Sunday, May 13, 2012

KATA DEMOKRASI...KALAU GITU CARA PEMIKIRAN...BATALKAN SEMUA PENDAFTARAN PARTI2 PEMBANGKANG....HAK RAKYATLAH SAPE NAK PILIH...NEGARA BERSAMA BUKAN UNTUK PUAK2 TERTENTU...

Lelaki maut terjun pokok kelapa
ARZIANA MOHMAD AZAMAN
14 Mei 2012
Lelaki maut terjun pokok kelapa
Seorang lelaki menggemparkan orang ramai di Jeram, Selangor semalam apabila bertindak nekad terjun dari pokok kelapa. Dia mati di tempat kejadian.
KUALA SELANGOR - Jika kawasan Ijok kecoh dengan demonstrasi penduduk yang tidak mahu kuil dan pondok komuniti dirobohkan pemaju, lain pula ceritanya di Jalan Budi, Sungai Buloh-Jeram di sini apabila ketenangan penduduk diganggu pekikan seorang lelaki yang mengugut mahu terjun dari pokok kelapa, semalam.

Lelaki terbabit terjun dari pokok kelapa dengan ketinggian enam meter jam 10.45 pagi semalam.

Ketua Kampungnya, Hashim Mansor, 63, berkata, selepas penduduk kampung, imam masjid dan anggota polis gagal memujuk, lelaki berasal dari Sabah itu nekad terjun selepas dipercayai berada di atas pokok lebih lima jam.

Ketika kejadian, Hashim sekeluarga dikejutkan dengan jeritan meminta tolong jam 7 pagi semalam sebelum keluar melihat lelaki tidak dikenali berada di atas pokok kelapa di belakang rumahnya.

“Jeritan lelaki itu menimbulkan tanda tanya penduduk dan kawasan belakang rumah saya menjadi kecoh selepas dipenuhi orang ramai. Ramai datang melihat kerana tidak percaya apa berlaku.

“Saya tidak faham tindakan lelaki itu yang meminta pelbagai perkara tidak munasabah termasuk mahu anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Bukit Aman datang," katanya.

Beliau berkata, anggota polis cuba memujuk lelaki itu supaya turun sendiri dan berbincang mengenai masalahnya, namun sia-sia.
Dua maut, tiga cedera dalam kemalangan maut
SITI AZILA ALIAS
14 Mei 2012
Dua maut, tiga cedera dalam kemalangan maut
Pegawai Penyiasat Trafik IPD SPS melihat keadaan kereta yang terlibat dalam kemalangan
JAWI, Bandar Baharu – Hasrat bakal suami isteri untuk mendaftarkan perkahwinan mereka tidak kesampaian apabila terlibat dalam kemalangan maut yang mengorbankan dua wanita di Kilometer 168.2 Lebuh Raya Utara Selatan arah Utara, berhampiran sempadan Bandar Baharu, dekat sini, pagi semalam.

Kemalangan kira-kira jam 8 pagi itu dipercayai berlaku ketika kereta yang dinaiki lima sekeluarga dan dipandu Alvinder Singh Mokhtiar Singh, 32, dikatakan cuba mengelak sebuah lori yang hendak memasuki semula lorong kiri selepas memintas kenderaannya.

Bagaimanapun malangnya, dia dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu terbabas ke dalam longkang dan terlanggar tebing berbatu menyebabkan bakal isterinya, Sabjit Kaur Soba Singh, 20-an yang berada di tempat duduk belakang tercampak keluar dari kenderaan.

Mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala maut serta-merta di tempat kejadian.

Sementara, ibunya, Rupinder Kaur Rejinder Singh, 56, yang turut berada di tempat duduk belakang juga meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialami.

Manakala, Alvinder dan bapanya hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Sungai Bakap.

Adik perempuan mangsa yang masih belum diketahui identitinya pula dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk menerima rawatan lanjut kerana cedera parah.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintendan Shafien Mamat ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, lima sekeluarga itu dikatakan bertolak dari Tronoh, Batu Gajah, Perak kira-kira jam 6 pagi dan menuju ke Bukit Mertajam untuk mendaftarkan perkahwinan Alvinder dan isterinya yang difahamkan bukan warganegara Malaysia.

“Bagaimanapun, ketika tiba di kilometer 168.2, mangsa dikatakan tidak perasan akan kehadiran sebuah lori di hadapannya lalu terbabas ke dalam longkang dan terlanggar tebing batu.

“Siasatan masih dijalankan dan mengklasifikasikan kes mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Shafien berkata, saksi yang melihat kejadian tampil di balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPS di talian 04-5858222.
53 maut akibat Tuberculosis
Wartawan Sinar Harian
13 Mei 2012

MUAR - Seramai 53 rakyat Johor meninggal dunia tahun ini kerana menghidapi penyakit Tuberculosis (Tibi) dan berikutan itu, Kerajaan Negeri menggesa mereka yang mengalami batuk berpanjangan agar segera membuat pemeriksaan di hospital berhampiran.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan Negeri, Dr Robia Kosai berkata, penyakit tersebut sudah menjadi wabak sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, sehingga Mac tahun ini, sebanyak 496 kes dilaporkan, di mana 49 peratus melibatkan Tibi berjangkit iaitu Tibi pulmonary dan boleh merebak dengan cepat sehingga menyebabkan kematian.

“Pada tahun 2011, sebanyak 93 peratus dari 2,038 kes Tibi dilaporkan. Ia merupakan kes baru iaitu pesakit tidak pernah didiagnosis sebagai pesakit Tibi sebelum ini.

“Tahun ini, lebih daripada 550 kes dilaporkan dan 91 peratus daripada kes itu merupakan pesakit baru dengan 52 peratus menderita Tibi berjangkit,” katanya kepada media selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada 213 penduduk di Kampung Sungai Balang.

Beliau berkata, daerah Johor Bahru mencatatkan bilangan kes Tibi tertinggi iaitu 246, diikuti Batu Pahat (56), Kluang (33), Muar (32) dan Kulaijaya (32), Segamat (25), Kota Tinggi (25), Pontian (20), Ledang (19) dan Mersing (9).

Dr Robia berkata, bilangan kes ini adalah hanya 13 peratus daripada kes yang perlu dikesan pada 2012. 

“Saringan kahak kepada pesakit yang batuk melebihi tujuh hari, saringan kahak terhadap kumpulan berisiko seperti pesakit HIV, pesakit Diabetes Mellitus dan warga emas adalah antara tindakan proaktif yang pihak jabatan lakukan bagi meningkatkan sasaran ini,” katanya.

Jelas beliau, sehingga kini dua kematian akibat Tibi berjangkit dilaporkan di Muar dan beliau melihat perkara ini sebagai sangat serius.

“Mereka yang mengalami masalah batuk selama lebih daripada dua bulan perlu membuat imbasan x-ray kerana dibimbangi menderita Tibi.

“Penghidap HIV, kencing manis dan warga emas dianggap sebagai kumpulan berisiko dan Jabatan Kesihatan mengambil tindakan proaktif merawat mereka,” katanya.

Tambahnya, dengan peningkatan kematian akibat penyakit itu, beliau menggesa orang ramai supaya menjaga kesihatan dan segera ke klinik atau hospital jika mengalami masalah batuk selama beberapa minggu.
Tarik lesen jika berniaga di ceramah pembangkang
Wartawan Sinar Harian
14 Mei 2012
KUALA KLAWANG, Negeri Sembilan - Amaran keras akan diberikan termasuk menarik lesen berniaga sekiranya peniaga tertangkap ketika berniaga di ceramah pembangkang dengan menggunakan kemudahan yang diberi kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Sembilan, Datuk Yunus Rahmat berkata, pihaknya menerima aduan bahawa ada peniaga yang berniaga di tapak ceramah anjuran pembangkang di sekitar daerah ini.

“Kita tidak menghalang mereka berniaga tetapi yang menyedihkan mereka menggunakan kemudahan dan peralatan diberikan kerajaan.

“Baru-baru ini, kami berjaya mengesan ada peniaga berniaga menggunakan payung Fama di Kampung Bukit Serambai ketika ceramah Pas diadakan di sana," katanya ketika ditemui semasa mengadakan lawatan ke Pasar Tani Kuala Klawang, awal pagi, semalam.

Hadir sama, Pengarah Fama Negeri Sembilan, Abdul Rahman Sulaiman; Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Setapa Yusof dan Timbalan Pengarah Fama Negeri, Siti Nurul Haida Ibrahim.

Yunus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Klawang berkata, beliau mengarahkan pegawai Fama daerah agar memantau kegiatan peniaga di tapak ceramah pembangkang.

“Pegawai Fama perlu melaporkan kepada saya sekiranya terdapat peniaga berniaga menggunakan peralatan yang mempunyai label jabatan kerajaan.

“Kita memahami situasi peniaga yang mahu mencari rezeki dan kita tahu tidak semua peniaga itu menyokong pembangkang. Mereka hanya mengambil peluang berniaga sekiranya dipelawa pembangkang dan ia menjadi tempat mereka mencari rezeki,” katanya.

Beliau berkata, malah ada peniaga yang tidak berlesen, namun dijemput pembangkang untuk berniaga dan ini menjadi masalah.

“Selain itu, wang hasil berniaga itu akan diserahkan kepada pembangkang sebanyak 30 peratus dan ini secara tidak langsung mereka menyokong pembangkang,” katanya.

Yunus berkata, selain lesen perniagaan ditarik semula, peniaga yang tertangkap juga perlu memulangkan semula kemudahan diberikan jabatan kerajaan terbabit.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, pihaknya menyumbangkan payung niaga kepada tujuh peniaga di tapak pasar tani itu.

Katanya, pihaknya mengenal pasti 10 peniaga yang tidak memiliki payung untuk berniaga.

“Kita menyerahkan kepada tujuh peniaga. Manakala tiga lagi tidak hadir pada hari ini.

“Setiap payung berkenaan bernilai RM150 dan ini adalah sumbangan Fama kepada peniaga yang kurang berkemampuan,” katanya.
RM170j lesap kerana pencuri
NORDIANA JOHARI
13 Mei 2012
AYER KEROH – Tenaga Nasional Berhad (TNB) mencatat kerugian RM170 juta akibat kecurian logam kuprum bermula tahun 2004 hingga Disember tahun lalu

Naib Presiden (Peng­hantaran) TNB, Datuk Rozimi Remeli berkata, keadaan itu bukan sahaja merugikan TNB, tetapi turut memberi kesan kepada pengguna berikutan bekalan elektrik terputus di kawasan terlibat.

Menurutnya, rakyat harus prihatin mengenai masalah terbabit dengan melaporkan kepada TNB sekiranya melihat kejadian, seterusnya masalah sedemikian akan dapat dikurangkan.

“Ia adalah satu perbuatan vandalisma dan logam yang dicuri dan dijual tidak sampai RM1,000 tetapi apabila kita hendak menggantikannya semula, kos yang ditanggung mencecah sehingga RM40,000 dan adakalanya sehingga ratusan ribu.

“Bukan itu sahaja, ada yang menyebabkan kemalangan serta maut kepada pencuri,” katanya pada Kempen Kesedaran Keselamatan Elektrik TNB Peringkat Negeri Melaka, di Dewan Bestari, dekat sini semalam.

Mengikut rekod, sepanjang tahun lalu, sebanyak 62 kes melibatkan kemalangan elektrik dengan 28 kematian berbanding tahun 2010 sebanyak 69 kes dengan 36 kematian.

Sementara itu, Rozimi berkata, pelbagai faktor menyebabkan kejadian berlaku; antaranya pihak kontraktor tidak melakukan pemasangan dan penyelenggaraan betul, selain melakukan pemasangan sendiri sehingga melebihi kadar sepatutnya.

“Kita turut menyarankan pemilik bangunan lama atau masyarakat sentiasa menyelenggara elektrik kerana tugas itu bukan hanya terletak pada tanggungjawab TNB sahaja.
“Sementara, produk peralatan penjimatan elektrik yang tidak diiktiraf atau tidak mendapat kelulusan Sirim atau Suruhanjaya Tenaga perlu dielakkan,” katanya.
Tahan seorang lelaki bantu siasatan kes tembak
Wartawan Sinar Harian
14 Mei 2012
SEREMBAN – Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan terhadap kes dua lelaki ditembak mati dalam satu serangan di Jalan Datuk Bandar Tunggal, di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, pihaknya menahan lelaki berusia lingkungan 30-an itu di Taman Bukit Mutiara, di sini, sehari selepas kejadian.

“Lelaki terbabit ditahan kira-kira jam 4 petang dan direman sehingga Khamis depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kita percaya lelaki terbabit boleh membantu siasatan terhadap kes berkenaan,” katanya, semalam.

Menurutnya, pihaknya masih menyiasat motif kejadian dan mengenal pasti dua individu menaiki motosikal yang menembak mangsa hingga mati.

Katanya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian juga akan diteliti bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, Saiful Azly meminta orang awam atau saksi yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban menerusi talian 06-6014999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan dua lelaki mati manakala dua lagi rakan parah selepas ditembak dua lelaki menaiki motosikal.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.50 malam itu, semua lelaki yang berusia lingkungan 20 hingga 40-an itu menaiki sebuah kereta pacuan empat roda di persimpangan lampu isyarat berdekatan sebuah stesen minyak di Jalan Datuk Bandar Tunggal, di sini.

Mangsa, R Chalidas, 29, dan G Surentharan, 31, masing-masing dari Jalan Rasah, Seremban dan Pasir Panjang, Port Dickson, disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.
Dinding rumah pusaka ‘ghaib’
Wartawan Sinar Harian
14 Mei 2012
Dinding rumah pusaka ‘ghaib’
Dinding yang runtuh sehingga menampakkan bahagian dalam rumahnya
SELAMA - Tidur seorang ibu empat cahaya mata tersentak apabila dikejutkan dengan dentuman kuat dari arah anjung rumahnya di Kampung Sungai Berdarah Hulu, di sini awal minggu lalu.

Suryani Abdul Manan, 45, berkata, terkejut dengan bunyi aneh itu, dia bertindak melihat keadaan anjung rumah pusakanya berusia 50 tahun berkenaan

Menurutnya, dia sama sekali tidak menyangka angin kencang yang disertai dengan hujan kira-kira jam 5 pagi itu menyebabkan sebahagian dinding di bahagian anjung tercabut.

“Apabila tiba ke bahagian anjung, sebahagian dinding sudah runtuh.

“Sebelum ini, kejadian angin kencang memang selalu berlaku di kawasan ini, tetapi tidak seteruk ini,” katanya.

Suryani berkata, ketika kejadian, dia bersama empat anaknya sedang nyenyak tidur dan terjaga setelah mendengar bunyi kuat dari arah anjung rumahnya.

Meskipun masih terkejut dengan keadaan itu, dia bersyukur kerana semua ahli keluarga selamat.

“Ketika kejadian suaminya bekerja di luar kawasan dan tidak menyangka perkara itu berlaku apabila dimaklumkan.

“Rumah ini perlu dibaiki segera kerana keadaannya membahayakan kami sekeluarga termasuk terdedah kepada pencuri,” katanya.

Sementara itu, Adun Selama, Datuk Mohamad Daud Mohd Yusoff bersimpati dengan keadaan itu selain menghulurkan bantuan baik pulih rumah berkenaan.

“Atap zink yang bocor juga akan diganti baru supaya memberi keselesaan kepada mereka sekeluarga.

“Saya akan menyelesaikan masalah ini segera dan berharap mereka sekeluarga dapat bersabar,” katanya.
Jenayah Ipoh tertinggi
Wartawan Sinar Harian
14 Mei 2012
BUKIT MERAH – Ipoh menjadi lokasi indeks jenayah tertinggi iaitu 32 peratus berbanding 14 daerah yang lain untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, catatan itu sebenarnya menunjukkan penurunan agak baik berbanding 40 peratus yang ditunjukkan dalam tempoh sama pada 2011.

Menurutnya, indeks Perak secara keseluruhan menurun sebanyak 53 peratus iaitu 3,073 kes berbanding 3,741 kes pada 2011.

“Kes turun sebanyak 668 kes dengan mencatatkan 17.86 peratus kes selesai dan setakad ini negeri Perak mempunyai kadar jenayah terendah berbanding negeri lain.

“Jumlah penurunan itu melebihi sasaran saya sendiri iaitu sebanyak 50 peratus, ini adalah berkat usaha semua anggota selain masyarakat yang bekerjasama dalam memerangi setiap perilaku jenayah di kawasan masing-masing,” katanya pada program Hari Bertemu Pelanggan peringkat daerah Kerian yang diadakan di Bukit Merah Lake Town Resot, Semanggol, semalam.

Pada majlis itu, Mohd Shukri turut menyampaikan cek bernilai RM3,000 kepada 20 bekas anggota polis berpangkat konstabel dari tiga daerah iaitu Kerian, Taiping dan Selama yang pernah berkhidmat pada zaman darurat dari 1948 hingga 1962.

Beliau berkata, di Perak sebanyak 6,000 penerima cek sama telah disenaraikan dan daripada jumlah itu hampir 3,000 bekas polis masih gagal dikesan untuk pemberian cek yang sudah dilancarkan sejak Sambutan Hari Polis baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment