Friday, November 12, 2010

SEBAT DUIT MACAM2 CARA....DARI CURI...RAGUT...ROMPAK...TIPU...RASUAH...DAN TAK KIRA APA KEDUDUKAN DAN TAHAP PENDIDIKAN...JANJI DAPAT DUIT...HIDUP MEWAH SENANG BELANJA...AKHIR ZAMAN MANUSIA TAK KIRA LAGI SUMBER DATANG DUIT ITU...HALAL ATAU HARAM...JANJI DAPAT DUIT...NI KESAN ISLAM DAN SEGALA HUKUM DIABAIKAN....

Pinggang gadis dirodok peragut

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my

CARI BUKTI..anggota polis forensik mengesan cap jari penjenayah pada topi keledar di tempat kejadian, semalam.
CARI BUKTI..anggota polis forensik mengesan cap jari penjenayah pada topi keledar di tempat kejadian, semalam.
KESAN...kesan darah mangsa di tempat kejadian.
KESAN...kesan darah mangsa di tempat kejadian.
KUALA LUMPUR: Pinggang dan belakang seorang gadis dirodok empat kali dengan pisau selepas dia cuba mempertahankan beg tangannya daripada diragut dua lelaki bermotosikal ketika berjalan bersama rakannya di Taman Sri Sentosa, Jalan Klang Lama di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa, Tsu Ai Ling, 19, terbaring berlumuran darah sebelum dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan akibat kecederaan serius pada buah pinggang.

Rakannya Mei Ching, 17, berkata ketika kejadian, dia dan Ai Ling berjalan di bahu jalan berhampiran jejantas di tempat kejadian apabila dihampiri dua lelaki menunggang sebuah motosikal.
Katanya, lelaki yang membonceng motosikal merentap beg tangan dipegang rakannya itu.

“Bagaimanapun, Ai Ling bertindak berani dengan melawan dan cuba menghalang beg tangannya daripada diragut menyebabkan berlaku tarik-menarik.

“Ketika itu lelaki terbabit membuka topi keledar sebelum memukul Ai Ling berulang kali,” katanya Menurutnya, lelaki terbabit yang masih gagal mendapatkan beg tangan rakannya itu mengeluarkan sebilah pisau sebelum menikam pinggang rakannya itu empat kali

“Tindakan itu menyebabkan rakan saya menjerit kesakitan sebelum melepaskan beg tangannya. Darah ketika itu banyak keluar.

“Lelaki terbabit kelam-kabut memecut melarikan diri dengan meninggalkan topi keledar dan pisau yang digunakan menikam rakan saya,” katanya

Menurutnya, orang ramai yang menyedari kejadian itu menghubungi ambulans sebelum Ai Ling dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Dia yang terkejut dan ketakutan ketika menyaksikan kejadian itu gagal mengecam atau mengingati nombor pendaftaran motosikal ditunggangi dua lelaki terbabit. “Saya tidak sangka lelaki itu bertindak kejam dan berniat mahu membunuh rakan saya hanya kerana gagal mendapatkan beg tangan yang berisi wang antara RM60 hingga RM70,” katanya ketika ditemui di PPUM, semalam.

Difahamkan, mangsa ditikam dua kali di buah pinggang kiri dan satu tikaman pada sebelah kanan serta belakangnya.

Mangsa dilaporkan masih dalam keadaan kritikal dan terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, sepasukan anggota Unit Polis Forensik Kuala Lumpur bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan siasatan.

Anggota forensik cuba mengesan kesan tinggalan cap jari pada dua topi keledar milik suspek selain pisau yang ditinggalkan di tempat kejadian.

Ketua Polis Brickfields, Asisten Komisioner Wan Bari Wan Abdul Khalid yang dihubungi mengesahkan berhubung kejadian ragut bersenjata itu sambil menyifatkan perbuatan itu keterlaluan.

Menurutnya, polis kini memburu kedua-dua suspek selain akan mengambil keterangan mangsa sebaik mangsa pulih.

“Saya meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu atau mempunyai sebarang maklumat supaya menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya




‘Aku nak isteri aku!’

Oleh Mohd Fauzi Abdullah
fauzie@hmetro.com.my

CEDERA...Mohd Taufik menunjukkan tangannya yang luka akibat dilibas parang.
CEDERA...Mohd Taufik menunjukkan tangannya yang luka akibat dilibas parang.
KUANTAN: “Saya sempat menyepak pistol yang jatuh dari seluarnya sebelum melarikan diri ke dalam bilik, jika tidak pasti kami bertiga mati ditembak,” kata bekas pengawal keselamatan, Mohd Taufik Abdul Razak, 36, yang diserang ‘ala mafia’ oleh seorang lelaki tidak dikenali bersenjatakan pedang samurai di kediamannya di Flat Alor Akar, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, Mohd Taufik dan isterinya, Suziana Hopiah, 24, bermandi darah selepas parah akibat terkena libasan pedang samurai lelaki yang bertindak seperti dirasuk syaitan itu.

Turut menjadi mangsa, seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dijaga pasangan itu yang cedera di kepala, tangan dan patah kaki kiri.
Difahamkan, kanak-kanak lelaki yang dikenali sebagai Anas Safian Effa Rizal, anak pasangan guru yang menetap berdekatan rumah mangsa, dilaporkan retak tempurung kepalanya. Tiga mangsa itu kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.

Menceritakan detik cemas itu, Mohd Taufik yang cedera di belakang dan tangan kiri berkata, dia dikejutkan anak jirannya kira-kira jam 9 pagi memaklumkan ada seseorang mahu berjumpanya.

Katanya, dia bangun dari tidur lalu menuju ke pintu rumah dan terkejut apabila mendapati pintu terbuka luas dengan seorang lelaki tercegat di situ, tetapi dia hanya mendiamkan diri

Ketika saya menghampirinya dan menjenguk ke luar, tiba-tiba datang seorang lelaki terus melibas pedang samurai menyebabkan saya cedera tapak tangan saya dan terjatuh,” katanya ditemui di luar wad kecemasan HTAA, pagi semalam.
Katanya, dia cuba bangun untuk mempertahankan diri daripada serangan lelaki seolah-olah dirasuk syaitan yang tidak berhenti melibas pedang ke arahnya, manakala seorang lagi lelaki hanya berdiri diam seperti mengawal supaya orang luar tidak masuk masuk campur

“Saya menepis libasan menggunakan tangan kiri dan ketika bergelut, saya ternampak pistol terjatuh dari seluarnya dan dengan kudrat yang ada saya menyepak senjata itu sebelum melarikan diri dalam keadaan berlumuran darah masuk ke bilik sambil menjerit kepada isteri yang berada di bilik sebelah bersama Anas supaya mengunci pintu,” katanya.

Mohd Taufik berkata, ketika itu dia mendengar pintu bilik isteri bersama kanak-kanak berkenaan diterajang sebelum mendengar jeritan dan tangisan mereka.

“Apabila membuka pintu, saya melihat kedua-dua mereka berlumuran darah dengan isteri cedera di kepala, bahu dan tangan kanan, manakala Anas cedera di kepala, kaki serta tangan kiri. “Ketika itu, dua lelaki berkenaan sudah melarikan diri.

“Dengan bermandi darah, saya menggagahkan diri memandu ke HTAA untuk bantuan dan rawatan,” katanya.

Dia mendakwa benar-benar tidak mengenali lelaki berkenaan dan tidak tahu mengapa mereka diserang.

“Bagaimanapun, ketika kami bergelut, lelaki itu beberapa kali bertempik ‘aku nak isteri aku balik’.

“Saya bingung dengan apa dikatakannya kerana saya sendiri tidak pernah kenal isterinya dan tidak tahu-menahu mengenai perkara itu.

“Lebih menghairankan dia turut mengirim SMS ugutan kepada adik ipar saya berbunyi ‘abang dan kakak ipar kau sudah kena tetak, lepas ni satu keluarga aku kacau’,” katanya.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusof berkata, pihaknya sedang mengesan suspek dipercayai berusia 30-an




Saman sekeluarga

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my

SHAH ALAM: Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Mahharul Ismail dan tiga ahli keluarganya disaman RM10 juta berhubung kenyataan didakwa fitnah yang disiarkan menerusi laman sosial facebook.
Saman itu difailkan Pembantu Ahli Majlis MBPJ, Zalina Jaafar menerusi Tetuan Faizul Nasir & Co di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini, jam 10.30 pagi semalam.

Zalina, bekas setiausaha di pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Medan, Haniza Mohd Talha hadir bersama peguamnya, Faizul Mohd Nasir.
Dalam writ saman itu, Zalina, 42, selaku plaintif menamakan Mahharul, Setiausaha Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Petaling Jaya Selatan sebagai defendan pertama diikuti dua adik perempuan lelaki itu, Maisarah dan Norsyam serta anak saudara mereka, Wan Ikhwan Wan Azani.

Plaintif mendakwa Mahharul mengeluarkan kata-kata fitnah terhadapnya di laman sosial miliknya pada 28 September lalu, manakala kenyataan di laman milik defendan Wan Ikhwan dikeluarkan pada 21 September lalu.

Katanya, Mahharul mengetahui bahawa kenyataan dalam laman sosial itu dapat dibaca dan dilihat semua pihak dan lelaki itu memang berniat jahat terhadapnya

Beliau turut mendakwa Maisarah dan Norsyam dengan niat jahat sudah mengeluarkan kata-kata fitnah yang menyentuh peribadinya secara palsu pada laman sosial milik Wan Ikhwan.

Dakwanya, kenyataan defendan di laman itu bertujuan dan ditafsirkan plaintif sebagai perempuan tidak bermaruah, melakukan hubungan sulit dengan suami orang tanpa ikatan perkahwinan sah dan tidak layak memegang sebarang jawatan dalam politik

Menurutnya, semua kenyataan itu menyebabkan karakter dan reputasi berkaitan dirinya tercemar.

Oleh itu, dia menuntut ganti rugi RM10 juta, ganti rugi teladan, kos dan faedah pada kadar lapan peratus setahun dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Plaintif juga memohon perintah injunksi bagi menghalang semua defendan daripada terus mengeluarkan kata-kata fitnah yang sama terhadap dirinya.

Sementara itu, Zalina ketika ditemui di luar mahkamah berkata, dia mengambil tindakan saman itu bagi memberi pengajaran kepada masyarakat di luar supaya tidak sewenang-wenangnya menggunakan laman sosial untuk memfitnah orang lain.

“Saya malu akibat kenyataan dalam facebook itu, ibarat saya hidup sebelum ini bagai pelacur,” katanya



Lelaki terjun bogel ditemui mati

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut apabila bertindak nekad terjun dari tingkat 11 dalam keadaan berbogel di Genting Court Setapak, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 7.45 malam itu, mangsa berusia 30-an dan berasal dari Terengganu mati di tempat kejadian dipercayai parah di kepala. Difahamkan, hasil pemeriksaan polis di bilik sewa mangsa terdapat beberapa ubatan dari hospital dipercayai ubat untuk sakit jiwa.

Sumber berkata, mangsa ditemui seorang penduduk dalam keadaan tertiarap dipercayai selepas terjun menerusi tingkap bilik sewa rumahnya di tingkat 11


Pelbagai taktik

Oleh Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Beberapa pengurusan masjid mengakui didatangi kumpulan dan individu yang menggunakan pelbagai taktik untuk mengutip derma dan menipu orang ramai.
Bagaimanapun, kumpulan pengemis profesional itu tidak hanya membabitkan pelarian Rohingya, malah warga tempatan yang kononnya mewakili rumah anak yatim dan sekolah agama.

Difahamkan, terdapat juga golongan mualaf yang turut memungut derma di masjid di sekitar Kuala Lumpur dengan mendakwa tidak mendapat layanan sewajarnya daripada pihak berkuasa agama.
Menurut Imam Masjid Amaniah Kepong, Mohd Izuan Hussin, kehadiran kumpulan pengemis itu dikesan sejak awal tahun lalu ketika mereka datang untuk meminta kebenaran mengutip derma.

“Pihak masjid memaklumkan bahawa mereka perlu mendapatkan kebenaran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sebelum mengutip derma daripada jemaah.

“Bagaimanapun, mereka tetap berdegil dan tidak mahu mematuhi arahan, malah ada yang sanggup menunggu di pintu kereta jemaah

“Pelbagai alasan diberikan untuk menagih simpati seperti ahli keluarga sakit, malah saya pernah didatangi seorang lelaki yang mahu membunuh diri kononnya tidak tahan dengan masalah kewangan yang dihadapi,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, dia pernah terserempak dengan pengemis sama di dua masjid berbeza yang sebelum itu datang berjumpanya untuk mengutip derma

“Saya mengesyaki sesuatu dan terus memaklumkan kepada rakan imam di masjid berkenaan supaya berhati-hati bagi mengelak ditipu,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Masjid Abu Hurairah, Kampung Batu di sini, Abdul Latif Abdullah berkata, kumpulan pengemis itu bukan saja terdiri daripada warga tempatan, malah dari negara Timur Tengah yang sedang bergolak seperti Pakistan dan Afghanistan.

“Mereka menggunakan krisis di sana sebagai alasan meraih simpati jemaah dengan menyertakan gambar rakyat yang kebuluran dan keadaan tempat tinggal yang begitu daif,” katanya.

“Jemaah yang terpengaruh dengan rintihan pengemis ini akan mudah memberikan derma,” katanya.

Tambahnya, kumpulan itu juga memohon sumbangan untuk membantu anak yatim dari Maahad Tahfiz di negara mereka dengan menunjukkan dokumen kebenaran daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), tetapi selepas diteliti, semua dokumen itu palsu.

Dalam pada itu, Pengerusi Masjid Zaid Bin Haritsah, Abdul Aziz Mohd Amin, berkata pengemis pelbagai bangsa dan negara akan berada di masjid setiap kali waktu sembahyang kerana ia waktu paling sesuai untuk meraih simpati.

“Biasanya mereka akan datang ke masjid pada waktu Maghrib dan Isyak sebelum merayu jemaah menderma.

“Mereka juga sering menggunakan kesempatan pada solat Jumaat kerana ramai jemaah pada waktu itu,” katanya.

Akhbar ini semalam melaporkan kegiatan satu sindiket meraih ratusan ribu ringgit dengan memperdaya pengurusan masjid dan surau di seluruh negara.

Kegiatan itu dikesan Pertubuhan Hak Asasi untuk Rohingya (HURAR) selepas mendapat aduan daripada orang ramai khususnya pegawai masjid dan ahli jawatankuasa surau yang menjadi mangsa sindiket berkenaan

No comments:

Post a Comment