awal, Scha kini suami isteri
PELAKON Ahmad Awaluddin Ashaari, 31, atau Awal Ashaari dan Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Alyahya, 29, selamat diijabkabulkan pada satu majlis yang berlangsung di Hotel Pullman Putrajaya Lakeside, Putrajaya semalam.
Pasangan tersebut dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Syed Mahadzir Syed Kechik Alyahya dengan disaksikan Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Putrajaya, Mohd. Salman Idrus.
Scha yang kelihatan anggun dengan busana baju kurung moden berwarna putih menerima tujuh dulang hantaran manakala Awal yang segak berbaju Melayu menerima sembilan dulang hantaran.
Scha turut menerima RM2,050 sebagai mas kahwin tetapi pasangan tersebut enggan mendedahkan jumlah wang hantaran kepada umum.
Sindiket culik terbongkar
SHAH ALAM - Rahsia kegiatan jenayah sindiket culik didalangi warga asing di sini terbongkar apabila polis menahan 11 penculik dan menyelamatkan empat mangsa yang dikurung dalam tiga serbuan di sini dan ibu negara kelmarin.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, empat mangsa culik yang melibatkan dua warga Bangladesh dan dua warga Myanmar berumur antara 18 hingga 40 tahun diselamatkan daripada dikurung di sebuah rumah kedai di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur pada pukul 11.30 malam kelmarin.
Menurut beliau, semasa diselamatkan empat mangsa culik lelaki itu dalam keadaan lemah dan ada kesan kecederaan dipercayai dipukul menggunakan kayu hoki oleh penculik.
"Dalam serbuan di rumah kedai itu, polis juga memberkas lima lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita rakyat Indonesia berumur antara 23 hingga 39 tahun," kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini semalam.
Amah Indonesia pijak anak majikan dijel
KUANTAN - Mahkamah Sesyen semalam menjatuhkan hukuman penjara empat tahun terhadap amah warga Indonesia yang mengaku bersalah melakukan penderaan ke atas anak majikannya yang juga kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU) pada Mac lepas.
Hakim Noradidah Ahmad juga menjatuhkan hukuman penjara enam bulan ke atas Nanis Supardi, 40, kerana tinggal di negara ini melebihi tempoh yang ditetapkan.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memijak muka, leher, perut dan dada mangsa serta menekup muka dan memasukkan air ke dalam mulut kanak-kanak perempuan malang yang berusia 11 tahun itu.
Perbuatan keji tersebut dirakam menerusi kamera litar tertutup yang dipasang majikannya dan dia dituduh melakukan perbuatan itu antara pukul 6 hingga 6.30 petang di Lot 2923, Kampung Batu Hitam, Beserah pada 13 Mac lepas.
Jangan ketepi orang tempatan
KUALA LUMPUR - Persatuan Air Malaysia (MWA) mendesak kerajaan negeri Selangor agar mengutamakan kemahiran pakar tempatan dalam menangani krisis air yang dihadapi oleh negeri tersebut.
Presidennya, Ahmad Zahdi Jamil berkata, khidmat pakar tempatan lebih sesuai memandangkan mereka sudah mengetahui kaedah yang diperlukan untuk mengendalikan struktur air di negara ini.
"Setiap projek di negara ini perlu disesuaikan mengikut senario tempatan antaranya keperluan kewangan projek, penilaian risiko dan budaya tempatan.
"Pakar asing mungkin akan mengalami kesukaran untuk menyelesaikannya. Kita telah banyak melihat kegagalan menggunakan tenaga asing sebelum ini," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
No comments:
Post a Comment