Batalkan keputusan roboh BB Plaza
|
KUALA LUMPUR - Kementerian Pengangkutan digesa campur tangan untuk membatalkan keputusan merobohkan pusat beli-belah Bukit Bintang Plaza (BB Plaza) yang dilihat sebagai pusat perniagaan strategik orang Melayu di Kuala Lumpur.
Pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat semalam, Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) berkata, selain menjadi kerisauan peniaga, isu itu turut mengundang persepsi negatif orang Melayu yang mula merasakan kepentingan mereka semakin mudah terhakis.
"Kementerian ada kaitan dengan perancangan untuk membina Transit Pantas Massa (MRT).
"Jadi, setuju atau tidak kita minta kementerian campur tangan dan pastikan kalau betul serius dalam setiap agenda mempertahankan kepentingan Melayu dalam bandar, hentikan cadangan merobohkan BB Plaza," katanya.
Ibrahim berkata demikian ketika mencelah semasa perbahasan Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2012.
Didenda RM6,000 biarkan 30 kucing kebuluran
|
|
PETALING JAYA – Dua pengusaha kedai penjagaan haiwan Petknode didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam atas 30 pertuduhan mengabaikan tanggungjawab menjaga makan minum 30 ekor kucing yang ditinggalkan pemiliknya ketika sambutan Aidilfitri tahun lalu.
Majistret K.B. Elena Hong Tze Lan menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Shahrul Azuwan Adanan, 30, dan Yushairi Khairuddin, 30, selepas mereka mengaku bersalah mengabaikan tanggungjawab menjaga kucing-kucing milik 10 pelanggan sehingga menyebabkan kesakitan dan penderitaan terhadap haiwan berkenaan.
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di kedai Petknode Online Pet Store beralamat Nombor F001B, Level 1, Seasons Square Plaza, Jalan PJU 10/3, Damansara Damai di sini antara 3 September hingga 4 September 2011.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 44(1)(d) Akta Binatang 1953 (Akta 647) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 44(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM200 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.
Ketua jurulatih bola dipenjara
SEREMBAN – Bekas ketua jurulatih skuad Piala Presiden Negeri Sembilan dihukum penjara 25 tahun dan denda RM200,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas disabitkan bersalah atas 20 tuduhan rasuah berjumlah RM24,700 kepada para pemain skuad berkenaan untuk mengatur keputusan satu perlawanan pada April tahun lalu.
Yusarman Yusof, 36, kelihatan tenang selepas keputusan dibacakan oleh Hakim Datin Nursinah Adzmi yang mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.
“Mahkamah mendapati tertuduh disabitkan dengan kesalahan dan menjatuhkan hukuman penjara 15 bulan untuk setiap tuduhan dan denda RM10,000 bagi setiap kesalahan,” katanya.
Bagaimanapun, Nursinah memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak dan membenarkan hukuman ditangguhkan sehingga keputusan rayuan di Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Yusarman bersama dua lagi lelaki yang masih bebas didakwa memberi rasuah berjumlah RM24,700 kepada 11 pemain bola sepak pasukan Piala Presiden Skuad Rusa antara 19 hingga 22 April tahun lalu.
Kesemua pemain terbabit, iaitu D. Adrian, Mohamad Zulfadhlie Mohamad, Muhammad Zaidi Othman, Mohamad Yatim Abdullah, Muhammad Haikal Mohamad Nazri, Norhairi Abd. Rahman, Muhammad Rizqi Azman, Suhairy Johari, Anwarul Hafiz Ahmad, Hamirul Fahamie Abu Yazid dan Mohd. Hafiz Mohd. Nor menerima suapan RM300 hingga RM2,000 setiap seorang.
Suami membunuh dipenjara 15 tahun
|
|
JOHOR BAHRU – Seorang penjual roti canai dijatuhi hukuman penjara 15 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam kerana menyebabkan kematian isterinya dua tahun lepas.
Hakim Datuk Abd. Halim Aman memerintahkan Mohd. Rizal Esa, 32, menjalani hukuman itu mulai tarikh dia ditangkap pada 25 April 2010 selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Sebaik keputusan selesai dibacakan pada pukul 10.45 pagi, Mohd. Rizal dilihat menangis dan berpelukan dengan ahli keluarganya yang menunggu di mahkamah.
Dia juga dilihat beberapa kali mengucapkan syukur.
Mohd. Rizal yang diwakili peguam John Fernandez sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Mengikut kertas pertuduhan, Mohd. Rizal didakwa membunuh isterinya, Ahzila Mohamad Sufian, 25, yang merupakan seorang pekerja sebuah kedai kek di Nombor 214, Tingkat 12, Blok C, Rumah Pangsa Larkin di sini antara pukul 1.30 dan 3 pagi 24 April 2010.
Tertuduh dikatakan menikam Ahzila dengan pisau sehingga menyebabkan mangsa patah tulang rusuk manakala pisau itu pula menembusi ke belakang mangsa. Kejadian itu berlaku ekoran salah faham dalam keluarga itu.
Sebanyak 19 orang saksi dipanggil untuk memberi keterangan.
Tanam bayi belakang warung
|
|
KLUANG - Rahsia besar seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang tergamak menanam bayinya sendiri di belakang sebuah warung di Kampung Baru di sini sejak dua bulan lalu terbongkar apabila 'kubur' bayi malang itu digali polis Isnin lepas.
Mayat bayi yang belum diketahui jantinanya itu ditemui secara tidak sengaja pada pukul 11 pagi selepas seorang penduduk tercium bau busuk ketika hendak menanam bangkai kucing di kawasan tersebut.
Bayi itu dibungkus menggunakan plastik merah sebelum ditanam. Polis kemudian menahan remaja itu di rumahnya yang terletak kira-kira 20 meter dari lokasi mayat bayi tersebut ditemui.
Soal siasat mendapati bayi itu dilahirkan hasil hubungan sulit suspek dengan teman lelakinya berusia 20-an. Penganggur terbabit kini dicari polis.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd. Ali berkata, siasatan mendapati bayi itu telah ditanam pada April lalu sebaik dia dilahirkan.
Mati tanpa lesen
|
|
MELAKA – Hajat seorang datuk untuk menikmati sarapan terbantut selepas dikejutkan dengan kemalangan maut membabitkan cucu saudaranya di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) berhampiran Bertam Ulu di sini semalam.
Kejadian pukul 7.30 pagi itu mengakibatkan pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Agama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Al-Ahmadi, Sungai Udang, Muhammad Hakimi Mohammad Tarmizi, 16, meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.
Kemalangan berlaku apabila motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang mangsa telah terbabas menyebabkannya tercampak ke jalan bertentangan.
Difahamkan, sebelum kejadian, arwah dalam perjalanan ke sekolah yang terletak kira-kira empat kilometer dari rumahnya di Kampung Bertam Ulu. Dia tidak mempunyai lesen.
Bujang Senang masih hidup?
KUCHING - Legenda seekor buaya dikenali dengan nama Bujang Senang yang pernah mengganas di Sarawak sekitar tahun 1980-an dan 1990-an dikatakan masih mendiami Sungai Batang Lupar, Sri Aman dekat sini.
Perkara itu didedahkan oleh pawang buaya tersohor dari Betong, Indet Sanabong, 49, yang mendakwa melihat kelibat buaya sepanjang hampir enam meter tersebut pada Ogos 2004.
Menurutnya, ciri-ciri buaya yang dilihatnya itu benar-benar menyerupai Bujang Senang yang mempunyai belang putih di belakang dan warna kulitnya kelabu.
"Saya percaya Bujang Senang masih hidup berdasarkan ciri-ciri yang ada pada buaya yang saya lihat," katanya di sini kelmarin.
Dakwanya lagi, buaya tersebut mengaku dirinya Bujang Senang selepas dia berdialog secara batin dengan reptilia itu.
Mengimbas kejadian bertemu dengan buaya tersebut, Indet bersama adiknya, Tinggi Sanabong, 48, pergi ke Sungai Batang Lupar bagi menangkap buaya putih untuk dipamerkan di Taman Buaya Miri ketika itu.
Tanggung derita akibat ketumbuhan di muka
KUALA LUMPUR – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.Itulah peribahasa yang sesuai bagi menggambarkan kesedihan seorang ibu, Hee Thye Tai, 66, yang hanya mampu melihat penderitaan anaknya, Leong Chee Ming yang mengalami masalah ketumbuhan pada muka.
Kecacatan di muka Chee Ming itu adalah akibat penyakit Port Wine Stain atau kecacatan salur darah yang dihidapinya sejak lahir lagi.
Biarpun sudah berusia 42 tahun, Chee Ming tidak seperti orang dewasa lain.
Dia tidak pernah mempunyai pengalaman manis sewaktu zaman persekolahan bahkan tidak mempunyai kawan sepermainan disebabkan ketumbuhan pada mukanya menakutkan orang lain.
Menurut Thye Tai, muka anaknya itu pada mulanya hanya bengkak sedikit ketika kanak-kanak tetapi ia semakin membesar mengikut peningkatan usia anaknya.
Katanya, anaknya pernah menjalani pembedahan membuang satu ketumbuhan pada dahi semasa berumur 16 tahun.
Bilal, Siak terkejut mayat bayi di tangga masjid
KLANG – Seorang bilal dan siak Masjid Badariah Batu 12, Kapar di sini terkejut apabila mendapati bungkusan plastik hitam yang ditinggal di tangga masjid itu mengandungi mayat seorang bayi lelaki.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Supt Mohd Shukor Sulong berkata kedua-dua mereka yang mahu membuat persiapan solat Subuh menemui mayat bayi berkenaan ditutup dengan kain lampin apabila membuka bungkusan tersebut.
“Apabila tiba di tempat kejadian kira-kira 6.30 pagi, kita (polis) mendapati bayi yang bertali pusat dan cukup sifat ditinggalkan di dalam bungkusan plastik.
Mohd Shukor berkata mayat bayi itu kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran. – Bernama
Tanam anak belakang rumah
KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri ditahan selepas cuba menanam anak kelima yang meninggal dunia selepas 10 hari dilahirkan di dalam lubang di belakang rumah mereka di kawasan setinggan di Jinjang Utara, di sini, tengah hari semalam.Kejadian kira-kira jam 1.45 tengah hari itu disedari seorang jiran pasangan terbabit selepas bapa bayi berkenaan datang meminjam cangkul dengan alasan untuk menanam uri bayinya yang baru dilahirkan.
Jiran pasangan itu, Mohd Ashaari Ulong, 56, berkata dia mengesyaki sesuatu dengan tindakan jirannya itu kerana tiba-tiba ingin meminjam cangkul dan menanam uri sedangkan bayinya lahir sejak 10 hari lalu.
“Pada masa sama, dia tidak pernah mendengar tangisan bayi dari rumah jirannya itu walaupun tahu isteri jirannya sudah melahirkan anak,” katanya ketika ditemui, semalam.
“Saya meminta anak buah saya meninjau kawasan rumah lelaki itu sebelum dimaklumkan ada kesan timbusan tanah di belakang rumah terbabit.
“Mungkin ada sesuatu ditanam, saya menghubungi polis memaklumkan kejadian itu sebelum sepasukan polis tiba untuk membuat siasatan. Saya terkejut apabila polis menemui mayat bayi lelaki ditanam dalam lubang berkenaan,” katanya.
Sementara itu, menurut sumber, bayi lelaki itu ditemui dalam lubang yang baru digali di belakang rumah suspek yang juga ibu bapa bayi berkenaan.
Katanya, mayat bayi itu dihantar ke Bilik Mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat. Berikutan itu, pasangan terbabit berusia 40-an yang ada kaitan dengan kejadian itu ditahan untuk siasatan lanjut. Timbalan Ketua Polis Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad yang dihubungi mengesahkan kejadian itu. Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Setakat ini, polis sudah menahan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan,” katanya.
Source: Harian Metro
No comments:
Post a Comment