RENCANA UTAMA
Kenangan tahun 2010
SEPERTI tahun-tahun yang sebelumnya, tahun 2010 turut diwarnai dengan pelbagai suka-duka, pencapaian dan kontroversi. Dalam senarai peristiwa yang mencatatkan lipatan sejarah tersendiri, masyarakat dunia pada amnya dan rakyat Malaysia khususnya tidak dapat melupakan kekejaman pembunuhan jutawan kosmetik tempatan terkemuka, Datuk Sosilawati Lawiya, 47.
Ketika umat Islam di seluruh dunia bergembira menyambut Hari Raya Aidilfitri, rakyat Malaysia pula dikejutkan dengan berita kematian usahawan itu.
Sosilawati bersama tiga orang rakannya, Kamarudin Shansudin (pemandunya), 44, Noorhisham Mohammad (pegawai bank CIMB), 38, dan peguam peribadinya, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, menjadi mangsa kepada golongan bernafsu tamak haloba.
Keempat-empat individu itu dipercayai dipukul dan dibakar di atas kepingan zink sebelum abu mereka dilupuskan dalam sungai berdekatan ladang Gadong di Tanjong Sepat, Banting, Selangor.
Ramai yang menyifatkan kematian Sosilawati antara pembunuhan paling sadis dalam sejarah jenayah di Malaysia sepanjang dekad ini. Tidak kurang juga ada yang menyamakan pembunuhan ngeri jelitawan dari Batu Pahat, Johor itu dengan tragedi pembunuhan Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang kawasan Batu Talam, Datuk Mazlan Idris kira-kira 17 tahun lalu.
Berikutan pembongkaran kes itu, lima orang suspek termasuk seorang peguam, N. Pathmanabhan, 41, dihadapkan ke Mahkamah Telok Datok, Banting atas tuduhan membunuh jutawan kosmetik itu dengan tiga rakannya.
Nahas bas terburuk
NEGARA terus disajikan dengan berita nahas jalan raya melibatkan bas ekspres pada tahun ini.
Tragedi nahas bas persiaran di Kilometer 15, Jalan Simpang Pulai, Cameron Highlands bukan sahaja menjadi penutup siri kemalangan bas tahun ini, bahkan menjadi nahas terburuk dalam sejarah kemalangan bas tanah air.
Kegembiraan sekumpulan 35 orang penumpang yang rata-ratanya dari Hatyai, Thailand bertukar tragedi apabila bas yang menuju ke Kuala Lumpur dari Cameron Highlands itu hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan terbalik.
Akibat perlanggaran itu, 27 orang mangsa termasuk dua warga Malaysia, Omar Shahidan (pemandu bas), 48 dan Soontorn Kian (pemandu pelancong), 38, terkorban.
Seorang kakitangan bilik mayat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dipetik berkata: “Kami belum pernah menerima sebegitu banyak mayat dalam masa sehari.”
Mavi Marmara ditawan Israel
DALAM kejadian pukul 4.20 pagi 31 Mei lalu, kapal Mavi Marmara yang berada di perairan antarabangsa menghala ke Gaza dikepung dari segenap penjuru oleh tentera Israel.
Kapal yang memuatkan lebih 500 sukarelawan Flotila Pembebasan Gaza itu dikepung oleh tiga helikopter, 19 bot dan lapan kapal laut tentera Israel.
Mavi Marmara mendahului lapan kapal lain dalam misi menghantar 10,000 tan makanan, bahan binaan, bekalan sekolah dan bantuan perubatan ke Gaza.
Seramai 12 rakyat Malaysia turut berada di dalam kapal Mavi Marmara.
Antara rakyat Malaysia yang berada di dalam kapal Mavi Marmara ketika serangan itu ialah wartawan dan jurukamera Astro Awani, Ashwad Ismail dan Shamsulkamal Abdul Latip.
Amarah alam
BANJIR besar yang melanda Kedah dan Perlis dikatakan berpunca daripada fenomena La Nina selain angin kencang dan hujan lebat yang membawa hujan melebihi keadaan biasa bagi tempoh empat bulan bermula November.
Banjir itu yang menenggelamkan puluhan ribu rumah penduduk termasuk rumah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dikatakan yang terburuk sejak lima tahun lalu.
Di pentas antarabangsa pula, amukan alam lain termasuklah banjir besar dalam sejarah Pakistan selain bencana Gunung Merapi di Indonesia.
No comments:
Post a Comment