Sunday, May 13, 2012

JIKA KITA BAIK DAN JUJUR...MAKA HASILNYA BAIK JUGA...JIKA ORANG BAIK DAN JUJUR MAKA KITA SEPATUTNYA BEGITU BUKAN SEBALIKNYA...INGAT ALLAH MEMBALAS DAN MENGHUKUM KEJAHATAN DAN MEMBALAS KEBAIKAN DENGAN KEBAIKAN JUGA....

Wanita kena jual

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa
kalidevi@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Tertipu dengan ajakan teman baru untuk berkenalan dengan sepasang suami isteri dari negara asal, seorang wanita warga India bukan saja dirogol, malah turut dijual kepada pasangan berkenaan untuk dijadikan hamba seks.
Difahamkan, teman baru mangsa adalah seorang lelaki rakyat tempatan berusia 30-an yang dikenali sejak Februari lalu.
Sumber polis berkata, mangsa yang berusia 24 tahun dan berasal dari India dibawa lelaki terbabit berjumpa sepasang suami isteri yang berasal dari negara sama di Puchong pada Februari lalu kerana tidak mengenali sesiapa di Malaysia sebelum dibawa ke hotel di ibu kota untuk mandi.

Menurutnya, ketika berada di hotel, mangsa dipercayai diberikan sejenis minuman dipercayai dicampur dengan dadah yang menyebabkannya khayal sebelum dirogol lelaki itu.


“Tidak cukup dengan itu, lelaki terbabit turut merakam gambar bogel mangsa ketika dalam keadaan khayal. Mangsa kemudian dijual kepada pasangan suami isteri berkenaan kononnya untuk bekerja di salun rambut milik mereka.

“Bagaimanapun, pasangan itu tidak memberikan pekerjaan di salun rambut, sebaliknya diminta menjadi hamba seks di rumah pasangan itu,” katanya

Gadai harta RM3j bayar ceti haram

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi dan Yusmizal Dolah Aling
am@hmetro.com.my

ADU...Ghani membuat aduan kepada Yati.
ADU...Ghani membuat aduan kepada Yati.
KUALA LUMPUR: Seorang usahawan hartanah kini pasrah apabila hilang projek bernilai RM11 juta sehingga terpaksa pula menggadaikan harta bernilai lebih RM3 juta gara-gara membuat pinjaman dengan along dan kini masih dikejar 58 along setiap hari bagi menuntut baki pinjaman berserta faedah sebanyak RM3 juta.
Itu pengajaran paling besar yang diterima usahawan berkenaan selepas memperjudikan nasib keluarga dengan meminjam sejumlah besar wang daripada ceti haram.
Lebih malang, lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Ghani, 47, itu turut berdepan kerenah melampau kumpulan terbabit yang meminta bayaran harian RM80,000 dengan nilai faedah mencecah 40 peratus sehari.

“Saya mula terjebak dengan along tiga tahun lalu apabila syarikat gagal memperoleh pinjaman bank untuk melaksanakan beberapa projek.


“Jumlah pinjaman ketika itu RM50,000 dan saya tidak pernah gagal melunaskan bayaran bulanan seperti di tetapkan along,” katanya ketika ditemui di Pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini, semalam.

3 insan berjiwa murni

Oleh Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

HARGAI...Mustapa (lapan  dari kiri) bersama pemenang dan finalis Pencarian Ibu-Hati Harian Metro, semalam.
HARGAI...Mustapa (lapan dari kiri) bersama pemenang dan finalis Pencarian Ibu-Hati Harian Metro, semalam.
SUBANG JAYA: Tiga wanita yang banyak menyumbang kepada program kemasyarakatan dan kerja amal dipilih sebagai pemenang utama Ibu-Hati Harian Metro 2012, bersempena meraikan Hari Ibu yang diadakan di Hotel Holiday Villa, Subang di sini semalam.
Mereka terdiri dari Pensyarah, Pengasas dan Presiden EcoKnights dan Penasihat Alam Sekitar Yasmin Rasyid, 37; Pengasas, Warden dan Pembantu Tadbir Rumah Anak Yatim dan Miskin Teratak Rahmat, Perlis, Nurulhuda Idris, 32; dan Perunding Kecantikan Azlinda Alias, 37.

Masing-masing membawa pulang wang tunai RM5,000 dan loket berlian bernilai RM5,000 sumbangan Softlan, plak anugerah, barangan elektrik dan hamper daripada penaja, manakala lima lagi finalis, masing-masing menerima wang tunai RM1,000.
Hadiah disampaikan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar. Turut hadir, Pengarah Pemasaran Colgate-Palmolive Marketing Sdn Bhd, Chris Pikuonis dan Pengurus Pemasaran Colgate-Palmolive Marketing Sdn Bhd, Liew Pooi Wan.

Ketika ditemui Yasmin Rasyid, 37, yang aktif dalam kerja amal pemuliharaan alam sekitar bersyukur kerana berjaya menarik golongan muda menjadi sukarelawan.

Katanya, usaha yang dilakukannya diharap dapat membantu membuka minda masyarakat untuk turut serta dalam aktiviti kemasyarakatan.

Malah, kemampuannya mewujudkan Festival Filem Eko harus dipuji kerana dapat melahirkan ramai bakat baru dalam industri perfileman serta menggalakkan anak muda menjadi aktivis alam sekitar.

Sementara itu Nurulhuda yang asalnya hanya membantu suami menguruskan asrama anak yatim, tetapi akhirnya menjadikannya sebagai kerjaya dengan menganggap 25 penghuni rumah itu seperti anak sendiri.
Mengamalkan konsep tinggal di rumah bersama anak yatim dan miskin, dia berharap semoga dengan menjaga mereka, Allah akan menjaga dan melindungi empat anaknya.

Bagi Azlinda Alias, 37, pula gelaran ibu tunggal dan orang kelainan upaya, tidak menghalangnya menjalankan kerja sukarelawan dan mengumpul dana bagi membantu golongan miskin, anak yatim dan pesakit kronik melalui Persatuan Ibu Tunggal Johor.

Kecekalan dan ketabahan meneruskan kehidupan dan membantu mereka yang memerlukan perhatian ramai sehingga dinobatkan di antara tiga peserta akhir.

Terdahulu, Chris Pikuonis dalam ucapannya berkata, penganjuran anugerah buat kali kedua ini sebagai meraikan semua ibu di Malaysia serta memberi penghargaan kepada wanita daripada pelbagai latar belakang.

“Softlan berbangga kerana dapat bekerjasama dengan Harian Metro selama dua tahun berturut-turut dengan memberi penghargaan kepada semua wanita di seluruh negara. Diharap anugerah ini akan menjadi pemangkin kepada usaha mereka pada masa depan dalam membantu masyarakat amnya,” katanya.

Pada sebelah pagi turut diadakan pertandingan memasak dan menggubah bunga manakala pertunjukan fesyen Serasi Bersama suami dan isteri diadakan pada waktu petang.

Majlis diserikan dengan kehadiran Ziana Zain sebagai artis undangan.

 




Tiket jam 2.30 gerak 4 petang

Oleh Maiamalina Mohamed Amin dan Mohd Hafizee Mohd Arop
am@hmetro.com.my
OPERASI...empat lelaki dipercayai ulat tiket berurusan dengan orang ramai di sekitar Hentian Puduraya.
OPERASI...empat lelaki dipercayai ulat tiket berurusan dengan orang ramai di sekitar Hentian Puduraya.
KUALA LUMPUR: Walaupun pelbagai langkah dilaksanakan bagi mengatasi sepenuhnya kegiatan ulat tiket selepas projek menaik taraf Hentian Puduraya yang kini dikenali sebagai Pudu Sentral, di sini, namun ia belum menjadi kenyataan.
Tinjauan Harian Metro mendapati, kegiatan ulat tiket di situ bergerak aktif, tetapi dengan modus operandi lebih berhati-hati dan mendapati lebih enam ulat tiket lengkap dengan walkie-talkie cuba berurusan dengan orang ramai.

Kakitangan swasta, Razali Mokhtar, 43, berkata, beliau pernah ‘terpedaya’ dengan tawaran ulat tiket ketika ingin pulang ke Johor, baru-baru ini, menyebabkan terpaksa menunggu sehingga jam 4 petang walaupun bas dijanjikan untuk bergerak ke destinasi pada jam 2.30 petang.
Razali berkata, beliau tertarik membeli tiket selepas mengetahui tidak perlu ke TBS yang dikhususkan bagi pelepasan bas ke selatan, sebaliknya boleh menaiki bas ditawarkan ulat di Jalan Pudu.

“Mereka terlalu ramai di kawasan ini, walaupun pelbagai tindakan dilakukan pihak berkuasa, namun mereka tetap menjalankan kegiatan seperti biasa. “Selepas diperdaya ulat tiket itu, saya bertekad tidak mahu lagi berurusan dengan mereka,” katanya.

Bagi seorang lagi mangsa yang ingin dikenali sebagai Danial, 24, mendakwa dia pernah ditarik secara kasar oleh ulat tiket gara-gara enggan melayannya membeli tiket.

Pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi awasta (IPTS) itu berkata, kebiasaannya dia terus menuju ke kaunter jualan tiket di situ, namun entah bagaimana dia melayan desakan ulat terbabit.

“Sebaik menolak secara baik, ulat terbabit terus berkelakuan agresif dengan menarik baju saya, namun mujur beberapa orang awam yang berada berdekatan memerhatikan perbuatan itu menyebabkan ulat itu melepaskan saya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penguat kuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, usaha dilaksana pihaknya tidak mampu membasmi aktiviti haram ulat tiket jika tiada kerjasama semua pihak terutama syarikat bas dan penumpang.

“Kami hanya boleh mengekang dengan melaksana operasi penguatkuasaan secara berterusan, tetapi itu tidak langsung boleh membasmi kegiatan ini kerana selagi ada permintaan daripada penumpang, maka ulat terus menawarkan tiket untuk mereka,” katanya.

Ganjaran RM10,000 tahan pembunuh ejen hartanah

KUALA LUMPUR: Wang tunai RM10,000 ditawarkan kepada mana-mana individu yang boleh menyalurkan maklumat tepat hingga tertangkapnya pembunuh seorang ejen hartanah wanita, Cheng Choi Mooi.
Ketua Pasukan Petugas MCA Kepong, Tan Kok Eng berkata, tawaran itu bagi menyatakan rasa simpati dan marah dengan kematian tragis yang menimpa wanita berusia 39 tahun itu dan berharap polis menjalankan siasatan terperinci hingga menemui pembunuh mangsa.

“Kami amat marah apa yang berlaku terhadap mangsa dan menawarkan RM10,000 kepada mana-mana individu yang memberi maklumat hingga tertangkapnya pembunuh wanita itu,” katanya.
Sementara itu, Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah memberitahu setakat ini tiada sebarang perkembangan mengenai kes itu dan belum ada individu tampil menyalurkan maklumat.

Rabu lalu, seorang ejen hartanah wanita yang dilaporkan hilang selepas keluar menemui pelanggan di Jinjang, di sini, ditemui mati dengan kesan jerut di leher serta kecederaan di badan dalam sebuah empangan di Hulu Yam, Gombak.

Mayat Cheng Choi Mooi, 39, ditemui orang awam jam 9 pagi dalam keadaan lengkap berpakaian dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampak dalam empangan terbabit.

Bekas pekerja tikam pengurus



SUBANG JAYA: Seorang pengurus pusat kebajikan di sini, menderita kesakitan dan terlantar di hospital selepas saraf dan tendon jari tangan kirinya putus, manakala paru-parunya turut dimasuki udara akibat ditikam bertubi-tubi bekas pekerjanya di SS14, di sini, awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian jam 12 tengah malam di bilik tingkat atas rumah teres dua tingkat itu, wanita berusia 50 tahun terbabit ditikam sekali di dada kiri dan dua kali di perut hanya kerana bekas pekerja lelaki itu tidak berpuas hati selepas diberhentikan tiga hari sebelum itu kerana selalu ponteng kerja.

Bagaimanapun, wanita yang dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) itu kini dilaporkan stabil selepas menjalani beberapa pembedahan, kelmarin dan semalam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli ketika dihubungi berkata, polis menerima panggilan kecemasan memaklumkan kejadian itu jam 12.15 tengah malam sebelum sepasukan polis dihantar ke tempat kejadian.

Katanya, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), rumah dua tingkat yang dijadikan tempat perlindungan remaja perempuan itu dimasuki suspek jam 11 malam melalui pintu bahagian tengah tingkat bawah.

Yahaya berkata, kejadian itu disedari seorang lagi petugas yang terdengar jeritan mangsa dan menahan suspek sebelum menghubungi polis.

Menurutnya, mangsa dibawa ke PPUM untuk menerima rawatan kecemasan, bagaimanapun keadaannya kini dilaporkan stabil.

Patah tangan elak ‘3 budak’



ARAU: “Anak saya mendakwa cuba mengelak tiga kanak-kanak kecil yang mahu melintas jalan di depan Istana Arau sebelum kereta dipandunya terbabas lalu merempuh pagar balai polis yang bertentangan istana.”
Begitu kata Kamarudin Hasyim, 56, apabila anak lelakinya, Kamarul Ashraf, 18, yang juga pemain bola sepak Piala Presiden Angkatan Tentera Malaysia (ATM), patah tangan kiri akibat kejadian yang berlaku jam 12 tengah malam kelmarin.

Kejadian berkenaan menyebabkan Proton Iswara dipandu Kamarul Ashraf remuk teruk kerana merempuh pagar konkrit Balai Polis Arau.
Kamarudin berkata, Kamarul yang memandu berseorangan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kodiang, Kedah, selepas pergi ke gelanggang futsal di Kangar, di sini.

Menurutnya, dia dimaklumkan anaknya cuba mengelak kanak-kanak melintas jalan di kawasan itu sebelum kenderaannya hilang kawalan lalu merempuh pagar balai polis berkenaan.

“Lebih mengelirukan, sejurus selepas kemalangan, kanak-kanak itu tidak kelihatan, malah orang ramai yang melihat kejadian berkenaan juga mendakwa tidak melihat kanak-kanak yang dimaksudkan.

“Saksi kejadian memberitahu mereka melihat kereta dipandu anak saya meluncur laju sebelum melanggar tembok dan tiang lampu di hadapan balai polis itu lalu terbalik dan tersadai di situ,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, anak keempat daripada enam beradik berkenaan baru sahaja mendapat lesen memandu dan sering menggunakan keretanya untuk ke Kangar atau kawasan berdekatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain berkata, ekoran kejadian, pagar besi dan tiang lampu balai berkenaan mengalami kerosakan, manakala kereta terbabit remuk di bahagian depan.

“Mangsa patah tangan kiri dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) bagi rawatan lanjut, malah polis sudah mengambil sampel air kencing pemandu,” katanya.

Selamat dua lelaki dalam kereta tenggelam



SANGLANG: “Saya nekad menyelam lima kali untuk memastikan tiada mangsa lain dalam kereta selepas berjaya membawa keluar dua lelaki dari dalam kereta berkenaan yang terjunam dalam Sungai Sanglang,” kata Afiq Shazwan Ramli, 21, yang menyelamatkan dua lelaki hampir lemas selepas Proton Perdana dinaiki mereka terjunam dalam sungai berkenaan di Kilometer 27 Jalan Alor Setar-Kangar, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 9.45 pagi, dua mangsa terbabit, Norezan Ahmad, 35, dan Abdul Rahim Saad, 32, dipercayai dalam perjalanan dari Kangar, Perlis untuk pulang ke rumah mereka di Air Hitam apabila kereta mereka terbabas dan melanggar tiang elektrik sebelum terjunam dalam sungai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Ibrahim Mohd Yusof ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkata, kedua-dua mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil.
“Kedua-dua mangsa cedera ringan dan masih dirawat di HTF. Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Hadiah penumbuk

Oleh Zaid Salim
am@hmetro.com.my

CHUKAI: Sambutan Hari Ibu tidak bermakna buat seorang wanita apabila dia dihadiahkan satu tumbukan di muka oleh anak lelakinya dalam kejadian malam kelmarin.
‘Hadiah’ daripada anak berusia 20 tahun itu menyebabkan ibu berusia 49 tahun terbabit terpaksa menanggung kesakitan apabila lebam di bahagian kanan mukanya, selain bengkak pada bahagian kiri lengan selepas dibaling dengan topi keledar.

Kejadian menimpa ibu malang itu berlaku apabila anak lelakinya meminta wang RM40 ketika berada di rumahnya di Kampung Titian Berayun, di sini, jam 10.30 malam.

Sumber berkata, sebelum kejadian, mangsa dikatakan bersendirian di rumahnya sebelum anaknya itu pulang dan meminta wang berkenaan.


Bagi mengelakkan anaknya melakukan perkara tidak diingini, mangsa tidak berfikir panjang apabila memberikan anak lelakinya wang yang diminta.

Lintah masuk dubur



KOTA BHARU: Seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun berdepan pengalaman ngeri apabila bahagian duburnya dimasuki seekor lintah sebesar ibu jari ketika sedang menangkap ikan dalam kejadian berhampiran rumahnya di Ketereh, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, Mohd Farhan Adli Mohd dikatakan sedang menangkap ikan bersama tiga rakannya di sebuah kawasan paya di Kampung Paya Rambai, di sini.

Katanya, dia tidak menyedari mengenai kejadian itu sehingga mengalami pendarahan di bahagian duburnya.
“Saya nampak darah banyak keluar ketika keluar dari kawasan paya. Sebelum itu, saya dan tiga rakan pergi ke sebuah paya berdekatan rumah untuk mencari ikan. “Saya pulang ke rumah untuk membuang air besar dan melihat lintah keluar di dalam mangkuk tandas,” katanya.

Dia kemudiannya dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk menerima rawatan.

Ibu hamil sorok dalam longkang

Oleh Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail
rabiatul@hmetro.com.my

KUCHING: Seorang wanita yang sarat hamil anak sulung mendakwa terpaksa bersembunyi dalam longkang berhampiran tempat tinggalnya di asrama pekerja tapak pembinaan selama sejam bagi mengelak menjadi mangsa amukan suaminya dipercayai kaki botol di tapak pembinaan di Muara Tabuan di sini, kelmarin.
Suri rumah berusia 30 tahun itu mendakwa terpaksa berbuat demikian selepas suami dikahwini setahun lalu tiba-tiba naik angin dan memukulnya menggunakan botol air hanya kerana gagal menyiapkan hidangan makan malam.

Dalam kejadian jam 7 malam itu, mangsa mendakwa ditumbuk suaminya beberapa kali, selain perutnya turut dipukul hingga dia terjatuh.

Menurut mangsa, sebelum kejadian, suaminya yang berusia 39 tahun, buruh di sebuah tapak pembinaan di Muara Tabuan dikatakan pulang dalam keadaan mabuk sebelum mengamuk apabila mendapati hidangan makan malam belum disediakan.

Lelaki patah tangan dibelasah selepas nahas



KUALA LUMPUR: Gara-gara menghalang sebuah kereta yang cuba melarikan diri selepas terbabit dalam kemalangan, seorang lelaki teruk dibelasah hingga patah tangan kanan di tepi jalan di Bulatan Pahang, Jumaat lalu.
Dalam kejadian jam 9 malam itu, lelaki terbabit yang berusia 48 tahun sedang memandu kereta jenis Mercedes Benz dari Jalan Tun Razak menghala Jalan Genting Klang terkejut apabila tiba-tiba terdengar satu dentuman kuat di bahagian belakang keretanya ketika tiba di Bulatan Pahang.

Menurut sumber, mangsa kemudian memberhentikan kenderaan di tepi jalan untuk melihat apa yang berlaku, malah ketika itu dia turut melihat sebuah kereta Proton Wira cuba mengundur untuk melarikan diri.
“Mangsa tanpa berfikir panjang terus berlari sebelum menahan kereta terbabit. Tindakan itu mengundang padah apabila seorang lelaki keluar dan terus menyerang mangsa.

“Bukan itu sahaja, suspek tanpa belas kasihan terus menumbuk perut dan menendang mangsa bertubi-tubi menyebabkannya mengerang kesakitan,” katanya.

Sumber berkata, kebetulan orang awam yang menyaksikan kejadian itu datang membantu menyuraikan pergaduhan itu.

“Suspek yang masih tidak berpuas hati turut melepaskan geramnya dengan menendang kereta mangsa sehingga kemek sebelum beredar.

“Mangsa yang cedera kemudian mendapatkan rawatan di hospital berhampiran dan akibat kejadian itu tangan kanannya patah,” katanya.

Ramai tak sedar hidap NCD



PUTRAJAYA: “Situasi penyakit tidak berjangkit (NCD) di negara ini amat merunsingkan kerana jumlah pesakit semakin meningkat setiap tahun... keadaan ini membimbangkan dan perlu diatasi segera,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman.
Beliau berkata, langkah segera perlu diambil memandangkan mereka yang terkena penyakit ini iaitu diabetes, darah tinggi, kolestrol tinggi dan kegemukan perlu menjalani rawatan yang tinggi sepanjang hayat, sekali gus boleh menjejaskan kualiti kehidupan.

Menurutnya, secara keseluruhannya, terdapat 2.6 juta rakyat dewasa di negara ini menghidap penyakit diabetes; 5.8 juta menghidap darah tinggi; 6.2 juta mempunyai tahap kolestrol tinggi dan 2.5 juta mengalami kegemukan.
“Apa yang merunsingkan, ramai di kalangan kita tidak sedar mempunyai penyakit NCD yang dikategorikan sebagai penyakit senyap.

“Bagi setiap kes darah tinggi yang dikesan, terdapat tiga lagi yang tidak disedari; manakala bagi setiap kes diabetes yang dikesan satu tidak disedari, dan bagi setiap kes kolestrol tinggi, tiga lagi yang tidak disedari pesakit,” katanya pada sidang media selepas melancarkan program Kem Kesedaran Kesihatan (3K) anjuran Kelab Lembaga Jururawat Kuala Lumpur di Presint 11, di sini, semalam.

Dr Hasan berkata, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) tahun lalu menunjukkan penyakit diabetes meningkat 15.2 peratus berbanding 11.6 peratus pada 2006; darah tinggi di kalangan dewasa berumur 30 tahun meningkat dari 32.2 peratus kepada 32.7 peratus bagi tempoh sama.

‘Saya dilayan bagai keluarga’

Oleh Yusmawati Mhd Yusof
yusmawati@hmetro.com.my

MELAKA: “Jika dulu saya menangis setiap kali anak merengek mahu menonton televisyen kerana tidak mampu tetapi kini semua sudah dapat disediakan. Malah, anak sulung saya bakal menamatkan pengajian di sebuah universiti perguruan di Jogjakarta,” kata Warti Ningsih, 34, dari Indonesia yang datang ke negara ini sejak 2003 sebagai pembantu rumah.
Dia kini bekerja menjaga majikannya, warga emas Khadijah Abdul Samad, 86, di Umbai di sini.

Menurutnya, kehidupannya sekeluarga sebelum ini yang kais pagi makan pagi, berubah selepas dia bekerja di negara ini dengan pendapatan RM700 sebulan.
“Pada awalnya gementar untuk bekerja di negara lain namun layanan baik daripada majikan, luar jangkaan.

“Suami bekerja sebagai pemandu kenderaan awam dengan pendapatan kira-kira RM6.70 sehari, tidak cukup untuk kami.

“Syukur, sejak bekerja di sini semua berubah, daripada rumah kosong kini pelbagai peralatan tersedia malah dengan gaji sebagai pembantu rumah, anak sulung kami belajar hingga ke universiti,” katanya yang ditemui di rumah Khadijah.

Warti berkata, lebih menggembirakan apabila dia diterima dan dilayan sebagai sebahagian keluarga majikan.

Katanya, sepanjang tempoh bekerja dengan majikannya, dia tidak berasa terpinggir kerana sudah menjadi kebiasaan segala aktiviti dilakukan bersama termasuk bercuti, menyambut Aidilfitri dan beriadah.
“Nenek sekeluarga sangat baik, sepanjang bekerja sudah tiga kali saya dibenarkan pulang ke kampung dan biasanya diberi cuti sebulan hingga 40 hari sempena Aidiladha. Namun, seminggu di kampung saya sudah rindu dengan nenek.

“Nenek tidak kisah sekiranya saya minta gaji awal bagi membiaya yuran pengajian anak, malah semua kelengkapan saya mereka uruskan. Saya tidak pernah menyesal bekerja di sini dan kalau boleh mahu terus bekerja,” katanya yang merancang pulang ke kampungnya Julai ini bagi menghadiri konvokesyen anaknya.

Menurutnya, walaupun semua wang gajinya dihantar ke kampung bagi membiayai pengajian anak, dia diberikan kebenaran oleh Khadijah untuk menjalankan perniagaan kecil-kecilan di rumah itu dengan menjual aiskrim, keropok lekor dan karipap sebagai pendapatan sampingan.

Sementara itu, Khadijah berkata, biarpun Warti hanya pembantu rumah, layanan dan kasih sayang yang diberi sama seperti anak yang lain.

Katanya, sejak bekerja, wanita berasal dari Jawa Tengah, Indonesia itu tidak pernah menimbulkan masalah sebaliknya amanah menjalankan tanggungjawab yang diberi.

“Dia adalah cucu dan kawan saya, di mana ada saya di situ ada dia. Dia yang akan pimpin saya ke surau dan klinik, kami juga akan menonton televisyen dan makan bersama.

“Apa yang dia makan itu jugalah makanan saya, Warti pandai melaksanakan tugasnya tanpa disuruh dan segala urusan di rumah ini diuruskannya kerana saya sudah uzur,” katanya.

No comments:

Post a Comment