Friday, November 12, 2010

BILA BAPA SANGGUP ROGOL@ZINA ANAK...NI KAN YANG BUKAN BAPA ATAU YANG BUKAN DARAH DAGING....

NEGARA


Seorang sembelih 1,000 ekor ayam


ANGGOTA penguat kuasa JAIS dan MPS membuat pemeriksaan pengesahan sembelihan ayam di sekitar Pasar Tani Selayang, Selayang semalam.



SELAYANG - Hanya seorang tukang sembelih ditugaskan untuk menyembelih sebanyak 1,000 ekor ayam dalam tempoh sehari.
Fakta ini mungkin boleh mengundang rasa takjub namun hakikatnya apabila dinilai daripada sudut hukum syarak, ia boleh menimbulkan keraguan khususnya melibatkan kualiti penyembelihan yang mungkin menyebabkan ayam disembelih dikira bangkai.
Itulah hasil penemuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada pemeriksaan terhadap lima buah premis pusat penyembelihan berdekatan Pasar Borong Selayang di sini awal pagi kelmarin.
Dalam operasi yang disertai oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) pada pukul 1 pagi itu, JAIS bertindak menggantung tauliah seorang penyembelih yang bertugas di salah sebuah daripada lima premis itu ekoran timbul keraguan terhadap kualiti penyembelihan.
Penolong Pengarah Unit Halal, Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan JAIS, Ahmad Solihin Maryakon berkata, sesebuah premis wajib menyediakan sekurang-kurangnya tiga orang penyembelih yang bertauliah untuk menjalankan kerja-kerja penyembelihan.
Katanya, langkah itu bagi menjamin kualiti penyembelihan yang konsisten termasuk faktor ayam yang disembelih mati berpunca daripada sembelihan yang dibuat


NEGARA


Amukan ganas suami cemburu


ORANG ramai menziarahi rumah Suzziana yang diserang seorang lelaki bersenjatakan pedang samurai di Alor Akar, Kuantan semalam.



KUANTAN – Perasaan cemburu seorang suami terhadap isteri yang disyaki beralih cinta kepada lelaki lain sampai di kemuncak apabila dia bertindak menyerang ahli keluarga kekasih isterinya itu dengan sebilah pedang samurai semalam.
Kejadian pukul 9.30 pagi di tingkat satu, Blok D Flat Alor Akar di Lorong Alor Akar di sini itu mengakibatkan seorang pengasuh kanak-kanak, Suzziana Mohd. Hopiah, 24, suaminya, Mohd. Taufik Abdul Razak, 36, dan kanak-kanak lelaki yang diasuh wanita itu, Anas Safian Efa Rizal, 3, cedera parah.
Suzziana cedera di kepala, luka lengan kiri dan belakang badan. Mohd. Taufik pula diserang di kepala dan lengan kiri manakala Anas Safian luka di kepala dan tangan kiri. Ibu jari kanak-kanak itu juga hampir putus dan kaki kirinya patah.
Difahamkan, ketika kejadian, suspek yang ditemani dua rakannya telah naik angin lalu mengamuk apabila lelaki yang disangka kekasih gelap isterinya tiada di rumah tersebut. Lelaki itu, Shahrul Ridzwan, 20, merupakan adik Suzziana.
Shahrul Ridzwan yang berada di Dungun, Terengganu ketika kejadian kemudian telah pergi ke sebuah balai polis di situ untuk memberi keterangan pada pukul 4 petang semalam. Isteri suspek pula gagal dikesan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff berkata, kejadian dikatakan berpunca ekoran suspek tidak berpuas hati selepas mendakwa Shahrul Ridzwan telah melarikan isterinya.
Katanya, suspek bersama dua lagi rakannya pergi ke rumah mangsa dengan menaiki sebuah kereta.
“Sebaik pintu dibuka oleh seorang anak angkat Suzziana, suspek terus bertanyakan di mana adik Suzziana berada. Suami mangsa yang mendengar kekecohan tersebut keluar dari bilik.
“Suspek yang naik angin terus menetak suami mangsa dengan sebilah pedang samurai,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang (IPK) di sini semalam


NEGARA


Bapa rogol anak dijel, sebat


TERTUDUH (tengah) yang dijatuhkan hukuman penjara dan sebatan kerana merogol anak sendiri di Mahkamah Sesyen Johor Bahru semalam.



JOHOR BAHRU – “Ini adalah kesalahan paling keji.”
Demikian kata Hakim Salawati Djambari kepada seorang petani yang dihukum penjara 20 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas mengaku bersalah merogol anak perempuannya beberapa kali sekitar Oktober lalu.
Salawati menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh yang berusia 53 tahun mengaku bersalah merogol anaknya yang berusia 16 tahun dan memerintahkan hukuman tersebut dijalankan bermula dari tarikh tangkapan dibuat iaitu pada 30 Oktober lalu.
Beliau berkata, perlakuan seperti itu adalah sesuatu yang tidak seharusnya dilakukan oleh seorang bapa terhadap anak kandungnya sendiri.
“Sebagai seorang bapa, kamu seharusnya melindungi anak sendiri dan bukannya merogolnya. Anak kamu juga mungkin akan mengalami trauma sepanjang hayatnya,” kata beliau.
Tertuduh yang hadir memakai kemeja kotak-kotak dan berseluar panjang bagaimanapun tidak menunjukkan sebarang reaksi ketika hukuman itu dijatuhkan


NEGARA


Gadis hilang selepas 15 hari kenal 'Saiful Nizam'


ROKIAH menunjukkan laporan polis yang dibuat selepas kehilangan Aminah di Pasir Mas, Kelantan semalam.


PASIR MAS - Usia perkenalan mereka hanya 15 hari, namun kerana termakan pujuk rayu seorang lelaki yang berjanji akan mengahwininya, seorang gadis, Aminah Arifin (gambar), 24, sanggup meninggalkan keluarganya untuk mengikut lelaki tersebut.
Aminah yang bekerja di sebuah pasar raya dekat sini dikatakan hilang sejak 28 Oktober lalu bersama kereta Perodua Viva miliknya selepas dipercayai mengikuti seorang lelaki dikenali Saiful Nizam yang turut mendakwa kononnya dia seorang anggota polis.
Ibu Aminah, Rokiah Jusoh, 57, berkata, lelaki tersebut menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan anaknya ketika Aminah membawa dia berjumpa dengannya pada 16 Oktober lalu.
"Saya pernah jumpa lelaki tersebut sekali dan sangat terkejut bila dia cakap mahu kahwin dan memberikan janji-janji manis sebab mereka baru kenal selama 15 hari, malah latar belakang lelaki itu juga kami tidak tahu.
"Saya pernah nasihatkan Aminah mungkin lelaki itu cuba tipu dia tapi mereka tetap berkawan sampailah dia hilang," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Banggol Che Dol dekat sini semalam


NEGARA


Tiga beranak mati dibunuh di Chennai

CHENNAI - Tiga rakyat Malaysia - seorang wanita dan dua orang anaknya yang dilapor hilang Isnin lepas di selatan India ditemui mati.
Mayat M. Adhila Banu, 24, anak lelakinya, Mohd. Aslam, 7, dan anak perempuannya, Ajira Banu, 5, ditemui reput di Vadipatti di Madurai, Tamil Nadu pagi kelmarin.
"Ia adalah kes bunuh, mayat itu dikenal pasti oleh ibu Adhila dan dia mengesahkan tiga mayat itu adalah anak dan dua cucunya.
"Mayat reput tiga beranak itu ditemui dalam jarak kira-kira lima kilometer terpisah antara satu sama lain dan dibalut dengan baju putih. Mayat itu dibuang ke dalam terusan yang berair, di bawah jambatan," kata Inspektor Vadipatti P.R Lakshmanan kepada Bernama semalam.
Beliau berkata, polis masih menyiasat motif, punca dan lokasi sebenar pembunuhan itu.
Adhila dan dua anaknya pulang ke kampung halaman mereka di Barathi Nagar di daerah Ramanathapuram dari Malaysia kira-kira tiga bulan lalu dan tinggal bersama ibu bapanya



DUNIA


Korban Gunung Merapi meningkat


DUA penunggang motosikal melalui Kampung Dukun yang dipenuhi dengan debu Gunung Merapi semalam.



GUNUNG MERAPI, Indonesia - Angka kematian akibat satu siri letupan Gunung Merapi dekat Yogyakarta, Jawa Tengah meningkat kepada 206 orang semalam.
Gunung berapi itu mula menyembur gas panas, batu dan abu pada 26 Oktober lalu sebelum membuat letusan kuat pada minggu lalu.
Letusan terkuat berlaku pada Khamis minggu lalu yang merupakan hari yang paling dahsyat buat kalangan penduduk sekitarnya sejak beberapa dekad lalu.
Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan semalam menyatakan, angka kematian meningkat dari 194 kepada 206 selepas beberapa orang lagi meninggal dunia akibat masalah pernafasan, serangan jantung dan penyakit lain yang berkaitan dengan letusan Gunung Merapi.
Abu panas semakin berkurangan dari gunung berapi itu semalam tetapi pakar-pakar memberi amaran supaya penduduk sekitar menjauhi lokasi sekitarnya kerana bimbang ia akan kembali meletus. - AP



DUNIA


Hampir lima tahun koma


SEBUAH ambulans (dalam bulatan) yang membawa Ariel Sharon berhenti dekat rumahnya dekat bandar Negev selatan Israel semalam.



BAITULMUQADDIS - Bekas Perdana Menteri Israel yang terkenal kerana membunuh ramai penduduk Palestin, Areil Sharon yang kini koma sejak tahun 2006 akibat diserang strok semasa masih memegang jawatan itu telah dipindahkan dari sebuah hospital ke rumahnya di selatan Israel semalam.
Anggota-anggota perubatan membawa Sharon yang memakai alat bantuan pernafasan menaiki sebuah ambulans berwarna kuning yang diiringi para pengawal keselamatan.
Sharon yang berusia 82 tahun menunjukkan 'maklum balas minimum' dan tidak ada petanda beliau akan pulih daripada koma.
Menurut seorang pegawai Hospital Tel Hashomer, Dr. Shlomo Noi, tindakan membawa beliau pulang ke rumah adalah bagi membolehkan beliau dirawat dalam persekitaran keluarga berbanding di hospital.
Tokoh politik kontroversi itu menjadi Perdana Menteri dari tahun 2001 sehingga 2006 apabila beliau diserang strok sehingga menyebabkannya berada dalam keadaan koma.
Ekoran Sharon diserang strok, jawatan Perdana Menteri kemudiannya dipangku oleh Ehud Olmert.
Beliau dirawat dengan rapi di Hospital Tel Hashomer. Pengarah hospital itu, Dr. Zeev Rothstein menyifatkan Sharon berada dalam keadaan sedar yang tidak sepenuhnya.
"Beliau memerlukan bantuan dalam semua aktiviti harian," kata Zeev kepada saluran televisyen Israel, Channel 10 .
Sharon yang mempunyai dua orang anak lelaki itu dijangka akan dihantar ke hospital yang sama untuk pemeriksaan biasa.
Pada 1982, semasa Sharon menjadi Menteri Pertahanan Israel, tentera negaranya mengepung kem Sabra dan Shatila di Lebanon yang menempatkan pelarian Palestin.
Anggota-anggota tentera Israel yang mengepung kem tersebut membantu serangan militia Kristian Maronite Lebanon yang menyebabkan di antara 800 dan 3,500 penduduk awam Palestin di kedua-dua kem berkenaan terbunuh.
Pembunuhan itu menyebabkan Sharon dilabel sebagai Penyembelih Beirut.
Semasa beliau menjadi Perdana Menteri, beliau dikatakan merancang plot untuk membunuh pemimpin pertubuhan Pembebasan Pembebasan Palestin, Yasser Arafat.
Pada April 2002, semasa Sharon memegang jawatan Perdana Menteri, anggota-anggota tentera Israel diarah mengepung pejabat Yasser di Ramallah, Tebing Barat

No comments:

Post a Comment