Sunday, November 7, 2010

BILA ISLAM TAK JADI PEGANGAN...JANGAN SEKALI INGATKAN ALLAH SEMASA KESUSAHAN SAHAJA....DAN JANGAN MEMBUAT MUNGKAR DAN PENIPUAN

Bapa 'jual' anak

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

KUALA LUMPUR: Angkara tidak dapat melunaskan hutang yang dipinjam daripada sindiket pinjaman wang haram atau along, seorang bapa tergamak menjadikan anaknya sebagai mangsa tebusan pinjaman yang dibuatnya.
Lebih menyedihkan, anaknya ketika itu baru berusia enam tahun dibawa ke ibu kota untuk dijadikan sebagai pelacur kanak-kanak sebelum diselamatkan dan kini ditempatkan di Rumah Amal Titian Kaseh (RTK).

Mangsa hanya mahu dikenali Nana, 14, berkata, hidupnya kini lebih gembira dan terurus apabila ditempatkan di rumah kebajikan dan tinggal bersama rakan-rakan yang kurang bernasib baik sepertinya.
Menurutnya, dia mahu melupakan kisah silamnya dan menerima segala ketentuan yang terjadi dalam hidupnya sebagai takdir yang perlu diterima selain dijadikan iktibar kepada yang lain.

“Saya masih mempunyai ibu dan adik-beradik lain. Ada antara mereka tinggal di rumah kebajikan lain sekitar ibu kota,” katanya ketika ditemui di rumah kebajikan yang didiaminya itu.

Katanya, hatinya sangat merindui keluarganya dan berharap kehidupannya akan kembali gembira seperti keluarga lain

Sementara itu, Pengasas RTK, Sharifah Adlan berkata, alhamdulillah atas bimbingan dan ajaran di RTK, Nana dapat mengikut segala tunjuk ajar berlandaskan agama dengan mudah.

Menurutnya, Nana yang sebelum ini tidak bersekolah kini ditempatkan di sebuah sekolah menengah sekitar ibu kota bagi memastikan dia tidak ketinggalan dalam aspek pelajaran kerana pendidikan adalah antara perkara terpenting dalam kehidupan

Katanya, dia tidak pernah menghalang Nana mahupun anak-anak jagaannya yang lain sekiranya ingin bertemu dengan sanak-saudara terdekat terutamanya menjelang Aidiladha



Berzikir berpegangan tangan dalam bulatan


KEMAMAN: Hanya zikir dan doa mengingat Allah SWT meniti di bibir 15 daripada 16 mangsa yang menganggap mereka ibarat mati hidup semula apabila terselamat selepas terapung kira-kira 16 jam sebaik bot dinaiki karam dipercayai bocor di bahagian enjin, kira-kira 6.30 petang kelmarin.
Kejadian membabitkan bot jenis katamaran yang ketika itu dalam perjalanan membawa 15 pelancong dalam perjalanan pulang ke jeti Kuala Dungun selepas melakukan aktiviti selam di Pulau Tenggol. Sepanjang terapung di laut, semua mangsa mendakwa melihat kelibat bot lain tetapi tidak mengendahkan mereka sehinggalah seorang daripada mereka iaitu Loo Kit Choong, 54, bertindak berani membuka jaket keselamatannya. Loo terpaksa memperjudikan nyawanya kerana ketika itu hanya dia masih bertenaga dan melambungkan jaket keselamatan sebelum objek itu dilihat anggota Pasukan Gerakan Marin yang kemudian segera menyelamatkan mereka. Selain itu, penyelam, Badrulhisham Shariman, 40, turut menggunakan segala kudrat yang ada untuk memastikan mereka mengikut arus dengan menguak kakinya kerana ketika kejadian hanya dia masih memakai ‘flipper’. Semua mangsa dikatakan berada dalam kumpulan dan memegang erat antara satu dengan lain dalam satu bulatan sambil berzikir dan melambung-lambungkan seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang turut terapung bersama mereka. Semua 16 mangsa dilaporkan hilang ditemui terapung kira-kira 16 batu nautika dari lokasi mereka dilaporkan hilang iaitu lapan batu nautika dari Pulau Tenggol, semalam.

Sementara itu, pemandu bot berkenaan, Zul Fadhly Yahya, 29, berkata bot yang dikemudinya itu tiba-tiba menjadi perlahan pada jarak kira-kira lapan batu nautika dari Jeti Kuala Dungun. “Apabila toleh ke belakang saya nampak enjin bot hampir tenggelam dan air mula memasuki badan bot,” katanya di Jeti Marin Wilayah Timur di sini, semalam.
Menurutnya, dia mengambil keputusan berpatah-balik ke Pulau Tenggol namun botmenjadi semakin perlahan dan apabila air semakin banyak memasuki badan bot, dia mengarahkan semua penumpangnya terjun dari bot. Katanya, semua penumpang berjaya keluar hanya beberapa saat sebelum bot tenggelam sepenuhnya dan mereka membuat formasi dalam bentuk bulatan dan saling membantu antara satu sama lain. “Waktu itu bot sudah senget. Saya risau jika mereka tidak terjun, mereka akan tenggelam bersama bot,” katanya. Katanya, semua penumpang berjaya keluar hanya beberapa saat sebelum bot berkenaan tenggelam sepenuhnya dan mereka membuat formasi dalam bentuk bulatan dan saling membantu antara satu sama lain

Tiada halangan hadir pengebumian bukan Islam



KUALA LUMPUR: Tidak menjadi halangan bagi Muslim menghadiri pengebumian bukan Islam, malah sesuai dengan agama toleransi dan kemanusiaan Islam memberikan ruang itu lebih-lebih lagi si mati ada pertalian keluarga, kata Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut.
Namun katanya, orang Islam yang menghadiri pengebumian itu dan mereka yang hendak memberikan bantuan dilarang menghadiri dan membabitkan diri dalam upacara keagamaan khas si mati.

“Islam itu agama yang cukup indah dan keindahannya patut ditunjukkan. Ia juga satu daripada dakwah Islam. “Tetapi, jangan sesekali membabitkan diri dalam upacara agamanya dan pastikan akidah tak berubah. “Pantang larang dan batasan kena juga dijaga. Dalam kelenturan itu, orang Islam mesti juga patuhi etika tertentu,” katanya diminta mengulas laporan Harian Metro Sabtu lalu mengenai tindakan satu keluarga besar Islam yang menyempurnakan mayat mendiang nenek mereka yang beragama Buddha di tanah perkuburan Cina Johor Jaya, Johor Bahru.
Liang Ho, 95, yang meninggal dunia akibat sakit tua di rumahnya di Jalan Landak Batu, Century Garden, Johor Bahru, Khamis lalu, dikebumikan seramai 16 cucu dan 50 cicitnya yang beragama Islam. Upacara pengebumian itu turut disaksikan anak perempuan Liang beragama Buddha, Low Ah Oi, 62. Tiga anak Liang yang lain sudah meninggal dunia, masing-masing seorang perempuan dan dua lelaki memeluk Islam selepas berkahwin dengan pasangan masing-masing berketurunan Melayu manakala suaminya, Low Song meninggal dunia pada 1974. Nooh berkata, hubungan keluarga tidak putus walaupun anak cucu memasuki Islam manakala nenek mereka bukan Islam.

“Masuk Islam tak memutuskan hubungan keluarga dan nasab seseorang, malah hubungan itu mesti dijaga dengan baik,” katanya.

Beliau berkata, dalam kes itu si mati walaupun bukan Islam masih mempunyai hak iaitu hak dari aspek kejiranan dan keturunan


Pelakon, tunang dijangka bebas hari ini



KUALA LUMPUR: Seorang pelakon lelaki sebuah filem yang memenangi anugerah Festival Filem Malaysia ke-23, baru-baru ini yang ditahan bersama tunangnya Jumaat lalu kerana disyaki terbabit dengan penyalahgunaan dadah dijangka dibebaskan hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Superintendan Amiruddin Jamaluddin berkata, tempoh tahanan reman kedua-dua mereka akan berakhir esok (hari ini) dan berkemungkinan akan dibebaskan dengan jaminan polis selepas semua keterangan diambil.

“Polis sudah mengambil keterangan daripada pelakon itu dan tunangnya.
“Siasatan diteruskan untuk mengetahui punca bekalan dadah diperoleh dan sejauh mana pembabitannya dalam aktiviti penyalahgunaan dadah,” katanya.

Amiruddin berkata, polis turut menyiasat sama ada kedua-dua suspek terbabit dalam pengedaran dadah.

Akhbar ini semalam melaporkan seorang pelakon berusia 30 tahun dan tunangnya yang juga bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) ditahan di sebuah stesen minyak di Ampang


4 kali derita

Oleh Mohamad Hussin

POKOK SENA: “Saya jadi buntu...tak tahu nak buat apa apabila pulang ke rumah dan mendapati semua barang musnah,” kata Siti Mariam Hassan, 36, yang sedih mengenangkan nasib keluarganya selepas rumahnya ditenggelami air setinggi tiga meter di Kampung Bukit, Mukim Derang, di sini, sejak banjir besar melanda Kedah, Ahad lalu.
Katanya, dia menjadi mangsa banjir besar empat kali iaitu pada 1988, 1995, 2005 dan tahun ini, namun reda kerana percaya itu semua dugaan Tuhan.

“Saya pasrah dan reda atas apa yang berlaku kerana sebelum ini saya sudah menempuh pelbagai dugaan akibat banjir besar.
“Setiap kali musim hujan, hati saya jadi tak keruan kerana memikirkan mana hendak duduk, tidur selain semua barangan dalam rumah seperti perabot dan elektrik akan rosak.

“Banjir kali ini memang teruk kerana rumah saya dinaiki air sedalam tiga meter, malah hampir menenggelamkan rumah,” katanya yang ditemui di rumahnya di Kampung Bukit, di sini, semalam.

Siti Mariam yang menjadi mangsa banjir dan ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsan (SK) Bukit Hijau, di sini, berkata dia perlu menguatkan semangat supaya anak-anaknya juga tidak mudah berputus asa dengan kejadian banjir itu

“Jika ikutkan hati sudah lama saya putus asa dan lemah semangat apabila melihat rumah dinaiki air setiap kali banjir.

“Saya kena kuatkan semangat menempuh dugaan ini, jika saya sendiri selalu mengeluh dan berputus asa, anak-anak serta suami juga akan mengikut jejak langkah saya begitu,” katanya yang kerugian hampir RM10,000 apabila barangan keperluan rumahnya musna

Siti Mariam berkata, banjir kali ini paling teruk kerana paras air naik tinggi sehingga tiga meter menyebabkannya tidak sempat menyelamatkan barangan rumah


Hak tak dipenuhi

Oleh Aniza Zainudin
KUALA LUMPUR: Suami atau isteri perlu mengambil langkah awal apabila menyedari pasangan mereka mula menunjukkan perubahan tingkah laku bagi menyelamatkan rumah tangga mereka, kata Pengurus Pusat Sokongan Wanita dan Keluarga, Jamaah Islah Malaysia (JIM), Faridah Maludin.
“Jika masalah membabitkan dua pihak iaitu isteri dan suami atau wujud orang ketiga dalam satu hubungan, ketiga-tiga mereka perlu menghadiri sesi kaunseling bagi mengetahui punca masalah.

“Merujuk kes rumah tangga bermasalah yang pernah dikendali JIM, kebanyakan berpunca apabila hak tuntutan tidak dipenuhi.
“Segelintir pasangan tidak berpuas hati kerana tuntutan gagal dipenuhi sedangkan hak untuk membuat tuntutan itu harus berlaku selepas kedua-dua mereka menjalankan tanggungjawab mengikut suruhan Allah,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, setiap pasangan perlu menjalankan tanggungjawab mereka bagi memastikan perjalanan rumah tangga lancar terutama di bandar besar yang sering memberi alasan kekurangan waktu untuk menunaikan kewajipan.

Mengulas laporan Metro Ahad mengenai isteri curang dengan lelaki warga Afrika walaupun mempunyai suami dan lima anak, katanya, wanita perlu kembali ke pangkal jalan serta menjalankan tanggungjawab besar sebagai isteri dan ibu

Katanya, biarpun bermasalah dengan suami, isteri perlu cekal dan bijak menanganinya demi rumah tangga dan anak yang sering menjadi mangsa perceraian.

Laporan semalam memetik wanita berusia lingkungan 40-an itu menjalinkan hubungan dengan lelaki warga Afrika untuk kali kedua walaupun pernah bercerai dan merujuk dengan suaminya selepas diberi peluang kedua

Sorok duit rasuah RM9j

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUALA LUMPUR: Seorang pegawai kanan imigresen berusia 40-an yang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bulan lalu didapati mampu mengutip RM9 juta hasil sogokan bagi kegia tan sindiket penyeludupan warga asing sejak berkhidmat 10 tahun lalu.
Bagaimanapun, wang haram itu disimpan suspek di dalam akaun bank milik isterinya di negara jiran.

Sumber berkata, suspek yang memegang jawatan sebagai timbalan penolong pengarah, dipercayai menggunakan taktik memindahkan wang sogokan itu ke luar negara selepas percaya ia selamat dan sukar dihidu jika dia ditahan.
“Bagaimanapun polis kini sedang bekerjasama dengan polis di negara jiran berkenaan bagi membekukan aset dan wang milik suspek mengikut Akta Penggubahan Wang Haram 2001.

Menurut sumber, suspek dipercayai tidak menjalankan kegiatan itu berseorangan, malah dibantu beberapa pegawai imigresen yang bertugas di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) supaya proses kemasukan warga asing itu berjalan lancar.

Difahamkan, semua warga asing yang diseludup menggunakan dokumen perjalanan palsu yang sudah mendapat pengesahan imigresen hasil permainan licik ‘geng’ pegawai berkenaan.

“Pembayaran tunai akan dibuat kepada suspek sebelum mengagihkan hasil ‘keuntungan haram’ diperolehnya kepada individu yang bersubahat mengatur proses penyeludupan itu,” katanya.

Katanya, siasatan awal polis menemui aset milik enam pegawai yang dipercayai geng pegawai kanan itu bernilai jutaan ringgit iaitu hartanah sekitar Lembah Klang tidak termasuk beberapa kereta mewah milik suspek. “Hasil pemeriksaan lanjut mendapati akaun bank salah seorang suspek bernilai kira-kira RM600,000 manakala lima yang lain bernilai antara RM400,000 hingga RM500,000 setiap seorang

Harian Metro difahamkan, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) turut menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti jika terdapat pegawai imigresen lain dan orang awam yang terbabit dalam sindiket penyeludupan manusia.
Bulan lalu, polis menahan tujuh pegawai imigresen di LCCT dan KLIA selain dua warga asing masing-masing dari India dan Pakistan dipercayai dalang yang mengatur gerakan haram di dalam dan luar negeri melalui dua pos pemeriksaan.

Berikutan penahanan itu, beberapa pegawai SPRM ditempatkan di beberapa pintu masuk dan keluar negara ini bagi menyekat kegiatan perdagangan manusia dan aktiviti penyeludupan lain



Rupa-rupanya 'Mat Despatch'

Oleh Ahmad Tajol Ansar Ibrahim

KUALA LUMPUR: Golongan wanita perlu lebih berjaga-jaga berikutan terdapat individu yang menggunakan kesempatan menyamar sebagai pegawai polis sebelum menyamun mereka.
Berdasarkan rekod, sejak bulan lalu hingga kini, empat kes menggunakan modus operandi itu dilaporkan di sekitar Bangsar di sini, membabitkan empat wanita termasuk eksekutif dan pekerja butik.

Ketua Polis Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, hasil maklumat diberikan mangsa, kebiasaannya suspek akan menahan mana-mana wanita yang sedang memandu sambil menggunakan telefon bimbit.
“Selepas mengekori mangsa, suspek yang lengkap berseluar biru gelap seperti seluar anggota polis meminta mangsa berhenti sebelum mengeluarkan buku tertera logo polis dan memperkenalkan diri sebagai pegawai polis,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang ketakutan hanya menuruti arahan ‘pegawai’ berkenaan sebelum kesempatan itu diambil suspek merampas telefon bimbit milik mangsa.

Katanya, berdasarkan laporan itu, anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields menahan seorang lelaki di Jalan Tun Razak di sini, kira-kira jam 2 petang pada 31 Oktober lalu


Menurutnya, hasil pemeriksaan, polis mendapati lelaki terbabit berusia 31 tahun itu bekerja sebagai budak penghantar surat di sebuah syarikat di ibu kota.

Berdasarkan pemeriksaan lanjut, polis mendapati nombor pendaftaran motosikal digunakan suspek adalah palsu dipercayai bagi mengaburi mata pihak berkuasa

“Malah, motosikal yang ditunggangnya juga didapati motosikal curi yang dilaporkan hilang di Dang Wangi.

“Polis yakin dengan penahanan lelaki itu dapat menyelesaikan beberapa kes menyamar sebagai anggota polis di Brickfields,” katanya

No comments:

Post a Comment