NEGARA
MCA 1 cecah nilai RM300,000
KUALA LUMPUR - Keputusan penuh tender nombor pendaftaran MCA akan dipamerkan di pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka dan boleh disemak melalui laman web JPJ di www.jpj.gov.my mulai pagi ini.Sebanyak 965 permohonan tender telah diterima oleh JPJ bagi pendaftaran kenderaan 'MCA', siri nombor 1 hingga 9999 bermula 24 November hingga 14 Disember lepas.
"Antara nombor pendaftaran yang ditender pada harga tertinggi adalah nombor pendaftaran 'MCA 1' pada harga RM300,100, 'MCA 2' pada harga RM101,000 dan 'MCA 8' pada harga RM88,168," menurut kenyataan Kementerian Pengangkutan di sini semalam.
Katanya, tender nombor pendaftaran terbanyak diterima oleh JPJ adalah 'MCA 888' dengan 15 bidaan tender yang ditawarkan pada harga RM15,400.
Nombor pendaftaran siri 'MCA 1' merupakan nombor pendaftaran yang mendapat bidaan tender harga tertinggi diikuti dengan siri 'TAY 1' yang ditender pada harga RM242,000 dan 'TAN 1' yang ditender pada harga RM200,900, katanya.
Katanya, menerusi bidaan proses tender dan tempahan nombor pendaftaran siri 'MCA', JPJ dijangka mengutip sebanyak RM1.5 juta sebagai hasil kerajaan.
NEGARA
Akhirnya mereka bertemu
KUANTAN - Pencarian sepasang suami isteri bekas warganegara Vietnam untuk menjejak seorang askar Melayu bernama Ali yang pernah membantu mereka semasa menjadi pelarian di Pulau Bidong, Kuala Terengganu di antara tahun 1979 hingga 1980 berakhir di sini semalam.
Van Quang Nguyen, 51, dan isterinya, Thi Bay Nguyen, 51, berjaya menemui lelaki tersebut yang nama sebenarnya Mohd. Subri Zainal Abidin di Gambang di sini.
Menurut Mohd. Subri, 54, beliau memperkenalkan dirinya sebagai Ali kepada pasangan itu kerana sebutan nama penuhnya sukar untuk disebut oleh orang Vietnam.
"Kalau saya perkenalkan diri saya sebagai Mohd. Subri, mereka sukar untuk menyebut. Jadi, saya perkenalkan diri sebagai Ali sebab nama itu mudah disebut," katanya semasa ditemui di rumahnya di Lepar Hilir, Gambang di sini.
Kosmo! pada Julai lalu melaporkan usaha pasangan Van Quang dan Thi Bay yang datang ke negara ini untuk mencari seorang askar Melayu bernama Ali yang membantu mereka semasa menjadi pelarian di Terengganu.
NEGARA
Lelaki 110 tahun ingin kahwin lagi
ALOR SETAR - Anda mungkin terkejut apabila seorang warga emas yang berusia lebih 100 tahun masih berkeinginan untuk berkahwin bagi mengubat kesunyian.
Biarpun mata kabur dan pendengaran kurang baik, namun Ahmad Md. Isa, 110, yang lahir pada 7 Oktober 1909 masih sihat dan mengingati kisah silamnya kelihatan bertenaga seolah-olah umurnya 70 tahun.
Beliau memberitahu, walaupun dia dijaga dengan baik oleh anak perempuannya, Fatimah, 64, namun dia masih berhajat untuk berumah tangga kerana mahukan teman untuk berkongsi hidup.
"Saya terasa sunyi tanpa teman. Tidur malam berasa takut, jika ada teman tidaklah berasa sunyi boleh bersembang dan bercerita kisah suka dan duka
NEGARA
Penderitaan si kecil berakhir di sisi ibu bapa
PEKAN – “Saya sempat memangku Siti Zubaidah di riba saya ketika dia mengadu sukar untuk bernafas, tidak berapa lama kemudian dadanya berombak dan dia menghembuskan nafas terakhirnya dengan tenang.”
Demikian cerita Abdul Razak Ali, 56, yang sedih mengenai pemergian anaknya, Allahyarhamah Siti Zubaidah, kanak-kanak malang yang menghidap penyakit leukemia di Kampung Baru Cenderawasih, Sungai Miang di sini kelmarin.
Kelmarin, kanak-kanak comel berusia empat tahun itu mengakhiri penderitaannya selama hampir enam bulan apabila dia meninggal dunia pada pukul 7.10 malam di rumahnya sambil ditemani kedua orang tuanya.
Mengimbas saat-saat akhir kematian anak bongsunya itu, Abdul Razak berkata, Siti Zubaidah tidak langsung menampakkan bahawa dia akan pergi meninggalkan mereka buat selama-lamanya ketika itu
NEGARA
Penjenayah parah ditembak
KUALA LUMPUR – Tindakan nekad seorang pengedar dadah untuk melarikan diri membawa malang kepada empat individu apabila dua daripada mereka parah selepas dirempuh kereta yang dinaiki suspek dalam kejadian dekat Blok E, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri, Kepong di sini semalam.
Kejadian pukul 11.15 pagi itu mengakibatkan seorang wanita berusia 36 tahun melecur di kaki terkena ekzos kereta jenis Perodua Kancil yang dipandu suspek dan seorang lagi wanita berusia 55 tahun patah tangan kanan dan cedera di kaki.
Turut cedera ringan ialah seorang ibu berusia 40 tahun dan anak lelakinya berusia sembilan tahun.
NEGARA
Isteri didakwa cederakan suami
SHAH ALAM - Seorang lelaki bersama seorang wanita yang juga isteri kepada seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan mencederakan anggota polis itu sehingga cedera parah menggunakan kayu di Hulu Yam, Selayang dekat sini November lalu.
Dua tertuduh itu ialah A. Stevan, 22, dan tertuduh kedua, isteri anggota polis itu, S. Kasturi, 27. Kedua-dua tertuduh yang didakwa berkawan baik itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan mereka dalam bahasa Tamil oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut kertas pertuduhan, pasangan itu dituduh bersama-sama mendatangkan kecederaan parah secara sengaja terhadap Lans Koperal G. Vimal Raj, 25, menggunakan kayu di tempat letak kenderaan di Hulu Yam, Selayang, Selangor pada 11 November pukul 1 pagi
NEGARA
Penjual gelaran Datuk dicari polis
SEREMBAN – Polis sedang mengesan seorang lelaki berhubung kes penipuan menjual anugerah gelaran Datuk kepada seorang ahli perniagaan pada tahun lalu.
Lelaki berkenaan, Jaspal Singh a/l Ajaib Singh, 36, dipercayai dapat membantu siasatan kes tawaran anugerah gelaran itu kepada seorang ahli peniagaan berkenaan membabitkan bayaran RM20,000.
Seorang jurucakap polis berkata, mangsa mendakwa ditawarkan seorang lelaki anugerah ‘Datuk’ sekiranya sanggup membayar sejumlah wang.
“Mangsa kemudiannya dikehendaki membayar deposit berjumlah RM5,000 kononnya sebagai kos tempahan meja untuk satu majlis santapan diraja di sebuah hotel terkemuka di sekitar ibu negara.
“Bagaimanapun, mangsa yang curiga dengan lelaki berkenaan tidak membuat sebarang bayaran dan melaporkan perkara itu kepada polis,” katanya di sini semalam.
Katanya, polis kini sedang mengesan suspek yang juga seorang ahli perniagaan dan alamat terakhirnya di No.22, Jalan Teladan 25/22, Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu,” ujarnya.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai Jaspal Singh diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd. Haffiz Rosni di talian 012-4995823.
No comments:
Post a Comment