Tuesday, June 26, 2012

ZAMAN NI..ZAMAN BANYAK ORANG SUKA MENIPU...ADA YANG SANGGUP BEKERJASAMA DENGAN DENGAN KAKI TIPU....KEDUA2NYA MASUK NERAKA JIKA SABIT KESALAHANNYA DISISI ALLAH...BERHENTILAH...BUKAN ARTIS SAJA...KITA JUGA AKAN TUA....JIKA SEMPAT TUA...AKHIRNYA MATI JUGA....MAKA BERTAQWALAH...JANGAN KITA KAKI BUAT MAKSIAT...

Aziz Sattar stabil

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Ayah kini dalam keadaan stabil, tetapi setakat ini dia hanya mahu berjumpa saudara-mara dan adik-beradik,” kata Fandakiah, 44, anak bongsu kepada seniman veteran, Datuk Aziz Sattar, 87, yang dimasukkan ke Unit Rawatan Jantung (CCU), Hospital Ampang selepas mengadu sesak nafas, Sabtu lalu.
Fandakiah berkata, sehingga kini, bapanya yang mesra dengan panggilan Pak Ajis dilaporkan dalam keadaan stabil, tetapi masih memerlukan rehat yang cukup.

“Ayah beritahu tidak mahu berjumpa sesiapa termasuk wakil Seniman, Karyawan dan media. Hanya adik-beradik dan saudara-mara terdekat dibenarkan melawatnya, tambahan pula waktu melawat dihadkan hanya dua jam,” katanya.
Menurutnya, ketika berada di rumah mereka di Jalan Ampang empat hari lalu, bapanya mendakwa mengalami sesak nafas sebelum dibawa mendapatkan rawatan lanjut.

“Pada mulanya, ayah mengadu penat dan nafasnya tidak teratur dan terkejut dengan kejadian itu, kami adik-beradik bergegas membawanya ke hospital kerana bimbang sesuatu yang buruk menimpanya. “Selepas pemeriksaan, doktor memaklumkan darah pada jantung ayah tidak berapa baik, namun hingga kini tidak memerlukan pembedahan,” katanya.

Fandakiah berkata, kejadian itu yang pertama menimpa bapanya dan mereka sekeluarga berharap bapa kembali sihat dan dapat menjalani rutin harian seperti biasa.

“Pagi tadi (semalam), ada wakil Seniman datang melawat, tetapi tidak berpeluang menjenguknya selepas hasrat mereka ditolak ayah. Ayah bukan sengaja bersikap demikian, tetapi dia benar-benar memerlukan rehat yang cukup,” katanya.

Katanya, selepas dimasukkan ke hospital, bapanya sempat diziarahi saudara-mara dari Singapura.
Sementara itu, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zadi; Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez dan Pengerusi Biro Kesenian dan Kebudayaan Pemuda Umno Malaysia, Jawawi Jafar semalam hadir ke hospital itu untuk menyampaikan sumbangan wang tunai kepada Fandakiah, namun tidak berpeluang menjenguk seniman veteran itu.

Minggu lalu, pelawak terkenal, Osman Kering, 57, dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) selepas mengalami muntah darah dan batuk kering.

Isteri akui daya ingatan Jins merosot



WALAUPUN daya ingatan semakin kurang, Jins Shamsuddin tetap segak ketika ditemui di kediamannya di Hulu Klang, Selangor semalam.



HULU KLANG - Semangat bekerja yang masih kental dalam jiwa tokoh seniman negara, Tan Sri Dr. Jins Shamsuddin membuatkan dirinya tertekan sehingga menjejaskan memorinya sedikit demi sedikit.
Isterinya, Puan Sri Halijah Abdullah, 52, yang mengakui perkara itu berkata, walaupun suaminya sudah menamatkan perkhidmatannya sebagai Ahli Dewan Negara pada awal tahun lalu, keinginan suaminya itu untuk bekerja masih lagi tinggi.
Katanya, setiap pagi Jins, 77, berkeras untuk ke pejabat walaupun bekas senator itu sudah tidak lagi berkhidmat dengan mana-mana pihak.
"Walaupun begitu, kesihatan Jins masih lagi seperti biasa. Beliau tidak mempunyai penyakit yang kronik seperti kencing manis, darah tinggi atau sakit jantung," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Pasir dekat sini semalam.

Nasib seniman di penghujung usia

KUALA LUMPUR - Sama ada disedari atau tidak, ketika kerajaan bersungguh-sungguh mahu membela kebajikan dan nasib artis tanah air, tiga seniman veteran termasuk seorang pelawak sedang bertarung dengan penyakit masing-masing.
Pelakon veteran, Datuk Aziz Satar, 87, sehingga kini masih dirawat di Unit Rawatan Jantung (CCU) Hospital Ampang, Pandan dekat sini kerana sakit jantung sejak kelmarin.
Pelawak Osman Kassim atau lebih dikenali sebagai Osman Kering, 58, yang menghidap penyakit batuk kering masih koma di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras di sini sejak minggu lalu.
Lain pula ceritanya dengan pengarah filem tidak asing lagi, Tan Sri Jins Shamsuddin, 77, walaupun daya ingatannya semakin merosot namun beliau masih bersemangat untuk bekerja.


Sang Bedal lain termakan jerat


SANG BEDAL yang berjaya ditangkap dibawa ke rumah panjang bagi membolehkan Embol membunuhnya.



SARATOK – Peribahasa tidak dapat rotan akar pun berguna mungkin sesuai untuk menggambarkan nasib seorang tuai Rumah Panjang Nanga Sungai Anak, Embol Asum, apabila hasratnya untuk membalas dendam membunuh sang bedal bergelar Bujang Sebelak tidak kesampaian semalam.
Sebaliknya, Embol, 48, hanya dapat membunuh dua ‘orang kanan’ buaya tersebut yang dapat ditangkap selepas termakan umpan dipasang oleh pawang buaya tersohor di sini, Indet Sanabong, 49, di Sungai Anak dekat Pekan Kecil Roban di sini.
Difahamkan, buaya pertama merupakan buaya betina bergelar Dara Nanga berukuran 2.6 meter yang ditangkap pada pukul 9 pagi, kira-kira satu kilometer dari Kuala Sungai Anak manakala seekor lagi buaya jantan bergelar Bujang Muara sepanjang 1.6 meter ditangkap satu jam setengah kemudian.
Embol merupakan suami Siah Munsong, 42, yang mati selepas diserang seekor buaya berukuran lima meter panjang serta ukur lilit badan sebesar tong drum pada 19 Jun lalu. Buaya itu buta mata kirinya.

Pengedar dadah warga Singapura mati ditembak



ANGGOTA polis menjalankan siasatan di tempat Teck Huat mati ditembak dari jarak dekat di Pangsapuri Tebrau Resident, Taman Desa Tebrau, Johor Bahru kelmarin.



JOHOR BAHRU - Pertelingkahan untuk berebut kawasan bagi mengedar dadah disyaki punca seorang lelaki Singapura mati ditembak oleh pesaingnya dari jarak dekat dalam kejadian di Blok E, Pangsapuri Tebrau Resident, Taman Desa Tebrau, di sini kelmarin.
Kejadian pukul 9.45 malam itu menyebabkan Koh Teck Huat, 40, mati di tempat kejadian akibat terkena dua das tembakan termasuk satu di muka.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, kejadian berlaku apabila mangsa yang sedang menuju ke keretanya didatangi suspek yang menaiki sebuah kenderaan menggunakan nombor pendaftaran Singapura.
"Suspek kemudian terus melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa sebelum melarikan diri. Pemeriksaan pada badan mangsa menemui sebuah beg sandang mengandungi pelbagai jenis dadah.
"Kita kemudian memeriksa pula rumah mangsa di situ dan menemui pelbagai pil dan ketulan dipercayai dadah. Kita turut menahan teman wanita mangsa berusia 30-an yang menetap di rumah mangsa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya ketika dihubungi semalam.

Pendakwa maut rempuh treler



KENDERAAN Muhammad Azman remuk dalam kemalangan di Kilometer 197 Lebuh Raya Pantai Timur dekat Kuantan kelmarin.



KUANTAN - Seorang pegawai polis terbunuh selepas kereta yang dipandunya merempuh belakang sebuah lori treler yang membawa muatan bijih besi di Kilometer 197 Lebuh Raya Pantai Timur dekat Sri Jaya di sini awal pagi semalam.
Cif Inspektor Muhammad Azman Ariffin, 48, yang juga Pegawai Pendakwa di Mahkamah Majistret Kuantan disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusof, kejadian itu berlaku pada pukul 1.20 pagi ketika mangsa dalam perjalanan dari Kuantan ke Kuala Lumpur.
"Sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai telah terlanggar bahagian kanan belakang lori itu menyebabkan kenderaannya berpusing ke kanan jalan.
"Ekoran itu, mangsa yang parah di kepala meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Pembunuh kekasih dihukum gantung

ALOR SETAR – Suasana di galeri awam Mahkamah Tinggi di sini semalam diselubungi kesedihan apabila seorang tukang masak yang dijatuhi hukuman gantung sampai mati kerana membunuh kekasihnya yang merupakan graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memohon maaf sambil menangis teresak-esak.
“Saya begitu kesal dengan perbuatan saya dan memohon maaf kepada isteri dan anak-anak saya serta keluarga mangsa. Saya mohon agar Allah mengampunkan dosa saya dan harap semua pihak maafkan kesalahan saya,” rayu Othman A. Aziz, 61, sejurus dijatuhi hukuman tersebut.
Othman didakwa membunuh Ratna Sufizzahriyanti Omar, 23, di rumah bernombor 1926H, Taman Mahkota, Jalan Stadium di sini antara pukul 8.45 malam 2 Mei 2011 hingga 12.45 pagi keesokan harinya mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sindiket gores dan menang tipu OKU

KUALA LUMPUR – Sindiket gores dan menang yang mengaut keuntungan dengan memperdayakan orang ramai terus berleluasa apabila turut menjadikan orang kelainan upaya (OKU) sebagai mangsa penipuan mereka.
Dalam kejadian yang melibatkan seorang wanita lembam berusia 40 tahun pada 19 Jun lalu, dia mengalami kerugian RM12,000 akibat diperdaya oleh dua pemuda ketika berada di sebuah pusat beli-belah di Jalan Bukit Bintang di sini.
Menurut abang mangsa yang mahu dikenali sebagai Chen, 43, adik perempuannya yang turut mengalami masalah pendengaran dan pertuturan sebelum itu didatangi dua pemuda yang memintanya membuka satu sampul surat.
“Ketika itu, adik saya sedang bersiar-siar berseorangan di pusat beli-belah Lot 10,” kata Chen pada sidang akhbar di Pejabat Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Jalan Ampang di sini semalam.

Maut selepas rai hari jadi rakan

SEPANGGAR – Kegembiraan seorang lelaki menghadiri majlis hari jadi rakan karibnya berakhir dengan tragedi apabila dia maut dalam kemalangan di Kilometer 21.9, Jalan Sepanggar dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu, Audray Sqeere Albert, 23, dari Kampung Marabahai, Tuaran yang memandu kereta jenis Proton Saga meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala.
Rakannya, Oswald Advent, 24, yang duduk di sebelah pemandu pula mengalami kecederaan parah dan kini dirawat di Hospital Likas di sini.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa dalam perjalanan pulang ke Tuaran selepas menghadiri majlis hari jadi rakan mereka di Nexus Resort Karambunai di sini.

Sampel darah kera belaan diambil



SABRI (dua dari kanan) mengambil sampel darah seekor kera peliharaan sambil dibantu kakitangan Perhilitan Jeli di Kampung Bukit Ipoh, Jeli kelmarin.



JELI - Bagi memastikan kera peliharaan penduduk bebas daripada kuman parasit malaria berjangkit, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengambil sampel darah 50 ekor haiwan tersebut di Kampung Bukit Ipoh di sini kelmarin.
Operasi itu dijalankan bersama Jabatan Veterinar dan Kementerian Kesihatan.
Kuman parasit malaria yang dibawa oleh kera boleh menyebabkan kematian manusia.
Ia berlaku apabila nyamuk yang menggigit binatang pembawa kuman parasit kemudian hinggap dan menggigit manusia.
Ketua Perhilitan Daerah Jeli, Mohd. Ismail Awang berkata, sebelum ini, pihaknya telah diarahkan oleh Perhilitan Negeri Kelantan supaya melupuskan semua spesies kera liar yang berada di dalam hutan kerana dikesan membawa penyakit malaria.
"Jadi, operasi hari ini (semalam) pula adalah untuk memastikan tidak ada kera-kera peliharaan yang dijangkiti penyakit ini.
"Dalam operasi bersama ini, tugas Perhilitan ialah memegang kera-kera berkenaan supaya sampel darahnya boleh diambil oleh pegawai dari Kementerian Kesihatan sebelum diberikan kepada Jabatan Veterinar untuk menilai sampel darah tersebut," katanya kepada Kosmo! ketika ditemui dalam operasi tersebut.

Sotong pilih nama Cora

SEEKOR sotong kurita gergasi memilih bola yang mengandungi Cora sebagai namanya di akuarium Zoo Akron di Akron kelmarin.


AKRON, Ohio - Seekor sotong kurita gergasi yang menjadi daya tarikan pada pameran terumbu karang di Zoo Akron di sini memilih Cora sebagai namanya kelmarin.
Haiwan itu menarik keluar seekor udang daripada bola yang mengandungi nama Cora di dalam akuarium sotong tersebut.
Sotong tersebut memegang bola itu dengan sesungutnya.
Haiwan tersebut tidak mengeluarkan udang daripada dua lagi bola yang mengandungi nama Octavia dan Scarlet.
Satu senarai mengandungi 2,000 nama diterima pihak Zoo Akron dalam pertandingan menamakan haiwan berkenaan sebelum ini.
Namun, hanya tiga nama itu disenarai pendek.
Sotong betina itu seberat 9 kilogram dengan panjang 1.2 meter itu. - Agensi

Misteri kubur dekat pejabat PM Timor Leste

SALAH satu rangka manusia yang ditemui dekat pejabat Perdana Menteri Timor Leste di Dili pada minggu lalu.


DILI - Polis di Timor Leste menemui sebuah kubur yang mengandungi rangka tulang 52 orang dekat pejabat Perdana Menteri, Xanana Gusmao, kata seorang pegawai semalam.
Beberapa pekerja pembinaan menemui kubur tersebut pada minggu lalu sebelum mereka menghubungi polis.
Pada tahun 1975, Tentera Indonesia menceroboh Timor Leste yang merupakan bekas jajahan Portugal itu.
Timor Leste yang ketika itu dikenali sebagai Timor Timur diduduki selama 24 tahun oleh Indonesia.
Dianggarkan seramai 183,000 orang terbunuh akibat pencerobohan itu.
Ketua Perkhidmatan Siasatan Jenayah Timor Leste, Calisto Gonzaga menyatakan rangka itu terlalu besar dan tidak mungkin ia milik penduduk Timor Leste.
"Kami melihat tengkorak dan ia amat besar dan sebilangan tulang amat panjang. Saya berpendapat rangka itu bukan (milik) penduduk Timor Leste," katanya.
Menurutnya, kedudukan rangka itu memberi petunjuk bahawa si mati mungkin dibunuh.
Gonzaga berkata, polis akan menunggu laporan seorang pakar dari Australia yang akan tiba pada Julai depan sebelum membuat sebarang penyiasatan.
Seorang profesor dari Australia, Damien Kingsbury menyatakan, tulang-tulang itu mungkin milik penduduk berketurunan Cina.
"Penduduk Cina masih berada di Timor Leste semasa Indonesia menceroboh pada tahun 1975.
"Mereka mungkin menjadi sasaran serangan tentera Indonesia pada masa itu," katanya. - AFP

No comments:

Post a Comment