MAKSIAT SERTA SEGALA KEJAHATAN BOLEH DITUTUP DENGAN KUASA YANG ADA TAPI TIDAK DIPADANG MAHSYAR....TERIMALAH HUKUM ITU SEKALI...MAKA BERTAUBATLAH....
Klip video jurutera mengaku gay dipadam
Dalam posting terbaru laman terbabit, moderator blog itu menjelaskan klip video itu dipadam kerana bimbang tindakan pihak berkuasa ke atas lelaki itu.
“Kami memutuskan untuk menurunkan video ‘Saya gay, Saya OK’ demi keselamatan kerana nyawanya (lelaki terbabit) diancam pelbagai komen dan blog dan pihak berkuasa keagamaan dilaporkan hendak mengambil tindakan ke atasnya,” kata moderator blog itu.
Bagaimanapun, dalam posting sama, moderator blog itu berkeras akan empertahankan hak golongan yang bernafsu songsang seperti gay dan lesbian.
Sementara itu, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memaklumkan belum menerima laporan atau aduan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkenaan laman blog terbabit.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan SKMM kepada Harian Metro semalam, pihak berkuasa boleh memohon kepada SKMM untuk meminta pihak pemberi perkhidmatan Internet menyekat laman web itu daripada diakses pengguna di Malaysia jika didapati melanggar undang-undang negara di bawah Seksyen 263(2) Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.
“Setiap laman web tertakluk kepada undang-undang negara dan untuk kesalahan menghina agama, peruntukan undang-undang yang boleh diguna pakai ialah Kanun Keseksaan dan enakmen jenayah Syariah Negeri yang dikuatkuasakan Jabatan Agama Islam bagi negeri berkenaan,” katanya.
SKMM menyeru semua pengguna siber bersikap lebih rasional dan bijak memanfaatkan kemudahan seperti Internet serta berkongsi maklumat dan informasi yang baik dan positif.
Cekup kaki temberang
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari, lelaki berusia 40 tahun itu mendakwa dia dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Raub datang ke rumah mangsa di Kampung Sungai Pasu, dekat Raub untuk membuat taksiran mengenai bantuan yang perlu dihulurkan.
Bagaimanapun, selepas hampir setengah jam berada dalam rumah mangsa, kaki temberang terbabit kemudian meminta mangsa membayar wang pendahuluan RM1,150 untuk tujuan kos penghantaran barang bantuan kepada mangsa.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Samsuddin Wan Osman berkata, selepas meyakinkan mangsa berusia 60 tahun itu, lelaki terbabit menerima wang pendahuluan sambil disaksikan suami dan anak perempuan mangsa yang kebetulan berada di rumah.
Menurutnya, bagaimanapun, lelaki terbabit kemudian berjanji akan datang semula ke rumah mangsa dengan seorang jurugambar untuk merakamkan gambar bersama barang bantuan dijanjikan kepada mangsa.
Katanya, bagaimanapun, selepas seharian menunggu, mangsa bersama suaminya kemudian menyedari dirinya tertipu sebelum anak perempuan mangsa menghubungi JKM untuk membuat pengesahan bantuan itu.
Laporan berhubung kejadian terbabit dibuat mangsa bersama suaminya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Raub, kelmarin.
“Sepasukan anggota polis yang menjalankan gerakan memburu berjaya mengesan suspek terbabit Felda Sungai Koyan 1 di Lipis pada jam 6.30 petang, kelmarin sebelum dibawa ke IPD Raub untuk siasatan
“Susulan tertangkapnya lelaki terbabit, polis yakin dapat menyelesaikan tiga kes jenayah membabitkan penipuan di daerah ini sebelum ini,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Menurutnya, suspek kini ditahan reman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan tidak lebih 10 tahun penjara, sebat atau denda atau kedua-duanya sekali.
Wan Samsuddin berkata, polis menasihatkan orang awam terutama warga emas tidak mudah terpedaya pujukan segelintir individu tidak dikenali.
Penyamun ala mafia
Dalam kejadian itu, dua lelaki bersenjatakan sebilah parang dan pisau nekad menyamun premis itu walaupun terdapat tiga pekerja termasuk Liow dan adik perempuannya serta lima pelanggan lain ketika itu.
Menurut Liow, ketika dua lelaki yang memakai topi keledar berpenutup muka itu menyerbu masuk ke dalam salonnya, lima pelanggan sedang menunggu giliran untuk bergunting manakala dia dan dua pekerja sedang sibuk melakukan tugas biasa.
“Seorang daripada lelaki itu yang bertubuh gempal manakala rakannya berbadan kurus, kemudian memberi amaran supaya kami tidak membuat bising dan bekerjasama dengan mereka jika tidak mahu dicederakan.
“Keadaan menjadi tidak keruan apabila lelaki berbadan gempal itu tiba-tiba mengeluarkan sebilah parang dari dalam begnya diikuti rakannya itu yang memegang sebilah pisau menyebabkan adik bongsu saya yang berusia 17 tahun pengsan kerana ketakutan,” katanya ketika di temui di tempat kejadian, malam kelmarin.
Liow yang masih trauma dengan kejadian itu berkata, dua lelaki berkenaan bertindak ala mafia apabila mengarahkan mereka mengeluarkan semua wang dari dalam laci selain pelanggan diarahkan menyerahkan semua barang berharga.
“Kemudian, lelaki berbadan gempal itu menerkam ke arah saya sambil memegang parang dan meminta saya menyerahkan semua wang. Namun saya hanya menyerahkan RM300 berserta dua telefon bimbit milik saya.
“Lelaki kurus itu pula mengambil sebanyak RM900 daripada dua pelanggan wanita saya iaitu RM650 daripada seorang pelanggan berusia 38 tahun dan RM250 daripada seorang lagi pelanggan berusia 26 tahun. Selain itu, lelaki itu turut merampas sebuah telefon bimbit milik seorang pelanggan lain
“Selepas mengambil duit dan telefon bimbit, kedua-dua lelaki terbabit terus melarikan diri. Kami semua lega kerana tidak dicederakan,” katanya.
Beliau berkata, selepas penjenayah terbabit melarikan diri, dia terus meninjau di luar namun gagal melihat dengan jelas kenderaan dinaiki mereka sebelum menghubungi polis.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah yang dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.
Katanya, pihaknya kini sedang giat memburu kedua-dua suspek terbabit yang sudah dikenal pasti.
“Kami sudah dapat mengenal pasti identiti kedua-dua suspek terbabit berdasarkan cap jari yang ditemui di tempat kejadian. Saya yakin kita akan dapat memberkas mereka dalam masa terdekat.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata berbahaya yang boleh mendatangkan kematian atau kecederaan.
“Jika disabitkan kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan dua suspek itu turut terbabit dalam kejadian samun juga membabitkan sebuah salon Isnin lalu berdasarkan modus operandi digunakan,
'Suami dipukul bak haiwan'
“Saya sedih dan bingung memikirkan kenapa mereka tergamak memperlakukan suami seperti haiwan dengan memukulnya hingga mati,” kata A Thanabakiam, 64, isteri kepada V Perumal, 67, yang maut dalam kejadian samun dan bunuh di Gopeng, dekat sini, awal pagi semalam.
Kumpulan empat penyamun itu langsung tidak menghiraukan tangisan dan rayuan Thanabakiam, malah penjenayah bertindak ganas apabila memukul muka dan kepalanya dengan besi paip sebelum menekup mukanya menggunakan bantal hingga mati.
Dalam kejadian jam 2.30 pagi di rumahnya di Jalan Mulia, Taman Gopeng Jaya, pasangan suami isteri warga emas itu dikatakan sedang tidur sebelum dikejutkan dengan kehadiran suspek yang dipercayai menceroboh masuk dengan mengumpil pintu belakang.
Menceritakan semula kejadian itu, Thanabakiam yang masih sedih berkata, dia terjaga kira-kira jam 2 pagi untuk ke tandas, namun tidak melihat atau mendengar sesuatu yang mencurigakan.
“Saya kemudian kembali ke bilik untuk menyambung tidur dan sebaik baring, tiba-tiba dua lelaki tidak dikenali yang menutup sebahagian muka mereka dengan kain memasuki bilik sambil mengacukan pisau dan mengarahkan saya menyerahkan semua barang berharga termasuk barang kemas dipakai.
“Mereka mengugut mahu membunuh saya jika membuat bising dan selepas menyerahkan barangan kemas, penjenayah kemudian menggeledah bilik dan menemui wang tunai RM500 yang disimpan dalam bantal untuk rawatan pergigian saya,” katanya. Menurutnya, ketika itu, dia terdengar suaminya berteriak seperti kesakitan di bilik sebelah dan merayu supaya tidak mengapa-apakan mendiang sebelum dua lelaki terbabit mengikatnya.
Katanya, teriakan suaminya semakin kuat sebelum tiba-tiba senyap dan sebaik berjaya meleraikan ikatan di tangan dan kaki selepas beberapa minit mencuba, dia terus bergegas ke bilik suaminya.
Dia kemudian terkejut apabila melihat suaminya terbaring berlumuran darah dalam keadaan kaki dan tangan terikat sebelum merangkul badan mangsa dan berlari ke rumah anak perempuan tunggalnya yang tinggal di kawasan berdekatan meminta bantuan kerana ketika itu, mendiang dipercayai masih hidup.
“Namun sejurus tiba, saya mendapati suami sudah tidak bernafas dan anak perempuan kemudian menghubungi polis manakala pegawai perubatan mengesahkan suami sudah meninggal dunia,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Abdul Aziz Salleh berkata, mayat mangsa yang juga bekas pekerja lombong, ditemui dengan kesan kecederaan parah di muka dan kepala dipercayai dipukul dengan besi paip.
Lelaki ditetak di tapak binaan
Lebih memilukan, Nordiana berkata, anak pertama mereka yang dikandungnya selepas dua tahun berkahwin bakal lahir tanpa ayah kira-kira empat bulan lagi.
“Kami sudah mendirikan rumah tangga selama dua tahun dan arwah suami terlalu inginkan cahaya mata, tetapi hasratnya tidak kesampaian untuk menyambut kelahiran anak pertama kami,” katanya.
Menurut Nordiana, kali terakhir dia berbual dengan Jalidin adalah ketika arwah suaminya pulang daripada tempat kerja Isnin lalu dan sempat menceritakan masalah dihadapi di tempat kerja.
“Sebelum kejadian, suami menceritakan berlaku pertengkaran dengan seorang rakan lama di tempat kerja selain diugut akan dipukul.
‘’Namun, saya hanya menganggap ia masalah kecil dan tidak menyangka akhirnya suami dibunuh kejam,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.
Jalidin, 34, ditemui terbaring berlumuran darah dengan lima kesan tetakan di beberapa bahagian badan termasuk leher dan kedua-dua tangan hampir putus.
Difahamkan, ketika kejadian, seorang saksi enggan dikenali berusia 37 tahun yang juga pengawal keselamatan di tapak pembinaan itu melihat mangsa dikejar dua lelaki dengan seorang daripada mereka memegang parang.
Menurut Nordiana, sebaik dimaklumkan perkara itu, dia hanya mampu berdoa supaya suaminya berada dalam keadaan selamat.
Tiru aksi filem Hollywood
Bagaimanapun, suspek yang baru berjinak-jinak dengan jenayah berusia antara 17 hingga 21 tahun itu menyangkakan mereka cukup handal apabila melarikan wang tunai RM550 dan pelbagai barangan termasuk 30 pemetik api dari sebuah kedai runcit.
Difahamkan, remaja berasal dari Bandar Baru Permas Jaya, Kempas, Seri Alam itu bergiat aktif pada awal pagi dengan menyasarkan premis perniagaan sekitar bandar ini.
Antara premis dipecah mereka termasuk sebuah kedai runcit di Jalan Niaga 5 di sini, sebelum pemiliknya yang tinggal di Taman Kota Jaya dimaklumkan kejadian itu jam 5 pagi, 23 Disember lalu.
Tidak berpuas hati dengan hasil yang terlalu sedikit, kumpulan penjenayah itu memecah masuk sebuah lagi kedai di Taman Kota Besar di sini.
Bagaimanapun, kegiatan kumpulan itu menggunakan van putih itu dilihat orang ramai ketika mereka memecah masuk kedai tayar berkenaan sebelum menghubungi polis.
Dua hari kemudian, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi yang dalam perjalanan pulang dari Kulaijaya selepas menahan seorang suspek kes ragut terserempak dengan van kumpulan penjenayah itu yang disenaraikan sebagai dikehendaki polis.
Sebaik penjenayah menyedari kehadiran polis, van Mitsubishi putih itu memecut hingga ke Kulaijaya sebelum hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar sebuah rumah di tepi jalan
Sebaik van itu terperosok di tepi rumah itu, kumpulan remaja itu bertempiaran lari secara berasingan sebelum dua daripada mereka dicekup selepas pergelutan singkat dengan anggota polis.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Osman Muhammad Sebot mengesahkan dua suspek berusia 17 dan 21 tahun itu ditahan dan polis merampas sebuah van yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Katanya, pihaknya turut menemui sebahagian barangan dipercayai dicuri termasuk beberapa kad mesin juruwang automatik (ATM) serta kabel yang disambung kepada dua set pencangkuk.
Katanya, polis masih menyiasat pemilik kenderaan yang dipercayai sudah diubah suai nombor casis itu.
Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 453 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut mendapati kedua-dua lelaki itu bersama empat lagi yang masih bebas turut terbabit dalam satu kes kecurian kenderaan yang dilaporkan di Seri Alam, Pasir Gudang, sebelum ini.
“Kami sudah mengetahui identiti empat lelaki yang masih bebas itu dan meminta mereka menyerah diri bagi membantu siasatan,” katanya
Serangan 12 samseng
Mangsa, S Segaran, 35, berkata, dia sedang makan malam bersama seorang rakan sekerja di kawasan perindustrian Taman Kota, Masai, Ahad lalu sebelum sekumpulan lelaki menaiki enam motosikal meluru ke arahnya sambil menghunus parang.
Katanya, kejadian kira-kira jam 8.45 malam itu berlaku di depan orang ramai yang tidak mampu berbuat apa-apa kerana bimbang turut diserang kumpulan lelaki dipercayai berusia antara 25 dan 35 tahun.
“Sekumpulan lelaki menaiki enam motosikal berhenti di depan kedai sebelum meluru ke arah saya sambil melibas parang.
“Semua 12 lelaki yang memakai topi keledar tidak berkata apa-apa, sebaliknya terus membelasah dan melibas parang ke arah saya sebelum tidak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui di wad Hospital Pakar Puteri di sini, semalam.
Katanya, dia mendakwa mengecam dua suspek berkenaan yang sebelum ini ditahan kerana memecah masuk sebuah kilang untuk mencuri aluminium tahan karat dan skru.
“Ketika di Balai Polis Seri Alam, suspek mengancam akan ‘mengajar’ saya dengan berkata ‘kau tunggu nanti ada masa kita sampai mahu ajar sikit’.
“Selepas itu, konco-konconya datang mengugut dan saya menyerahkan RM500 sebagai wang perlindungan untuk tidak diapa-apakan, tetapi dua bulan selepas itu saya diserang,” katanya
Isteri mangsa, L Indrani, 30, berkata dia terperanjat ketika dimaklumkan mengenai suaminya yang berlumuran darah dan pengsan.
Katanya, dia kecewa kerana semua suspek masih bebas sedangkan dia kini hidup dalam ketakutan bersama dua anak yang masih kecil.
Menurutnya, selepas suaminya dihantar ke Wad Kecemasan Hospital Sultan Ismail (HSI) tengah malam hari kejadian, suaminya tidak diberikan sebarang ubat dan suntikan hingga jam 10.30 pagi pada keesokan hari.
Katanya, pegawai perubatan memberitahu giliran suami adalah ke-85 dan baru tiga pesakit menjalani pembedahan, tetapi jika mahu rawatan segera suaminya perlu dirujuk ke hospital swasta.
“Apabila saya mahu menukarkannya ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), pegawai berkenaan berkata hospital itu turut penuh dan jika mahu cepat perlu ke hospital swasta.
“Saya sedih kerana suami yang cedera parah tidak diberi sebarang ubat atau suntikan dan apabila dimasukkan ke hospital swasta, doktor di situ berkata jika lewat dua jam, suami akan kudung,” katanya.
Ahli Lembaga Pelawat Hospital HSI, Chen Boon Ping berkata, pihaknya akan menyiasat dakwaan itu sebelum mengambil tindakan.
D7 tumpas judi RM1.8 bilion
Dalam serbuan di semua premis perjudian haram itu juga, 16,511 individu diberkas manakala 16,511 mesin perjudian dirampas.
Pengarah D7 Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata, semua serbuan itu dilakukan dalam Ops Dadu membabitkan pelbagai kegiatan perjudian termasuk loteri haram, judi ekor haram, judi dalam bangunan, judi tempat bebas, mesin komputer perjudian dan Ops Soga sempena kejohanan Piala Dunia 2010, Jun lalu.
Beliau berkata, beberapa individu juga sudah dikenakan tindakan mengikut Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).
“Kita sentiasa memburu penganjur perjudian haram untuk melumpuhkan terus kegiatan ini.
“Penganjur membuka peluang orang ramai berjudi dan jika kita tutup ruang serta peluang itu, indeks jenayah perjudian dapat dikurangkan lagi,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini, semalam.
Katanya, dalam Ops Noda iaitu tindakan membanteras aktiviti maksiat pula, seramai 10,825 wanita warga asing ditahan membabitkan 16,940 serbuan.
“Tangkapan wanita warga China mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 5,453 orang diikuti Thailand (1,597 orang) dan Indonesia (1,270 orang),” katanya
Menurutnya, dalam Ops Pintas pula iaitu tindakan terhadap membanteras pemerdagangan orang, 857 mangsa diselamatkan dalam 115 kes dilaporkan manakala 187 individu ditahan.
Rayuan bekas isteri ditolak
Sehubungan itu tiga panel hakim diketuai Hakim Syarie, Tan Sri Ibrahim Lembut bersama Hakim Syarie Datuk Md Yusup Che Teh dan Hakim Syarie Datuk Hussin Harun membuat keputusan prosiding perbicaraan tuntutan ganti rugi perkahwinan bernilai RM53,460 oleh bekas suaminya itu akan diteruskan.
Faizah Mohamad, 33, sebelum ini memfailkan bantahan awal terhadap permohonan Roslin, 35, yang diwakili peguam syarie Roslizam Rahim menuntut ganti rugi perkahwinan mereka.
Roslin memfailkan kes induk (tuntutan ganti rugi selepas perceraian) di Mahkamah Tinggi di sini dan Faizah memfailkan bantahan awal sebelum ditolak mahkamah sama.
Berikutan itu, mahkamah memerintahkan kes induk didengar serta dibicarakan, bagaimanapun, Faizah selepas itu memfailkan permohonan semakan sebelum ditolak dan mahkamah menyatakan proses sesuai melalui rayuan.
Hakim Syarie Md Yusup yang membacakan keputusan itu berkata pemohon iaitu Faizah yang diwakili peguam syarie, Mohammad Amir Nazli Hussin gagal mengemukakan alasan mencukupi bagi membolehkan mahkamah membenarkan permohonan ini.
“Peguam syarie sepatutnya tahu forum sesuai mereka memfailkan bantahan awal terhadap permohonan ganti rugi itu melalui rayuan dan bukan semakan kehakiman. “Kecuaian ini menyebabkan responden (Roslin) dan juga pemohon kerugian dari segi wang dan masa kerana isu ini berlanjutan hampir setahun sehingga prosiding perbicaraan tidak dapat dijalankan,” katanya.
Beliau turut menegur alasan pemohon yang mendakwa tiada garis panduan jelas mengenai prosedur tepat walhal sememangnya ia dinyatakan pada arahan amalan Mahkamah Syariah dan perlu diketahui pengamal undang-undang.
Mahkamah merumuskan pihak pemohon cuai dalam memilih prosedur tepat dan sesuai,” katanya.
Peguam syarie Roslizam yang ditemui media di luar mahkamah memberitahu 11 Januari tahun depan ditetapkan sebutan kes itu.
Pada 21 Oktober tahun lalu, Roslin mengemukakan tuntutan perbelanjaan merisik antaranya cincin RM1,900, kos pengangkutan (RM200) dan barangan pertunangan (RM2,915).
Pasangan yang bernikah 31 Januari tahun lalu menjadi isu hangat apabila pemain badminton negara itu tiba-tiba melafazkan cerai talak satu selepas 12 hari mendirikan rumah tangga.
Roslin melangsungkan perkahwinan kedua dengan Pengarah Pemasaran dan Promosi, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Nurhayati Othman, 39, pada 9 Julai lalu. Perkahwinan itu hanya bertahan 28 hari selepas Roslin melafazkan cerai, 7 Ogos lalu
Dua wanita hamil berdepan hukuman gantung
Mereka, Nurriza Zainal, 27, dari Taman Bachang Baru yang juga tertuduh keempat dan Nur Asikin Abd Rahman, 24, dari Tangga Batu Tanjung Minyak, tertuduh kelima.
Turut didakwat ertuduh pertama, Mohd Shafie Salleh, 24, dari Padang Temu, dekat sini; Mohd Rizal Ismail, 31, (kedua) dari Jalan Penghulu Ismail (kedua), Parit Muar, Johor; adik Nurriza iaitu Noorfazry,19, (ketiga) dari Pangsapuri Mutiara Melaka Baru dan Mohd Fazrin Muslin Md Ghazali, 22, (keenam) dari Jalan Molek 1, Taman Ayer Molek.
Kecuali Mohd Fazrin Muslin (pekerja kedai telefon), lima lain tidak bekerja dan semua mereka ditangkap bersama pada 17 Disember lalu.
Berdasarkan pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama pada 17 Disember lalu, kira-kira 9 malam di rumah No 214 Lorong Singa 6, Taman Sin Hoe, Bukit Baru, mengedar dadah jenis kanabis seberat 202.7 gram.
Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa mengedar dadah methamphetamine seberat 66.7 gram di tempat, masa dan tarikh sama.
Kedua-dua kesalahan didakwa dilakukan mengikut Seksyen 39B(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama iaitu membawa hukuman gantung sampai mati, jika disabit kesalahan.
Sejurus dibacakan pertuduhan dan diterangkan oleh jurubahasa mahkamah, semua mereka mengangguk faham tetapi tiada pengakuan direkodkan Majistret Mohd Fairuz Johari.
Semua tertuduh tidak diwakili peguam menghadapi satu lagi pertuduhan lain, memiliki dadah berbahaya nimetazepam seberat 16 gram di tempat, masa dan tarikh sama.
'Saya salah faham'
Maher Zain, 28, berkata dia tidak bermaksud mahu menimbulkan masalah jauh sekali untuk menghampakan peminat kerana dia difahamkan program itu diadakan pada keesokan harinya.
“Apapun, saya minta maaf kepada semua sekiranya saya menghampakan anda,” katanya yang ditemui pada sidang media konsert sulungnya di Malaysia di Menara Kuala Lumpur, di sini, semalam.
Optimis insiden itu tidak akan mencalarkan imejnya, Maher Zain berkata apa yang berlaku bukanlah salahnya, namun dia juga enggan menyalahkan mana-mana pihak.
Mengulas mengenai dirinya yang tersenarai di tangga teratas dalam carian paling popular, Google, Maher Zain menganggap perkara itu adalah satu bonus buat dirinya.
“Saya berterima kasih kepada semua peminat yang menyokong dan menerima muzik saya. Saya amat terharu dan apa yang saya alami ini satu pengiktirafan yang diberikan kepada peminat.
“Ini semua adalah rezeki daripada Yang Maha Esa. Saya sangat bersyukur di atas apa yang diberikan kepada saya selama ini,” katanya.
Pada majlis itu, Maher Zain turut menerima lapan plak platinum atas kejayaan penjualan albumnya Thank You Allah di negara ini yang terjual sebanyak 120,000 unit di negara ini sejak di pasarkan Mei lalu.
Malah demi peminat yang setia menyokong karier seni dan muziknya, Maher Zain juga akan muncul dengan single baru, Insya-Allah versi bahasa Melayu.
“Saya akan berusaha menyiapkan single dalam Bahasa Melayu ini secepat mungkin. Justeru, saya kini sibuk mempelajari bahasa Melayu supaya memudahkan saya untuk menjalankan proses rakaman ini,” ujarnya.
Selain albumnya yang mencatat penjualan tertinggi di negara ini, Maher Zain juga turut memiliki seramai 1.6 juta peminat di laman Facebooknya apabila 900,000 daripada jumlah itu peminat Melayu.
Apabila ditanya adakah dia kembali ke Malaysia kerana ingin mengambil kesempatan atas popularitinya, Maher Zain berkata semua itu tidak betul dan dia tidak pernah berniat seperti itu, cuma mahu berkongsi mesej yang baik demi kebaikan bersama.
Sementara itu, mengulas mengenai konsertnya yang bakal diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam, pada 25 dan 26 Februari kelak, dia menjanjikan persembahan yang terbaik.
“Saya janji akan memberikan persembahan terbaik kepada peminat. Saya mahu berkongsi semuanya dengan mereka. Mungkin persembahan lalu, masa yang saya ada terlalu singkat. Jadi, kali ini saya yakin semua yang hadir akan terhibur dengan rangkaian lagu-lagu saya,” katanya.
'Kami tak ambil risiko'
“Dengan modal tinggi takkanlah kami nak ambil risiko merosakkan bas itu mengguna alat ganti tiruan dan seterusnya perlu mengeluarkan modal lain untuk membaikinya,” kata Yang Dipertua Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Semenanjung Malaysia (Pembawa), Tajudin Mohd Yunus.
Menurutnya, kebanyakan bas ekspres beroperasi di negara ini buatan Eropah dan menggunakan alat ganti tulen yang memenuhi standard piawaian pengeluar.
Malah, katanya, beberapa tragedi kemalangan yang berlaku turut membabitkan bas baru dan tidak wajar mendakwa bas baru berkeadaan baik serta berprestasi tinggi menggunakan alat ganti tiruan.
“Kita akui ada beberapa perkara boleh menjadi faktor kemalangan termasuk bas tidak diselenggara dengan baik, keadaan permukaan jalan raya tidak elok dan kecuaian pemandu.
“Namun, kita nafikan dakwaan kononnya penggunaan alat ganti tidak tulen punca utama kemalangan bas ekspres. Bas mahal takkanlah kami nak beli alat ganti tiruan,” katanya.
Beliau mengulas dakwaan Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja Pengangkutan Semenanjung Malaysia (TWU), Datuk Zainal Rampak yang dilaporkan berkata, penggunaan alat ganti tiruan menjadi antara faktor penyebab kemalangan maut membabitkan bas ekspres di negara ini.
Laporan akhbar, semalam turut memetik Setiausaha Agung TWU itu sebagai berkata, antara penyebab mengapa syarikat pengusaha bas menggunakan alatan ganti tiruan adalah bagi mengurangkan kos selenggara kenderaan terbabit yang dikatakan begitu tinggi, selain ia mudah didapati. Sementara itu, laporan Bernama memetik Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh berkata pengusaha bas atau pengangkutan komersial yang masih berdegil menggunakan alat ganti tiruan perlu digantung permit mereka.
“Kalau syarikat itu terus berdegil...pertama denda dan permit akan digantung, soal alat ganti tiruan ini tidak boleh bertolak ansur sebab ia membabitkan nyawa penumpang dan jangan hanya memikirkan keuntungan semata-mata,” katanya.
Suret berkata, pemantauan dan pemeriksaan oleh pihak berkenaan penting untuk memastikan setiap pengusaha bas dan pengangkutan komersial menggunakan alat ganti tulen dan dijamin kualiti ketahanannya
No comments:
Post a Comment