Wednesday, May 16, 2012

NAK BERNIAGA BIAR BERI MAKANAN YANG BERMUTU DAN BERKHASIAT...AGAR PENDAPAT BERKAT....

Budak diculik 12 jam ditemui

POLIS mengiringi suspek (kanan) yang disyaki terlibat menculik Purani bagi mendapatkan perintah tahanan reman di Bukit Mertajam semalam.


BUKIT MERTAJAM - Seorang ibu mengalami detik mencemaskan apabila anak perempuannya yang berusia sembilan tahun diculik seorang kenalan wanitanya selama hampir 12 jam.
Dalam kejadian tengah hari kelmarin, V. Kareda, 32, menyedari anaknya, T. Purani tidak pulang ke rumah selepas tamat waktu persekolahan.
Kareda yang ditemui semalam berkata, anaknya yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan Khir Johari di sini, sepatutnya pulang ke rumah menaiki sebuah van sekolah tetapi sehingga pukul 3 petang hari kejadian, Purani masih belum tiba.
"Selepas ibu saya beritahu yang Purani belum lagi pulang, saya pergi bertanya pemandu van berkenaan dan diberitahu anak saya telah dijemput seorang wanita yang menaiki kereta jenis Proton Saga berwarna hitam di hadapan sekolah.
"Saya percaya anak saya telah dilarikan oleh seorang rakan yang saya kenali," katanya dengan memberitahu Purani merupakan anak keempat daripada lima beradik.
Jelasnya, dia percaya rakannya itu melarikan anaknya disebabkan dendam kerana dia pernah memarahi wanita itu sebelum ini.

Elak guna minyak masak berulang kali


ADA peniaga mahu berjimat menggunakan minyak masak berulang kali tanpa mempedulikan kesan sampingan kepada pelanggan. -Gambar hiasan


SERDANG – Tindakan segelintir peniaga mahu berjimat dengan menggunakan minyak masak yang sama berulang kali diibaratkan pembunuh senyap kepada pembeli.
Pengarah Pusat Pengembangan Keusahawanan dan Pemajuan Profesional, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Nordin Abdul Rahman berkata, penggunaan minyak terpakai menyebabkan peningkatan kadar lemak tepu yang berbahaya kepada kesihatan.
Menurutnya, kecenderungan peniaga menggunakan semula minyak terpakai itu dikesan apabila beberapa orang penyelidik UPM yang sedang melakukan kajian biodiesel mendapati bahan itu begitu sukar ditemui.
“Penyelidik kami tidak dapat bekalan minyak masak tersebut kerana mendapati peniaga tidak akan membuangnya selepas digunakan, malah ia dicampur dengan minyak masak baharu.
“Minyak yang diguna semula menyebabkan peningkatan kolesterol serta serangan penyakit jantung,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kesedaran dan Pembangunan Halal Negeri Selangor 2012 di sini semalam.

'Nasib baik satu dalam sejuta'


NAZARRUDIN memeluk dan mencium Siti Hamdah sambil diperhatikan oleh ahli keluarga di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - "Saya memang tidak sangka dapat pulang dalam keadaan masih bernyawa, mungkin saya antara satu dalam sejuta yang bernasib baik kerana terselamat."
Demikian luahan rasa lega usahawan cicak tokek, Nazarrudin Saidin, 39, yang berjaya kembali ke tanah air selepas setahun menjadi mangsa culik kumpulan serpihan Abu Sayyaf di Pulau Jolo, selatan Filipina pada Mei tahun lalu.
Menceritakan kembali detik cemas sebelum diselamatkan oleh sekumpulan penduduk kampung di pulau tersebut pada Sabtu lalu, Nazarrudin berkata, dia nekad untuk melarikan diri walaupun terpaksa menempuh kawasan hutan bakau yang banyak buaya.
"Selepas saya pasti keadaan betul-betul selamat, saya terus melarikan diri pada waktu maghrib sebelum terserempak dengan sekumpulan penduduk kampung yang tahu saya adalah antara orang yang diculik.
"Mereka membantu dengan membawa saya keluar dari kawasan itu dengan menaiki sebuah bot pada pukul 9 malam. Ketika itu cuaca tidak bagus, kami sampai di Sandakan pada pukul 6.30 pagi Ahad selepas sembilan jam dipukul gelombang," ceritanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Drama penculikan setahun itu menyebabkan berat badan Nazarrudin susut 10 kilogram (kg) kepada 70kg sekarang,
Kosmo! sebelum ini melaporkan Nazarrudin ke negara tersebut kerana mahu mencari tokek iaitu cicak besar yang mempunyai nilai tinggi di pasaran gelap kerana didakwa penawar HIV.
Pada pertemuan tersebut, suasana pilu menyelubungi keluarga berkenaan apabila ibu Nazarrudin, Siti Hamdah Ahmad, 60, memeluk erat anaknya sambil menangis teresak-esak sebaik sahaja dia keluar dari kereta.

Pencuri kepala paip diberkas


KAMARUDIN menunjukkan kepala paip milik masjid yang berjaya ditemui semula pada sidang akhbar di Besut semalam.


BESUT – Enam lelaki yang dipercayai menjadi dalang kegiatan mencuri kepala paip keluli tahan karat di beberapa buah masjid di daerah Besut sejak sebulan lalu berjaya diberkas pagi kelmarin.
Ketua Polis daerah, Superintendan Kamarudin Mohd. Zakaria berkata, dua daripada suspek yang berusia 19 dan 22 tahun bekerja dengan sebuah syarikat pemotong rumput dan didapati positif dadah.
Katanya, mereka diberkas sepasukan polis dari Balai Polis Jerteh pada pukul 12 tengah hari ketika sedang memotong rumput di tepi jalan Padang Tapong-Lata Tembakah.
Turut ditahan untuk siasatan lanjut ialah seorang lelaki berusia 53 tahun yang merupakan pemilik sebuah kedai besi lusuh di Kampung Bukit Keluang yang dipercayai membeli kepala paip tersebut daripada suspek.
“Siasatan lanjut telah membawa kepada tangkapan empat lagi suspek berusia 20 tahun dan polis menemui semula 18 kepala paip termasuk sembilan yang dilaporkan dicuri di Masjid Ulul Albab Seberang Jerteh.
“Semua suspek merupakan penduduk tempatan dan setakat ini, lima laporan membabitkan empat buah masjid diterima iaitu masing-masing satu kes di Masjid Al-Fakeh, Balik Bukit, Jerteh, Masjid Kampung Lak Lok dan Masjid Haji Husain, Kampung Baharu di Kuala Besut manakala dua lagi kes di Masjid Ulul Albab,” katanya di sini semalam.

Ahli perniagaan ditemui mati diikat dalam rumah


POLIS mengangkat mayat Boon Kian yang ditemui di ruang tamu rumahnya di Taman Impian, Alma, Bukit Mertajam semalam.


BUKIT MERTAJAM - Seorang ahli perniagaan ditemui mati di dalam rumahnya dalam keadaan terbaring dengan kedua-dua tangan diikat manakala mulutnya ditutup dengan pita pelekat.
Mayat mangsa, Char Boon Kian, 49, yang memiliki ladang ternakan ayam di sini ditemui seorang pekerjanya di bilik utama tingkat atas rumah dua tingkat di Taman Impian, Alma di sini pada pukul 11.40 pagi semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Superintendan Baharudin Mustapha ketika ditemui berkata, hasil siasatan awal, polis percaya rumah mangsa tidak dipecah masuk kerana tidak menemui sebarang petanda mengenainya.
"Polis masih menyiasat kes ini termasuk motif sebenar kejadian dan punca sebenar kematian mangsa," katanya.
Jelasnya, polis percaya ketika kejadian, mangsa berada di rumah seorang diri manakala ahli keluarga yang lain berada di sebuah lagi rumah milik mangsa tidak jauh dari situ.
Sementara itu, seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali memberitahu, sebelum kejadian, dia terdengar perbualan telefon antara mangsa dan ahli Skuad Ronda Sukarela kawasan itu bahawa mangsa telah diekori seorang penunggang motosikal ketika mangsa ingin pulang ke rumah minggu lalu.

Remaja OKU hilang di surau


ZALEHA memegang gambar Saiful yang hilang semasa bermain di sebuah surau di Kampung Sungai Rinting C, Masai semalam.


JOHOR BAHRU - Seorang remaja orang kelainan upaya (OKU) hilang selepas pergi bermain di sebuah surau di Kampung Sungai Rinting C, Masai di sini pada Khamis lalu.
Remaja terbabit, Saiful Samidi, 21, yang mengalami sindrom down disedari hilang oleh sepupunya, Suhana Hasri, 23, kira-kira pukul 3.30 petang selepas kelibat remaja terbabit tidak kelihatan di Surau Haji Osman yang terletak tidak jauh dari rumahnya.
Menurut ibu Suhana yang merupakan pengasuh Saiful, kali terakhir dia melihat remaja itu di surau tersebut kira-kira pukul 12 tengah hari ketika ingin mengajaknya pulang makan.
"Ketika itu, dia menolak kerana ingin menunggu waktu solat Zuhur dan saya pulang semula untuk menidurkan adik Saiful yang berusia lima tahun.
"Namun ketika saya kembali semula ke surau pada pukul 3.30 petang, Saiful sudah tiada," katanya ketika ditemui semalam.
Sementara itu, menurut ibu Saiful, Zaleha Rashidi, 43, anak sulungnya itu keluar menuju ke surau tersebut yang terletak kira-kira 50 meter dari rumahnya sebaik sahaja dia dan suami, Sarmidi Subir, 48, keluar bekerja kira-kira pukul 8.30 pagi.

Sarkozy jadi penganggur

HOLLANDE berjalan bersama Sarkozy di Istana Elysee.


PARIS - Bekas Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy keluar dari Istana Elysee semalam dengan tidak mempunyai sebarang pekerjaan.
Sarkozy menjadi penganggur selepas Francois Hollande mengangkat sumpah menjadi Presiden bagi menggantikannya.
Hollande dipilih oleh rakyat bagi menggantikan Sarkozy dalam pilihan raya Presiden yang diadakan baru-baru ini.
Sarkozy, 57, dilaporkan mahu menghabiskan masa bersama keluarga dan isterinya yang ketiga, Carla Bruni yang juga seorang model dan penyanyi.
Beberapa pembantu kanannya menyatakan beliau akan menjadi peguam semula selepas tidak lagi menjadi Presiden.
Bagaimanapun, beliau akan berdepan dengan siasatan rasuah dan pelanggaran peraturan kewangan dalam kempen pilihan raya.
Sarkozy akan turut disiasat berhubung peranannya dalam urus niaga senjata sama ada beliau menerima rasuah. - AFP

Cari makanan dalam tong sampah


GAMBAR menunjukkan dua orang mencari makanan dalam tong sampah di Vancouver pada 10 April lalu.


VANCOUVER, British Columbia - Beberapa orang mencari sisa makanan yang dibuang dalam tong sampah untuk dimakan di sini.
Mereka merupakan kumpulan yang dikenali sebagai freegan yang tidak membelanjakan wang untuk membeli makanan.
Freegan ialah gabungan dua perkataan dalam bahasa Inggeris iaitu free bermaksud percuma dan vegan yang merujuk kepada para pemakan sayur.
Kumpulan itu akan mencari pelbagai jenis makanan terbuang sama ada untuk disimpan atau dimakan.
Anggota-anggota kumpulan itu turut membuat makanan seperti sandwic daripada sisa makanan.
Matlamat kumpulan itu ialah untuk membangkitkan kesedaran orang awam tentang isu pengambilan makanan yang berlebihan. - Agensi

No comments:

Post a Comment