Wednesday, May 16, 2012

PENYELAMATNYA ALLAH...ITU HAKIKATNYA..

Aidil Zafuan batal ceraikan Rita


RITA RUDAINI, AIDIL ZAFUAN



PETALING JAYA – Pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abd. Razak membuat kejutan dengan menarik balik kes permohonan cerai yang difailkan terhadap isterinya, pelakon Rita Rudaini Mokhtar di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam.
Perkembangan itu sama sekali tidak diduga oleh Rita, 36, dan peguamnya, Datuk Mohd. Zaidi Md. Zain kerana mereka hanya dimaklumkan oleh peguam Aidil iaitu Ahmad Nazib Johari tentang permohonan itu lima minit sebelum kes disebut semula petang semalam.
“Sepatutnya prosiding hari ini (semalam) adalah sebutan untuk melantik wakil ahli keluarga masing-masing bagi membentuk Jawatankuasa Pendamai.
“Kami sebenarnya sudah bersedia dan melantik bapa tiri Rita (Johari Jonid) yang datang dari Kangar, Perlis sebagai menuruti arahan mahkamah. Oleh itu, kami mohon kos perosiding itu harus dibayar pihak plaintif,” kata Mohd. Zaidi.
Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad kemudian membenarkan permohonan plaintif untuk menarik balik kes itu, namun plaintif perlu membayar RM250 kepada defendan sebagai kos kerugian kerana menarik balik kes itu pada saat akhir.
Terdahulu, Ahmad Nazib memberitahu, terdapat tiga alasan utama mengapa plaintif terpaksa menarik balik tuntutan cerai yang dibuat mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 pada 12 April lalu.

Pokok mempelam jadi penyelamat



MINAH bersama cucunya, Nor Auni melihat lori yang terbalik dan minyak sawit yang tumpah daripada tangki lori.



HULU TERENGGANU – Sebatang pokok mempelam berusia lebih 50 tahun menjadi penyelamat kepada seorang warga emas dan cicit perempuannya selepas sebuah lori tangki membawa muatan 40 tan minyak sawit terbabas di hadapan rumahnya di Kilometer 15, Jalan Gaung-Teris berhampiran Kampung Tengkawang dekat sini semalam.
Dalam kejadian pukul 9.30 pagi, lori dipandu seorang lelaki berusia 43 tahun itu terbabas lalu merempuh sebuah kedai dan pokok mempelam. Rempuhan itu menyebabkan lori itu terbalik dengan keempat-empat tayarnya naik ke atas.
Minyak sawit daripada lori tangki itu pula tumpah masuk ke dalam rumah milik warga emas itu dan tiga buah rumah lain.
Warga emas itu, Minah Che Idris, 60, berkata, sebaik mendengar bunyi dentuman kuat di luar rumah, dia mendapatkan cicitnya, Nor Auni Azamudi berusia sembilan bulan yang tidur di ruang tamu.
“Sambil mendukung Nor Auni saya berlari ke belakang rumah dan nampak minyak sawit tumpah memasuki rumah saya dan tiga rumah jiran,” kata wanita itu ketika ditemui di sini semalam.
Cerita Minah, dia yang masih terkejut dengan bunyi dentuman itu terduduk di belakang rumah sehingga jiran datang bertanya keadaannya.

Lelaki dera anak kekasih diberkas

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki yang menjadi buruan polis sejak sebulan lalu bagi membantu siasatan kes mendera seorang budak berumur dua tahun Mohd. Danish Aiman Abdullah sehingga koma pada 20 April lalu, diberkas polis semalam.
Azhar Jusoh, 31, ditahan pada pukul 2 petang berhampiran warung ibunya di Kampung Tualang, Manir dekat sini selepas lebih tiga minggu melarikan diri daripada buruan polis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, sebaik menyedari kehadiran polis, suspek cuba melarikan diri ke belakang warung tetapi dapat diberkas selepas berlaku pergelutan.
"Suspek yang positif ujian air kencing mengambil dadah cedera di muka selepas bergelut dengan polis.
"Dengan tertangkapnya suspek, kita percaya kes ini dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat," kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.
Pada 22 April lalu, akhbar melaporkan seorang budak berusia dua tahun koma akibat pendarahan otak selepas ditampar suspek yang juga teman lelaki ibunya di sebuah rumah di Kampung Tualang, Manir dekat sini.

'Zainal Orang Kaya' dicari polis




KUANTAN - Polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran semalam mengedarkan gambar orang dikehendaki dikenali sebagai 'Zainal Orang Kaya' yang dipercayai terbabit dalam kes pengedaran dadah.
'Zainal Orang Kaya' atau nama sebenarnya Zainal Abidin Ramli, 43 (gambar), berasal dari Felda Seroja, Jengka 18, Maran dikehendaki bagi membantu siasatan berhubung penemuan heroin seberat 100 gram pada motosikal yang ditungganginya ketika ditahan September tahun lepas.
Menurut jurucakap polis, pihak polis telah cuba mengesan suspek sejak dia bertindak melarikan diri ketika diperiksa di laluan motosikal berhampiran Plaza Tol Chenor dekat Maran.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi pada 29 September lalu, suspek ditahan anggota peronda Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) arah Lanchang-Maran untuk pemeriksaan rutin.
"Namun, suspek yang diminta mengeluarkan lesen dan kad pengenalan untuk pemeriksaan bertindak melarikan diri," kata jurucakap polis semalam.

KL perlu insinerator lupus sampah



AHMAD FUAD menunjukkan treler 'Prime Mover' untuk mengangkut sisa pepejal di Jabatan Penguatkuasaan DBKL di Kuala Lumpur semalam,



KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memerlukan penggunaan teknologi insinerator sebagai langkah alternatif mengatasi masalah sampah sarap berikutan tapak pelupusan sisa pepejal sedia ada yang semakin terhad.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail berkata, teknologi itu perlu dibina di negara ini memandangkan jumlah sampah semakin meningkat dari semasa ke semasa.
Menurut beliau, pada masa kini, kapasiti sisa pepejal yang diuruskan di stesen pemindahan sampah di Taman Beringin, Kepong dekat sini telah mencapai purata 1,700 hingga 2,500 tan sehari.
“Kita tidak boleh bergantung kepada tapak pelupusan sisa pepejal sahaja pada masa akan datang kerana keadaan tanah agak terhad dan semakin mahal.
“Justeru, kita terpaksa memikirkan kaedah pelupusan yang lebih efisien serta tidak mencemar alam sekitar seperti yang diguna pakai oleh negara-negara maju di rantau ini,” katanya.

Remaja OKU hilang ditemui selamat



SAIFUL (tengah) bermesra dengan Sarmidi (kanan) dan Zaleha selepas ditemui semula di Masai, Pasir Gudang, Johor Bahru semalam.



JOHOR BAHRU – Seorang remaja orang kelainan upaya (OKU), Saiful Sarmidi, 21, yang dilaporkan hilang ketika bermain di sebuah surau di Kampung Sungai Rinting C, Masai, Pasir Gudang di sini Khamis lalu ditemui semula dalam keadaan selamat semalam.
Saiful yang mengalami sindrom down dilaporkan berada dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru dan hanya diketahui identitinya selepas berita kehilangan remaja tersebut disiarkan di akhbar semalam.
Menurut bapanya, Sarmidi Subir, 48, seorang buruh binaan, dia menerima panggilan daripada JKM Johor Bahru pada pukul 7.30 pagi yang memaklumkan Saiful berada di sana selepas diserahkan oleh JKM Kota Tinggi beberapa hari lalu iaitu kira-kira 50 kilometer dari rumahnya.
“Menurut JKM Johor Bahru, Saiful telah diserahkan kepada JKM Kota Tinggi oleh orang awam yang menemui remaja itu di bandar tersebut pada Jumaat lalu.
“Saya sendiri tidak tahu bagaimana Saiful boleh berada Kota Tinggi kerana pihak JKM sendiri tidak memberi butir secara terperinci,” katanya semalam.
Menurut Sarmidi, Saiful yang mengalami masalah pendengaran tidak mengalami sebarang kecederaan tetapi kelihatan sedih dan menangis sambil memeluk dirinya sejurus mereka berjumpa.

Warga Denmark hanya luka



SERPIHAN pesawat yang dinaiki Rasch.



COPENHAGEN - Seorang warga Denmark, Andreas Rasch yang terselamat dalam nahas sebuah pesawat Nepal yang terhempas hanya mengalami luka, lapor akhbar Ekstra Bladet semalam.
"Masih ada masalah dengan kaki saya. Mungkin luka," kata Rasch, 30, kepada akhbar Denmark itu.
Dia dan kekasihnya, Emilie Joergensen, 29, antara enam penumpang yang terselamat apabila pesawat tersebut terhempas di sebuah gunung di banjaran Himalaya pada Isnin lalu menyebabkan 15 orang terbunuh.
Menurut Joergensen, ketika kejadian, pesawat itu terbang rendah.
Rasch menyatakan tulang pinggul kekasihnya itu retak.
Pesawat Dornier yang terhempas itu milik syarikat penerbangan tempatan, Agni Air.
"Kami berasa gembira kerana masih hidup. Kami berasa simpati kerana ramai penumpang yang mati," kata Rasch.
Pesawat itu terhempas semasa ia cuba untuk mendarat di Lapangan Terbang Jomsom, 200 kilometer dari Kathmandu. - Agensi

Pelajar sekolah rendah belajar memasak


BEBERAPA pelajar diajar membasuh sayur bayam.


DENVER, Amerika Syarikat - Para pelajar Sekolah Rendah Munroe di sini mempelajari cara menanam sayur-sayuran dan memasak makanan yang berkhasiat.
Mereka mengikuti kursus program makanan tengah hari di sekolah itu yang bertujuan untuk mengurangkan bilangan pelajar yang obes.
Para pelajar itu turut diajar cara untuk membasuh sayur-sayuran.
Bandar ini terletak dalam negeri Colorado.
Negeri Colorado berada di tempat kedua berdasarkan senarai bilangan kanak-kanak yang obes.
Dalam kelas itu, para pelajar diajar memotong sayur-sayuran untuk dimasak.
Sayur-sayuran itu ditanam di taman sekolah itu. - Reuters

Silinder komposit hanya 4.7kg





TAMPIL dengan rekaan yang lebih ringan, unik dan paling penting dijamin tidak meletup dalam apa jua situasi, pengeluaran silinder gas petroleum cecair (LPG) komposit buatan tempatan bakal menyuntik inovasi baharu dalam penggunaan tong gas memasak.
Dengan variasi rekaan tong gas yang dihasilkan, pengguna juga boleh memilih rekaan yang digemari untuk diguna pakai di dapur masing-masing.
Inovasi tersebut bakal dibangun dan dipasarkan oleh syarikat 100 peratus milik bumiputera, Faidhi Holdings Sdn. Bhd. (FHSB) menjelang awal tahun hadapan.
Timbalan Presidennya, Hasrul Hisham Kassim, 31, berkata, kebimbangan mereka terhadap insiden letupan tong gas yang sering dipaparkan di dada-dada akhbar membuatkan pihaknya mengambil inisiatif mencipta produk tersebut.
“Sebenarnya, penghasilan silinder gas LPG komposit itu diilhamkan oleh presiden kami, Abu Talib Abu yang merupakan seorang bekas jurutera. Beliau yang bertanggungjawab terhadap inovasi rekaan tersebut,” ujar Hasrul Hisham ketika ditemui Kosmo! di pejabatnya di Wisma UOA Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut Hasrul Hisham lagi, matlamat utama mereka adalah untuk memastikan keselamatan pengguna lebih terjamin jika menggunakan rekaan yang dinamakan Silinder LPG 1Malaysia (SL1M) itu. Ia diperbuat daripada bahan lebih ringan menggunakan plastik dan gentian kaca yang menjadikan ia tahan karat dan terbukti 100 peratus kalis letupan.
Pelancaran produk inovatif itu telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 21 Mac lalu sekali gus berbangga dengan pencapaian anak tempatan yang berjaya dalam menghasilkan rekaan sedemikian.
Lantaran itu, beliau turut menyarankan syarikat minyak di negara ini agar mengambil langkah positif untuk menukar tangki besi LPG sedia ada kepada tangki komposit terbaharu itu.


SL1M turut memenangi tempat pertama dalam Anugerah Reka Bentuk Perindustrian sempena Hari Harta Intelek Negara 2012 di Kuantan, Pahang pada 28 April lalu.



“Apa yang penting, terdapat beberapa ciri istimewa untuk menjadikan tong gas SL1M ini barang yang wajib dimiliki oleh setiap rumah atau restoran di Malaysia. Antaranya ia bersifat mesra pelanggan kerana ringan dan mudah diangkat terutama oleh kaum wanita.
“Jika tong gas biasa yang kosong seberat 18 kilogram (kg), tetapi dengan SL1M, perbezaan beratnya berjaya dikurangkan sehingga 61.5 peratus iaitu hanya seberat 4.7kg.” jelas Hasrul Hisham.
Jimat kos
Sewaktu sidang media selepas SL1M dilancar, Abu Talib memberitahu, menerusi pengeluaran silinder komposit tersebut, pihaknya dijangka dapat membantu kos penjimatan sehingga RM7.3 bilion daripada segi kos penyelenggaraan, pengitaran dan cat semula berdasarkan kepada jangkaan 20 juta pengguna SL1M dalam tempoh 20 tahun akan datang.
Tambahnya, pengeluaran silinder gas LPG berkenaan akan dilakukan di kilang berkapasiti rendah seluas 20.2 hektar di Pulau Carey, Selangor dalam tempoh enam hingga tujuh bulan lagi.
“Keluaran pertama hanya akan dipasarkan di sekitar Lembah Klang, memandangkan kapasiti pengeluaran yang terhad di kilang berkenaan iaitu 50,000 unit sebulan dan kami menjangkakan pasaran akan dikembangkan selepas kilang kedua yang berkapasiti tinggi beroperasi mulai tahun hadapan.
“Kilang berkapasiti tinggi ini mampu menghasilkan tiga juta silinder gas LPG komposit setahun dan mampu memenuhi keperluan pengguna di seluruh negara,” jelasnya.
FHSB juga telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Perfect Illusion Corp Sdn. Bhd., yang dilantik sebagai pengedar utama silinder berkenaan di sekitar Lembah Klang dan Putrajaya.


KEJADIAN letupan kuat didakwa berpunca daripada saluran gas memasak di pusat beli-belah Empire Shopping Gallery pada 28 September 2011 menggemparkan negara.



Selain itu, syarikat berkenaan menandatangani perjanjian dengan syarikat dari Korea, Creative Engineering Service Company Limited untuk membangunkan kilang pengeluaran di negara Malaysia.
Untuk kilang berkapasiti rendah, ia dibina dengan kos antara RM25 juta hingga RM30 juta termasuk modal pusingan, sementara kos pembinaan kilang berkapasiti tinggi mencecah RM300 juta kerana ia menggunakan teknologi canggih.
Apa yang pasti, harga yang ditawarkan syarikat berkenaan lebih murah berbanding produk sedia ada di pasaran ketika ini, namun kos sebenar akan ditentukan kelak selepas mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
Katanya, pengeluaran produk berkenaan dihasilkan menerusi pemberian geran berjumlah RM800,000 daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).
“Kami sudah memulakan kajian dan penyelidikan sejak tahun 2005 sebelum menghasilkan prototaip pertama dan sebanyak RM3.3 juta sudah dilaburkan untuk tujuan itu,” jelasnya.
FHSB kini membuka peluang kepada sesiapa yang berminat untuk menjadi pengedar untuk negeri dan daerah.

No comments:

Post a Comment