Sanggup bogel cegah bantuan
WANG yang cedera terbaring di jalan selepas dilanggar Zhang, manakala seorang petugas mengangkat anaknya yang parah.
ZHANG yang berbogel berbaring depan ambulans, semalam.
Zhang Shih, 38, dari Linyi, wilayah Shandong di timur China melanggar jirannya, Wang Lu dan anak perempuannya berusia empat tahun ekoran berang wanita itu mempunyai hubungan dengan suaminya.
Namun, ketika petugas khidmat kecemasan tiba, dia melakukan apa saja yang boleh bagi menghalang dua beranak itu mendapatkan rawatan walaupun selepas polis mengacukan pistol ke arah tubuh bogelnya.
“Dia menghalang semua orang daripada memberikan bantuan,” kata jurucakap polis.
“Kemudian apabila ambulans tiba, dia menanggalkan pakaiannya dan berbaring di depan kenderaan itu bagi menghalang ia membawa mangsa ke hospital,” katanya.
Zhang yang berang didakwa melanggar Wang dan anak perempuannya dengan keretanya selepas bertengkar dengan suaminya mengenai kecurangan lelaki itu.
Menurut polis, ibu dua anak itu kemudian berdiri mengawal dua mangsa yang cdera parah itu bagi menghalang sesiapa pun menawarkan bantuan kecemasan kepada mereka.
Dia juga dituduh menumbuk seorang petugas paramedik yang merawat anak perempuan Wang menyebabkan petugas terbabit membiarkan kanak-kanak itu yang kemudian mati akibat kecederaan dialami.
“Ini bukan jenayah mengenai cemburu. Dia menghalang dua mangsa menerima rawatan perubatan selama hampir setengah jam,” kata pendakwa raya. - DM
Kapal RM2 bilion milik bilionair misteri
Pembinaan kapal besar selama empat tahun itu adalah buah fikiran pereka Britain yang ironinya berpangkalan di wilayah tanpa laut, Rutland. Namun di sebalik saiz kapal yang menonjol bernama Topaz itu, identiti pemiliknya kekal rahsia.
Berukuran 147 meter, ia adalah antara kapal terpanjang pernah dibina dan hanya 15 meter lebih pendek daripada Eclipse milik Roman Abramovich yang memegang gelaran kapal terpanjang setakat ini.
Kapal itu juga mempunyai berat hingga 12,000 tan. Siapa pun pemilik bertuahnya, pastinya mempunyai banyak wang.
Identiti pelanggan bilionairnya tidak didedahkan Lurssen, syarikat pembuat kapal itu yang tidak mahu membincangkan pelanggan peribadi mereka ekoran persetujuan yang dibuat.
Hasilnya, maklumat lanjut mengenai kapal itu masih tidak lengkap, tetapi kapal bersaiz besar seperti itu didakwa berharga antara 300 pound (RM1.5 bilion) hingga 400 juta pound (RM2 bilion).
Difahamkan Topaz adalah hasil rekaan pereka Britain, Tim Heywood.
Lelaki berusia 62 tahun yang sudah berpengalaman 40 tahun dalam industri itu memainkan peranan penting dalam menghasilkan beberapa kapal terbaik di dunia. - DM
Turki hantar askar di sempadan Syria
|
ANKARA - Pemerintah Turki menghantar sejumlah askar dan pelancar roket antipesawat di sempadan negara itu dengan Syria, menurut beberapa laporan semalam.
Penghantaran itu dibuat seminggu selepas tentera Syria menembak jatuh sebuah pesawat tentera Turki pada Jumaat lalu.
Menurut akhbar Milliyet, kira-kira 30 buah kenderaan tentera mengangkut pelancar roket antipesawat meninggalkan sebuah pangkalan di wilayah Hatay, tenggara Turki.
Imej yang disiarkan stesen televisyen TRT menunjukkan puluhan kenderaan tentera membawa sejumlah askar ke sempadan negara tersebut.
Stesen televisyen tersebut turut menyiarkan imej beberapa buah kereta kebal yang dihantar ke sempadan Syria.
Ia turut melaporkan bahawa konvoi tentera yang membawa senjata berat dan peluru berpandu bergerak ke daerah Yayladag di wilayah Hatay awal semalam.
Kelmarin, satu konvoi tentera yang membawa beberapa pelancar peluru berpandu bergerak ke daerah Kilis di wilayah Gaziantep.
Agensi berita Anatolia melaporkan lewat kelmarin, pergerakan kenderaan tentera turut berlaku di wilayah Sanliurfa.
Tindakan Syria menembak jatuh pasawat tersebut telah mencetuskan kemarahan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan.
Seorang menteri Syria, Omran al-Zoebi kelmarin menyatakan tenteranya mungkin tersilap menyangka pesawat Turki itu ialah jet milik Israel.
Menteri Penerangan Syria itu memberitahu rangkaian berita A Haber menerusi telefon bahawa negaranya tidak mahu berkrisis dengan Turki.
Turki sebelum ini berulang kali mendesak Presiden Syria, Bashar Al-Assad meletakkan jawatan ekoran penentangan rakyat terhadap pemerintahannya sejak Mac tahun lalu.
Ekoran pertempuran antara tentera Syria dengan para pemberontak, seramai 33,000 penduduk negara itu melarikan diri ke Turki untuk mendapatkan perlindungan. - Agensi
Letupan bom di luar mahkamah Damsyik
DAMSYIK - Dua letupan bom menggegarkan kawasan di tempat letak kereta di luar bangunan Istana Kehakiman yang menempatkan mahkamah tertinggi Syria di sini semalam.
Seramai tiga orang cedera manakala sekurang-kurangnya 20 buah kereta rosak teruk akibat letupan tersebut.
Sejumlah anggota bomba sibuk memadamkan kebakaran manakala beberapa buah ambulans tiba di tempat kejadian.
Sebuah stesen televisyen Syria menganggap kejadian tersebut sebagai serangan pengganas.
Kawasan tempat letak kereta itu digunakan oleh para peguam dan hakim.
Satu sumber polis memberitahu agensi berita AFP, dua bom meletup dalam dua buah kereta milik hakim.
Menurutnya, bom ketiga berjaya dimatikan.
Sementara itu, seramai 69 orang terbunuh termasuk 38 orang awam semalam di Syria ekoran pertempuran antara tentera dengan para pemberontak.
Menurut kumpulan Pemantauan Untuk Hak Asasi Syria, seramai 16 orang terbunuh di Douma, utara Damsyik apabila askar-askar mengepung dan bertempur dengan para pemberontak.
Menurut kumpulan itu, askar-askar yang dibantu helikopter menyerang beberapa buah kawasan di Deir Ezzor, timur Damsyik.
Lebih 15,804 orang terbunuh sejak kebangkitan rakyat menentang pemerintahan Presiden Bashar Al-Assad bermula sejak 16 bulan lalu.
Kelmarin, sekumpulan pemberontak menyerang sebuah stesen televisyen di sini.
- Agensi
Komputer tablet Google dijual RM636
|
|
SAN FRANCISCO - Syarikat Google kelmarin mengumumkan komputer tablet terbaharunya yang mengandungi perisian Android, Nexus 7 akan dijual pada harga serendah AS$199 (RM636) di Amerika Syarikat (AS).
Komputer itu turut mempunyai perkhidmatan kedai internet Google yang menjual pelbagai genre filem, muzik dan lagu. Bagi menarik minat pelanggan, komputer tersebut akan dijual separuh daripada harga iPad. Ketua Unit Android, Hugo Barra berkata, berat komputer itu sama dengan sebuah buku berkulit keras. Menurutnya, komputer tablet Nexus boleh dipesan di rangkaian kedai Google Play di Kanada, Britain dan AS. Komputer tersebut akan dijual pada bulan depan. - Agensi
1,600 jam dibazir depan TV
Kajian dibuat KPI menunjukkan kanak-kanak di Indonesia mungkin meluangkan masa empat hingga lima jam sehari atau 30 hingga 35 jam seminggu atau 1,600 jam setahun menonton televisyen.
“Sementara itu, jumlah waktu persekolahan dalam setahun adalah 740 jam. Hasilnya, jumlah masa yang diluangkan kanak-kanak untuk menonton televisyen adalah dua kali ganda jumlah masa yang diluangkan di kelas,” kata Eski seperti mana dipetik daripada agensi berita Antara.
Eski berkata, waktu yang diluangkan menonton televisyen semakin meningkat pada hujung minggu.
Menurutnya, amalan ini bermula sejak awal usia kanak-kanak ekoran tindakan ibu bapa menggunakan televisyen sebagai alat untuk menenangkan anak mereka yang menangis. “Kebanyakan kanak-kanak segera menonton stesen televisyen kegemaran mereka sebaik pulang ke rumah daripada sekolah,” katanya.
Eski berkata, membiarkan kanak-kanak memenuhi masa senggang mereka dengan menonton televisyen adalah amalan yang tidak baik. - Antara
Jururawat, rakan ubah flet jadi klinik haiwan secara haram
Akhbar Straits Times melaporkan Sarah Saralah Chandrasekeren, 26, menggunakan meja makan untuk pembedahan memandulkan 366 kucing antara November 2010 dan September tahun lalu.
Dia dibantu oleh Ho Chee Chin, 47 yang menghantar kucing dikutipnya bagi pihak Persatuan Kebajikan Kucing ke klinik di mana Sarah bekerja. Kedua-duanya dituduh dengan 10 pertuduhan kerana menggunakan rumah sebagai klinik haiwan dan 36 dakwaan merawat haiwan tanpa lesen. - Straits Times
Ramai yakin Obama mampu tangani makhluk asing
Saluran National Geographic menghubungi 1,114 orang dewasa di seluruh negara bulan lalu untuk pendapat mereka ekoran siri baru dokumentari televisyen kabel bertajuk "Chasing UFOs." Sebanyak 36 peratus responden berkata, mereka yakin bahawa objek terbang tidak dikenali (UFO) memang wujud. Sebanyak 11 peratus yakin mereka melihat UFO dan 20 peratus lagi berkata, mereka tahu seseorang yang mendakwa melihatnya.
Dengan Obama yang bakal menghadapi pilihan raya November depan, 65 peratus berkata, Obama lebih mahir berbanding Romney untuk menangani penaklukan makhluk asing, dengan wanita yang berusia lebih muda serta berusia lebih 65 tahun bersetuju dengan pendapat itu berbanding lelaki. Saluran National Geographic berkata, keputusan daripada kaji selidik "Aliens Among Us" melalui e-mel dan Internet itu bersesuian dengan dokumentari "Chasing UFOs" yang ditayangkan Jumaat lalu dengan penduduk Texas serta Colorado menceritakan pengalaman mereka berdepan dengan objek terbang misteri. - AP
No comments:
Post a Comment