Monday, November 8, 2010

TEKNIK DAKWAH ADALAH PELBAGAI...CUMA JANGAN LANGGAR PERATURAN SYARAK

Teknologi dakwah



ILMU dakwah itu ibarat ilmu pemasaran dalam perniagaan. Memerlukan kreativiti dan pelbagai ilmu sampingan yang digabungkan bagi menghasilkan tarikan.
Sebelum kesan itu kelihatan, perlu terlebih dulu memikirkan kaedah menarik pandangan manusia dalam membuka pemikirannya dan seterusnya menyampaikan maklumat berguna berupa nasihat dan teguran.

Dalam sebuah pemasaran perniagaan, penjual cuba dan berusaha walau berbelanja kos jutaan ringgit semata-mata untuk memberitahu produknya wujud di pasaran kepada orang ramai, menerangkan keistimewaannya, mempengaruhi pelanggan untuk ‘bertindak’ membeli dan akhir sekali memastikan jenama produk itu kekal dalam minda pelanggan.

Untuk tujuan itu, strategi dan kreativiti yang sama dengan proses mencari dan mempengaruhi pelanggan perniagaan diperlukan bagi menyebarkan dakwah Islam

Tidak dinafikan, tidak mudah menyampaikan mesej dakwah, apatah lagi menjadikannya mendapat perhatian dan minat rama

Justeru, ilmu dalam teknologi tertentu seperti penggunaan bahasa yang digemari, cara keras, lembut dan berselindung, selain penggunaan dalil atau santai tapi menyengat, melalui ceramah semata atau disertakan bunyian, melalui video dan sebagainya adalah diperlukan.

Menyampaikan dakwah Islam atau sesuatu ilmu menerusi kaedah itu memberi peranan besar untuk menarik kumpulan manusia yang sangat pelbagai minat, kecenderungan dan kebosanan yang pelbagai.

Berdasarkan pengalaman saya, nisbah yang berminat dan punyai kesedaran terhadap Islam adalah sangat kecil berbeza dengan nisbah yang tidak berminat mengetahuinya.

Dalam peratusan kecil itu pula, nisbah sukakan mesej yang disampaikan secara santai lebih besar daripada mesej berat walaupun lengkap dengan dalil.

Daripada jumlah itu pula, nisbah yang gemarkan supaya ia dimuatkan dengan elemen hiburan seperti na- syid adalah jauh lebih besar berbanding kumpulan yang sekadar membaca atau mendengar tanpa hiburan.

Walaupun begitu, kebanyakan kumpulan yang suka mesej yang disampaikan secara hiburan itu sebenarnya melebihi bilangan yang minat terhadap mesej sebenar di dalamnya.

Ini boleh dilihat sendiri bagaimana sambutan besar diberi terhadap individu terbabit dalam bidang nasyid seperti Maher Zain dan Sami Yusuf.

Berbeza dengan sebuah ceramah walaupun dihadiri ulama sebesar Syeikh Yusuf Al-Qaradawi dan Syeikh Wahbah Al-Zuhaily, jumlah yang datang mendengarnya pasti sangat kurang.

Kerana itu, akan kita dapati penceramah yang mampu mempersembahkan ceramah dengan pelbagai teknik tambahan tadi akan lebih berjaya menembusi bilangan pendengar atau penonton lebih besar berbanding yang tidak.

Saya bukan ingin mengatakan ‘yang ini’ lebih baik daripada ‘yang itu’ kerana kedua-dua teknik dan cara punyai nilai dan sumbangan masing-masing.

Justeru, tidak perlu semua orang jadi penceramah lawak, penceramah bernasyid atau juga penceramah ‘berdalil’ dan lengkap dengan rujukan kitab.

Semua ilmuan dan penyampai mesej Islam mempunyai sasaran masing-masing, justeru, tidak semua perlu berlumba-lumba mempersembahkan.

Ada ilmuan yang tidak gundah gulana, walaupun ceramah dan kuliahnya hanya diikuti 20 atau 30 pendengar setia.

Asalkan kefahaman ilmu yang mantap, mendalam dan menjana pemikiran terbaik dapat disemai ke dalam minda dan jiwa pendengarnya. Itulah sasaran dan sumbangannya kepada ummah.

Jadi, kepelbagaian dalam penggunaan teknik ini memang sangat penting bagi menyampaikan mesej atau sesuatu dakwah itu.

Allah SWT berfirman: “... dan bahawasanya seorang manusia tiada memperoleh selain apa yang diusahakannya. Dan bahawasanya usahanya itu kelak akan diperlihatkan (kepadanya).” (An-Najm, 39-40)

Allah SWT juga menyebut dalam surah Al-Qasas, ayat 56, bahawasanya: “Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk.”

Malah, Rasulullah SAW juga bersabda: “Jika kamu menjadi asbab (pembawa) kepada seseorang itu mendapat kesedaran dan petunjuk (Islam), ia lebih baik bagimu daripada unta yang paling berharga (simbolik kepada nilai yang sangat tinggi).” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Jika ada penyampai mesej Islam (da’ie) yang mampu sekali sekala bertukar teknik dan mencampuradukkan kaedah penyampaian mereka, tentunya itu adalah sangat baik jika sesuai dengan cara dan pendengar serta penontonnya.

Saya gembira melihat ramai di kalangan ‘da’ie’ yang mampu menulis novel dan cerpen. Melalui kaedah itu, kumpulan individu yang dulunya tidak pernah berjaya ditembusi, kini mungkin mula melihat serta mendengarnya.

Ada yang dulu hanya bergantung kepada ceramah di masjid dan surau, kini dilebarkan menerusi jangkauan blog, website dan atau laman sosial seperti Facebook.

Cabaran untuk menyampaikan mesej ini memang memerlukan kreativiti sebagaimana peniaga yang memikirkan cara menyemat nama produk mereka ke dalam minda pengguna.

Teringat saya kepada beberapa iklan pelik, khususnya dipaparkan menerusi media elektronik di United Kingdom.

Ada iklan yang sengaja dibuat kelihatan bagi jelik kerana menerusinya ia akan diingati, contohnya iklan gocompare.com yang memaparkan lelaki bermisai palsu pelik menjerit-jerit dengan kuat.

Begitu juga iklan insurans Swiftcover yang memapar lelaki tua tanpa baju yang membuat aksi menggelikan. Walaupun menggelikan, mereka berjaya masuk dan kekal di minda pengguna.

Daripada membiarkan teknologi Youtube dipenuhi video mungkar dan tidak berfaedah, lebih baik ia dimanfaatkan dengan ‘membanjirinya’ dengan paparan video yang membawa mesej kebaikan.

Ini sama seperti penggunaan laman sosial Facebook, kerana untuk menentangnya pasti sama seperti melawan arus teknologi yang berkembang bagai tsunami.

Tidak kira sama ada akan membawa kesan atau tidak, namun paling kurang, dengan usaha terbabit, individu yang menggemari hiburan akan menggunakan masanya tidak pada jalan maksiat yang nyata, khususnya apabila dia berada di depan Internet seorang diri.

Bagi saya, itupun sudah merupakan kejayaan kerana kita menyelamatkannya seseorang itu untuk tempoh beberapa minit dengan menyediakan pengisian yang ada manfaat.

Ini kerana, biarpun kecil, tidak mustahil ia menjadi kunci awal kepada sesuatu kesedaran lebih besar dan hanya Allah SWT yang lebih mengetahuinya.

Kesimpulannya, bagi menyampaikan sebarang dakwah, kita perlu menggunakan sebanyak mana kebaikan teknologi masa kini dalam usaha menembusi individu yang kurang berminat dengan jalan dakwah seperti ceramah.

Selagi ia tidak bercanggah dengan prinsip Islam, perlu kita menerokainya di samping melengkapkan diri dengan pelbagai teknik dalam penghasilan fotografi, video, rekaan grafik, kartun, filem dan permainan video.

Penguasaan ilmu dalam teknologi yang disebut sebagai contoh di atas amat perlu supaya teknik pemasaran dan penyebaran ilmu Islam yang ingin disampaikan mampu menembusi lebih banyak pihak.

Tidak dinafikan ada beberapa caranya yang terdedah kepada kesan antara mudarat dan manfaat.

Namun, gunakan segala teknologi yang ada masa kini bagi menembusi pasaran ummah supaya lebih ramai yang dapat cuba disedarkan dan dapat dirapatkan kepada Islam

No comments:

Post a Comment