Monday, June 25, 2012

ZAMAN NI ZAMAN MENIPU...NAK CARI ORANG BAIK LAGI TAQWA AMAT SUKAR...KERANA ZAMAN ...ZAMAN MENGEJAR KEMEWAHAN...

Lari kebas wang KWSP suami


MOHD. KHAIRUN ( kanan ) dan Nordi menunjukkan surat lahir anak-anak Nordi di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Berkahwin dengan lelaki tempatan berumur 50 tahun ke atas dan kemudian memujuk suami mereka mengeluarkan wang yang terkumpul dalam caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebelum lari menghilangkan diri.
Itu merupakan antara modus operandi terbaharu yang dikesan dan dipelopori oleh wanita asing terutamanya dari Indonesia dalam usaha memerangkap lelaki warga emas negara ini untuk hidup senang dengan jalan yang mudah.
Dalam tahun ini sahaja, Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO menerima tiga aduan berhubung kes tersebut yang menggunakan taktik yang sama termasuk kes terbaharu membabitkan seorang pengawal keselamatan, Nordi Adi, 57, yang menetap di Pontian, Johor.
Lebih buruk lagi, Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Muhd. Khairun Aseh berkata, wanita asing terlibat rata-rata berumur 20-an.
Menurutnya, wanita berkenaan secara terus-menerus memeras ugut suami mereka untuk mendapatkan sumber kewangan secara tetap setiap bulan.
Menceritakan lanjut mengenai kes penipuan tersebut, Muhd. Khairun berkata, wanita muda terbabit bijak memanipulasi kasih sayang yang diberikan oleh suami mereka dengan memujuk mengeluarkan wang KWSP selepas berkahwin.

Penjahat kena tinggal rakan dicekup


ANGGOTA polis memerhatikan MPV Toyota Estima yang terbabas ketika dikejar polis di Tongkang Yard, Alor Setar semalam.


ALOR SETAR - Malang menimpa dua penyamun apabila bukan sahaja ditinggal dua rakan malah, dapat diberkas pula selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima yang dinaiki terbabas ketika dikejar polis di Tongkang Yard di sini kelmarin.
Kejadian pukul 10.45 malam tersebut berlaku apabila empat penyamun termasuk seorang wanita terbabit yang cuba melarikan diri selepas menyamun sebuah kafe siber di Jalan Putra di sini kira-kira 30 minit sebelum itu telah berlanggar dengan sebuah kenderaan lain.
Jarak antara kafe siber dan tempat kemalangan kira-kira empat kilometer.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Baharom Abu berkata, dalam kejadian samun itu, dua suspek yang menggunakan senjata tajam dapat melarikan wang RM3,000 dan dua telefon bimbit.
Katanya, dua lagi menunggu di dalam MPV yang diletakkan berhampiran premis tersebut.
"Ketika hendak keluar, mereka ditahan oleh orang awam sebelum berlaku satu pergaduhan tetapi suspek dapat melepaskan diri dan bergegas masuk ke dalam MPV.
"Polis yang menerima maklumat kemudian mengejar kenderaan suspek sebelum MPV yang dinaiki terbabas selepas berlanggar dengan sebuah kenderaan lain di Tongkang Yard," katanya ketika dihubungi.

Aziz Satar diserang sakit jantung

KUALA LUMPUR - Seniman veteran, Datuk Aziz Satar (gambar), 87, kini sedang dirawat di Unit Rawatan Jantung (CCU), Hospital Ampang, selepas mengadu sakit dada dan tidak sedap badan pada Sabtu lalu.
Pelakon yang terkenal dengan beberapa filem arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee itu mengadu sakit dada selepas melakukan senaman pada satu program kesihatan yang diadakan pada hari tersebut.
Menurut menantunya yang hanya mahu dikenali sebagai Rosli, bapa mertuanya itu telah dihantar ke Hospital Ampang oleh rakan-rakan yang pergi bersama dengannya pada program berkenaan.
Katanya, Aziz atau nama sebenarnya Abdul Azez Satta kini dirawat di unit berkenaan dengan pemantauan sepenuhnya oleh pihak hospital.
"Keadaannya kini dilaporkan stabil dan tidak ada perkara-perkara yang membimbangkan.
"Pelawat hanya dibenarkan masuk pada waktu yang ditetapkan dan hanya dua orang sahaja dibenarkan melawat pada satu-satu masa," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pemilik anjing didenda RM2,000


ANJING jantan Pitbull yang menyerang Sun Wah.


PETALING JAYA - Kecuaian seorang akauntan yang membiarkan anjingnya berkeliaran sehingga membunuh seorang warga emas pada bulan lalu menyebabkan wanita itu didenda RM2,000 atau penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.
Majistret Mohd. Nazri Omran memutuskan demikian terhadap Elaine Soon Sien Ling, 28, selepas menerima pengakuan salah tertuduh.
Beliau menjatuhkan hukuman tersebut dengan mengambil kira rayuan tertuduh serta surat permohonan maaf yang dibuat terhadap keluarga mangsa.
"Mahkamah bertindak melindungi kepentingan awam dan turut mempertimbangkan kesudian keluarga mangsa yang memaafkan kamu dan menarik balik laporan polis.
"Namun kesalahan tetap satu kesalahan dan hukuman (yang dijatuhi) sebagai pengajaran," katanya.
Elaine didakwa dengan cuai meninggal atau membiarkan haiwan peliharaannya dengan menyebabkan bahaya kepada seorang pesara, Yip Sun Wah, 74, pada pukul 9.40 pagi, 8 Mei lalu di No. 59, Jalan SS 19/5b, Subang Jaya di sini.
Mengikut fakta kes, mangsa pada waktu kejadian sedang berjoging seperti kebiasaan di kawasan perumahan tersebut namun secara tiba-tiba diterpa seekor anjing yang muncul dari tempat pembuangan sampah di hadapan sebuah rumah teres dua tingkat.

Wang palsu beli dadah


ZAKARIA (kanan) menunjukkan sebahagian wang palsu berjumlah RM17,200 yang ditemui di dalam beg milik seorang lelaki pada sidang akhbar di Kuala Perlis semalam.


KUALA PERLIS - Sepasukan anggota Unit Pencegah Penyeludup (UPP) yang sedang meronda di pantai Kampung Pulau Ketam di sini semalam terkejut apabila menemui wang palsu berjumlah RM17,200 milik seorang penagih dadah yang tercicir ketika suspek hendak melarikan diri.
Wang not RM100 sebanyak 172 keping ditemui di dalam sebuah beg sandang yang dibuang suspek selepas dia dikejar pihak berkuasa pada pukul 3.40 pagi. Suspek bagaimanapun dapat melarikan diri ke kawasan hutan paya bakau berdekatan.
Difahamkan, suspek yang belum dikenal pasti itu dipercayai datang ke tepi pantai untuk menghisap dadah berdasarkan penemuan ganja dan syabu di dalam beg tersebut.
Komander UPP Perlis, Deputi Superintendan Zakaria Abdul Rahman berkata, pemeriksaan rapi kemudian mendapati wang yang ditemui sebenarnya palsu kerana ia tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan seperti yang tulen.

Pulau buatan manusia dijual AS$6.5 juta


IMEJ yang dihasilkan komputer menunjukkan pulau buatan manusia yang akan dibina firma Orsos Island.


VIENNA - Sebuah firma Austria akan membina pulau buatan manusia yang boleh terapung tetapi tidak mempunyai enjin.
Pulau tersebut bakal dijual pada harga AS$6.5 juta (RM20.5 juta).
Menurut pengasas syarikat Orsos, Gabor Orsos berkata, pulau tersebut boleh berlabuh di mana-mana lokasi.
Beliau menyatakan ia turut boleh ditunda ke lokasi lain.
"Minat terhadap pulau itu datang dari serata dunia termasuk Australia, China dan Amerika Syarikat," katanya semalam.
Orsos yang berasal dari Hungary menyatakan pihaknya memperoleh beberapa pembeli berpotensi dari Australia pada minggu depan.
Pulau itu dilengkapi dengan panel solar dan generator berkuasa angin.
Seramai 12 orang boleh tidur termasuk kru dan keluasannya ialah 1,000 meter persegi.
Pulau pertama itu akan siap dibina dalam tempoh antara 18 bulan hingga dua tahun.
Pembinaan pulau tersebut akan dilakukan di Slovakia. - AFP

No comments:

Post a Comment