Friday, December 31, 2010

ADAKAH JENAYAH SERTA BULI BOLEH BERKURANG...JIKA SIFAT SOMBONG...KURANG TOLAK ANSUR...TAK SABAR..DITAMBAH IMAN YANG TIDAK KUAT....JUGA FAKTOR ALAM SEKITAR JUGA MENYUMBANG....PENDIDIKAN AKHLAK BERBILANG KAUM PERINGKAT NASIONAL PERLU DIWUJUDKAN.....

Mangsa tikaman 19 kali jalani pembedahan tampal kulit

SENAI – Mangsa tikaman 19 kali, Nur Ain Ashikin Jemedi, 17, dijangka menjalani pembedahan bagi menampal kulit di seluruh anggota badannya.

Kakak mangsa, Marlina Jemedi, 30, berkata, beliau difahamkan doktor, adiknya perlu menjalani proses tampal kulit selepas keadaan adiknya stabil.

“Kami sekeluarga difahamkan adik memerlukan kulit tambahan kerana kulit yang ada tidak mencukupi untuk menampal keseluruhan kulit yang rosak.

“Doktor nasihatkan supaya memperuntukkan kewangan bagi proses pembelian kulit itu namun faktor kewangan yang tidak mengizinkan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, semalam.

Marlina berkata, keadaan adiknya masih tidak berubah, ada masanya kurang stabil dan masih menjalani rawatan membuang sel kulit mati akibat terkena simbahan asid daripada insiden terbabit.

Katanya, mereka sekeluarga belum dapat menemui mangsa, hanya melihat dari luar cermin.

Sementara itu, menurut Timbalan Pengarah Hospital, Dr Khadijah Abu Bakar dimaklumkan bahawa pesakit masih dalam keadaan tidak stabil dan masih menjalani rawatan cucian.

Katanya, secara umumnya proses menampal kulit akan dilakukan bagi pesakit yang mengalami kulit terbakar.

“Mengikut kes Nur Ain, kami perlu pastikan pesakit dalam kondisi baik sebelum meneruskan rawatan selanjutnya, mangsa masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya.

Menurutnya, pegawai kerja sosial akan membantu mana-mana pesakit dalam soal kebajikan, jika diperlukan.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 pagi 16 Disember lalu, mangsa berasal dari Kampung Baru Sungai Redan, Kota Tinggi ditikam bertubi-tubi di beberapa bahagian tubuh termasuk kiri dan kanan punggung, belakang badan, kedua-dua belah tangan dan kaki selain melecur 75 peratus akibat disimbah dengan asid.


17 kes samun kedai serbaneka
SERDANG – Kaunter bayaran dekat dengan pintu utama, lokasi jauh daripada perumahan penduduk dah hanya seorang kakitangan bertugas dikatakan menjadi punca utama kes samun berlaku di kedai serbaneka .

Difahamkan sejak Ogos lalu, 17 kes samun direkodkan membabitkan kedai serbaneka yang terletak di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang.

Kes yang berlaku termasuk membabitkan kegiatan melarikan rokok, minuman keras serta wang tunai yang diletakkan di bahagian mesin kaunter bayaran.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias berkata, sehubungan itu, pihaknya meminta pihak pengurusan kedai serbaneka agar mengambil langkah bijak bagi mengelakkan kejadian itu daripada terus berulang.

Beliau berkata, antara aspek keselamatan yang patut dititikberatkan termasuk menugaskan sekurang-kurangnya dua kakitangan di kedai pada satu-satu masa atau syif waktu bekerja.

“Ia berikutan ada kejadian samun berlaku apabila hanya seorang pekerja ditugaskan pada satu-satu masa dan lebih malang lagi apabila pekerja itu seorang wanita.

“Saya bukan mendiskriminasikan jantina tetapi soal keselamatan penting untuk mengelakkan kejadian jenayah berlaku di premis masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi dialog bersama 23 pengurus kedai serbaneka di sekitar Puchong, Seri Kembangan dan Puchong, dekat sini, kelmarin.

Menurutnya, aspek lain yang perlu diutamakan termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di luar bangunan kedai kerana ia terbukti mampu membantu polis mengesan penjenayah melalui rakaman wajah yang dirakamkan.

“Saya menyarankan pengusaha melaksanakan tanggungjawab sosial memasang CCTV yang berkualiti kerana ia dapat merakam gambaran suspek dengan jelas.

“Malah apa yang ingin ditekankan, adalah lebih baik sekiranya pengusaha menubuhkan unit rondaan masing-masing kerana ada yang berjaya mencatat sifar jenayah melalui pelaksanaan kaedah itu,” katanya.

Sementara itu, Abd Razak berkata, pengusaha juga perlu memberi kesedaran kepada pelanggan berhubung larangan yang dibuat termasuk tidak membenarkan pemakaian topi keledar, topi besbol dan sebagainya ke dalam premis kerana ia bakal menyukarkan polis mengesan sekiranya berlaku kegiatan jenayah.

“Kes samun yang berlaku banyak membabitkan remaja, kebiasaannya lokasi yang disasarkan termasuk yang terletak jauh dari kawasan perumahan, lokasi baru membangun, atau kemudahan prasarana seperti lampu di luar bangunan tidak berfungsi dengan baik.

“Justeru, saya ingin menyarankan semua pengusaha supaya menyimpan nombor hotline IPD Serdang



Suami isteri teruk kena belasah

JOHOR BAHRU – Percutian suami isteri bersama tiga cahaya matanya ke Cameron Highlands, Pahang, berakhir dengan tragedi berdarah apabila diserang individu dipercayai merupakan pegawai polis pada 26 Disember lalu.

Kejadian yang berlaku di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah arah selatan Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) itu berpunca apabila kereta Tan Khoon Hor, 35, dan Lim Chung Keok, 34, menghalang kenderaan individu terbabit sehingga menimbulkan perbalahan.

Pada kejadian itu, Chung Keok bersendirian di dalam kereta, manakala suaminya, Khoon Hor sedang menemani tiga anaknya ke tandas sebelum didatangi seorang lelaki mengatakan bahawa kenderaan mereka sudah menghalang keretanya.

Chung Keok berkata, dia memohon kerjasama daripada individu terbabit supaya bersabar sementara menunggu ketibaan suaminya dari tandas bersama anak-anaknya, namun tidak diendahkan sekali gus menerima kata caci dan maki.

“Ini adalah kali pertama kami bercuti ke Cameron Highlands dan tidak sangka kegembiraan dirasai dalam percutian dua hari satu malam berakhir dengan ‘mimpi ngeri’.

“Segalanya bermula apabila kami berhenti sebentar di R&R Tapah arah selatan dari Cameron Highlands sekitar jam 8.45 malam untuk pergi ke tandas.

“Oleh kerana tiada tempat meletakkan kenderaan pada ketika itu, kami menghentikan kenderaan di tepi jalan.

“Tapi disangka, hadir seorang lelaki memberitahu kenderaannya dihalang oleh kereta kami dan saya memintanya untuk bersabar sementara menunggu suami serta anak-anak.

“Bagaimanapun, individu ini tidak menerima kata-kata saya malah mengeluarkan kata-kata kesat dan berbaur perkauman seumpama saya adalah warga asing,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Kelab Media Cina Johor Selatan, Jalan Cermat, di sini, semalam.

Chung Keok berkata, individu terbabit sambil dibantu oleh ayahnya melepaskan tumbukan bertubi-tubi ke arah muka suaminya selepas cuba untuk meminta tidak memulakan pergaduhan kerana mahu beredar segera dari lokasi.

“Enggan keadaan bertambah menjadi lebih teruk, suami saya cuba untuk meminta individu terbabit supaya berhenti daripada mengeluarkan kata-kata kesat seterusnya menolak sedikit jauh dari kereta dengan tujuan memudahkan kami beredar dari lokasi.

“Kesan daripada tindakan berkenaan, individu terbabit sambil dibantu beberapa lelaki lain memukul suami saya sehingga menyebabkan kesakitan pada muka, badan dan kepala selain patah dua batang gigi,” katanya.

Katanya, dia segera berusaha meleraikan pergaduhan antara individu terbabit bersama suaminya sambil meminta tolong daripada orang ramai, namun ditolak sebelum ditumbuk di bahagian muka sehingga patah tujuh batang gigi seterusnya rebah di atas jalan raya.

“Melihat perlakuan kejam individu terbabit ke atas saya, suami segera memasukkan saya ke dalam kereta untuk dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan dan membuat laporan polis.

“Sebelum pintu kereta ditutup, individu terbabit sempat menunjukkan kad kuasa pegawai polis kepada suami, namun kami terus beredar dari lokasi kerana tidak mahu keadaan bertambah lebih teruk,” katanya.

Chung Keok berkata, dia sekeluarga terus menuju ke Balai Polis Tapah untuk membuat laporan polis, namun dinasihatkan oleh anggota yang bertugas supaya menuju ke hospital berdekatan bagi mendapatkan rawatan terlebih dahulu.

“Gusi dan bibir saya terpaksa menerima jahitan kerana pecah akibat ditumbuk oleh individu terbabit.

“Kini saya trauma dengan kejadian yang berlaku malah tidak menyangka anggota polis mampu bertindak kejam memukul orang awam hanya kerana masalah kenderaannya dihalang.
“Sejak daripada hari kejadian, saya mengalami kesulitan untuk makan dan malu untuk berhadapan di khalayak ramai dengan keadaan rupa wajah yang bengkak dipukul selain ketiadaan gigi,” katanya.

Justeru, Chung Keok berharap pihak polis dapat membuat siasatan ke atas pegawai terbabit seterusnya mengenakan tindakan dan hukuman sewajarnya supaya kejadian seumpama itu tidak berulang kepada orang lain.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Parti Rakyat Malaysia (PRM) pusat, S K Song berkata, tindakan yang dilakukan oleh individu terbabit adalah ekstrem dan melampau seterusnya perlu dituntut keadilan.

“Saya mahu Ketua Polis Negara membuat siasatan terperinci ke atas individu terbabit yang dipercayai pegawai polis kerana tindakan dilakukan jelas mencemarkan imej pihak berkuasa di mata masyarakat umum.

“Individu terbabit tidak hanya bertindak kasar malah mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman sekali gus tidak mencerminkan semangat 1Malaysia.

“Perkara ini akan diketengahkan supaya pasangan Lim dan Tan mendapat keadilan sewajarnya sekali gus tindakan undang-undang bakal dikenakan ke atas individu terbabit dalam masa terdekat,” katanya.

Selain itu, Song pasti rakyat Malaysia pasti akan berbelah bagi dan kurang yakin terhadap polis sama ada pihak berkuasa bekerja demi keselamatan orang ramai atau bebas untuk melakukan sebarang salah laku yang melanggar undang-undang.

Sementara itu di Perak, Timbalan Ketua Polis Tapah, Deputi Superintendan Abdullah Arshad berkata, pihaknya ada menerima laporan berkaitan aduan pasangan suami isteri terbabit.

Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.



Berlagak alim tidak menjadi

KOTA TINGGI - Dua lelaki yang kononnya berlagak alim dengan memakai songkok ketika menjalankan kegiatan mencuri barangan dengan memecahkan cermin kereta akhirnya terbongkar selepas mereka ditahan polis pada 23 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Osman Muhammad Sebot berkata, dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, kedua-dua suspek berusia 20 dan 27 tahun itu ditahan selepas polis menerima maklumat daripada salah seorang mangsa.

Menurutnya, polis menerima aduan daripada seorang mangsa yang juga kakitangan kerajaan berikutan terdapat kesan pecah pada cermin sisi kiri hadapan kenderaan miliknya di Kompleks Bangunan Kerajaan Sultan Iskandar Jalan Tun Habab di sini.

“Episod kegiatan kumpulan ini berakhir selepas polis berjaya menghidu modus operandi kumpulan ini hasil maklumat orang awam dan pihak keselamatan serta mangsa itu sendiri.

“Mangsa yang bertugas di Kompleks Bangunan Kerajaan Sultan Iskandar Jalan Tun Habab di sini mengadu alat permainan PS 2 bernilai RM500 dalam keretanya didapati dicuri,” katanya kepada Sinar Harian.

Osman berkata, kumpulan yang dikenali sebagai geng pecah cermin kereta itu dipercayai mendalangi pelbagai siri perbuatan yang sama sebelum ini dengan berselindung disebalik identiti kumpulan itu.

“Sebelum ini pihak berkuasa hanya mendapat maklumat bahawa kumpulan pecah cermin kereta itu dipercayai menggunakan kereta Perodua Myvi berwarna hijau serta memakai songkok bagi mengaburi orang ramai.

Bagaimanapun, katanya, hasil siasatan polis mendapati beberapa kes pecah cermin kereta didalangi kumpulan terbabit yang bertindak mengenakan songkok agar kehadirannya tidak dicurigai orang awam.

“Maklumat itu turut menyatakan suspek utama memakai songkok ketika melakukan jenayah itu.

“Difahamkan suspek akan meletakan keretanya bersebelahan kereta mangsa sebelum mengenakan songkok sebelum bertindak memecahkan cermin kereta dengan menggunakan objek keras,” katanya.

Katanya, polis akhirnya berjaya mengesan suspek yang memandu kereta dan mereka disyaki ke arah Jalan Kampung Lukut Cina di sini sebelum kedua-dua mereka untuk tindakan lanjut.

Katanya, polis menerusi satu pasukan khas (task force) anti ragut pada 8 Disember lalu yang diketuai seorang pegawai berjaya menemui pelbagai peralatan termasuk sarung tangan berwarna oren dan kelabu bertulisan ‘Unisafe’, pemutar skru, plier, gunting besi dan pemotong besi.

Selain itu, polis turut merampas satu tin aluminium kecil berwarna biru yang berisi sembilan peket dadah dipercayai syabu.

Katanya, kedua-dua suspek direman hingga 29 Disember dan disiasat �mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut dijalankan bersabit kemungkinan suspek terlibat dengan jenayah lain

No comments:

Post a Comment