Jalani cerai Raja Azmi talak satu
|
KUALA LUMPUR – Skandal dan kontroversi tidak lekang dalam hidup penerbit filem, Raja Azmi Raja Sulaiman dan semalam, dia sah diceraikan dengan talak satu oleh bekas jaguh badminton negara, Mohd. Jalani Mohd. Sidek di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini semalam.
Air mata Raja Azmi, 53, mengiringi lafaz talak yang dibuat oleh Jalani, 49, pada pukul 3.30 petang di hadapan Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin selain turut disaksikan anak kedua pasangan itu, Puteri Suaida, 23, yang berada di galeri awam.
Terdahulu, Raja Azmi sambil mengesat air mata mencium tangan suaminya untuk memohon maaf dan mereka berpelukan atas permintaan hakim yang mahukan mereka berbuat demikian sebelum lafaz dibuat.
Shaiful Azli yang menerima dan mengesahkan lafaz tersebut kemudian turut memerintahkan Raja Azmi beredah selama tempoh tiga bulan serta mendaftarkan perceraian itu di pejabat agama.
Perceraian itu atas permintaan Raja Azmi sendiri selaku plaintif yang difailkan kelmarin menerusi peguam syarie, Roslizam Rahim mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 1993.
Pada prosiding semalam, Jalani yang kelihatan tenang bersetuju dengan permohonan cerai oleh Raja Azmi tanpa sebarang tuntutan dan syarat.
Bujang Sebelak akan mati
SARATOK - Operasi memburu yang dilakukan secara tradisional oleh pawang buaya tersohor dari Betong dihentikan semalam walaupun kelibat Bujang Sebelak masih belum kelihatan.
Pawang tersebut, Indet Sanabong, 49, berkata, dia yakin buaya besar itu telah memakan salah satu daripada lima umpan yang diletakkan di sekitar Sungai Sebelak.
"Umpan itu bagaimanapun gagal ditarik ke permukaan kerana tersangkut di antara batang-batang kayu yang terdapat di dasar sungai.
"Kebiasaannya, seekor buaya hanya boleh berada selama 30 minit di dalam air sebelum timbul untuk mengambil udara di permukaan atau berdepan kematian," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Menurut Indet, sekalipun jika buaya itu terlepas dari dasar sungai, reptilia berkenaan tetap akan mati kerana telah termakan umpan yang dijampi itu.
Kak Pah daftar pengundi baharu
SHAH ALAM - Pejabat Pos Besar di sini semalam menerima kunjungan pelanggan istimewa iaitu biduanita negara, Datuk Sharifah Aini yang hadir untuk mendaftar sebagai pengundi baharu pada pilihan raya umum akan datang.
Sharifah yang lebih mesra disapa Kak Pah berkata, walaupun rasa malu dan bersalah kerana sudah terlewat untuk mendaftar namun sebagai warganegara bertanggungjawab, semua itu terpaksa diketepikan demi memastikan masa depan negara akan terjamin.
Menurutnya, kesedaran itu timbul selepas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menasihatinya agar berbuat demikian pada Hari Himpunan Bintang MyIPO-Kosmo! 2012 Isnin lalu.
"Beliau (Ismail Sabri) memberitahu saya bahawa kerajaan sentiasa ingin membantu kami semua (golongan artis) dan oleh kerana itu, saya rasa ini adalah platform yang sesuai untuk menentukan siapa kerajaan yang ingin dipilih nanti.
"Pendaftaran hari ini (semalam) boleh dianggap sebagai hadiah hari jadi saya pada 2 Julai depan dan saya akan membuang undi di kawasan Parlimen Petaling Jaya," katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.
Ibu luluh anak terkorban
SERDANG - Hati seorang ibu bukan sahaja remuk malah, sehingga kini masih tidak dapat menerima perbuatan suaminya yang bertindak membawa dua anak kesayangannya ke tingkat 21 Kondominium Hulu Langat Jaya, Batu 9, Cheras sebelum ketiga-tiga mereka terjatuh lalu mati malam kelmarin.
Eksekutif kanan sebuah pejabat pinjaman di Kuala Lumpur itu hanya mampu meratap dan menangis teresak-esak mengenang tragedi tersebut sebaik tiba di tempat kejadian dari rumah ibunya di Bandar Tun Razak, Cheras pada pukul 9 malam.
Sepanjang berada di situ, Sharizuraidah Ridzuan, 31, cuba ditenangkan oleh sanak saudara tetapi air matanya bagaikan tidak mampu ditampung lagi dan berterusan menangis. Dia hanya kelihatan sedikit tenang ketika ditemui di Hospital Serdang di sini pagi semalam.
Kejadian pukul 8.40 malam kelmarin itu meragut nyawa suami Sharizuraidah yang dikenali sebagai Ismail Khan, 39, anak lelakinya, Mohd. Faizal, 9, dan anak perempuannya, Aqsa Khan, 6. Ismail adalah warga Pakistan.
Menurut Sharizuraidah, dia begitu terkilan dengan kematian anak-anaknya kerana belum sempat memenuhi beberapa permintaan permata hatinya itu.
Polis tumpaskan Geng Meor
SHAH ALAM - Taktik tiga lelaki bergelar Geng Meor yang menjadikan sebuah rumah teres sebagai markas meleraikan komponen motosikal curi sebelum rangkanya dibuang dalam semak terbongkar apabila mereka ditahan di Taman Tun Dr. Ismail Jaya di sini baru-baru ini.
Ketiga-tiga remaja berusia antara 17 dan 20 tahun itu ditahan dalam dua serbuan Ops Lejang di sekitar sini selama tiga hari sejak 18 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, pembongkaran bermula apabila polis menahan ketua Geng Meor dan seorang rakannya ketika sedang meleraikan sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z dalam sebuah bilik rumah teres dua tingkat di taman tersebut pada pukul 3.35 petang.
Katanya, soal siasat kemudian menemui 25 rangka motosikal curi seperti Honda EX5, Modenas, Suzuki RG dan Yamaha 125Z yang dibuang di dalam semak di tepi Tasik Puncak Perdana di sini.
"Motosikal itu dicuri di sekitar Klang Utara, Petaling Jaya, Gombak, Ampang dan Shah Alam.
"Mereka menggunakan allen key untuk mencuri motosikal di kawasan perumahan flat sejak 2010. Motosikal itu akan dibawa ke rumah teres berkenaan untuk dileraikan sebelum komponennya dijual pada harga murah," katanya yang dapat menyelesaikan 26 kes curi motosikal dengan penahanan suspek.
Tanjung Piai dicemari minyak
PONTIAN – Pelbagai spesies hidupan laut dan sebahagian pokok kayu bakau di Taman Negara Tanjung Piai di sini terjejas teruk berikutan berlaku tumpahan minyak di sepanjang 600 meter pesisiran pantai Tanjung Piai petang kelmarin.
Tumpahan itu dikatakan mula dikesan kira-kira 2 petang kelmarin apabila kakitangan Taman Negara tersebut melihat tompokan minyak dan terhidu bau minyak yang kuat.
Berikutan kejadian itu, taman negara berkenaan terpaksa ditutup buat sementara waktu kepada orang ramai.
Difahamkan, ini merupakan kes tumpahan minyak kali kedua berlaku selepas yang pertama pada September tahun lalu.
Menurut Ketua Penolong Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Zarmadi Mohd., pihaknya yang menerima laporan kira-kira pukul 6 petang segera menjalankan siasatan bersama pihak Jabatan Laut dan Pelabuhan Tanjung Pelepas serta beberapa pihak lain.
“Kita tidak menolak kemungkinan punca tumpahan minyak ini disebabkan oleh pemindahan minyak dari kapal ke kapal. Terdapat kira-kira 300 buah kapal tempatan dan antarabangsa yang melalui perairan Tanjung Piai setiap hari.
“Bagaimanapun, terdapat juga faktor-faktor lain tetapi semua masih dalam peringkat siasatan kami,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
9 wanita kesal dituduh pendatang tanpa izin
KUALA LUMPUR - Hasrat sembilan wanita untuk melancong ke New Zealand lebur apabila mereka ditahan sebelum berlepas ke negara itu di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) pada 11 Mei lalu.
Lebih malang lagi apabila mereka ditahan selepas pihak berkuasa New Zealand memaklumkan kepada pihak imigresen negara ini bahawa mereka mahu pergi ke negara itu untuk bekerja secara tidak sah.
Salah seorang mangsa, Ng Koay Yew, 36, berkata, mereka dituduh sedemikian rupa selepas pemandu pelancong yang menguruskan percutian tersebut didakwa terlibat dalam kes penyeludupan manusia di negara berkenaan.
Jelasnya, dia telah menghubungi pemandu pelancong itu namun individu tersebut menafikan dakwaan itu dan memulangkan semula wang deposit sebanyak RM500 kepada mereka.
Katanya, ekoran itu mereka kini disenarai hitam oleh pihak imigresen New Zealand dan terpaksa membatalkan percutian yang dirancang.
Beruang matahari ditangkap
JELI - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan berjaya menangkap seekor beruang matahari selepas memasang perangkap di Batu 10 Lebuh Raya Timur di sini kelmarin.
Beruang betina setinggi 1.3 meter apabila berdiri dan seberat 30 kilogram itu masuk ke dalam perangkap tersebut yang diletakkan umpan roti.
Perangkap tersebut dipasang pada pukul 5 petang dan selepas tiga jam kemudian beruang tersebut berjaya ditangkap.
Kejayaan Perhilitan menangkap beruang itu melegakan penduduk yang bimbang terhadap keselamatan mereka selepas didapati beruang tersebut berkeliaran di kawasan berkenaan sejak lima hari lalu.
Ketua Perhilitan Daerah Jeli, Mohd. Ismail Awang berkata, binatang tersebut dipercayai tinggal di kawasan hutan simpan Gunung Basor di sini dan dipercayai tersesat ke kawasan tersebut ketika mencari makanan.
"Beruang matahari betina itu akan dihantar ke Taman Negara Kelantan, Kuala Koh, Gua Musang pada awal pagi ini (semalam) untuk dilepaskan di sana," katanya.
Doktor buang ketumbuhan 15kg daripada badan kanak-kanak
BANDAR RAYA MEXICO - Sekumpulan doktor di Mexico berjaya membuang ketumbuhan seberat 15 kilogram (kg) daripada badan seorang kanak-kanak berusia dua tahun, Jesus Rodriguez.
Pengarah Pediatrik Pusat Perubatan La Raza di sini, Dr. Gustavo Hernandez berkata, ketumbuhan tersebut lebih berat daripada pesakit itu.
Beliau berkata, kanak-kanak itu ketika dibedah pada 14 Jun lalu mempunyai berat badan 12kg.
Doktor itu menyatakan kanak-kanak tersebut dilahirkan bersama satu bonjolan yang membesar sehingga ke bahagian celah lengan dan pinggul kanannya.
Kanak-kanak itu berasal dari negeri Durango di utara Mexico.
Hernandez memberitahu, sepasukan doktor mengambil masa sehingga 10 jam untuk membuang ketumbuhan tersebut.
Menurutnya, pesakit itu berada dalam keadaan baik dan semakin sembuh.
Beliau berkata, pembedahan tersebut adalah yang pertama melibatkan doktor di Mexico membuang ketumbuhan bersaiz lebih besar daripada pesakit. - Agensi
Pejabat Microsoft dibakar
|
ATHENS - Beberapa penyerang membakar pejabat syarikat perisian komputer, Microsoft Corp di sini menjelang subuh semalam, kata polis.
Mereka merempuh pintu masuk dengan sebuah van mini sebelum membakar kenderaan tersebut yang dipenuhi tong berisi gas.
Polis antipengganas dan pihak berkuasa menolak serangan itu didalangi sebuah kumpulan pelampau.
Menurut polis, dua atau tiga lelaki bertopeng mengusir dua pengawal keselamatan sekitar pukul 3.45 pagi waktu tempatan.
Kebakaran dan letupan telah merosakkan pintu masuk dan tingkat bawah bangunan yang menempatkan ibu pejabat korporat gergasi teknologi Amerika Syarikat itu.
Seorang jurucakap bomba memberitahu, terdapat kerosakan teruk di tingkat bawah bangunan dan menganggarkan kerugian sebanyak AS$75,000 (RM239,289).
Syarikat Microsoft diasaskan oleh bilionair Bill Gates dan Paul Allen. - Agensi
No comments:
Post a Comment