Tuesday, June 26, 2012

KUDUNG KAKI BOLEH PANJAT GUNUNG...ADA SIHAT SEJAHTERA...KAYA RAYA...TAPI TAK SEMBAHYANG@SOLAT...NI LAGI TERUK

Lima aktivis Royalti cedera sebelum himpunan

Posted on the June 26th, 2012 under Politik by admin

Seorang peserta perhimpunan, dari Kumpulan NGO Royalti tercedera ketika kekecohan di hadapan Kompleks Darul Naim, Kota Bharu pagi tadi.
KOTA BHARU – Seramai lima aktivis Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak Dan Gas ke Kelantan (Royalti) cedera didakwa dipukul ketika berhimpun di hadapan perkarangan Kompleks Kota Darul Naim di sini hari ini.
Salah seorang mangsa yang juga Naib Presiden Royalti, Abu Samah Hassan berkata, kejadian itu berlaku ketika pihaknya sedang berunding dengan anggota polis bertugas berhubung urusan pembahagian kawasan himpunan.






Katanya, sewaktu perundingan itu berlangsung, keadaan agak tegang dengan bunyi bising serta provokasi daripada penganjur Himpunan Sedar sehingga menyebabkan dia mengambil keputusan berbincang dengan dengan pihak satu lagi.
“Belum sempat habis berunding dengan polis berhubung kawasan himpunan diperluaskan memandangkan peserta Pra-Himpunan Royalti ini semakin ramai, saya pergi berjumpa ketua pihak berkenaan untuk menasihatkan menenangkan ahli-ahlinya supaya tidak menimbulkan sebarang provokasi.
“Tetapi malangnya mereka sukar untuk dibawa berunding hingga menjadikan saya ambil keputusan untuk beredar. Sewaktu saya hendak beredar tiba-tiba saya dipukul curi secara padu dari bahagian belakang, pada bahu, leher dan kepala,” katanya selepas membuat laporan polis di Balai Polis Pengkalan Chepa, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Kota Bharu.
‘Pra-Himpunan Royalti: Menjunjung Titah Tuanku Sultan Muhammad V’ dianjurkan untuk menyerahkan memorandum tuntutan beserta plak Royalti yang telah ditandatangani Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada pihak Kerajaan Negeri ini.
Sementara itu, seorang lagi mangsa, Khairul Nizam Abd Ghani, 31, berkata dia terpaksa menerima tiga jahitan pada bahagian kepala setelah dipukul kira-kira 10 orang dari pihak yang sama.
“Saya tidak tahu dipukul dengan objek apa pada bahagian kepala ini sebab benda ini berlaku dengan cepat tetapi merujuk pemeriksaan doktor dipercayai luka disebabkan benda tajam,”katanya.
Sinar

Khatib: ‘Saya doa jatuhkan pemimpin zalim’

Posted on the June 26th, 2012 under Tempatan by admin
BUKIT MERTAJAM – Khatib yang didakwa mendoakan supaya kerajaan digulingkan dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang ketika menyampaikan khutbah di sebuah masjid di sini Jumaat lalu, menegaskan doanya itu ditujukan kepada pemimpin zalim dan rasuah.
Katanya, doa yang beliau baca itu adalah umum dan tidak ditujukan kepada mana-mana parti atau kerajaan.






Menurutnya, ia hanya ditujukan kepada pemimpin zalim dan amal rasuah.
“Saya tak sebut pun nak jatuhkan kerajaan BN (Barisan Nasional) atau PR (Pakatan Rakyat). Kenapa individu berkenaan perlu terasa hati?
“Saya hanya berdoa, tujukan pada pemimpin yang zalim, yang rasuah supaya dikalahkan (dalam pilihan raya).
Sepatutnya tak timbul sebarang isu, sebab saya tak sebut atau tujukan pada kerajaan pun,” katanya.
Khatib itu menjadi guru sekolah di kawasan utara sebelum bertukar ke negeri lain baru-baru ini, bersetuju bercakap dengan Sinar Harian dengan syarat, namanya tidak disiarkan ‘atas faktor tertentu’.
Beliau kesal dengan cerita mengenai perkara itu yang disifatkan sebagai putar belit pihak tidak bertanggungjawab.
Beliau memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap media jika nama dan tempat beliau bertugas disiarkan.
Beliau tampil memberi penjelasan selepas Umno Pulau Pinang kelmarin meminta Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang menyiasat seorang khatib yang dikatakan mendoakan Kerajaan Pusat digulingkan dalam PRU akan datang.
Timbalan Pengerusi Umno Negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir dilaporkan Bernama sebagai berkata, tindakan khatib itu boleh disifatkan sebagai menghasut dan memecahbelahkan umat Islam.
Sinar

Biji nangka rupanya janin

Posted on the June 25th, 2012 under Tempatan by admin

Salmiah menunjukkan semula tempat janin ditemui. Gambar kecil: Janin yang ditemui semalam.
KEPALA BATAS – Kira-kira 30 peserta Kursus Program Kraf Kreatif di Dewan Nur Parlimen Kepala Batas, Bertam di sini pagi semalam gempar berikutan penemuan satu janin di tepi tong sampah.
Janin belum sempurna sifat tetapi mempunyai bentuk seakan-akan bayi itu dipercayai berusia lebih kurang dua bulan, dikesan baru dibuang di hadapan bangunan berkenaan.






Sewaktu ditemui janin tersebut masih mempunyai kesan darah beku tidak dibungkus atau dibalut sebaliknya tanpa sebarang alas di atas jalan oleh seorang peserta program yang tiba awal sebelum memaklumkan kepada rakannya.
Salmiah Salleh, 58, yang menemui janin berkenaan berkata, sebaik sampai di hadapan dewan itu sekitar jam 9 pagi semalam, dia meletakkan motosikalnya bersebelahan tong sampah.
“Saya terkejut lihat objek seakan biji nangka berwarna kekuningan berada di tempat parkir motosikal.
“Saya mendekatinya dan terkejut mendapatinya ialah janin yang masih mempunyai kesan darah tetapi sudah beku,” katanya.
Menurutnya, perkara itu dimaklumkan kepada pencuci kebersihan di bangunan itu dan peserta lain yang tiba kemudian mengesahkannya sebagai janin.
Salmiah melaporkan penemuan itu kepada anggota polis di Balai Polis Bertam yang terletak bersebelahan dewan berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Zulkifli Alias yang dihubungi mengesahkan penemuan janin berkenaan.
“Sebaik terima laporan Salmiah, anggota bertugas di balai berkenaan melakukan siasatan dan mengesahkan objek ditemui itu janin.
“Ia dihantar ke Hospital Kepala Batas dan kini berada di Unit Forensik,manakala kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dan pelakunya sedang dijejaki,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Hospital Kepala Batas, Dr Norsidah Ismail yang dihubungi mengesahkan objek ditemui berkenaan adalah janin.
Menurutnya, pihaknya hanya menyimpan janin berkenaan atas arahan pihak polis bagi melengkapkan siasatan.
Sinar

Tercampak tujuh meter akibat dipanah petir

Posted on the June 25th, 2012 under Tempatan by admin

Beginilah keadaan muka mangsa yang melecur akibat terkena panahan petir di Kampung Pecah Rotan, Batu Rakit, Kuala Terengganu, petang kelmarin.
KUALA TERENGGANU – Seorang bapa kepada tiga anak berdepan detik mencemaskan apabila nyaris rentung setelah terkena panahan petir dalam satu kejadian di Kampung Pecah Rotan, Batu Rakit, di sini, petang kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa yang juga seorang warga Kemboja, Timmy Chea Choo, 35, sedang menoreh getah bersama isterinya, Chouk Ann, 32, di kawasan kebun yang berbukit.






Menceritakan detik mencemaskan itu, isteri mangsa yang kurang fasih berbahasa Melayu berkata, semasa kejadian, hujan renyai-renyai disusuli dengan angin kencang serta ribut petir.
“Ketika itu kami sedang menoreh tetapi melihatkan keadaan cuaca ketika itu, kami cepat- cepat mengemaskan barang untuk beredar. Bagaimanapun, kejadian berlaku begitu pantas.
“Sedang kami sibuk berkemas, tiba-tiba satu cahaya seperti kilat terkena pada suami dan panahan itu menyebabkan suami saya tercampak sejauh kira-kira tujuh meter ke dalam semak,” katanya ketika ditemui kelmarin.
Menurut Chouk Ann, akibat kejadian itu, suaminya tidak sedarkan diri dan melihatkan keadaan itu, dia terus berlari mendapatkan bantuan penduduk setempat yang berada berdekatan. Mangsa yang turut terbakar di bahagian kaki dan belakang badan serta melecur di muka dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, untuk mendapatkan rawatan susulan.
Difahamkan, pasangan suami isteri itu keluar menoreh getah seawal jam 10 pagi lagi dan tinggal di negara ini sejak dua tahun lalu.
Harian Metro

Dua dicekup ceroboh kem askar

Posted on the June 25th, 2012 under Tempatan by admin

ALOR GAJAH: Tindakan dua lelaki menyamar pegawai kanan tentera dan membawa puluhan senjata tiruan dalam kereta dinaiki mereka ketika memasuki Kem Terendak di sini, kelmarin, menimbulkan pelbagai persoalan, terutama motif mereka berbuat demikian.
Tambahan pula, kedua-dua mereka yang memakai seragam pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berpangkat kapten dan seorang lagi berpakaian separa celoreng turut memiliki pas keselamatan yang dikeluarkan Kementerian Luar serta Jabatan Perdana Menteri.
Pegawai Risik 10 Briged Para Kem Terendak, Mejar Abd Razak Sipit berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, senjata tiruan ditemui pada kedua-dua suspek dikategorikan gred A berdasarkan bentuknya 100 peratus mengikut saiz serta berat senjata asal dan bernilai kira-kira RM20,000.






“Senjata tiruan gred A yang dirampas itu termasuk pistol, pelancar mortar, raifal dan bom asap, selain alat kelengkapan komunikasi tentera,” katanya di sini, kelmarin.
Harian Metro

Lelaki kudung kaki panjat Kilimanjaro

Posted on the June 25th, 2012 under Luar Negara by admin

GAMBAR pada 22 Jun menunjukkan lelaki kudung kedua-dua kakinya, Spencer West tiba di puncak Gunung Kilimanjaro di Tanzania.
MONTREAL, Kanada – Seorang lelaki yang kudung kedua-dua belah kaki berjaya menakluk puncak tertinggi di Afrika, Gunung Kilimanjaro, sekali gus menyangkal dakwaan beberapa doktor bahawa dia tidak akan dapat berfungsi dan menyumbang kepada masyarakat.
Spencer West, 31, hilang kakinya ketika masih kanak-kanak akibat penyakit genetik, sacral agenesis yang menyebabkan bahagian bawah badannya lumpuh.






Namun, warga bandar Toronto di Kanada itu tidak membiarkan kecacatan itu menghalangnya.
Dia tiba di puncak Kilimanjaro, pada ketinggian sekitar 6,000 meter dari aras laut, Selasa lepas.
“Mendaki Gunung Kilimanjaro merupakan perkara paling mencabar yang pernah saya lakukan, baik dari sudut fizikal atau pun mental.
“Namun, dengan berbuat demikian kita sedar betapa pentingnya untuk kita percaya kepada diri sendiri dan orang lain,” kata West kepada agensi berita AFP dari Nairobi, Kenya.
“Saya memanjat menggunakan tangan. Ia memberi tekanan ke atas bahagian tersebut serta bahu saya,” tambahnya.
Sepanjang pendakiannya, West ditemani oleh dua sahabat baiknya, David Johnson dan Alex Meers. Matlamat mereka adalah untuk mengumpul dana buat Free the Children, sebuah pertubuhan yang membekalkan air bersih kepada beratus-ratus orang di Kenya.
Kenya mengalami kemarau terburuk dalam tempoh 60 tahun pada 2011.
Misi itu berjaya mengumpul lebih AS$500,000 (RM1.59 juta) untuk pertubuhan amal tersebut.
Dia mendaki Kilimanjaro berkenaan pada Selasa lepas dan tiba di kemuncak gunung berkenaan tiga hari kemudian. – AFP

Pelajar sekolah jumpa bayi dibuang tepi semak

Posted on the June 25th, 2012 under General by admin
KOTA BHARU – Seorang pelajar sekolah tidak menyangka gumpalan kertas surat khabar berlumuran darah yang ditemuinya semalam dalam perjalanan ke sekolah, mengandungi seorang bayi lelaki yang masih hidup.
Mohd Razif Zaid, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Mas di sini berkata, dia menemui bayi berkenaan dalam kertas surat khabar di tepi semak ketika berjalan ke sekolah bersama seorang rakan pukul 7.20 pagi.
“Saya bersama rakan terkejut apabila ternampak kertas surat khabar itu penuh dengan darah di tepi semak dan apabila mendekati melihat seorang bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan ditinggalkan di situ.






“Saya kemudian memberitahu pekerja kantin sekolah mengenainya sebelum dia (pekerja kantin) menghubungi polis untuk tindakan seterusnya,” kata Mohd Razif kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.
Pelajar itu berkata, bayi itu masih bertali pusat dan tidak menangis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Azham Othman ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan berkata, bayi berkenaan kini ditempatkan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk pemeriksaan susulan. – BERNAMA

Misteri hantu pocong terjawab

Posted on the June 25th, 2012 under Tempatan by admin

SEBAHAGIAN barangan milik pengunjung yang dicuri ditinggalkan di dalam hutan Hutan Lipur Kanching, Rawang.
RAWANG – Pengunjung terutama pelancong asing di kawasan rekreasi air terjun Hutan Lipur Kanching di sini didakwa sering diganggu lembaga misteri.
Kelibat lembaga dikatakan berpakaian putih seolah-olah hantu pocong itu menakutkan pengunjung dan ia semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.






Bagaimanapun, menurut penduduk, perbuatan itu merupakan tindakan segelintir individu dipercayai penagih dadah yang mencuri barangan pengunjung.
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 35, berkata, beberapa kes dilaporkan berlaku sebelum ini dan kejadian terakhir berlaku dua minggu lepas.
“Individu ini berpakaian seperti hantu untuk menakutkan pengunjung yang berkelah dan apabila pengunjung melarikan diri, barangan mereka akan dicuri. Ada kes pengunjung juga diragut,” jelasnya.
Perkara yang sama pernah berlaku pada empat tahun lalu tetapi selepas individu itu ditangkap oleh pihak berkuasa, ia kini timbul semula.
“Kami penduduk menggelar lembaga itu hantu pocong kerana dia berpakaian dengan menyelubung kepala sebelum meragut dan menyamun mangsa,” jelasnya.
Katanya, lembaga itu disyaki mereka yang mahir selok-belok hutan kerana menjadikan jalan hutan sebagai laluan keluar masuk.
Kosmo

No comments:

Post a Comment