DUNIA
Penduduk Haiti bersih lumpur taufan Tomas
PORT-AU-PRINCE - Penduduk di Pulau Haiti membersihkan lumpur di kem-kem perlindungan semalam selepas taufan Tomas mengganas.
Kerja-kerja pembersihan dilakukan semasa berlakunya wabak kolera yang telah menyebabkan lebih 500 orang terbunuh setakat ini.
Wabak itu merebak akibat pencemaran di Sungai Artibonite yang melimpah akibat taufan Tomas yang melanda kawasan perumahan miskin pada Jumaat lalu.
Seorang pegawai dengan sebuah pertubuhan bantuan kemanusiaan Perancis, Marianna Franco berkata, air yang melimpah dari sungai itu membawa berita buruk kerana ia telah terjejas akibat kolera.
Sebelum ini, Haiti dilanda gempa bumi pada Januari lalu menyebabkan 250,000 orang terbunuh.
Seorang anggota pertubuhan Palang Merah Antarabangsa, Andrea Koppel berkata, taufan Tomas tidak membawa kemusnahan besar.
"Kebanyakan khemah (kem perlindungan mangsa gempa bumi) yang kita lihat tidak musnah," katanya.
Khemah kanvas dan kain tarpal yang didiami ratusan ribu mangsa gempa bumi berdiri kukuh disebabakan kerja-kerja persediaan awal dilakukan untuk menghadapi taufan itu.
Antara persediaan yang dilakukan itu ialah menggali parit dan meletakkan penghadang guni pasir. - AFP
DUNIA
Bunyi gegaran Merapi bergemuruh
KLATEN, Pulau Jawa - Gunung Merapi di sini mengeluarkan bunyi gemuruh dan gegaran kecil pada kira-kira pukul 7 pagi semalam, lapor sebuah akhbar Kompas.com semalam.
Gegaran itu dirasai di kawasan Kantor Kecamatan Kemalang yang terletak di lingkungan 15 hingga 17 kilometer dari Gunung Merapi yang meletus pertama kali pada 26 Oktober lalu.
Ketua Bencana dan Vulkanologi, Kementerian Sumber Daya Mineral dan Tenaga Indonesia, Surono mengakui gunung setinggi 2,941 meter itu mengeluarkan bunyi bergemuruh dan letusan tidak berhenti-henti.
Menurutnya, aktiviti di gunung itu tidak pernah berhenti sejak 3 November lalu.
Surono berkata, penduduk diminta mematuhi arahan supaya berada sejauh 20 kilometer dari puncak Gunung Merapi.
Gunung itu didapati turut memuntahkan lahar semalam manakala 166,000 orang telah dipindahkan ke kawasan perlindungan.
Agensi berita Dpa melaporkan awan menjulang setinggi 6,000 meter semalam. Sementara itu agensi berita AFP melaporkan sebuah agensi pengurusan bencana menyatakan, jumlah kematian keseluruhan akibat letusan itu dikurangkan kepada 117 orang berbanding 122 sebelum ini.
Namun, jurucakap agensi itu, Sutopo Purwo Nugroho berkata, jumlah kematian akan meningkat selepas para anggota penyelamat tiba di kampung-kampung yang terjejas akibat debu panas.
Menurutnya, mangsa-mangsa yang mati ditanam dalam kubur besar di Yogyakarta.
Sementara itu, syarikat-syarikat penerbangan membatalkan berpuluh-puluh penerbangan ke Indonesia semalam ekoran debu panas berterbangan di udara.
Sebanyak 50 penerbangan dibatalkan semalam berbanding 36 kelmarin.
Antara syarikat penerbangan yang terjejas ialah Singapore Airlines, AirAsia, Cathay Pacific, Emirates, Malaysia Airlines, Turkish Airlines and Lufthansa.
Namun jurucakap Lapangan Terbang Sukarno-Hatta yang mengendalikan 900 penerbangan sehari tetap dibuka.
Letusan itu turut menjejaskan penerbangan ke bandar Yogyakarta, Solo dan Bandung menyebabkan ribuan penduduk terjejas.
Stesen-stesen bas dan kereta api dipenuhi dengan orang ramai yang mahu meninggalkan lokasi yang terjejas akibat debu panas itu ke tempat yang lebih selamat. - Agensi
DUNIA
Polis Israel robohkan masjid
BAITULMUQADDIS - Pertempuran berlaku di bandar Rahat awal pagi selepas polis Israel memusnahkan sebuah masjid yang didakwa dibina secara haram, kata polis dan beberapa saksi.
Beberapa penduduk tempatan dan ribuan anggota polis berkumpul di masjid dengan membuat sekatan bagi menghalang penganut Islam memasuki kawasan runtuhan.
Pertempuran berlaku apabila sejumlah penduduk yang tinggal berdekatan masjid itu keluar rumah bagi menghalang kerja-kerja merobohkan masjid.
Seorang jurucakap pertubuhan Pergerakan Islam berkata, anggota-anggota polis melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah.
"Mereka (anggota-anggota polis) memasuki masjid dan menangkap jemaah yang bersolat termasuk saya yang dibawa ke luar bandar sehingga operasi (merobohkan masjid) selesai dilakukan," kata seorang saksi, Yusuf Abu Jamer.
Polis mengesahkan perobohan itu dengan menyatakan sebuah mahkamah tempatan mengeluarkan arahan bahawa struktur itu perlu dirobohkan kerana ia dibina tanpa permit.
Abu Jamer berkata, masjid itu, salah sebuah yang terbesar di bandar Rahat dibina untuk memerangi pengedaran dadah di kawasan tersebut.
"Jelas bahawa, tindakan Israel itu bertujuan untuk kami terlibat dalam pengedaran dadah dan jenayah berbanding bersolat," katanya.
Bandar Rahat didiami oleh 45,000 penduduk dan dikenali sebagai kawasan penduduk Badwi. - AFP
No comments:
Post a Comment