Sunday, May 13, 2012

BILA GAYA HIDUP...MENCARI REZEKI TAK IKUT LUNAS2 ISLAM....

Beraksi ghairah: Nora Danish dikritik!
Wartawan Sinar Harian
13 Mei 2012
Beraksi ghairah: Nora Danish dikritik!
Nora Danish
HAMPIR dua minggu berada di Tanah Suci bagi mengerjakan umrah, akhirnya aktres jelita, Nora Danish selamat tiba di tanah air, 10 Mei lalu.
Rasanya ramai yang mencari Nora kerana sepanjang pemergiannya di Tanah Suci, gambar pelakon drama Tentang Dhiya ini beraksi seksi di sebuah majalah menjadi perbualan hangat.
Penampilan Nora mengejutkan peminatnya kerana biarpun sering tampil dengan imej seksi, namun Nora kelihatan lebih ‘berani’ dalam majalah itu.
Zass cuba menghubungi Nora bagi mendapatkan kenyataannya berkenaan perkara itu tetapi gagal. Mungkin Nora masih mahu berehat selepas pulang ke tanah air.
Apa pun, sama-samalah kita tunggu Nora memberikan kenyataannya dalam masa terdekat.
Sanggup kongsi duit beli dadah
Wartawan Sinar Harian
13 Mei 2012
Sanggup kongsi duit beli dadah
Ketiga-tiga pelajar terbabit ditahan untuk siasatan lanjut

KULIM - Dua pelajar lelaki yang masih menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) dan seorang pelajar tingkatan lima ditahan kerana terlibat dengan penyalahgunaan dadah di sebuah rumah di sini dalam satu serbuan jam 4 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, seorang daripada suspek memaklumkan rumah terbabit adalah milik keluarganya.

“Keluarganya di Pulau Pinang. Disebabkan itulah dia mengambil peluang menjadikan kediaman berkenaan sebagai port ambil dadah,” katanya.

Menurutnya, sementara itu pelajar tingkatan lima berkenaan memaklumkan, masih ramai dalam kalangan pelajar lelaki dan perempuan yang terlibat dalam penagihan dadah.

“Selain pelajar itu, ada kira-kira 10 pelajar lain yang terlibat. Pelajar itu juga mengaku sanggup berkongsi duit dengan kawan-kawan lain untuk membeli dadah. 

“Ibu bapa juga tidak tahu kegiatannya selama ini kerana sering balik rumah lewat pagi dan ada kalanya tidak balik ke rumah langsung,” katanya. 

Ghuzlan berkata, walaupun Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) ada membuat pemeriksaan rambang dengan mengadakan ujian saringan air kencing kepada pelajar bermasalah tetapi ia masih gagal ditangani. 

“Saya minta ibu bapa jika ternampak perubahan yang berlaku kepada anak mereka supaya bertindak tegas dengan melaporkannya kepada AADK dengan segera. 

“Rugi sekiranya dalam usia terlalu muda anak-anak mereka sudah mula menagih dadah, bayangkan apa akan berlaku apabila mereka meningkat dewasa,” katanya kepada Sinar Harian.
Jururawat rembat RM60,000
Wartawan Sinar Harian
12 Mei 2012
Jururawat rembat RM60,000
Amin menunjukkan buku akaun bank miliknya yang tercatat beberapa jumlah pengeluaran wang yang dilakukan bekas isterinya.
PENDANG – Seorang pesara tentera dekat Kampung Air Puteh Dalam, di sini bertindak membuat laporan polis setelah menyedari bekas isterinya memalsukan cek berjumlah RM60,000 yang diperuntukkan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepadanya.

Amin Abdullah, 44, (bukan nama sebenar) tidak sempat menghabiskan kursus peralihannya selama lapan bulan setelah terlibat dengan kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan menghadiri kursus itu di Sungai Petani pada Julai 2009.

Menurutnya, disebabkan kemalangan itu, dia koma selama tiga minggu dan hilang ingatan selama tiga tahun menyebabkan bekas isterinya meminta fasakh kerana mendakwa dia tidak waras selepas kemalangan itu.

Namun, Amin berkata, lebih menyedihkan apabila bekas isterinya yang merupakan seorang jururawat sebuah hospital kerajaan bertindak memalsukan cek miliknya yang diperuntukkan ATM untuk rawatannya daripada insurans kelompok ATM.

“Selepas sedar, saya tertanya-tanya dimana duit insurans saya dan merujuk perkara itu kepada pihak ATM dan difahamkan bahawa mereka telah menyerahkan cek itu dan bertindak mengemas kini buku simpanan di sebuah bank dekat Kuala Lumpur.

“Pihak bank memaklumkan bahawa cek itu telah dimasukkan di sebuah bank dekat Pulau Pinang dan kesemuanya telah dikeluarkan pula di bank yang sama di cawangan Bidong Kedah. Ia menyebabkan saya hairan kerana bagaimana wang itu boleh dikeluarkan tanpa menggunakan buku simpanan atau kad pengenalan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan dia bertindak membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Sungai Petani.

Amin yang berkhidmat dalam ATM selama 22 tahun begitu mengharapkan wang insurans itu untuk menampung keperluan hidupnya memandangkan kemalangan dilaluinya menyebabkan dia tidak berupaya untuk bekerja.

“Kehidupan saya pada masa ini hanya bergantung kepada wang pencen yang diterima saya bersama wang bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM150 sebulan, memandangkan saya masih memerlukan rawatan perubatan melibatkan kos ubat dan kos terapi kira-kira RM500 sebulan,” katanya.

Sementara itu, mana-mana pihak yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyumbang melalui akaun Lembaga Tabung Haji di nombor 030401000140166.
Terjun sawah elak dicekup
Wartawan Sinar Harian
12 Mei 2012
Terjun sawah elak dicekup
Pegawai Imigresen memeriksa semua Pati yang ditahan dalam Ops 6P, awal pagi semalam.
JITRA - Dua lelaki warga asing yang sedang asyik bermain judi lari bertempiaran dan bertindak terjun ke sawah bagi mengelak daripada ditahan pihak berkuasa dalam operasi Jabatan Imigresen Kedah di lima lokasi berasingan sekitar Jitra, Ayer Hitam dan Alor Setar, awal pagi semalam.

Kedua-dua warga Myanmar itu antara 14 Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) yang ditahan dalam Ops 6P bermula jam 11 malam hingga 3 pagi semalam kerana tidak mempunyai pas atau permit sah untuk berada di negara ini.

Operasi selama empat jam itu diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasa Imigresen Kedah, Nar Azaman Ibrahim bersama 22 anggota penguat kuasa Imigresen.

Seramai 48 Pati diperiksa sekitar kawasan Pondok Haji Bakar, Ayer Hitam, sebuah rumah kedai di pekan lama Ayer Hitam, sebuah rumah di Pondok Ayer Hitam, rumah kongsi sebuah tapak perumahan di Jitra dan Bandar Anak Bukit, Alor Setar.

Nar Azaman berkata, selepas diperiksa hanya 14 pati ditahan, semuanya tidak memiliki pas atau permit sah untuk berada di negara ini, manakala selebihnya dilepaskan masing-masing mempunyai Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang sah dan masih laku selain mempunyai dokumen sah berada di negara ini.

Menurutnya, mereka terdiri daripada enam lelaki warga Myanmar, enam lelaki warga Indonesia dan dua lelaki warga Thailand.

“Semua ditahan berusia lingkungan 16 hingga 40 tahun itu terdiri daripada pekerja buruh binaan,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Nar Azaman berkata, semasa operasi ada dalam kalangan Pati itu sempat melarikan diri ke kawasan berhampiran, termasuk sawah padi bagi mengelak diri dicekup.

“Bagaimanapun tindakan pantas anggota kita berjaya menahan semua Pati daripada meloloskan diri,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara bagi tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan tidak lebih enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Semua tahanan ditempatkan ke Depot Tahanan Imigresen Juru, Pulau Pinang untuk siasatan lanjut.
Dua warga asing dirogol
ROSALWANI CHE SOH
13 Mei 2012
Dua warga asing dirogol
AZHAM
KOTA BHARU - Percutian dua warga Switzerland bertukar tragedi apabila mereka dirogol dua lelaki tempatan yang berpura-pura membantu mendapatkan perkhidmatan di sebuah agensi pelancongan, di sini, Rabu lalu.

Mangsa, Mirjam Tuena, 25 dan Mechele@ Weber 25, dipercayai tiba dari Pulau Perhentian, Terengganu kira-kira jam 2.20 petang, sebelum menyelesaikan urusan visa untuk ke Bangkok di kedutaan Thailand di sini.

Selepas selesai urusan terbabit, Mirjam dan Mechele berjalan pulang ke hotel penginapan mereka di Jalan Pintu Pong, di sini sebelum ditegur oleh seorang lelaki yang menunggang motosikal.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Assistan Komisioner Azham Othman berkata, lelaki terbabit kemudiannya bersetuju membantu dua wanita itu untuk dibawa ke agensi pelancongan bagi menguruskan perjalanan mereka ke Bangkok, Thailand.

“Lelaki tersebut mengarahkan dua wanita itu menunggu di hadapan kuarters Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) bagi menunggu rakannya untuk mendapatkan kereta. “Selepas hampir dua jam menunggu, sebuah kereta hitam tiba dan dua lelaki yang salah seorangnya yang dikenali sebagai Harry memaksa dua wanita itu masuk ke dalam kereta dan mereka dibawa ke sebuah banglo yang mengambil masa perjalanan hampir setengah jam,” katanya.

Azham berkata, setibanya di rumah terbabit, Mechele diarahkan naik ke bilik tingkat atas serta menanggalkan pakaian dan dipaksa melalukan seks di luar tabii.

Sementara itu, Mirjam pula diugut oleh abang suspek supaya menanggalkan pakaian dan dirogol bergilir-gilir oleh Harry dan abangnya.

Namun tindakan mereka terhenti, apabila ibu suspek pulang dan terkejut melihat dua wanita itu berada di rumah dan bertindak memarahi suspek sebelum menghantar kedua-dua mangsa ke hotel penginapan mereka semula.
Ekoran tindakan itu, kedua-dua mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Chepa bagi mengesan kesemua suspek yang melakukan tindakan tidak bermoral terhadap mereka.

“Kita masih mengenal pasti dua suspek berkenaan selain dua lagi rakan mereka yang turut terlibat dalam kes ini. Perbuatan ini merupakan kesalahan jenayah tidak bermoral malah ia boleh menjejaskan hubungan antarabangsa malah imej negara,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mengharapkan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini, boleh salurkan kepada balai-balai polis terdekat atau boleh menghubungi pegawai Penyiasat Inspektor Wan Nazifah 013-9207970.
Padah tumbuk kekasih baru teman wanita
Wartawan Sinar Harian
11 Mei 2012
Padah tumbuk kekasih baru teman wanita
Muhamad Syahril Helmy didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam.
KUALA TERENGGANU – Bengang selepas mendapat tahu teman wanitanya keluar dengan ‘kekasih baru’, seorang peniaga nekad membelasah dan menumbuk lelaki tersebut dalam satu kejadian di kedai makan di Kampung Losong, Chabang Tiga, di sini, Ahad lalu.

Bagaimanapun, tindakan Muhamad Syahril Helmy Kamarudin, 24, dari Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR), Bukit Tunggal, di sini, menerima padah setelah Mahkamah Majistret, di sini, semalam, menjatuhkan hukuman denda RM3,000 ke atasnya.

Hukuman berkenaan dijatuhkan selepas Muhamad Syahril Helmy mengaku salah mendatangkan kecederaan kepada Tan Kok Peng, pada 6 Mei lalu kira-kira jam 10.50 malam di kedai makan di Kampung Losong, Chabang Tiga, di sini.

 Muhamad Syahril Helmy mengaku melakukan kesala-han di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan itu bersama-sama dengan enam orang lagi rakannya yang masih bebas.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, mangsa, Tan Kok Peng, yang bekerja sebagai penyelia telah ke kedai makan terbabit bersama teman wanita Muhamad Syahril Helmy yang juga merangkap rakannya, Nurul Qurratu’aini Abd Aziz untuk berjumpa dengan rakannya yang lain.

Apabila tiba sahaja di kedai berkenaan, mangsa meninggalkan Nurul Qurratu’aini di dalam kereta miliknya iaitu jenis Honda Civic manakala dia pergi berjumpa rakannya yang sedia menunggu di dalam kedai.

Bagaimanapun, beberapa minit kemudian semasa mangsa sedang duduk dan bersembang dengan rakannya itu, tiba-tiba tertuduh, Muhamad Syahril Helmy telah datang bersama rakannya dengan menaiki dua buah kereta iaitu Honda Mitsibushi Lancer dan Perodua Kancil, lalu diparkirkan di sekitar kawasan masuk ke kedai makan tersebut.

Muhamad Syahril Helmy terus masuk ke dalam kedai mendapatkan mangsa lalu dibawa berjumpa dengan enam rakannya yang sedia menunggu di luar kawasan iaitu di hadapan kedai makan itu.

Mangsa terus ditumbuk dan disepak tanpa belas kasihan sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian muka, perut dan juga seluruh badan.

Mangsa bernasib baik kerana beberapa orang awam yang berada di lokasi kejadian cuba meleraikan pergaduhan itu dan mangsa mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Daerah Kuala Terengganu pada keesokan harinya iaitu 7 Mei lalu kira-kira jam 8.30 malam.

Susulan laporan dibuat, Muhamad Syahril Helmy ditangkap pada hari sama laporan dibuat. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L.Rathna.
Dikejut lima penyamun
NORAIN MAT ZAIN
13 Mei 2012
Dikejut lima penyamun
Azid (kiri) melihat kereta jenis Perodua Kancil digunakan suspek dalam kejadian samun itu.
BANDAR JERANTUT – Sepasang suami isteri kerugian RM10,000 selepas disamun lima lelaki bertopeng di Kampung Kelola, Pulau Tawar kira-kira jam 3.30 awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian itu, mangsa dikenali sebagai Baroha dan isterinya, Jephi, 50-an, sedang tidur ketika rumah mereka dimasuki penyamun.

Ketua Polis Daerah, Superitendan Azid Ismail berkata, pasangan warga Thailand itu menyedari suspek masuk ke dalam rumah tersebut apabila terdengar bunyi dari arah pintu hadapan.

Menurutnya, pasangan yang juga penoreh getah itu hanya cedera ringan, namun jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan bernilai RM10,000.

“Baroha mengalami luka di tangan kanan akibat terkena pisau toreh semasa bergelut dengan suspek yang memecah masuk ke dalam rumah mereka. “Suspek kemudiannya mengikat mangsa menggunakan wayar kipas sebelum menggeledah rumah. Mereka berjaya melarikan beg berisi RM850. Selain wang tunai, mereka turut melarikan rantai emas, dua gelang tangan emas, empat bentuk cincin, jam tangan, telefon bimbit dan seluar jeans milik mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), di sini, semalam.

Azid berkata, pasangan suami isteri itu berjaya membuka ikatan tangan dan berlari meminta pertolongan di rumah majikan mereka sejurus selepas suspek melarikan diri.

Menurutnya, majikan mangsa bertindak menghubungi polis dan dua anggota dihantar ke tempat kejadian seterusnya berjaya mengesan sebuah kereta Perodua Kancil berwarna hijau dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota terbabit mengejar kereta suspek dan berjaya menahan dua daripada mereka, manakala tiga lagi melarikan diri. “Pemandu kereta adalah warga tempatan berusia 32 tahun dari Johor, manakala seorang lagi warga Indonesia berusia 26 tahun,” katanya.

Beliau berkata, tiga lagi suspek yang berjaya meloloskan diri dipercayai warga asing dan hasil siasatan di rumah mangsa menemui dua parang dan pisau toreh dipercayai digunakan dalam kes samun itu.

“Polis masih menjejaki tiga lagi suspek yang masih bebas. Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu samun mendatangkan cedera. “Kita turut mengharapkan kerjasama orang ramai. Sesiapa mempunyai maklumat diminta untuk menghubungi IPD di talian 092662222 atau balai polis berhampiran,” katanya.
Tikam pengurus gara-gara dipecat
Wartawan Sinar Harian
13 Mei 2012
Tikam pengurus gara-gara dipecat
YAHAYA RAMLI
SUBANG JAYA – Berang apabila dia dipecat sebagai warden tiga hari lalu, seorang lelaki bertindak menikam pengurus sebuah pertubuhan kebajikan di SS14 Subang Jaya di sini tanpa belas kasihan, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 pagi itu, mangsa dikatakan sedang tidur di bilik tingkat atas rumah teres dua tingkat yang dijadikan pertubuhan kebajikan melindungi remaja perempuan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan daripada mangsa seorang wanita berusia 50 tahun memberitahu dia ditikam di bahagian perut oleh seorang lelaki.

Beliau berkata, bertindak atas aduan, sepasukan anggota polis ke tempat kejadian untuk memberikan bantuan susulan.

Menurutnya, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) suspek dipercayai masuk melalui pintu bahagian tengah tingkat bawah rumah berkenaan kira-kira jam 11 malam.

Jelasnya, suspek mudah memasuki rumah terbabit kerana mempunyai kunci dan pernah bekerja sebagai warden di situ sebelum ini.

“Selepas berjaya membolosi pintu rumah, suspek dikatakan meluru ke bilik tingkat atas dan terus duduk di atas badan mangsa. Suspek kemudian terus menikamnya sebanyak beberapa kali di bahagian dada dan perut.

“Salah seorang warden bertugas yang menyedari kejadian tersebut terus menangkap lelaki itu dan menghubungi polis,”katanya mangsa kini dalam keadaan stabil dan masih mendapat rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
'Shahir pergi dulu mak'
Wartawan Sinar Harian
13 Mei 2012
'Shahir pergi dulu mak'
Muhammad Shahir Badrul

TEBUK PANCHUR - “Shahir pergi dulu mak,” ungkapan terakhir Muhammad Shahir Badrul, 21, mangsa kemalangan maut di Talian Air Kanan, Tebuk Panchur, kelmarin.

Bapa mangsa, Badrul Hisham Awang, 49, berkata, sebelum kejadian berlaku, dia ada terdengar ungka­pan­ yang tidak pernah diucapkan oleh anak sulungnya itu.

Menurutnya, sebelum ini, setiap kali hendak keluar arwah tidak pernah mengucapkan apa-apa perkataan.

“’Shahir pergi dulu mak’ inilah ungkapan terakhir arwah ketika dia hendak keluar ke tempat kerja pagi, kelmarin.

“Saya tidak sangka kata-kata itu sebagai tanda dia akan pergi buat selamanya,” katanya.

Sementara itu, Badrul berkata, ketika kejadian, anaknya dalam perjala­nan pulang dari tempat kerja sekitar jam 4 petang, kelmarin.

Menurutnya, kejadian berlaku berhampiran tapak longgokkan pasir dan batu sementara bagi projek naik taraf jalan kampung.

“Penduduk jumpa arwah di tepi jalan bersama motosikalnya yang rosak teruk di bahagian hadapan.

“Kejadian itu masih misteri kerana tidak ada yang tampil memberi maklumat selepas kemalangan walaupun kelihatan arwah seperti dilanggar lari,” katanya.

Katanya, lebih menyedihkan pihak berkenaan tidak menyediakan papan tanda amaran atau pengawal lalu lintas bagi keselamatan penduduk sewaktu projek naik taraf dijalankan.

“Sepatutnya pihak terbabit mengambil insentif keselamatan terhadap pengguna yang melalui jalan ini.

“Ketika kejadian saya dapati pekerja-pekerja seperti menghilangkan diri dan jika difikirkan secara logik, sepatutnya kerja naik taraf tamat pada jam 5 petang setiap hari,” katanya.

Tambahnya, timbul keraguan mengapa kerja naik taraf itu ditamatkan lebih awal.

“Saya berharap pihak polis menyiasat perkara ini agar dapat merungkai siapa yang harus dipertanggungjawabkan di atas kemalangan tersebut yang disifatkan sebagai langgar lari,” katanya.
 
KETUA Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, dalam kejadian itu, penunggang motosikal, Muhammad Shahir Badrul Hisham, 21, ditemui di tepi Jalan Tali Air Kanan, Tebuk Pancur, di sini, dengan kecederaan di bahagian dada.

Menurutnya, polis mengklasifikasikan kemalangan berlaku akibat mangsa terbabas sebelum merempuh bahagian jalan menyebabkan motosikal mangsa rosak teruk.

“Mangsa yang cedera di bahagian dada, dipercayai mati di tempat kejadian,” katanya.

Mat Fauzi berkata, seorang lelaki berusia 30-an, yang kebetulan berada tidak jauh dari tempat kejadian terdengar bunyi dentuman kuat.

“Lelaki ini kemudiannya pergi ke tempat kejadian dan melihat motosikal mangsa terjatuh serta mangsa berada dekat dengan motosikalnya.

“Lelaki ini bertindak memaklumkan kejadian kepada pihak polis dan sepasukan anggota menjalankan siasatan. Sementara itu, mayat mangsa dihantar ke Hospital Parit Buntar, untuk bedah siasat dan telah dituntut oleh keluarga mangsa, kelmarin,” katanya.

Katanya, pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu menghubungi polis trafik IPD Bagan Serai di talian 05-721 0566, untuk perhatian Inspektor Mohd Nurul Izuan Rahim, bagi membantu siasatan.

SEMENTARA itu, JKKK Tebuk Panchur, Faizul Ridzuan Abd Samat berkata, pihaknya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa di atas kejadian itu.

Menurutnya, pihak JKKK berharap pihak berkuasa memantau tahap keselamatan terutamanya ke atas projek-projek yang sedang dibangunkan agar kejadian sama tidak berulang.

“Jenazah telah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Tebuk Panchur.

“JKKK dan seluruh penduduk kampung mengucapkan takziah dan berdoa agar roh arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.

Turut hadir ke tempat kejadian, Ketua Kampung Tebuk Panchur, Mohd Sharudin Mujini.
Mesej terakhir sebelum isteri kemalangan
Wartawan Sinar Harian
13 Mei 2012

LENGGONG - “Beberapa minit sebelum kejadian saya menerima mesej terakhir daripada isteri saya, Naliza Che Moh, 40, memaklumkan lokasi bas dinaiki. Kemudian dia senyap sehingga bas yang saya naiki tiba di lokasi kejadian.”

Cerita Osman Ibrahim, 57, iaitu suami kepada salah seorang mangsa yang cedera parah dalam kemalangan membabitkan sebuah bas dan lori, di kilometer 45.2 Jalan Kuala Kangsar-Gerik, dalam kawasan Kampung Gua Badak, di sini, awal pagi semalam.

Osman berkata, dia hanya mengetahui kejadian berkenaan ketika bas yang dinaikinya berhenti di lokasi kemalangan.

Menurutnya, isterinya menaiki bas Wanita Umno pada masa kejadian sementara dia menaiki bas berasingan.

“Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian saya segera turun untuk melihat apa yang berlaku, tetapi belum mengetahui isteri saya mengalami kecederaan parah.

“Seorang penumpang lain memaklumkan saya tentang keadaan Naliza dan dia dikejarkan ke Hospital Kuala Kangsar (HKK) untuk menerima rawatan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Osman memaklumkan yang dia juga telah bergegas ke HKK untuk memastikan isterinya berada dalam keadaan selamat.

Sementara itu, Ahli Parlimen Gerik, Datuk Tan Lian Hoe memaklumkan, beliau telah bergegas ke HKK untuk melihat keadaan mangsa sebaik sahaja dimaklumkan berkenaan kemalangan itu.

“Saya terima panggilan pada kira-kira jam 7 pagi dan terkejut apabila dikhabarkan bas yang dinaiki rombongan Wanita Umno Bahagian Gerik terlibat dalam kemalangan.

“Selepas melawat mangsa yang cedera di HKK, saya juga melawat ke Hospital Gerik untuk melihat keadaan mangsa lain yang terlibat dalam kemalangan itu,” katanya.

Beliau turut bersimpati atas kehilangan nyawa sepasang suami isteri yang terbabit dalam kemalangan itu dan merasa lega kerana hanya tiga individu mengalami cedera parah, sementara 17 yang lain dalam keadaan selamat.

Pasangan suami isteri, Ong Khian Hock, 51 dan Loh Weng Chan, 46 yang menaiki lori berisi muatan barangan runcit maut di tempat kejadian setelah kenderaan mereka dirempuh dan diseret sejauh kira-kira 30 meter oleh bas berkenaan.
Pisau melekat di rusuk, selepas ditikam
ISMANIZA AHMAD
12 Mei 2012
Pisau melekat di rusuk, selepas ditikam
Deretan kedai di lokasi kejadian yang agak sunyi dan jauh dari jalan utama.
TAIPING - Berpantang maut sebelum ajal, ungkapan yang sesuai digambarkan kepada seorang wanita apabila dia sempat meminta pertolongan dalam keadaan rusuk kirinya masih melekat sebilah pisau dalam kejadian di sebuah kedai dobi di Jalan Air Kuning, di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa yang hanya dikenali sebagai Nur, 22, dikatakan ditikam sebanyak empat kali oleh seorang lelaki yang datang ke kedai dobi milik kakak mangsa.

Suspek yang berusia lingkungan 20-an pada mulanya dikatakan ke kedai itu dan berlagak sebagai pelanggan dengan bertanyakan harga yang dikenakan untuk mencuci langsir.

Mengimbas kembali kejadian yang berlaku, Nur berkata, dia kemudiannya menghubungi kakaknya untuk bertanyakan hal berkenaan, bagaimanapun belum sempat talian diputuskan, lelaki berkenaan bertindak merampas telefon tersebut.

Katanya, dalam sekelip mata, lelaki itu masuk ke kaunter sambil mengacukan pisau menyuruh dia ke belakang kedai, bagaimanapun dia enggan menyebabkan suspek menikam rusuk kirinya sebanyak dua kali.

“Dalam keadaan itu, saya menggunakan kudrat yang ada untuk mempertahankan diri kerana percaya lelaki itu cuba melakukan perkara yang tidak baik.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kakak sempat mendengar sayup-sayup saya meminta tolong di hujung talian ketika telefon dirampas lelaki itu,” katanya ketika ditemui di Hospital Taiping, semalam.

Katanya, dia yang enggan memberi peluang kepada lelaki itu menyebabkan suspek bertindak ganas dengan menikamnya kali ketiga dan keempat.

“Tikaman yang keempat itu mengenai bahagian tisu rusuk kiri saya menyebabkan pisau itu melekat di situ.

“Takut dengan keadaan itu, lelaki tersebut keluar dari kedai dan sempat mengambil beg duit dan juga telefon bimbit saya,” katanya.

Katanya, dalam keadaan panik, dia berlari keluar untuk meminta pertolongan, bagaimanapun, tiada siapa mendekati kerana ngeri melihat keadaannya yang masih tertusuk pisau.

“Kakak dan abang ipar yang datang ke kedai terkejut melihat saya berlumuran darah segera membawa saya ke hospital sebelum kami membuat laporan polis pada hari kejadian,” katanya.

Difahamkan setelah doktor membuat imbasan di bahagian rusuknya, didapati tikaman yang terakhir mengenai paru-parunya tetapi tidak serius.

Nur berkata, sebelum ini kakaknya pernah melihat orang yang tidak dikenali berlegar-legar di kawasan itu tetapi tidak mengesyaki apa-apa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, kejadian berlaku jam 12.30 tengah hari dan mengesahkan mangsa ditikam sebelum suspek melarikan diri dengan mengambil beg duit berisi wang tunai RM15 dan juga telefon bimbit mangsa.

Beliau berkata, hasil siasatan di tempat kejadian, polis turut menjumpai sebilah pisau lipat.

“Kita sedang menjejaki suspek berkenaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta segera menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
Taktik curi dalam kereta di R&R lumpuh
Wartawan Sinar Harian
12 Mei 2012
Taktik curi dalam kereta di R&R lumpuh
Som Sak (kanan) bersama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah daerah, Asisten Superintendan Md Nasri Fadzil menunjukkan antara peralatan yang digunakan suspek.
TAPAH – Taktik seorang lelaki memecah dan mengambil barangan berharga yang ditinggalkan pemilik kenderaan di parkir kawasan rehat dan rawat (R&R)
akhirnya terbongkar apabila ditahan polis, Rabu lalu.

Lelaki berusia 47 tahun yang dipercayai menjalankan kegiatan secara sendirian itu sejak setahun lalu dikatakan akan meletakkan kereta hampir dengan kenderaan yang disasarkan dan menggunakan objek keras untuk memecahkan cermin sebelum melarikan barangan milik mangsa.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, kegiatan lelaki berasal dari Kuala Krai, Kelantan itu berjaya dijejaki berdasarkan tiga laporan yang diterima berkaitan kejadian pecah kereta di kawasan R&R Tapah membabitkan kenderaan jenis Inova, Perodua Kancil dan Harrier, 7 Mei lalu.

Menurutnya, hasil maklumat yang diterima, lelaki yang juga penganggur itu berjaya ditahan, 9 Mei lalu kira-kira jam 8 pagi di kawasan parkir hadapan stesen minyak di R&R Tapah arah Utara.

“Pemeriksaan lanjut yang dibuat ke atas kenderaan jenis BMW yang dinaiki suspek menemui beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan mencuri.

“Antaranya penukul besi, pemutar skru dan pemotong wayar, turut ditemui telefon bimbit, beberapa anak kunci kereta, MyKad dan lesen memandu milik individu lain dipercayai mangsa,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Katanya, sehubungan itu, suspek di reman sehingga 13 Mei untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil dan Seksyen 379 A Kanun Keseksaan atas kesalahan curi kenderaan.
“Hasil soal siasat polis, lelaki berkenaan turut mengaku terlibat dalam 10 kes sama di sekitar kawasan parkir di Lembah Klang,” katanya.

Untuk rekod Som Sak berkata, lima laporan polis berkaitan kes pecah dan curi kenderaan diterima IPD Tapah tahun ini.

Kata beliau, dengan tertangkapnya individu berkenaan, tiga kes berjaya diselesaikan, sementara dua lagi masih dalam siasatan.

“Kita percaya, sindiket seperti ini dilakukan oleh banyak kumpulan, jadi kita minta orang ramai agar lebih berwaspada sekiranya berhenti rehat di mana-mana kawasan R&R dengan tidak meninggalkan barangan berharga seperti kamera, beg dan komputer riba dalam kenderaan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian jenayah boleh berhubung terus dengan talian hotline IPD Tapah 05-4015222 atau rakan cops 32728.
Nenek pesan Qila jaga diri sebelum maut
KAMARUL HALIM M KAMAL
13 Mei 2012
BATU PAHAT – “Jaga diri baik-baik, nenek dah nak pergi ni,” itulah pesanan terakhir Allahyarham Roa Dol, 79, kepada cucu kesayangannya, Puteri Nuraqilah Mohd Khutatu, 11 bulan, sebelum menghadiri Sambutan Ulang Tahun Umno ke-66 di Stadium Bukit Jalil kira-kira jam 9 pagi, kelmarin.
Namun malang tidak berbau, dalam perjalanan pulang daripada sambutan berkenaan, Roa terlibat dalam kemalangan di Kilometer 258.8 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran susur keluar ke Port Dickson pada jam 2.58 pagi semalam dan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.

Kemalangan tersebut yang membabitkan dua bas dan sebuah lori treler turut menyebabkan 77 lagi cedera.

Menantu Allahyarham Roa, Nurul Arina Mohd Yusof, 20, berkata, dia tidak menyangka itu adalah kata-kata terakhir untuk anaknya yang merupakan cucu bongsu mangsa.

Menurutnya, semenjak Puteri Nuraqilah atau nama manjanya Qila dilahirkan, arwah ibu mertuanya itu banyak menghabiskan masa bersama cucu kesayangannya itu.

“Saya sedih setiap kali mengenangkan arwah yang suka bermain dengan Qila.

“Bagaimanapun, ini ketentuan daripada Allah dan saya menerimanya dengan redha,” katanya kepada Sinar Harian di kediamannya di Kampung Parit Lubok Tengah, Semerah di sini.

Menurut Nurul Arina, dia turut berasa sebak kerana beberapa hari sebelum tragedi itu, Allahyarham ibu mertuanya sempat menghadiahkan seutas gelang tangan kepada Qila.

Katanya, paling menyedihkan apabila arwah sendiri yang memakaikan gelang emas berkenaan kepada cucunya.

“Arwah juga tidak menunjukkan sebarang perlakuan pelik sebelum mengikuti rombongan berkenaan.

“Malah sepatutnya hari ini (semalam) kami sekeluarga merancang hendak buat kejutan kepada arwah dengan menyambut Hari Ibu di Johor Bahru, iaitu di rumah salah seorang anaknya,” katanya yang tinggal serumah bersama Allahyarham Roa, suami dan anaknya, Qila.

Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Lubok jam 3.45 petang semalam.

Sementara itu, Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad berkata, pemergian Roa adalah kehilangan besar buat Umno Bahagian Parit Sulong dan juga Cawangan Parit Lubok.

Katanya, Roa sememangnya aktif dalam Umno dan menjadi orang pertama hendak melibatkan diri apabila ada aktiviti atau program yang melibatkan parti.

“Malah beliau jugalah yang biasanya menjadi ketua kepada aktiviti-aktiviti terbabit, dan turut menjadi jawatankuasa dalam cawangan. Malah setiap kali Hari Raya Aidilfitri Allahyarham tidak pernah ketinggalan menjamu ahli Umno di kawasannya.

“Beliau juga boleh dijadikan contoh kepada ahli Umno yang lain terutamanya golongan muda, di mana usia bukannya penghalang untuk bergiat aktif,” katanya.

No comments:

Post a Comment