Saturday, May 19, 2012

MAKSIAT SENANG DIIKUTI...DARI BERTAKWA KEPADA ALLAH...REMAJA MASIH SEKOLAH DAH BERJINAK2 DENGAN MAKSIAT...BAGAIMANA NANTI APABILA TELAH KELUAR SEKOLAH...DAH MASUK BIDANG PEKERJAAN...DAH PEGANG DUIT SENDIRI...SEKATAN UNDANG2 ALLAH TIADA PULAK....JAWAB JE LAH...WAHAI PEMERINTAH

Penjenayah ditembak mati

19 Mei 2012
KUANTAN - Seorang penjenayah yang melarikan kenderaan polis ditembak mati dalam satu kejadian tembak menembak di Km249.2 dekat Jabor, di sini, awal hari ini.
  
Suspek, Chiang Hon Hing, 39, berasal dari Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur mati akibat terkena tembakan di perut.
  
Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani berkata suspek sebelum itu bertindak melarikan kenderaan anggota peronda trafik Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di jalan susur masuk ke tol Lanchang menghala ke Kuantan.
  
"Kira-kira 1.10 pagi, dua anggota peronda trafik LPT telah membuat pemeriksaan ke atas kereta suspek yang berhenti di tepi jalan susur masuk tol Lanchang menghala ke Kuantan.
  
"Semasa pemeriksaan, tiba-tiba suspek mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan tembakan ke arah anggota polis berkenaan tetapi tidak mengenai anggota peronda terbabit," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
 
Beliau berkata suspek kemudiannya melarikan kenderaan polis itu manakala sebuah lagi kereta peronda LPT yang melalui kawasan berkenaan bertindak mengejar suspek yang menghala ke Kuantan.
  
"Sampai di KM 113.6, suspek telah berhenti di tepi LPT dan menyamun sebuah kereta Proton Waja yang dinaiki dua lelaki. Kedua-dua lelaki berkenaan tidak dicederakan," katanya.
  
Sharifuddin berkata suspek terus melarikan diri sehingga ke Tol Jabor dan apabila ternampak sekatan jalan raya di situ, dia bertindak berpatah balik menghala ke arah Kuala Lumpur.
  
Katanya apabila tiba di KM 249.2 dekat Jabor, suspek memberhentikan kenderaannya yang dipercayai mengalami kerosakan dan ketika diperiksa oleh anggota peronda trafik LPT, dia bertindak melepaskan tembakan yang mengenai tangan kanan Lans Koperal Mohd Jarizan Md Jid.
  
"Polis berjaya menembak mangsa di bahagian perutnya dan disahkan mati ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan (HTAA)," katanya.

Beliau berkata polis turut menemui sepucuk pistol jenis Baretta, yang digunakan suspek dalam kejadian berbalas tembakan itu.
  
"Siasatan awal mendapati suspek terbabit dalam beberapa kes jenayah sebelum ini seperti curi kereta dan dadah. Kereta jenis Honda yang digunakan suspek di Lanchang itu juga adalah kenderaan curi yang dilaporkan hilang malam tadi," katanya.
  
Sementara itu, Mohd Jarizan ketika ditemui di HTAA berkata dia bersyukur kerana selamat dalam kejadian tembak menembak itu. - Bernama
Tercampak 79 meter, motosikal dirempuh lori
Mohd Taha Yaacob
19 Mei 2012
Tercampak 79 meter, motosikal dirempuh lori
Orang ramai melihat pelana motosikal yang dinaiki Che Abd Ghani yang melekat
depan lori yang melanggarnya dalam kemalangan yang berlaku di Pekan Jabi, pagi semalam.
JABI- Seorang penoreh getah maut setelah tercampak sejauh 79 meter sebelum terhempas di atas jalan akibat motosikal yang ditunggangnya dirempuh dari arah belakang oleh sebuah lori dalam kejadian di pekan Jabi pagi semalam.

Akibatnya, kepala mangsa Che Abd Ghani Che Wel, 53, mengalamai kecederaan parah menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian.

Mangsa beralamat di Kampung Kerandang dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu ke Jertih untuk ke kebun getahnya di Kampung Pondok Nyamuk tidak jauh dari situ.

Dalam kejadian jam 7.45 pagi itu, motosikal mangsa diseret sejauh 256 meter oleh lori tersebut mengakibatkan motosikal itu terlekat pada tayar depan sebelah kiri lori sebelum pemandunya memberhentikan kenderaannya.

Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di muka, kepala dan meninggal dunia.

Arwah makan banyak: Isteri

“SEHARI sebelum kejadian arwah suami saya menunjukkan sedikit perubahan yang ketara apabila dia makan nasi lebih banyak daripada biasa,” kata isteri kedua Che Abd Ghani, Roslija Yusoff, 44, ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Besut, semalam.

Katanya, pada petang kelmarin suaminya makan nasi dalam jumlah banyak dan dia tidak pernah melihat arwah suaminya itu makan sebanyak itu sebelum ini.

“Saya masak tiga tin nasi dan dia hampir menghabiskan nasi itu selepas saya beritahu tidak mahu makan.

“Kemudian, arwah simpan segenggam nasi dan minta saya berikan nasi itu untuk diberikan kepada ayam peliharaan,” katanya yang tinggal di pekan Jabi.

Roslija berkata, arwah suaminya juga berkali-kali meminta maaf dengannya selain berubah sikap menjadi lebih ceria.


Biasa minum milo tetapi minta nescafe

“SIKAP arwah juga pelik apabila dia meminta untuk minum nescafe sedangkan sebelum ini dia minum milo sejurus arwah pulang ke rumah isteri pertamanya di Kampung Kerandang.

“Saya tidak menyangka perubahan tersebut petunjuk suami akan pergi buat selama-lamanya,” katanya.

Roslija mengakui pemergian suaminya satu kehilangan besar yang sukar dicari ganti kerana arwah seorang yang baik dan ringan tulang,” katanya.

Katanya, sebelum kejadian, suaminya datang dari rumah madunya di Kampung Kerandang dan mahu menoreh getah dekat Pondok Nyamuk, Jabi.

“Kalau ikutkan simpang masuk ke Pondok Nyamuk hanya terletak beberapa meter sahaja lagi dari tempat dia dilanggar.

“Namun, arwah suami saya tidak sempat membelok kerana dia terlebih dahulu dilanggar lori itu,” katanya.


Tidak tolak kemungkinan pemandu lori mengantuk

SEMENTARA itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, mangsa menunggang motosikal seorang diri dilanggar sebuah lori tanpa muatan dari arah sama.

“Pemandu lori berumur 27 tahun dan kelindannya berusia 22 tahun tidak me­ngalami kecederaan membuat lapo­ran di Balai Polis Trafik Daerah Besut,” katanya.

Kamaruddin berkata, polis menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian termasuk menjalankan saringan air kencing pemandu lori dan tidak menolak kemungkinan pemandu lori mengantuk.

Kata beliau, akibat rempu­han kuat itu pelana motosikal mangsa terlekat pada palang depan lori.

Mayat mangsa dihantar ke Bilik Mayat Hospital Besut untuk bedah siasat.
Khalwat: 5 pelajar didenda RM1,500
Wartawan Sinar Harian
19 Mei 2012
BESUT - Lima pelajar termasuk tiga pelajar perempuan tingkatan tiga sebuah sekolah di sini, didenda RM1,500 seorang oleh Mahkamah Rendah Syariah selepas mengaku salah melakukan perbuatan tidak bermoral dalam sebuah rumah di Kampung Gong Tengah, 27 Mac lalu.
Hakim Syarie, Mohd Nazri Yusof menjatuhkan hukuman tersebut apabila beliau berpuas hati terhadap pengakuan salah dan rayuan tertuduh.
Mereka ditahan dalam sebuah rumah di kampung tersebut dekat Kuala Besut pada jam 9.15 pagi dan tiada ikatan yang sah ketika kejadian, sehingga menimbulkan syak melakukan khalwat.

Semua tertuduh termasuk dua lelaki berumur 18 tahun itu dibicarakan di bawah Seksyen 31 (a) dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir), Negeri Terengganu 2001 yang sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Ketua Pendakwa Syarie, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof.

Nik Mohd Shahril Irwan ketika membacakan fakta kes memberitahu, bertindak atas maklumat, penguat kuasa melakukan serbuan berwaran di sebuah rumah di Kampung Gong Tengah.

Penguat kuasa syariah terpaksa ke bahagian dapur rumah setelah pintu utama tidak dibuka oleh tertuduh ketika pihak berkenaan mengetuk pintu tersebut.

Pemeriksaan di dalam rumah mendapati, pintu sebuah bilik berkunci dari dalam dan selepas beberapa minit diketuk, ia dibuka oleh seorang remaja perempuan dan pemeriksaan mendapati terdapat tiga remaja perempuan di dalam bilik itu.

Nik Mohd Shahril berkata, remaja tersebut memberitahu penguat kuasa hanya mereka bertiga di dalam rumah itu namun, pemeriksaan lanjut mendapati dua lelaki sedang menyorok di atas siling rumah.

Ketiga-tiga pelajar perempuan itu tinggal di sebuah kuarters perumahan di Gong Keda.

Salah seorang lelaki terbabit adalah anak pemilik rumah tersebut manakala rakannya dari Kampung Gong Manok, Pasir Puteh, Kelantan
Lelaki disamun dibogelkan
Wartawan Sinar Harian
19 Mei 2012
Lelaki disamun dibogelkan
Tali pinggang yang digunakan untuk mengikat mangsa ditemui di lokasi kejadian, pagi semalam.
RANTAU PANJANG - Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila dipukul dan diikat pada tiang elektrik di hadapan Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang kira-kira jam 4.30 pagi semalam.

Mangsa diikat dengan tali pinggang yang dipakainya dipercayai oleh tiga lelaki yang menaiki sebuah kereta Proton Wira berwarna biru.

Bukan itu sahaja lelaki malang ini turut dibogelkan sementara pakaian bertaburan tidak jauh dari tempat mangsa diikat.

Sementara itu, penduduk dikenali Ripin, 48, yang dalam perjalanan ke kebun getah di Gual Pasong Hantu, terkejut melihat sebuah motosikal tanpa pemiliknya berhampiran jambatan.

Ripin berkata, hanya beberapa meter dari situ dia dapat melihat kelibat manusia berhampiran balai bomba.

Menurutnya dia dan isteri tidak berani untuk menghampiri mangsa kerana bimbangkan keselamatan mereka.

“Saya dan isteri terus ke pejabat Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan memaklumkan perkara itu kepada anggota bertugas.

“Selepas itulah kami melihat dari jauh mangsa diikat pada tiang dan tidak berpakaian,” katanya kepada Sinar Harian.

Mangsa yang cedera pada bahagian muka dihantar ke Klinik Kesihatan Rantau Panjang untuk mendapatkan rawatan.

Sinar Harian difahamkan beg duit mangsa tanpa wang tunai dan pengenalan diri turut ditemui tidak jauh dari tempat mangsa ditemui.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Pasir Mas, ACP Haliludin Rahim memberitahu, pihaknya masih menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
Penyamun sorok hasil dalam rumah
Wartawan Sinar Harian
18 Mei 2012
Penyamun sorok hasil dalam rumah
Jalaludin mengetuai aktiviti ‘walkabout’ bersama anggota polis mendengar luahan
dan aduan penduduk Pasir Mas, semalam.
PASIR MAS – Seorang lelaki ditahan polis bersama wang RM10,000 hasil samun melibatkan kes di Bachok, jam 10.40 pagi, semalam.

Suspek, Mohd Nizam Abd Manaf, 32, ditahan di rumahnya dekat Kok Lanas, bersama wang dan beberapa pil dipercayai dadah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, dua rakan suspek yang turut terlibat dalam beberapa kejadian samun itu juga berjaya ditahan di daerah berbeza, kelmarin.

“Nizam merupakan ketua kumpulan samun, mengaku terlibat dalam tujuh kes samun di Bachok, dalam masa tiga hari.

“Modus operandi mereka menggunakan senjata dan meletakkan pisau di leher mangsa ketika melakukan jenayah,” katanya semalam.

Jalaludin berkata, tiga hari lalu, seorang suri rumah di Kampung Kandis, Bachok kerugian kira-kira RM10,000 apabila wang tunai, barang kemas dan telefon bimbit disamun.

Menurutnya, kesemua suspek direman dan siasatan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Jalaludin turut mengetuai aktiviti ‘walkabout’ bersama pegawai dan anggota polis Pasir Mas.

Beliau meluangkan masa hampir dua jam, berjalan kaki bermula Stadium Mini sehingga ke dataran Kereta api Pasir Mas, untuk bertemu peniaga dan penduduk Pasir Mas.

Jalaludin berkata, pihaknya sentiasa mendengar luahan serta aduan penduduk, dan mengambil serius bagi menangani masalah yang timbul.
Buruh tidak mengaku salah rogol gadis bawah umur
Wartawan Sinar Harian
18 Mei 2012
Buruh tidak mengaku salah rogol gadis bawah umur
Tertuduh diiringi polis menuju ke mahkamah, semalam.
KOTA BHARU - Seorang buruh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan merogol gadis bawah umur di sebuah pondok di sini, Mac lalu.

Mohd Jahari Razmi,22, dituduh mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan merogol mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun tiga bulan. Berdasarkan pertuduhan, kejadian berlaku di sebuah pondok di kampung tertuduh di Wakaf Mek Zainab di sini, pada jam 10 pagi, 14 Mac.

Mohd Jahari berdepan penjara antara lima dan 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Dia yang diwakili peguam bela, Ahmad Ridhuan Awang, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Salam Yusof tidak membenarkan sebarang jaminan dikenakan ke atas tertuduh berikutan dakwaan serius yang dihadapi.

”Sekiranya mahkamah membenarkan jamin, saya mohon jaminan berjumlah RM15,000 dengan syarat tertuduh tidak boleh menganggu mangsa dan saksi-saksi pihak kami,” katanya.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Kes disambung 17 Jun depan.
Hidup daif, penduduk Matau tuntut janji
Wartawan Sinar Harian
19 Mei 2012
Hidup daif, penduduk Matau tuntut janji
Hidup daif, penduduk Matau tuntut janji
BANDAR TUN RAZAK - Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bakal diadakan tidak lama lagi, namun lebih 100 keluarga di Matau, di sini masih hidup dalam keadaan daif tanpa sebarang perubahan sepertimana dijanjikan kerajaan pada PRU lalu.

Semua keluarga terbabit kini menunggu keputusan mahkamah untuk mendapatkan hak milik tanah diusahakan ibu bapa mereka di awal penubuhan bandar ini.

Enggan gambarnya dirakam kerana bimbang dipersalahkan, penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Liza berkata, mereka kini hidup dalam dilema sementara menunggu keputusan mahkamah.

“Orang luar pasti pelik apabila melihat keadaan kawasan ini yang serba daif. Bukan tidak mahu ia dibangunkan, tetapi sehingga kini kami masih belum mendapat hak milik tanah ini sepenuhnya,” katanya.

Dia berkata, keadaan itu juga menyebabkan mereka tidak dapat membina kediaman lebih selesa kerana bimbang tanah tersebut diambil kerajaan semula.

Menurutnya, janji hanya tinggal janji dan usaha dilakukan kerajaan ibarat ‘melepaskan batuk di tangga’.

“Kami juga tidak menerima bekalan air paip sempurna dan masih menggunakan air telaga. Kami akui kerajaan memberikan keutamaan untuk kami memiliki rumah dan kedai. Namun pinjaman itu tidak diluluskan berikutan kerja dan gaji kami tidak menentu.

“Selain itu kedai diberikan kepada kami bukan sahaja kecil, malah lokasinya tidak sesuai berbanding kedai di Matau yang menjadi laluan utama ke Bandar Jengka,” katanya.


Masalah Matau isu besar

Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkara itu adalah isu besar perlu dititikberatkan.

“Lebih 40 tahun menetap di situ, tetapi mengapa hak mereka untuk memiliki tanah tersebut tidak dapat ditunaikan?

“Kerajaan kata hendak membangunkan kawasan itu malahan penduduk juga bersetuju untuk berpindah, tetapi dengan syarat tanah itu dikembalikan semula kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata, Matau kini sering dibandingkan dengan pekan Sungai Jerik yang didiami majoriti masyarakat Cina, namun kawasan itu masih dapat dibangunkan sebaiknya.

“Sepatutnya Matau juga dibangunkan dengan kemudahan penempatan dan infrastruktur sempurna,” katanya.


Tiada janji dapatkan hak milik tanah

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jengka, Wan Salman Wan Ismail berkata, segala apa dijanjikan dalam PRU lalu bukan untuk mendapatkan hak milik tanah, sebaliknya membantu penduduk Matau membangunkan kawasan itu memandangkan ia sebahagian dari Jengka.

“Kami membuat pelbagai perancangan untuk mereka. Seramai 36 penduduk mendapat kelulusan memiliki rumah di Taman Jengka Impian dan ada antara mereka mengambil kedai disediakan.

“Namun akibat tindakan mahkamah diambil mereka, pembangunan dirancang terpaksa dihentikan sehingga perbicaraan itu selesai nanti,” katanya.

Menurutnya, pelbagai perancangan dibuat untuk membangunkan kawasan itu, namun ia terpaksa dihentikan buat seketika berikutan kegagalan menyampaikan notis kepada sesetengah pihak di samping tindakan mahkamah dibuat penduduk.
Tiga beranak selamat daripada maut
Wartawan Sinar Harian
19 Mei 2012
Tiga beranak selamat daripada maut
Kereta yang dinaiki mangsa tiga sekeluarga remuk teruk dalam kejadian di Jalan Pekan-Chini.
PEKAN - Sepasang suami isteri bersama seorang anak lelaki mereka berusia empat tahun nyaris maut apabila kereta yang dipandu terbabas ke bahagian kiri jalan dan terjunam ke tebing jalan kira-kira jam 11.30 pagi semalam.

Ahli keluarga mangsa, Sam Pas Long, 35, berkata, dia menerima panggilan daripada salah seorang ­kawannya memaklumkan mengenai kejadian yang menimpa Mohd Rizuan Abdullah, 23, bersama isteri dan anak mereka di Jalan Pekan-Chini, dekat sini.

Menurutnya, Rizuan bersama isteri yang hanya dikenali dengan nama Ema, 20, dan anak mereka, Mohd Iqbal sedang menuju ke Kuantan dari rumah mereka di Felda Chini Timur 3.

“Rizuan sekeluarga kini dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk mendapat rawatan lanjut akibat kecederaan yang dialami mereka.

“Isterinya mengalami ­kecederaan patah kaki manakala dia dan anak ­lelakinya mengalami ­kecederaan di ­bahagian kepala dan beberapa ­bahagian badan,” katanya.

Sam berkata, kereta jenis Honda Civic yang dinaiki Rizuan ­sekeluarga terbabas dan melanggar satu tiang elektrik konkrit sebelum menjunam ke tebing jalan berhampiran ladang kelapa sawit di sini.

“Saya dan ahli keluarga lain bersyukur kerana dia sekeluarga ­selamat dan hanya mengalami kecederaan ­ringan walaupun keadaan kereta ­mereka ­remuk teruk,” katanya.
Mayat lelaki hampir reput ditemui
Wartawan Sinar Harian
19 Mei 2012
Mayat lelaki hampir reput ditemui
WAN MOHD ZAHARI
CAMERON HIGHLANDS - Mayat dipercayai milik seorang lelaki yang hampir reput ditemui di Sungai Tringkap Batu 47.5 berhampiran ladang strawberi Al Mashyor, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu ­berkata, ­setelah menerima maklumat daripada orang ramai, ­pihak polis bergegas ke tempat ­kejadian bagi mengenal pasti mayat terbabit.

“Keadaan mayat sudah reput dari bahagian pinggang hingga ke kaki manakala ­bahagian pinggang ke kepala terbenam ke dalam air sungai.

“Mayat tersangkut di celah batu-batu ­besar dan kita mengambil sedikit masa untuk ­membawa keluar mayat berkenaan berikutan keadaannya yang sudah reput,” katanya, di sini, semalam.

Wan Mohd Zahari berkata, mayat di bawa ke hospital untuk bedah ­siasat dan forensik dari Kuantan dipanggil bagi mengenal pasti identiti mangsa.

“Usaha mengenal ­pasti identiti mangsa masih diteruskan dan kita percaya ia milik seorang lelaki namun bangsa serta umur tidak dapat ­dikenal pasti.

“Buat sementara ini, kita mengklasifikasikan kes ber­kenaan sebagai laporan ­kematian mengejut (SDR) sementara ­menunggu ­hasil penuh bedah siasat untuk mengetahui ­punca kematian mangsa,” katanya kepada Sinar Harian.

Wan Mohd Zahari berkata, laporan orang hilang yang dibuat sebelum ini akan disemak untuk membantu siasatan.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta ­tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands bagi membantu siasatan.
62 polis terlibat kes dadah, calar imej pasukan
Nik Amirulmu’Min Nik Min
19 Mei 2012
62 polis terlibat kes dadah, calar imej pasukan
Mohd jasmani (kanan) menyampaikan surat penghargaan kepada salah seorang
anggotanya sempena perhimpunan bulanan IPD itu di sini, semalam.
KUANTAN - Seramai 62 pegawai dan anggota polis dari Kontinjen Pahang ditangkap kerana terlibat dalam pengedaran dan penyalahgunaan dadah sepanjang tempoh kajian dua tahun empat bulan bermula 2010 hingga April 2012.

Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Abdul Ghani berkata, perbuatan segelintir pegawai dan anggota polis dari kontinjen Pahang itu mencalarkan usaha pucuk pimpinan dalam memperjuangkan maruah pasukan.

Menurutnya, masih ada pegawai dan anggota menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadi walaupun tahu bahawa perbuatan itu menyalahi undang-undang.

“Ada juga dalam kalangan warga kontinjen Pahang terlibat dalam kesalahan jenayah sedangkan perkara itu tidak sepatutnya berlaku.,” katanya melalui teks ucapan yang dibacakan Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff sempena perhimpunan bulanan IPD itu di sini, kelmarin.

Sharifuddin berkata, sikap segelintir mereka yang menyalahgunakan kuasa ini menyebabkan pasukan dipandang sinis oleh sesetengah pihak sekali gus memberikan gambaran serong bahawa polis Pahang memiliki integriti yang rendah.

“Penekanan kepada penyeliaan hendaklah sentiasa berterusan dan sentiasa diadakan bagi mengawal gejala ini daripada berleluasa,” katanya.

Beliau berkata, pembaharuan yang dibuat kerajaan termasuk kenaikan tangga gaji sebanyak13 peratus baru-baru ini sebagai imbuhan bagi mengelak penjawat awam menerima rasuah dan menjalankan kerja kotor untuk kepentingan diri.

“Tiada sebab untuk warga kontinjen Pahang terus terlibat dalam gejala ini atas alasan tekanan kos hidup sebaliknya mereka perlu berbelanja secara berhemah mengikut gaji yang diterima,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Pilihan Raya Umum Ke-13 yang semakin dekat merupakan ujian besar kepada pasukan untuk memastikan keamanan negara berada di tahap terbaik.

“Penekanan keselamatan setempat merupakan aspek penting ketika ini justeru semua pegawai terutama ketua polis daerah perlu bijak dalam memanipulasikan keadaan sekeliling bagi memastikan keselamatan rakyat terjamin,” katanya.

Sempena perhimpunan bulanan peringkat IPD Kuantan itu, Mohd Jasmani turut menyampaikan surat penghargaan kepada beberapa anggota selain sagu hati kepada enam bekas polis zaman darurat.
Restoran ala hiburan kena sita
Wartawan Sinar Harian
18 Mei 2012
Restoran ala hiburan kena sita
Anggota penguat kuasa menyita barangan yang terdapat dalam premis itu.
KUANTAN - Sikap licik dua pemilik sebuah premis hiburan yang berselindung di sebalik lesen perniagaan restoran akhirnya terpaksa berputih mata apabila diserbu pihak berkuasa dalam Operasi Bersepadu Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) di sini, malam kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Pelesenan dan Peniaga Kecil MPK, Datuk Suhaimi Sulung berkata, pemilik premis berkenaan memohon lesen perniagaan restoran namun beroperasi seperti sebuah pusat hiburan.

Menurutnya, dalam operasi di Jalan Haji Ahmad itu, premis tersebut diserbu dan disita atas kesalahan menjalankan aktiviti hiburan tanpa kelulusan MPK.

“Dalam serbuan yang dijalankan, premis terbabit bukan sahaja berfungsi sebagai pusat hiburan, tetapi tidak mempunyai dapur selain menggunakan lampu seperti di disko.
“Sebanyak 99 kerusi, dua pengadun bunyi dan tiga pemain cakera liut disita selepas lesen operasi dibatalkan,” katanya.

Suhaimi berkata, dalam operasi sama, sebanyak 37 set komputer di pusat siber yang mempunyai unsur perjudian turut disita ketika serbuan di dua premis di Jalan Datuk Lim Hoe Leck dan Tanjung Lumpur.

“Tindakan sita dikenakan apabila mendapati terdapat unsur perjudian di dalam komputer ketika operasi dijalankan.

“Selain itu, sebuah pusat snuker turut dibatalkan lesen dan sita kerana beroperasi tanpa lesen di Tanjung Lumpur,” katanya.

Katanya, orang ramai dialu-alukan menyalurkan maklumat kepada MPK dan pihak berkuasa untuk menangani kegiatan tidak bermoral itu selain kerjasama daripada agensi yang bertanggungjawab.

“Kita tidak akan membiarkan kegiatan yang menyalahi peraturan di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berleluasa di bandar ini,” katanya.

Operasi membabitkan 40 anggota termasuk anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang itu bermula jam 10 malam dan berakhir jam 3 pagi.

No comments:

Post a Comment