Saturday, May 19, 2012

RAKYAT HIDUP TERIMPIT@SUSAH...ADA PEMIMPIN HIDUP KAYA RAYA...PENUH KEMEWAHAN...TUNGGU LAH HISAB ALLLAH DIAKHIRAT KELAK...PUSAT ZAKAT APA PULA PERANAN...URUS WANG PEMBAYAR ZAKAT....BUKA HASIL PERNIAGAAN KITA...AKHIRAT KAUORANG JAWAB JUGA..APA INGAT TAK MATI...TAK DIBANGKITKAN SEMULA KE...

Tidur di kaki lima, bersesak dapatkan borang permohonan tapak bazar
IZWAN ROZLIN
19 Mei 2012
Sanggup tidur di kaki lima, bersesak dapatkan borang permohonan tapak bazar
Ragam yang dapat dilihat ketika kaunter penjualan borang bazar Ramadan dibuka
di Stadium MBPJ, Kelana Jaya di sini.
PETALING JAYA – Ada yang sanggup tidur semalaman sama ada di dalam kereta atau di kaki lima stadium semata-mata untuk mendapatkan borang permohonan tapak bazar Ramadan yang mula dijual semalam.

Tidak kurang yang hadir seawal jam 4 pagi untuk beratur untuk memastikan mereka mendapat borang.

Itu antara ragam yang dapat dilihat ketika kaunter penjualan borang bazar Ramadan dibuka di Stadium MBPJ, Kelana Jaya di sini.

Rata-rata mereka yang ditemui berpuas hati apabila berjaya mendapatkan borang, tidak kurang yang pulang dengan tangan kosong selepas borang yang dijual habis dalam masa tiga jam sejak kaunter dibuka jam 9 pagi.

Mohd Hashim Salleh, 50, berkata, setiap tahun sejak empat tahun lalu dia tidak pernah ketinggalan mencari rezeki tambahan berniaga nasi lemak di bazar Ramadan Taman Medan.

“Saya bekerja hantar ikan ke pasar pada setiap pagi, masa terluang pada waktu petang pada bulan puasa saya gunakannya untuk berniaga,” katanya yang tidur semalaman di dalam kereta.

Seorang lagi peniaga, Mohd Husin Salleh, 40, berkata, jika tahun lepas dia berniaga putu piring pada tahun ini dia bercadang mahu berniaga burger bakar.

“Timbul idea hendak jual burger bakar kerana ia istimewa dan kini diburu, jadi saya berhasrat untuk menghasilkan burger istimewa pada kadar harga berpatutan,” katanya.

Sementara itu, berhubung penjualan borang permohonan itu, Pegawai Perhubungan Awam MBPJ, Zainun Zakaria berkata, setakat ini 1,673 borang habis dijual.

“Tiada lagi borang dijual, jika ada yang berminat mereka boleh memohon selepas tarikh tutup 24 Mei akan datang sekiranya terdapat kekosongan,” katanya.

Menurutnya, MBPJ setakat ini bercadang menambah 20 tapak di Kelana Jaya jika ke semua lebih 200 tapak yang ditawarkan habis, begitu juga di Taman Medan.

Difahamkan kedua-dua kawasan adalah bazar Ramadan terbesar di Petaling Jaya.
Pemandu teksi didakwa miliki dadah
Wartawan Sinar Harian
19 Mei 2012
SEPANG - Seorang pemandu teksi didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam, atas dakwaan memiliki dadah.

Tertuduh, Zulkefli Isa, 38, dari Puchong, didakwa memiliki campuran tembakau dan tumbuhan kering dadah jenis ganja dengan anggaran berat 2.0 gram yang disimpan dalam lipatan akhbar.

Dia didakawa melakukan kesalahan itu di kawasan Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT) sekitar jam 1.45 petang, kelmarin.

Dia didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah di hadapan hakim Mahkamah Majistret, Wan Mohd Norhisham Wan Yaakob.

Mahkamah membenarkan dia diikat jamin sebanyak RM1,500 oleh seorang penjamin, selain menetapkan tarikh 16 Julai depan untuk laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farahah Mohd Suah.
Sorok dalam tempat sauna elak dicekup
Wartawan Sinar Harian
18 Mei 2012
Sorok dalam tempat sauna elak dicekup
Bekas rawatan sauna yang digunakan remaja lelaki itu untuk bersembunyi.
PETALING JAYA – Sepasang kekasih yang sanggup ponteng sekolah semata-mata mahu berasmara terbantut selepas diserbu pegawai Masjid Al-Muhtaden di sebuah apartmen di Damansara Damai, kelmarin.

Sumber berkata, pegawai masjid dan penduduk terpaksa mengetuk pintu selama lebih 10 minit sebelum pintu dibuka seorang remaja perempuan yang hanya berkemban dengan tuala.

Menurutnya, remaja perempuan berusia 15 tahun pada mulanya mengaku berseorangan namun pemeriksaan lanjut kemudian menemui seorang lelaki yang hanya berseluar pendek bersembunyi di dalam dalam bekas rawatan sauna.

“Tidak dapat menyembunyikan perkara sumbang yang berlaku, kedua-dua mengaku adalah pasangan kekasih dan sudah bercinta sejak setahun lalu,” katanya kepada Sinar Harian.

Difahamkan, pasangan itu yang mengaku belajar di sekolah sama dipercayai sering mengambil kesempatan untuk memadu asmara ketika ibu bapa perempuan keluar bekerja.

Pasangan remaja itu kemudiannya dibawa ke masjid dengan menggunakan van jenazah untuk tujuan kaunseling dan kedua-dua ibu bapa pelajar terbabit turut dipanggil.
Khalwat dalam rumah sewa
Wartawan Sinar Harian
18 Mei 2012
PUCHONG – Bengang apabila salah seorang penyewa enggan melunaskan tunggakan sewa dan menjadikan bilik disewanya port maksiat, seorang pemilik rumah bertindak mengunci pasangan itu dalam satu ‘operasi cegah maksiat’ dilakukannya sendiri, di Kampung Seri Langkas Tambahan, Selasa lalu.

Difahamkan, keengganan penyewa berusia 27 tahun itu membayar sewa mengundang kemarahan pemiliknya sehingga memaksa dia mengadakan kunjungan ke bilik yang disewakan.

Pemilik itu mendapat maklumat penyewanya seorang lelaki bujang turut menghuni bilik disewakan bersama seorang remaja perempuan berusia 17 tahun sejak seminggu lalu.

Sumber berkata, geram dengan tindakan penyewanya, pemilik itu kemudian melakukan rondaan sehingga jam 12.30 malam Isnin lalu di kawasan rumah tiga tingkat yang turut disewakan kepada belasan penyewa lain.

Bagaimanapun, ketika rondaan dibuat kedua-dua remaja lelaki dan perempuan yang dikatakan tinggal sebumbung itu tidak pulang ke rumah seperti biasa.

“Lebih kurang jam 7 pagi keesokan harinya, pemilik rumah itu melakukan rondaan sekali lagi untuk mengesahkan perbuatan penyewanya.

“Malang kepada penyewanya apabila pemilik terdengar suara lelaki perempuan berbual di dalam bilik yang disewanya ketika melakukan intipan dari luar,” katanya.

Beliau berkata, pemilik rumah itu mengunci pintu jeriji bilik dari luar rumah dan menghubungi jawatankuasa masjid.

Menurutnya, ketika ‘dipenjarakan’ dari luar, remaja perempuan yang sudah tidak bersekolah itu menangis dan meminta pertolongan jiran.

Sinar Harian difahamkan, pasangan berkenaan kemudian dinikahkan di Shah Alam, kelmarin.
2 askar dituduh kes dadah
SITI SHAHROSAMIRAH SHAHARMAN
19 Mei 2012
2 askar dituduh kes dadah
$entry.content.caption.value
AYER KEROH - Dua askar dituduh dalam dua prosiding berbeza di Mahkamah Majistret di sini, semalam, kerana memiliki dan memberikan kepada diri sendiri dadah berbahaya, tahun lalu.
Rumuzan Ibrahim, 37, mengaku bersalah terhadap pertuduhan memberikan dadah kepada diri sendiri, sementara rakannya, Zakaria Mamat, 35, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan yang didakwa ke atasnya.
Berdasarkan pertuduhan, Rumuzan didapati memberikan dadah kepada diri sendiri di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, kira-kira jam 12.45 tengah malam pada 26 Mei 2012.
Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dibaca bersama Seksyen 38 B akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, Rumuzan memohon hukuman diringankan dengan alasan perlu menyara isteri dan dua anak.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa, Inspektor Rosli Rasi meminta mahkamah memberikan hukuman setimpal sebelum Majistret Syajaratudur Abd Rahman menjatuhkan hukuman denda RM1,300 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda dan dua tahun pengawasan terhadap tertuduh.
Sementara itu, Zakaria didakwa memiliki dadah berbahaya jenis methamphetamine dengan berat 0.68 gram di kedai cuci kereta, Jalan Sungai Udang kira-kira jam 11.45 malam pada 25 Mei 2011.
Dia dituduh mengikut Seksyen 12(2) hukum dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama, jika sabit kesalahan boleh dihukum denda maksimum RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Zakaria turut dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dibaca bersama Seksyen 38 B akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun kerana didapati memberikan kepada diri sendiri dadah jenis methampehtamine.
Rosli meminta mahkamah memberikan jaminan RM3,000 sebelum peguam dari YBGK memohon jaminan terhadap tertuduh dikurangkan kerana berpendapatan kira-kira RM2,00 sebulan.
“Tertuduh yang bertugas selama 18 tahun di dalam tentera mempunyai seorang isteri dan anak kecil berusia 3 tahun," katanya.
Syajaratudur kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 bagi seorang penjamin dan menetapkan 28 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Tinggal di pondok ternak ikan
Wartawan Sinar Harian
18 Mei 2012
Ruangan kecil bekas pondok ternakan ikan menjadi tempat berteduh empat sekeluarga berkenaan.
Ruangan kecil bekas pondok ternakan ikan menjadi tempat berteduh empat
sekeluarga berkenaan.
MASJID TANAH - Hidup melarat menyebabkan empat sekeluarga di Kampung Ayer Limau, di sini terpaksa menjadikan pondok konkrit tidak berdinding yang sebelum ini digunakan untuk projek ternakan ikan, sebagai kediaman mereka.

Rosli Baba, 50, yang turut menderita sakit tulang belakang terpaksa tinggal dalam pondok tidak selesa itu bersama isteri dan dua anak tirinya, cukup untuk berteduh daripada panas matahari serta hujan.

Akibat kemiskinan juga, dia dan isterinya, Mariana Kharudin, 32, terpaksa menyerahkan tiga anak tirinya yang bersekolah kepada keluarga mertua, manakala dua lagi, Eiman Fiqrie, 4, dan Nur Alisa Fathah, 2, tinggal bersamanya.

Rosli menikahi Mariana Oktober lalu, selepas bekas suami isterinya itu yang merupakan sahabat baik Rosli meninggal dunia akibat lemas dalam sungai semasa menjaring ikan, awal tahun lalu.

Mariana juga sedang mengandung empat bulan, hasil perkahwinan mereka berdua.

Menurut Rosli, dia sebelum ini menyewa di sebuah rumah, bagaimanapun mengalami masalah tulang belakang selepas terbabit kemalangan sehingga tidak berupaya melakukan kerja berat.

Penderitaannya bertambah apabila dipaksa keluar dari rumah sewa yang didiami dalam kampung berkenaan, Oktober lalu.

“Disebabkan keadaan saya sebegini, saya tidak dapat mencari pendapatan mencukupi untuk menyara keluarga, lebih-lebih lagi isteri tidak bekerja.

“Sebelum ini, kami menyewa di sebuah rumah dalam kampung ini dengan bayaran RM150 sebulan, namun jumlah itu terlalu besar untuk saya jelaskan setiap bulan sehingga memaksa kami sekeluarga keluar dari rumah itu,” katanya.

Rosli berkata, dia terpaksa membersihkan pondok terna­kan ikan milik kakaknya untuk dijadikan rumah, walaupun tanpa dinding dan berhampi­ran semak samun.

“Mujur kakak saya mengizinkan saya dan keluarga untuk menggunakan tempat ini. Buat masa ini, saya hanya melakukan kerja kampung dan menoreh getah untuk menyara hidup.

"Bagaimanapun ia sekadar sampingan bergantung kepada keupayaan saya,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini, dia pernah memohon rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) menerusi salah seorang saudaranya, namun sehingga kini belum ada sebarang maklum balas.
20 kanak-kanak tak sekolah
Wartawan Sinar Harian
18 Mei 2012
jalan xturap
Keadaan jalan di kampung berkenaan yang belum diturap.
ULU JELEBU - “Gara-gara masalah jalan yang tidak diturap, hampir 20 kanak-kanak di kampung ini tidak bersekolah kerana mengalami kesukaran untuk berulang-alik dari sekolah,” kata Tok Batin Kampung Banir Tengkor, Jasni Ngongok.

Menurutnya, dahulu ada van yang disediakan untuk mengambil dan menghantar anak-anak Orang Asli di kawasan itu ke sekolah. Namun kini perkhidmatan itu dihentikan kerana pemandunya tidak sanggup untuk berulang-alik ke sini ekoran jalan yang teruk.

“Malah disebabkan selalu ponteng sekolah, ramai anak-anak di kampung ini hilang minat untuk belajar,” katanya.

Jasni berkata, kampung itu sudah wujud lebih 50 tahun lalu, namun penduduk di kawasan berkenaan masih ketinggalan dari segi kemudahan jalan.

“Berikutan masalah itu, setiap hari kami berdepan risiko kemalangan apabila laluan utama sejauh lebih 1 kilometer menghubungkan Kampung Ulu Jelebu curam.

“Walaupun begitu kami terpaksa juga melaluinya untuk melakukan rutin harian dan keluar ke pekan,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini, beliau pernah mengadukan masalah itu pada mesyuarat Jawatan­kuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Ulu Jelebu, namun jawapan yang diterima ialah tiada peruntukan untuk membuat jalan di kampung berkenaan.

Jasni berkata, namun ber­lainan pula dengan kampung Orang Asli lain seperti di Ulu Kelaka, Lakai dan Tohor semuanya ada peruntukan untuk membina jalan.

“Malah, jalan baru turut dibina di Kampung Chennah sedangkan keadaan jalan di sana tidaklah seteruk di sini," katanya.

Menurutnya, motosikal milik penduduk juga sering kali rosak gara-gara melalui jalan berbatu itu.

“Sekiranya hujan , keadaan jalan di kawasan ini akan berlumpur dan ia merbahaya untuk digunakan,” katanya.

Sementara itu, penduduk, Razif Abu Hassan, 26, berkata, berikutan masalah jalan itu, dia juga mengalami kesukaran menghantar isteri yang hamil untuk membuat pemeriksaan di klinik.

Razif berkata, masalah itu bertambah rumit sekiranya ada wanita yang mahu bersalin pada malam hari.

“Kawasan di sini sangat gelap dan jalan pula teruk, namun saya terpaksa melaluinya kerana bekerja di luar kampung. Jika hujan, saya tak dapat pergi kerja dan ini menjejaskan pendapatan saya yang terima gaji hari,” katanya.

Peniaga kedai runcit, Mohd Khaidir Abdul, 50, berkata, keadaan jalan tersebut turut membebankannya apabila kenderaan yang digunakan untuk menjual barangan runcit di kawasan itu sering rosak.

“Saya berniaga di sini atas permintaan penduduk memandangkan mereka sukar untuk ke kawasan luar akibat jalan yang teruk," katanya.
Terjatuh di tangga flat, Effan kini terbaring koma
AZIZAN INCHE HARUN
19 Mei 2012
Terjatuh di tangga flat, Effan kini terbaring koma
Shamsul dan Hasanah sedih dengan nasib yang menimpa anak bongsunya.
PASIR GUDANG – Suara rengekan manja anak kecil berusia empat tahun, Effan Shamsul kini tidak lagi kedengaran selepas disahkan koma akibat kecederaan setelah terjatuh dari tangga di Flat Taman Cendana, di sini 2 Mei lalu.

Ibunya, Hasanah Peli, 35, berkata, mereka yang baru empat bulan berpindah ke flat itu dari Majidee, Johor Bahru tidak sangka berhadapan dengan kemalangan yang hampir meragut nyawa anak bongsunya.

Menurutnya, pada hari kejadian kira-kira jam 10.30 pagi, dia turun ke tingkat bawah untuk menghantar payung kepada anaknya yang hendak ke sekolah, manakala Effan yang turut serta bersama pada mulanya, naik semula ke rumahnya di tingkat empat.

“Kemudiannya, saya temui Effan sedang duduk sambil menahan kesakitan dan memberitahu terjatuh dari tangga, tetapi hanya ada kesan benjol di bahagian kepala.

“Keadaannya selepas itu semakin lemah sehingga saya terpaksa membawanya ke klinik kesihatan di Pasir Gudang dan seterusnya dikejarkan ke hospital,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Sementara itu, bapanya, Shamsul Majang, 35, berkata, selama 17 hari Effan ditahan di Unit Rawatan Rapi dan disahkan koma kerana mengalami kecederaan otak yang serius.

Menurutnya, walaupun Effan telah dibenarkan pulang, tetapi dia hanya mampu terbaring dan bergantung kepada susu yang disalurkan melalui tiub ke hidung.

“Walaupun kerap namanya kami panggil, namun dia (Effan) hanya terbaring tanpa sebarang tindak balas.

“Sedih bila kenangkan nasib Effan kerana dia dulu seorang yang aktif dan manja dengan kami, tetapi kini selepas abang dan kakaknya ke sekolah, keadaan rumah terasa begitu sunyi tanpa gurau-senda dia,” katanya.
Katanya, perbelanjaan keluarga mungkin akan bertambah untuk menampung kos susu dan lampin pakai buang anaknya, sedangkan perbelanjaan keluarga hanya bergantung harap kepada rezekinya sebagai pekerja kontrak kilang di Pasir Gudang.

Sementara itu, Gerakan Belia 4B dan Kelab Rakan Muda Parlimen Pasir Gudang yang turut membuat lawatan ke rumah Effan, semalam akan melancarkan Tabung Sumbangan Kasih Adik Effan dalam masa terdekat.

Naib Pengerusi Gerakan Belia 4B Pasir Gudang, Mohd Farid Abd Razak berkata, individu atau pihak korporat diharap dapat menghulurkan bantuan untuk membantu dari segi menampung kos pemakanan kesihatan Effan memandangkan pendapatan keluarga sederhana.

Menurutnya, pihaknya bimbang tiga lagi adik-beradik mangsa terjejas dari segi pelajaran dan keperluan hidup keluarga berkenaan kerana pendapatan keluarga beralih kepada kos yang diperlukan Effan.

“Kita mengalu-alukan masyarakat yang prihatin supaya menghulurkan sumbangan ke akaun Maybank Shamsul Majang 101552052910 untuk membantu meringankan beban yang ditanggung," katanya.
Mesin judi RM10.3j dirampas
Wartawan Sinar Harian
19 Mei 2012
JOHOR BAHRU - Polis merampas 3,421 buah komputer yang diubahsuai menjadi mesin judi bernilai RM10.3 juta dalam serbuan ke atas 556 buah premis di bandar raya ini sejak awal tahun sehingga semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, dalam serbuan berkenaan, seramai 194 orang disyaki pemilik dan pekerja premis berkenaan turut ditahan.

"Polis turut meminta Tenaga Nasional Berhad (TNB) memotong bekalan elektrik premis yang diserbu bagi mengelakkan kegiatan sama berulang," katanya.
Geng samun kedai 7-Eleven ditahan

18 Mei 2012
JOHOR BHARU - Lima lelaki termasuk pelajar Tingkatan Tiga yang dipercayai aktif menyamun kedai serbaneka 7-Eleven di sekitar bandar raya ini ditahan semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan, ACP Zainuddin Yaacob berkata mereka yang menaiki sebuah kereta Perodua Myvi ditahan berhampiran Terminal Larkin Sentral oleh dua kereta peronda polis kira-kira 1 petang.

"Polis menemui empat bilah parang yang disorokkan di bawah tempat duduk penumpang kereta berkenaan. Kelima-lima mereka sebelum itu dipercayai menyamun sebuah kedai rangkaian 7-Eleven di Taman Mount Austin di sini kira-kira 5 pagi," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Baharu Selatan di sini hari ini.

Zainuddin berkata mereka yang berumur 15 hingga 20 tahun dipercayai turut terlibat dalam kejadian yang sama di Seri Alam dan Nusajaya.

Mereka kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. - Bernama

No comments:

Post a Comment