Tuesday, November 9, 2010

SELAIN TAKDIR..MUHASABAH DIRI...SEMUA DALAM ILMU ALLAH...KITA TAK TAHU YANG TERSIRAT

Bertakbir dikapak anak

Oleh Zaitie Satibi

DI SINI...Norhafizah menunjukkan tempat ibunya ditetak.
DI SINI...Norhafizah menunjukkan tempat ibunya ditetak.
TERPENGARUH...Halim menunjukkan buku yang sering dibaca anaknya sebelum kejadian.
TERPENGARUH...Halim menunjukkan buku yang sering dibaca anaknya sebelum kejadian.
PEKAN: “Saya sempat mendengar isteri berkata ‘Chik jangan buat mak macam ni’ sebelum dia menjerit Allahuakbar,” kata peneroka, Halim Ismail, 58, menceritakan kejadian isterinya maut ditetak di kepala menggunakan kapak oleh anak lelaki mereka berusia 23 tahun dipercayai terpengaruh ilmu mistik di Felda Chini Timur 1, dekat sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, mangsa yang juga peniaga kedai runcit, Che Wa Isa, 57, meninggal dunia di Klinik Kesihatan Chini selepas pendarahan teruk di kepala.
Suspek yang juga anak ketiga daripada empat beradik ditahan anggota Rela di belakang rumah seorang penduduk kira-kira 100 meter dari tempat kejadian sebelum diserahkan kepada polis.

Menurut Halim, ketika kejadian dia berehat di ruang tamu rumah sambil melayan cucu perempuannya berusia tiga tahun, manakala anak bongsunya, Amira, 20, pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Jengka, Maran, yang bercuti semester berada di dapur membancuh susu untuk kanak-kanak itu

“Saya bermain dengan cucu, manakala isteri saya berada di beranda untuk mengangkat jemuran di ampaian sejurus pulang selepas menutup kedai runcit kami yang terletak berhampiran rumah


“Tidak lama kemudian saya dengar enjin kereta anak lelaki saya yang baru balik daripada menemui rakannya. Selepas itu, saya mendengar suara isteri bercakap dengan anak dalam keadaan cemas sebelum disusuli bunyi benda jatuh diiringi jeritan Allahuakbar sebanyak dua kali,” katanya.

Halim yang ditemui di bilik mayat Hospital Pekan (HP) di sini, semalam berkata, pada mulanya dia tidak mengesyaki perkara buruk berlaku dan beranggapan bunyi itu mungkin bunyi besen pakaian kering terjatuh.

“Kira-kira 10 minit kemudian baru saya teringat arwah bertakbir. Saya dan Amira keluar ke beranda untuk memeriksa keadaan selepas timbul rasa tidak sedap hati.

“Kami terkejut apabila menemui arwah terlentang di lantai dengan kepalanya berlumuran darah, manakala anak lelaki saya sudah beredar dari beranda,” katanya.

Halim berkata, dia memangku isterinya sambil menjerit meminta pertolongan jiran manakala anak bongsunya bergegas ke rumah tetangga bagi mendapatkan bantuan.

“Ketika itu, arwah masih bernafas, tapi sangat perlahan. Saya cuba mengajarnya mengucap, namun dia sudah tidak mampu bercakap dan hanya terdengar bunyi pernafasannya turun naik.

“Jiran juga sudah ramai mengerumuni. Mereka membalut kepala arwah yang luka terkena tetakan sebelum seorang daripada mereka menolong menghantar arwah ke klinik.

“Sebelum bertolak ke klinik, saya meminta bantuan penduduk memanggil anggota Rela untuk mencari anak saya kerana bimbang dia akan melakukan perbuatan lebih buruk,” katanya.

Katanya, sepanjang perjalanan ke klinik, isterinya menggenggam erat tangannya dan pada masa sama dia pula tidak henti-henti meminta wanita itu bertahan.

“Namun, Allah lebih menyayanginya dan sebaik kami tiba di klinik, dia perlahan-lahan melepaskan genggaman tangan saya dan menghembuskan nafas terakhir.

“Saya sangat sedih dengan pemergiannya kerana dia isteri yang sangat baik dan taat. Sepanjang perkahwinan, kami tidak pernah bertengkar kerana lebih suka menyelesaikan masalah dengan berbincang hati ke hati,” katanya yang lebih 20 tahun menjadi peneroka.

Ditanya mengenai tindakan kejam anak lelakinya itu, Halim berkata, dia tidak menyangka anaknya tergamak membunuh ibu sendiri sedangkan sebelum ini dia tidak menunjukkan sebarang masalah.

Katanya, anak lelakinya yang sekadar lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya membantunya di ladang, selain pernah menjadi pembanci sementara dalam bancian negara, baru-baru ini.

“Kedua-duanya tiada perselisihan faham, malah dia juga anak kesayangan isteri saya.

“Sebelum kejadian, anak saya yang bersikap pendiam tidak menunjukkan keganjilan dan bersikap seperti biasa menyebabkan kami sekeluarga tidak mengesyaki apa-apa,” katanya.

Bagaimanapun, kata Halim, dia mengesyaki perbuatan anaknya itu ada kaitan dengan pengaruh ilmu mistik kerana dia kerap dilihat membaca buku mengenai makhluk halus.

“Saya menyedari dia suka membaca buku perkara tahyul sejak sebulan lalu. Saya pernah meminta isteri memeriksa kandungan buku yang selalu dibaca itu kerana saya tidak tahu membaca.

“Menurut arwah, buku itu mengandungi amalan yang tidak boleh diikut umat Islam. Saya tidak tahu bagaimana anak saya boleh terpengaruh ajaran demikian dan dari mana dia mendapatkan buku itu,” katanya.

Sementara itu, Amira berkata, arwah ibunya pernah beberapa kali memberitahu sikap abangnya itu yang suka membaca buku mengenai makhluk halus.

“Emak pun tidak tahu bagaimana abang boleh terjebak ajaran demikian kerana dia tidak pernah menceritakan kegiatannya kepada keluarga.

“Ketika menemui emak dalam keadaan berlumuran darah di beranda, saya sudah dapat meneka ia perbuatan abang kerana nampak abang berjalan selamba keluar dari kawasan rumah sambil memegang kapak pemotong buah kelapa sawit,” katanya


Pemuda amal ilmu salah tetak ibu

PEKAN – Seorang anak tergamak menetak kepala ibunya sehingga maut selepas dipercayai terpengaruh dengan buku mengenai makhluk halus yang sering dibaca sejak sebulan lalu.

Mangsa, Che Wa Isa, 57, maut ditetak anak lelakinya ketika sedang mengangkat kain di beranda selepas pulang dari kedai runcit miliknya yang terletak kira-kira 500 meter dari rumahnya, di Felda Chini Timur 1.

Dalam kejadian jam 10.30 malam kelmarin, suspek lelaki berusia 23 tahun itu menetak bahagian belakang kepala ibunya dengan sebilah kapak besi yang digunakan untuk pemotong kelapa sawit.

Ketua Polis Pekan, Superintendan Yahaya Othman berkata, tetakan itu menyebabkan mangsa mengalami pendarahan teruk di bahagian kepala sebelum dibawa ke Klinik Desa berhampiran.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia sejurus sampai di klinik dan mayat dibawa ke Hospital Pekan bagi tujuan bedah siasat jam 9 pagi semalam.

“Hasil siasatan yang dijalankan oleh pihak polis, suspek dipercayai menuntut ilmu sesat sehingga mempunyai niat untuk membunuh ibunya kerana mendakwa ibunya itu telah lama mati.

“Suspek juga mendakwa dirinya adalah toyol dan sanggup membunuh ibunya yang dikatakan hanya jasad yang dihantui oleh saka dan santau,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Yahaya berkata, suspek yang menjalani ujian air kencing dan disahkan positif ganja kini ditahan reman selama seminggu dan kes berkenaan sedang disiasat di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan atas tuduhan membunuh.

  Dakwa jelmaan saka


PEKAN: Pemuda yang menetak kepala ibunya menggunakan kapak sehingga maut di Felda Chini Timur 1 di sini, kelmarin, memberi alasan berbuat demikian kerana ibunya itu jelmaan saka.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman, berkata siasatan awal mendapati suspek berusia 23 tahun mengaku menetak ibunya, Che Wa Isa, 57, kerana kononnya mahu menghapuskan saka itu.

“Dalam keterangannya, suspek memaklumkan dia mendapat bisikan kononnya mangsa sudah lama mati dan yang hidup sekarang jasad dikuasai saka yang menyerupai ibunya.

“Oleh itu, suspek membunuh mangsa kerana mahu menghapuskan saka terbabit. Suspek juga mempertahankan perbuatannya yang dianggap tindakan betul mengikut kefahamannya berdasarkan beberapa buku mengenai menentang makhluk halus yang dibacanya,” katanya


Menurutnya, suspek yang dilaporkan berperwatakan pendiam juga mendakwa mempelajari hal berkaitan iblis dan makhluk halus menerusi beberapa buku sejak empat bulan lalu selain membuat kajian sendiri

“Bagaimanapun, suspek dipercayai menuntut ilmu salah apabila dia belajar tanpa guru di samping tidak merujuk mereka yang pakar dalam bab berkenaan,” katanya

Mati ditikam menantu

Oleh Nazarali Saeril, Salman Hamat dan Ahmad Othman

CARI...polis mencari senjata digunakan dalam pembunuhan.
CARI...polis mencari senjata digunakan dalam pembunuhan.
JOHOR BAHRU: “Jika semua orang sudah tidak sukakan kami lagi, minta ayah bagi RM500, kami akan pergi dari sini. Selepas ini, anggaplah ayah sudah tidak ada anak bernama Emelia lagi.” Begitu antara kandungan SMS dihantar seorang wanita kepada ibunya yang dipercayai menjadi punca pergaduhan hingga mengakibatkan kematian bapanya.
Wanita itu menghantar SMS berkenaan kepada ibunya, Rohani Yacob, 45, sebelum dibaca bapanya, Armen Suardi, 53, menyebabkan lelaki terbabit bertengkar dan bergaduh dengan menantu mereka berusia 23 tahun sebelum warga emas itu mati ditikam dengan sebilah pisau Rambo.

Pergaduhan anak menantu itu berlaku di rumah mangsa di Jalan Bendahara 3, Bandar Tenggara di sini, kelmarin.

Menceritakan tragedi berdarah itu, Rohani yang tiada di rumah ketika itu berkata, anak sulung daripada empat beradik itu sering bertengkar dengan bapanya, namun dia tidak menyangka pergaduhan kali terakhir kelmarin mengorbankan nyawa suaminya


“Suami menelefon saya memaklumkan dia ditikam menantu di rumah. Suami kata dia ditikam di belakang kepala dan dada menggunakan pisau Rambo dan akan memandu sendiri van untuk membuat laporan di Balai Polis Bandar Tenggara,

katanya ketika ditemui di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, semalam.

Menurutnya, dia yang ketika itu berada di bengkel membaiki kenderaan terus pulang ke rumah, tetapi suaminya sudah pergi ke balai polis.

Katanya, tidak tidak lama kemudian, arwah pulang ke rumah sebelum keluar semula dengan memandu van miliknya untuk mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Bandar Tenggara.

“Suami cedera parah berikutan tikaman pisau yang menembusi otaknya sebelum dihantar dengan ambulans ke Hospital Kulai.

“Berikutan keadaannya yang semakin kritikal kira-kira jam 7 malam kelmarin, arwah dirujuk ke HSI sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, suami disahkan meninggal dunia kira-kira jam 5.20 pagi tadi (semalam),” katanya.

Jenazah mangsa dihantar kembali ke HSI untuk dibedah siasat.

Rohani berkata, lebih menyedihkan, ketika menunggu jenazah arwah dibedah siasat semalam, anak perempuannya, Emelia yang berusia 20 tahun itu masih sempat mengirimkan satu lagi SMS menafikan suaminya menikam bapanya, sebaliknya mendakwa arwah menikam diri sendiri.

“Arwah suami yang baik dan kami sekeluarga cukup sedih dengan kejadian itu, apatah lagi hari ini hari lahir arwah ke-54.

“Saya berharap pembunuh terbabit ditahan dan menerima hukuman setimpal dengan jenayah dilakukannya,” katanya.

Menurutnya, hubungan anak dan menantunya dengan arwah suami agak dingin sejak bertahun lalu.

“Menantu tidak mempunyai pekerjaan tetap, malah kami yang membantu membeli barangan keperluan cucu yang berusia 10 bulan seperti susu dan sebagainya.

“Kami tidak sangka ini balasannya terhadap kebaikan kami kepada mereka selama ini,” katanya



Lelaki maut ditikam menantu

KOTA TINGGI - Seorang penganggur tergamak mencederakan bapa mentuanya akibat perselisihan faham hingga menyebabkan lelaki itu maut selepas mendapat rawatan kecemasan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Osman Muhammad Sebot berkata, mangsa, Armen Suardi:, 52, dari Jalan Bendahara, Bandar Tenggara, Kota Tinggi cedera parah selepas bertengkar dengan suspek di dalam rumah.

Menurutnya, suspek yang berusia 23 tahun itu dipercayai menggunakan senjata tajam dan bertindak menikam dada bapa mertuanya hingga mendatangkan kecederaan di bahagian dada dan kepala.

“Kejadian itu dipercayai berpunca daripada salah faham antara mereka menyebabkan menantunya itu naik berang dan mengambil senjata sebelum mencederakan lelaki terbabit,” katanya.

Osman berkata, ketika kejadian itu, mangsa berada di dalam rumah bersama isteri dan seorang lagi anak mangsa yang berusia belasan tahun.

“Polis turut difahamkan suspek tidak mempunyai pekerjaan dan tinggal di rumah mangsa sejak berkahwin dengan anaknya,” katanya.

Osman berkata, mangsa yang masih cedera masih sempat membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Balai Polis Bandar Tenggara, Kota Tinggi, kira-kira jam 2.30 petang, kelmarin.

“Dalam keadaan cedera itu, mangsa sempat melaporkan kejadian itu kepada polis sebelum kami menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu,” katanya.

Katanya, polis difahamkan, suspek melarikan diri ke rumah ibunya, di Jalan Lubuk Kampung Pengkalan Batu, Mersing, sebelum berjaya dikesan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Mersing.

“Kami meminta bantuan polis Mersing agar menahan suspek yang dipercayai melarikan diri di rumah ibunya di Mersing,” katanya.

Katanya, polis semalam menahan reman suspek selama seminggu bermula kelmarin bagi membantu siasatan.

Menurutnya, pada awalnya kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 kerana mendatangkan kecederaan kepada mangsa sebelum kes itu disiasat semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati jika sabit kesalahan

Suspek, mentua sering bertengkar



BANDAR TENGGARA: Seorang lelaki yang dipercayai menikam mentuanya dengan pisau hingga menyebabkan kematian di sebuah rumah di Jalan Bendahara 3 di sini, kelmarin, ditahan polis beberapa jam selepas kejadian.
Lelaki berusia 23 tahun itu ditahan di kediaman keluarganya di Kampung Lubuk, Pengkalan Batu, Mersing sebelum diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Osman Muhammad Sebot berkata, lelaki terbabit dipercayai melarikan diri sejurus kejadian.
“Suspek direman seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Menurutnya, penahanan suspek utama itu hasil laporan polis dibuat mangsa sebelum meninggal dunia.

“Armen Suardi, 53, pemegang taraf pemastautin tetap hadir ke Balai Polis Bandar Tenggara membuat laporan mendakwa dia diserang menantunya

“Mangsa yang cedera di kepala dan dada mendakwa diserang menggunakan pisau dan kami meminta bantuan rakan sejawat di IPD Mersing mengesan suspek,” katanya.

Katanya, motif pembunuhan mungkin akibat salah faham dan setakat ini, hanya satu tangkapan dibuat manakala siasatan mendapati suspek bekerja sambilan membantu mangsa menjual selipar


Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu diminta menghubungi IPD Kota Tinggi atau balai polis.

Difahamkan, polis juga mengambil kenyataan daripada isteri suspek iaitu anak perempuan mangsa untuk membantu siasatan.

Jiran mangsa, Abd Razak Soma, 45, berkata, Armen seorang yang peramah, periang dan tidak pernah ada masalah dengan masyarakat setempat.

Menurutnya, suspek tinggal di rumah mangsa sejak berkahwin dengan anak perempuannya.

“Sejak suspek mengahwini anak perempuannya, suasana di rumah itu agak tegang dan sering kedengaran jeritan dan suara orang bertengkar.

“Jiran tidak mahu masuk campur dan menganggapnya masalah peribadi, tetapi kami terkejut apabila mendapat tahu ia berakhir dengan pembunuhan,” katanya

AC Mizal dakwa diugut pesaing

Oleh Hadzlihady Hassan

AMPANG: Pelakon dan pengacara, Datuk Mizal Zaini, 39, atau nama komersialnya AC Mizal (gambar) membuat laporan polis bagi membersihkan nama dan demi keselamatan selepas mendakwa menerima ugutan melampau serta pelbagai fitnah yang ditulis dalam beberapa blog, kelmarin.
Beliau yang juga seorang ahli perniagaan membuat laporan kira-kira jam 8 malam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, di sini.

Menurut sumber polis, artis itu mendakwa menjadi mangsa pesaingnya yang turut menjalankan perniagaan sama dan beberapa blog mengaitkan namanya dengan pelbagai fitnah termasuk tuduhan dia menipu pelanggannya.

“Selain artis terbabit, turut menjadi mangsa ialah pekerja syarikatnya dan kejadian itu berlaku sejak lima bulan lalu. Sebelum ini mereka tidak ambil peduli kerana menganggap tuduhan dan cubaan itu sengaja dilakukan untuk memburuk dirinya dan syarikat

“Bagaimanapun, ia semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini hingga memaksa artis terbabit membuat laporan polis kerana individu berkenaan turut mengugut untuk mencederakannya dalam blog itu,” katanya.


Antara ugutan itu ialah ‘elok sembelih je kot’ dan ‘AC Mizal ni dah tak sabar nak masuk ‘jail’ ke apa?’ dipercayai ditulis individu yang juga pesaing dalam perniagaan dilakukannya.

Sumber itu berkata, dalam laporannya AC menyatakan antara tuduhan yang menjejaskan reputasinya dalam blog ialah mengenai harga kos serta jualan produk milik syarikatnya selain dakwaan dia cuba menipu pelanggan dengan testimoni palsu.

Katanya, selain itu, penulis blog itu didakwa turut cuba mengaitkan kehidupan peribadi artis berkenaan yang sengaja dibuat dengan tujuan mempengaruhi orang ramai supaya membencinya.

“Berikutan tuduhan dan fitnah itu, artis terbabit mendakwa perniagaannya mula terjejas selain beberapa kakitangannya mengalami nasib sama kerana orang ramai mula terpengaruh dengan semua yang ditulis dalam blog berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan yang dibuat AC.

“Setakat ini, kami masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini yang disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan,” katanya

No comments:

Post a Comment