Nenek potong tangan cucu 8 bulan
BEIJING – Seorang bayi berumur lapan bulan berhadapan detik menyakitkan apabila kedua-dua belah tangan dipotong sehingga putus tanpa sebab oleh neneknya di wilayah Shandong, China.Menurut polis, insiden kelmarin, berlaku semasa mangsa sedang dalam jagaan wanita tua itu berikutan ibu bapanya keluar bekerja.
“Petang itu, saya nampak ibu bayi berkenaan meluru keluar daripada rumahnya sambil membawa anaknya yang dalam keadaan berlumuran darah selepas beberapa minit pulang dari kerja.
“Saya juga terdengar wanita itu bercakap dengan seseorang dalam telefon dan berkata tangan bayinya dipotong ibunya sebelum cuba membunuh diri,” kata seorang jiran keluarga mangsa.
Difahamkan, bapa bayi malang itu terpaksa pulang ke rumah mereka untuk mengambil bahagian tangan anak perempuan mereka yang dipotong dan disambungkan semula ke badan bayi berkenaan di hospital.
Dalam pada itu, walaupun pembedahan menyambung semula tangan mangsa membuahkan hasil positif, doktor yang terlibat tidak dapat memastikan sama ada anggota itu dapat berfungsi dengan baik.
Persona Insya Allah – Maher Zain, Fadzly
PERJALANAN dari Jakarta menuju Anyer, memakan masa empat jam. Ia juga bukan satu perjalanan mudah, kerana dua jam perjalanan terakhir menuju destinasi yang terkenal dengan keindahan pantai dan panorama kampung itu memerlukan kami meredah jalan yang separuh siap dan berlubang teruk.
Selain kami, terdapat 78 kru dan barisan pelakon sinetron Insya Allah dengan 21 buah kenderaan juga terpaksa melalui situasi yang sama. Namun nasib mereka lebih baik kerana pemandu yang membawa barisan karyawan tersebut memilih jalan alternatif yang lebih elok.
Kepayahan menuju Anyer akhirnya terbayar. Lelah 24 jam menanti pelakon yang pertama kali terjun dalam bidang lakonan itu berbaloi. Sementelah, figura tersebut bukan calang-calang orang.
Ironi, Maher tidak menjadi pelakon antarabangsa, setaraf profilnya sebagai penyanyi. Beliau sebaliknya terlibat sebagai pelakon di Indonesia, bersama semua produksi Indonesia dan beliau menjadi satu-satunya orang asing dalam produksi tersebut.
Insya Allah, judul sinetron 40 episod yang berjaya memujuk Maher untuk menjadi pelakon. Sinetron itu bakal ditayangkan sempena bulan Ramadan pada bulan hadapan di tiga saluran serentak iaitu SCTV (Indonesia), Astro Oasis dan Mustika HD (Malaysia) selain boleh ditonton oleh pelanggan Astro di Brunei.
“Pada mulanya, saya kata, saya tak akan berlakon. Namun apabila pulang ke rumah dan berfikir bahawa sinetron tersebut mempunyai mesej yang baik seperti pesanan dalam lagu-lagu saya, saya bersetuju,” ujar Maher saat ditemui di lokasi penggambaran terakhirnya, di Marbella Hotel, Resort & Spa, di Anyer baru-baru ini.
Maher saat ditanya bagaimana beliau mampu memberi kata setuju kepada sebuah produksi Indonesia dan begitu asing bagi dirinya, pantas memberitahu: “Indahnya Islam adalah apabila ia mampu mencantumkan semua umatnya walau berlainan bahasa.”
Membawa watak diri sendiri, Maher tidak perlu membuat transformasi dirinya sebagai seorang pelakon. Katanya: “Memang saya perlu berlakon sedikit, tetapi dalam kebanyakan masa, saya menjadi diri sendiri.
“Malah melalui sinetron ini, saya dapat menyampaikan banyak hal yang positif dalam setiap episod yang ditonjolkan selama sejam. Saya suka bagaimana setiap perkara yang berlaku mempunyai pengajaran tersendiri.”
Tidak hanya muncul dalam beberapa babak, Maher sebaliknya memberi sepenuh komitmen apabila terbabit dengan 40 episod yang disiarkan. Ia juga sebagai satu keperluan kerana Insya Allah merupakan kisah perjalanan Maher dalam bertemu sahabatnya di Indonesia dan dalam kembara tersebut, dia berhadapan dengan pelbagai kisah kehidupan.
Ditanya tentang kesukaran menjadi pelakon buat pertama kali, ujar Maher, secara dasar, walaupun ia agak sukar memandangkan beliau agak pemalu apabila berhadapan dengan kamera, namun semua perasaan itu terhapus apabila mereka memulakan penggambaran.
Ujarnya, selain begitu selesa dengan lawan lakonnya, iaitu Fadly Padi serta produksi, beliau amat menyenangi kembara sinetron tersebut yang banyak menjalani penggambaran di kawasan kampung.
“Sebagai seorang yang hidup di kawasan bandar, saya begitu teruja kerana dapat berlakon di kawasan kampung sekali gus melihat realiti kehidupan yang serba sederhana,” ujarnya lagi.
Maher juga memberitahu, beliau tidak banyak berhadapan dengan kesukaran sepanjang penggambaran dijalankan selain mengaku kadangkala berasa lelah kerana perlu menjalani puluhan babak dalam sehari kerana kesibukannya sendiri.
Disogok antara lakonan dengan nyanyian, mana yang lebih melekat dihatinya, pantas Maher memberitahu bidang nyanyian. Bagaimanapun, beliau tidak menolak jika pada masa akan datang kembali terbabit dalam mana-mana naskhah yang mampu membawa pesan baik buat seluruh umat Islam di dunia.
Keluarga
Kesibukan yang tidak pernah berpenghujung bukan satu halangan buatnya menghabiskan kualiti masa bersama keluarga. Mengaku bahawa beliau mempunyai masa yang terlalu sedikit buat keluarga, justeru jika punya kesempatan, beliau akan membawa isteri dan anaknya bersama seperti ke Jakarta, Indonesia ini.
“Sejujurnya ia bukan satu perkara yang mudah buat saya. Tapi Alhamdulillah, isteri sangat memahami karier saya, sementelah sewaktu kami bertemu, saya memang telah sibuk dengan karier saya.
“Jadi kesibukan saya sudah menjadi satu hal yang semulajadi buat kami. Ia sudah seperti budaya hidup kami. Namun seboleh-bolehnya, saya mahu mencuri masa untuk dihabiskan dengan mereka,” katanya yang paling lama telah berjauhan dengan keluarga selama tiga minggu kerana kesibukannya.
Percubaan Fadly
Seperti pengalaman perdana Maher, ia juga merupakan pertama kali vokalis kumpulan Padi, Fadly terjun ke dalam bidang lakonan secara komersial selepas 16 tahun bergelar penyanyi.
Menyifatkan ia sebagai pengalaman luar biasa, Fadly memberitahu, dia bersetuju untuk terbabit dalam sinetron tersebut kerana pesanan positif yang akan ditebarkan buat umat Islam selain menyatakan kekaguman terhadap karier Maher Zain yang mampu menghidupkan lagu-lagu Islamik membuat beliau tidak menolak tawaran yang datang kepadanya.
“Saya tidak pernah berlakon. Pengalaman membuat klip video tidak pernah sama dengan berlakon yang memerlukan banyak dialog dan saya sangat malu.
“Namun kerana inti sinetron yang sangat kuat, selain Maher sendiri berlakon, saya tidak mahu menolak peluang ini. Saya mahu turut serta dan menjadi sebahagian sejarah kembara seni Maher Zain,” ujar vokalis berusia 36 tahun itu.
Membawa watak Fadly, teman Maher yang membantu beliau mencari sahabatnya, ujar pencipta lagu Upin & Ipin berjudul Sahabat Selamanya itu, kekangan yang dihadapinya apabila beliau perlu menghafal skrip, menjadi jurualih bahasa serta berbahasa Inggeris.
“Bahasa Inggeris saya tidak begitu bagus, sedangkan dialog Maher 100 peratus dalam bahasa Inggeris. Tugas saya juga perlu menjadi jurualih bahasa buat beliau dan serentak menghafal dialog. Walaupun ia sukar, namun ini pengalaman yang mahal nilainya,” katanya yang mengaku akan menolak tawaran berlakon jika perlu berlakon sendirian.
Kosmo
Indonesia daftar rendang warisan budaya 2010
JAKARTA- Kerajaan Indonesia telah mendaftarkan rendang sebagai warisan budaya negara itu di Unesco, kata Ketua Pengarah Pengembangan Destinasi Pelancongan, Kementerian Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Achyaruddin.
“Makanan tradisional dari Sumatera Barat ini didaftarkan di Unesco pada tahun 2010 dengan nombor pendaftaran 776,” katanya ketika menghadiri Festival Rendang di Padang, pada Rabu.
“Kalau ada yang berani mengaku sebagai pemilik warisan budaya yang telah ditetapkan Unesco, maka negara yang berkenaan boleh dituntut (didakwa),” katanya.
“Rendang salah satu kuliner yang harus dipertahankan oleh masyarakat Sumatera Barat,” kata Muslim di Padang.
Beliau berkata festival rendang itu bukan sekadar berkaitan kreativiti memasak, tetapi lebih sebagai usaha masyarakat Sumatera Barat untuk mengembangkan budaya bangsa.
Muslim berkata masyarakat Sumatera Barat cukup berbangga dengan masakan rendang yang kini menjadi antara makanan paling lazat di dunia.
“Masakan khas Sumatera Barat ini selalu menjadi menu favorit (kegemaran) restoran Padang yang tersebar di Nusantara mahupun di peringkat antarabangsa,” kata Muslim.
Beliau berkata yakin masakan rendang akan dapat dikembangkan menjadi industri yang boleh meningkatkan ekonomi.
“Apalagi bila dikemas dalam berbagai rekaan dan variasi, ia akan meningkatkan daya tarikan sehingga orang akan membeli.
“Rendang adalah jenis makanan yang boleh tahan lama dan awet, dibuat tanpa bahan pengawet,” katanya.- Bernama
Bola api masuk rumah
MARANG – “Semasa isteri saya sedang memasak di dapur, hujan agak lebat di luar, tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman kuat sebelum isteri menjerit ada sebiji ‘bola api’ sebesar bola tenis masuk ke dalam rumah dan meluncur laju menuju ke arah bilik mandi.Demikian cerita Said Abdul Rahman, 68, yang terselamat selepas rumah didiami bersama isteri, Fatimah Mamat, 58, dan tiga anak mereka disambar petir ketika ditemui Sinar Harian di rumah
mereka di Tanjung Belor, Pengkalan Berangan di sini, semalam.
“Saya yang berada di dalam bilik ketika itu bergegas keluar dan melihat suis elektrikdalam rumah turut terbakar manakala kotaknya hancur, di samping bahagian atas mesin basuh pecah dan simen dalam bilik mandi pula berlubang kerana ‘bola api’ itu.
“Ini merupakan kejadian pertama rumah kami disambar petir sejak lebih 10 tahun tinggal di sini. Mujur saya, isteri dan anak-anak yang berada di dalam rumah serta rakan anak-anak yang
berteduh kerana hari hujan di luar rumah ini terselamat,” katanya.
Said berkata, kejadian itu turut menyebabkan pagar batu di rumah jirannya pecah dan anak-anaknya berpendapat penahan petir itu menuju ke arah pagar rumah jiran mereka itu terlebih dahulu sebelum ‘bola api’ itu terhasil dan masuk ke rumah mereka.
Menurutnya, dia sekeluarga masih mengalami kesan trauma dan bimbang akan keselamatan mereka jika kejadian hujan lebat dan ribut petir melanda semula di kawasan berkenaan sekali gus insiden sama berlaku lagi.
“Namun, kami bersyukur kerana perkara itu juga sudah mendapat perhatian pihak Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (Dun) Pengkalan Berangan dan kerosakan berlaku di rumah ini termasuk fius terbakar dibaiki hari ini (semalam),” katanya.
Sinar
Wanita melecur dibakar teman lelaki meninggal
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Sebelum ini, siasatan polis mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. Bagaimanapun, kematian mangsa menyebabkan kes itu ditukar kepada Seksyen 302.
Sebelum ini, Harian Metro melaporkan seorang wanita berusia 23 tahun yang dikatakan tinggal bersama teman lelakinya cedera parah dan melecur akibat dibakar lelaki berusia 35 tahun itu selepas menyimbah petrol di ruang tamu rumah flat mereka di Taman Segar, Cheras.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa ditemui cedera bersama lelaki terbabit di dalam rumah itu. Mangsa melecur teruk hampir 90 peratus manakala teman lelakinya hanya melecur sedikit namun tidak sedarkan diri.
Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara pasangan itu sebelum lelaki terbabit menyimbah cecair dipercayai petrol ke tubuh kekasihnya dan membakar wanita itu hingga menyebabkan sebahagian rumah turut terbakar.
Harian Metro
Hentak rakan guna mangga
AMPANG: Berang selepas bekas rakan serumahnya menukar mangga jeriji rumah pangsa yang pernah dihuninya, seorang wanita berusia 20-an menendang dan memukul bekas rakan serumahnya itu dengan mangga berkenaan, kelmarin.Sumber polis berkata, sebelum kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa yang tidur bersama seorang lagi rakannya dalam sebuah bilik di rumah berkenaan di Pandan Indah, di sini, terkejut sebaik mendengar ketukan pintu yang kuat.
“Mangsa bangun dan membuka pintu sebelum mendapati bekas rakan serumahnya berada di luar rumah. Wanita itu mendakwa mahu mengambil barang miliknya yang masih tertinggal.
“Tanpa mengesyaki apa-apa, mangsa membuka mangga dan jeriji yang dikunci dan membenarkan wanita terbabit masuk untuk mengambil barang,” katanya.
“Mangsa menjerit meminta tolong dan rakan serumahnya cuba membantu, namun turut dipukul,” katanya.
Sumber itu berkata, suspek mengamuk dengan menghentak dan mencampak semua barang di ruang tamu sebelum meninggalkan rumah itu.
Menurutnya, mangsa dan rakannya itu mendapatkan bantuan jiran yang menghantar mereka ke Hospital Ampang sebelum membuat laporan di balai polis berhampiran.
Harian Metro
No comments:
Post a Comment