Thursday, November 22, 2012

BAGAIMANA AKIDAH PUNAH RANAH...AKHLAK PUNAH RANAH...HUKUM AGAMA PUNAH RANAH...DAN BANYAK DAH YANG UDAH PUNAH RANAH

4 majlis berbeza

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@hmetro.com.my

GAYA BERBEZA...riak wajah Khairul Fahmi ketika sidang media mengumumkan perkahwinannya dengan Leuniey (kanan), semalam.
GAYA BERBEZA...riak wajah Khairul Fahmi ketika sidang media mengumumkan perkahwinannya dengan Leuniey (kanan), semalam.
PETALING JAYA: Perkahwinan penjaga gol skuad bola sepak kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat, 23, dan pasangannya, Nur Eilunie Natasha Nazri, 21, bakal berlangsung penuh gemilang dalam empat majlis dengan tema berbeza, bermula 28 Disember ini dan terakhir pada 13 Januari tahun depan.
Perkara itu diumumkan Khairul Fahmi atau lebih dikenali sebagai Apek pada sidang media di sini, semalam dan beliau turut memaklumkan, setakat ini pihaknya menerima tajaan bernilai lebih RM300,000 untuk majlis perkahwinan yang dirancang.
Apek berkata, majlis pertama ialah upacara akad nikah yang akan diadakan pada 28 Disember iaitu selepas berakhirnya Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki yang bermula Ahad ini.

Menurutnya, majlis akad nikah itu bakal berlangsung di rumah Nur Eilunie Natasha atau Leuniey di Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan sebelum disusuli majlis resepsi di pihak pengantin perempuan pada 30 Disember di Hotel Renaissance, Kota Bharu, bertemakan Melayu Kontemporari.

“Majlis resepsi sebelah lelaki pula akan diadakan pada 5 Januari di rumah saya di Kampung Cherang, Kota Bharu dengan tema Ala Kampung dan satu lagi majlis resepsi akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 13 Januari di Hotel The Royale Bintang, Damansara bertemakan Gaya Inggeris,” kata Apek.


Angkat rakan putus dua

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Wan Asrudi Wan Hasan
metroperak@hmetro.com.my

pix_middle
GOPENG: “Anggota badan beberapa rakan saya bersepah di atas jalan, malah otak mereka turut hancur. Lebih menyedihkan, ketika saya mengangkat mayat seorang daripada mereka yang tubuhnya hampir putus dua akibat digilis treler.”
Itu kata Abdul Nasir Abdul Rahman, 49, rakan empat pekerja kontraktor syarikat Projek Penyelenggara Lebuhraya Berhad (Propel) yang terbunuh selepas digilis dan diseret sebuah treler lebih 10 tan berhampiran Kilometer 294.1, Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran susur Gopeng, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 4.30 pagi yang turut menyebabkan enam parah itu, treler membawa coklat terbabit hilang kawalan dan memasuki lorong kecemasan lalu merempuh lapan pekerja Propel yang melakukan tugas pemasangan kabel optik di bahu lebuh raya.

Treler itu turut merempuh empat kenderaan iaitu sebuah lori satu tan, van, pacuan empat roda dan kereta Proton Iswara yang dinaiki semua mangsa untuk ke tempat mereka bekerja.

Mangsa yang terbunuh ialah Mohd Shafie Ismail, 56, dari Taman Shakin Baru, Ipoh, Shaharuddin Abd Aziz, 51, dari Kampung Masjid, Kuala Kangsar dan Mohd Hafez Yunos, 39, dari Taman Keramat, Kuala Lumpur yang mati di tempat kejadian.

Linangan air mata anak 5A



KAMPAR: “Ayah orang paling gembira selepas mengetahui saya mendapat 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Isnin lalu,” kata Siti Aishah Mohd Hafez, 12, anak sulung Mohd Hafez Yunos, 39, seorang daripada empat yang terbunuh.
Dia yang berlinangan air mata sambil ditenangkan gurunya, Che Rozila Ahmad Rapidi memberitahu turut dinobatkan sebagai pelajar cemerlang Sekolah Kebangsaan Syeikh Mohd Idris Al Marbawi, Kuala Kangsar, Perak sejurus keputusan UPSR diumumkan.

“Ayah terlalu gembira dan hilang kata-kata. Dia begitu bangga dengan kejayaan yang saya terima,” katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Kampar, di sini.
Menurutnya, dia dan adiknya, Siti Hadibah, 10, dijaga bapanya yang menetap di Taman Impiana, Kuala Kangsar, Perak, manakala ibunya, Norazian Mohamed Abd Rashid, 30-an, tinggal di Kuala Lumpur kerana bekerja di syarikat Kumpulan UEM.

“Sebaik mendapat keputusan UPSR, saya dan adik pergi ke Kuala Lumpur untuk menemani ibu yang bekerja di sana.

“Ayah seorang yang warak dan kerap menghadiri majlis ilmu dan agama di taman perumahan yang kami duduki. Walaupun sibuk, ayah tetap menghantar saya dan adik ke sekolah setiap hari,” katanya.
Menurutnya, arwah kerap menghubunginya melalui telefon bimbit untuk bertanya khabar selain melepaskan rasa rindu.

Sementara itu Norazian berkata, arwah ada menghubungi telefon bimbitnya semalam dan memesan supaya dia menjaga anak mereka dengan baik selain tidak lupa menyuruh mereka menunaikan solat lima waktu.
“Saya sedih dan terkejut. Semua ini berlaku secara mengejut,” katanya yang tidak dapat menahan air mata sambil membaca Yasin di luar bilik mayat Hospital Kampar, tengah hari semalam.

Arwah luah hasrat cari pekerjaan lain



IPOH: “Abang sering mengeluh hendak mencari pekerjaan lain kerana berasa penat dan kerap pulang lewat malam,” kata Mohd Fairuz Mohd Rodzi, 26, adik kepada Ismady Mohd Rodzi, 32, yang maut dalam kemalangan ngeri di Kilometer 294.1, Lebuhraya Utara - Selatan, di sini, semalam.
Menurut Fairuz, sebelum kejadian, mereka sekeluarga sempat makan malam bersama sebelum arwah keluar bekerja kira-kira jam 9 malam kelmarin.

“Kami makan malam seperti biasa. Saya tidak bekerja di lokasi kemalangan awal pagi semalam kerana mengambil cuti bagi menyelesaikan urusan peribadi.
“Jika saya bekerja...mungkin saya juga jadi mangsa,” katanya ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini.

Menurutnya, arwah mempunyai seorang anak, Haikal Daniel, berusia setahun enam bulan yang kini tinggal bersama bekas isteri, Faizah Mohamad, 30, di Kulim, Kedah sejak hampir setahun lalu.

Fairuz berkata, arwah anak kedua daripada tiga beradik, seorang yang rajin bekerja dan suka membantu mereka dalam kesusahan.
Sementara itu, bapa mangsa, Mohd Rodzi Kulup Bidin, 57, meluahkan rasa kecewa dengan kemalangan ngeri menimpa anaknya itu.


Pengantin budak

Oleh Azahar Hashim
am@hmetro.com.my

KULIM: “Saya akan bertanggungjawab malah sudah bersedia untuk menjadi seorang suami yang baik,” kata Mohd Fahmi Alias, 19, yang berkahwin dengan Nor Fazira Saad, 13, di Masjid Kampung Padang Cina, di sini, pada 17 November lalu.
Mohd Fahmi berkata, dia dan isterinya akan berdikari selain menumpukan perhatian kepada perniagaan keluarga untuk melalui kehidupan sebagai suami isteri.

Menurutnya, atas persetujuan kedua-dua ibu bapa mereka dan untuk mengelak berlaku maksiat adalah lebih baik mereka berdua berkahwin walaupun pasangannya itu masih muda remaja.
“Saya mengambil keputusan itu selepas mengadakan perbincangan dengan Nor Fazira serta keluarganya dan keluarga saya sendiri.

“Kedua-dua ibu bapa kami bersetuju untuk mengahwinkan kami, malah Nor Fazira sendiri sanggup mengalas tanggungjawab dan sudah bersedia menjadi seorang isteri.

“Daripada bergelumang maksiat dan melakukan perkara yang dilarang, jalan terbaik ialah kami berkahwin, walaupun pada pandangan masyarakat ia agak janggal pada zaman sekarang ini kerana berkahwin pada usia terlalu muda.
“Malah saya tidak menghalang sekiranya isteri ingin melanjutkan pelajaran, semua bergantung kepada kepada kemahuannya,” katanya yang ditemui di rumahnya di Kampung Naga Lilit, di sini, semalam.

Katanya, mereka akan mengadakan majlis kenduri di sebelah lelaki pada Sabtu ini di rumah keluarganya.
Mohd Fahmi yang juga anak sulung daripada empat beradik berkata, dia sudah bersedia bergelar suami dan tidak kisah pandangan rakan-rakan seusia.

Isterinya, Nor Fazira tidak mengganggap usia mudanya menjadi penghalang untuk menjadi isteri isteri dan sudah bersedia menjalankan tanggungjawabnya itu.

“Yang penting kami mendapat restu kedua-dua ibu bapa kami dan saya banyak menerima tunjuk ajar daripada keluarga mentua.

“Saya tidak kisah apa orang lain kata, penting perbuatan kami tidak salah, malah adalah lebih baik daripada kami terbabit gejala sosial,” katanya yang tidak bersekolah sejak menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), tahun lalu.

Sementara itu, bapa Nor Fazira, Saad Mustaffa, 43, berkata, tindakannya mengahwinkan anak di usia muda kerana mahu menjaga nama semua pihak dan tidak mahu anaknya terjebak maksiat.

Katanya, dia membenarkan anak gadisnya itu berkahwin kerana Nor Fariza enggan pulang ke rumah dan mahu tinggal di rumah teman lelakinya. “Siapa tak sayangkan anak dan sanggup untuk mengahwinkan mereka dalam usia terlalu muda, namun saya terpaksa juga mengahwinkan anak saya walaupun usianya baru 13 tahun bulan depan.

“Hanya Allah tahu perasaan saya... walaupun pahit demi untuk menjaga nama baik keluarga saya dan keluarga besan lebih baik saya mengahwinkan anak dengan lelaki pilihannya.

“Anak saya bernikah pada 17 November lalu selepas mendapat perintah kebenaran untuk bernikah di bawah umur daripada Mahkamah Rendah Syariah Kulim pada 7 November lalu,” katanya.

Dia berkata, majlis pernikahan mereka berlangsung di Masjid Kampung Padang Cina, di sini, pada 17 November lalu dengan wang hantaran RM4,552 serta mas kahwin RM1,500.

“Saya berharap menantu serta keluarganya membimbing anak saya menjadi anak dan isteri yang baik,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Agama Daerah Kulim, Sheikh Radzi Abdul Mutalib, berkata, bagi perempuan berusia 16 tahun ke bawah dan lelaki berusia 18 tahun ke bawah, mereka perlu mendapatkan perintah mahkamah untuk kebenaran bernikah di bawah umur dari Mahkamah Rendah Syariah Kulim.

“Ia mengikut seksyen 18 (1)(a) Enakmen Undang Undang keluarga Islam Kedah 2008,” katanya.

Terpelanting dalam longkang



GOPENG: “Saya hanya sempat mendengar bunyi brek disusuli dentuman kuat sebelum melambung ke dalam longkang di bahu lebuh raya,” kata mangsa terselamat, Dino Azmi, 36.
Dia yang ditemui wartawan Harian Metro dalam keadaan terlantar kesakitan di lokasi kejadian mendakwa kejadian berlaku terlalu pantas dan mereka tidak sempat mengelak atau menyelamatkan diri.

“Saya terpelanting ke dalam longkang sejauh lebih tiga meter. Dalam kesakitan, saya merangkak keluar.
“Saya hanya mampu mendengar bunyi jeritan kesakitan dari rakan terselamat tapi tak mampu membantu mereka,” katanya.

Dia yang berasal dari Tambun, Ipoh, berkata ada antara rakannya terputus tubuh dan pecah kepala hingga gagal dikenal pasti identiti.

“Saya tidak dapat berdiri lama sebelum terbaring semula di bahu lebuh raya akibat kesakitan di pinggang dan kaki,” katanya.

Tak nampak kon



GOPENG: “Pemandu treler terbabit memberitahu dia tidak nampak kon keselamatan dan empat kenderaan yang diletak di lorong kecemasan,” Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon.
Menurutnya, siasatan awal polis berhubung kemalangan ngeri yang meragut empat nyawa itu juga mendapati ketika kejadian cuaca gelap dan hujan renyai manakala keadaan jalan sedikit bercerun.

“Siasatan lanjut masih dilakukan dan pemandu treler terbabit akan ditahan selepas menjalani rawatan untuk diambil keterangan,” katanya.

Beliau berkata, kemalangan berlaku ketika lapan pekerja syarikat Projek Penyelenggara Lebuhraya Berhad (Propel) yang terbabit baru hendak memulakan kerja penyelenggaraan menyambung kabel optik di lorong kecemasan lebuh raya.

“Kemalangan berlaku apabila treler terbabit dalam perjalanan dari Johor Bahru ke utara merempuh empat kenderaan iaitu Proton Iswara, pacuan empat roda Mitsubishi Triton, van Nissan dan lori seberat satu tan diletakkan sebaris di laluan sama.

Bantu kurang kesesakan



LEPAS...Raja Nong Chik melepaskan kenderaan melalui persimpangan bertingkat terbabit, semalam.
LEPAS...Raja Nong Chik melepaskan kenderaan melalui persimpangan bertingkat terbabit, semalam.
KUALA LUMPUR: Pembukaan persimpangan bertingkat di Jalan Tun Razak menghubungkan Jalan Pudu, Jalan Cheras dan Jalan Chan Sow Lin dijangka dapat mengurangkan 40 peratus kesesakan di kawasan itu.
Persimpangan bertingkat dengan kos pembinaan bernilai RM60 juta itu yang mula dibina pada 19 April 2007 mengalami beberapa masalah sehingga berlaku kelewatan daripada tarikh asal sepatutnya disiapkan iaitu pada 18 Ogos 2009.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, walaupun berlaku sedikit kelewatan namun atas kesungguhan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta syarikat System Engineering dan Construction Sdn Bhd, ia berjaya disiapkan pada 14 September lalu.
Menurutnya, kelewatan itu disebabkan kelulusan yang perlu diperoleh daripada pihak Smart kerana ia dibina di atas terowong Smart, masalah pengalihan kemudahan utiliti seperti kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB), Telekom Malaysia (TM), Syarikat Telekomunikasi serta pengalihan paip air Syabas.

Katanya, dengan pembukaan secara rasmi persimpangan bertingkat itu akan membawa banyak kemudahan kepada pengguna dan menjadikan jajaran sistem aliran trafik lebih kemas serta tersusun.

“Kenderaan yang melalui Jalan Cheras sudah mencapai tahap maksimum sehingga diberi jolokan ‘Cheras Crawl’. Pembinaan jejambat ini meyakinkan kita dapat mengurangkan kesesakan dan seterusnya memudahkan pengguna jalan raya,” katanya selepas Majlis Perasmian Persimpangan Bertingkat itu, di sini, semalam.

Buru suspek pecah rumah



KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur memburu 16 lelaki berusia 24 hingga 54 tahun bagi membantu siasatan beberapa kes pecah rumah dan curi di ibu kota sejak 2006.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, semua suspek itu terbabit dalam beberapa kes jenayah, termasuk pecah rumah dan curi sejak 2006 hingga kini.

Beliau berkata, semua suspek dikehendaki mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara dan denda serta sebatan. “Ada antara mereka memiliki 16 rekod jenayah, tetapi bukan dari satu kumpulan.
“Semua mereka terbabit lebih daripada satu kes dan secara keseluruhan, 16 suspek itu terbabit lebih 20 kes pecah rumah di ibu kota,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata, antara suspek yang diburu ialah Mohd Sani Mohd Arifin, 32, beralamat terakhir Repuh Jagong, Bukit Panau, Tanah Merah, Tan Poi Tong, 54, beralamat terakhir di 520, Sungai Jarom, Jenjarom, Muhamad Sanawi Mansor, 23, alamat terakhir di 1413, Jalan Sri Putri 4/4, Taman Putri, Kulai Johor dan Ramu a/l Muthusamy, 35, beralamat terakhir di N0. 4, Batu 15 ½, Templer Park, Selangor.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi balai polis berdekatan, Rakan Cop dan Bahagian D4 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di talian 03-21460613.

Amukan suami

Oleh Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail
rabiatul@hmetro.com.my

SIBU: Hanya kerana mempersoalkan wang perbelanjaan rumah tidak mencukupi, seorang wanita dibelasah suaminya dengan hulu kapak sehingga cedera di tengkuk dan mata dalam kejadian di rumah mereka di Jalan Upper Lanang, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 11 malam itu, mangsa yang dikenali sebagai Suri, 39, berasal dari Kota Sentosa, Kuching, dibelasah suaminya yang berusia 33 tahun selepas berlaku pertengkaran ketika mereka berbincang mengenai wang perbelanjaan.

Suri berkata, suaminya yang bekerja di syarikat pembalakan tiba-tiba berang lalu mengambil kapak di dapur dan terus menghayunkan bahagian hulu kapak ke arahnya.

Menurutnya, walaupun dia beberapa kali merayu minta dilepaskan, suaminya terus bertindak ganas dengan menampar muka mangsa beberapa kali sehingga lebam.

“Saya hanya dapat melarikan diri pagi ini (semalam) untuk mendapatkan rawatan di Hospital Sibu dan nekad membuat laporan di Balai Polis Sentral.

Bahasa kita punah-ranah

Oleh A Ghani Nasir

DUA sarjana melahirkan kebimbangan terhadap apa yang mereka sifatkan sebagai penginggerisan bahasa Melayu hingga ke tahap memungkinkan bahasa ibunda Melayu hilang identitinya lantas ‘menjadi muflis’.
Mereka membandingkan dasar golongan pakar bahasa Melayu hari ini mencipta istilah dengan sikap pendukung bahasa Mandarin dan Thai yang seboleh-bolehnya memelihara keaslian bahasa ibunda mereka. “Langkah tokoh bahasa hari ini menginggeriskan bahasa Melayu jika tidak dihentikan akhirnya boleh mewujudkan satu keadaan seperti di Papua New Guinea apabila kacukan bahasa Inggeris dan bahasa tempatan melahirkan English rojak.

“Sifatnya tidak ubah seperti bahasa rojak kerana bercampur aduk dengan istilah Inggeris baik dari segi sebutan mahupun maknanya,” kata Dr Mohamed Yusoff Ismail, Profesor Antropologi dan Pakar Runding, Open University Malaysia (OUM) dalam satu pertemuan.
Professor Dr Teo Kok Seong, pendukung bahasa Melayu dan Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Univerisiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pula pada satu wacana bahasa Kebangsaan, baru-baru ini, berkata ketulenan bahasa Melayu sekarang semakin terhakis kerana keazaman orang Melayu untuk melindungi ketulenan bahasa mereka agak berkurangan.

Beliau berkata, bahasa Melayu perlu mengurangkan perkataan pinjaman kerana ia sendiri kaya dengan perbendaharaan kata yang boleh dipilih.

“Kenapa kita perlu mengguna perkataan ‘infrastruktur’ kerana maksud itu boleh diterangkan dengan perkataan ‘prasarana’ yang mampu mencapai maksud berkenaan. Demikian juga kenapa perlu menggunakan perkataan ‘kontemporari’ sekiranya perkataan ‘semasa’ mampu menyampaikan maksud sama?” “Oleh kerana terlalu banyak perkataan yang diserap ke dalam bahasa Melayu mungkin satu hari nanti, kita perlu merujuk kepada kamus bahasa Inggeris untuk mengetahui makna sesuatu perkataan. Contohnya perkataan ‘modulasi’ lebih mudah diketahui maknanya dengan merujuk kepada kamus bahasa Inggeris,” kata Dr Teo.
Dr Yusof juga menerima rungutan daripada pelajar antarabangsa yang belajar bahasa Melayu berikutan terlalu banyak istilah saduran Inggeris. Malah, beliau yang juga mantan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM, masih ingat pengalaman beberapa pelajar yang menjalankan kajian di sebuah kampung.

“Bagaimana kemudahan ‘komunikasi’ di desa ini,” tanya pelajar. Penduduk kampung menjawab spontan: “Pada masa komunis dulu kami hidup terseksa.” Mereka jelas keliru dengan perkataan ‘komunikasi’ yang bermaksud perhubungan itu.
“Masalah ini timbul kerana ada satu petua ajaib yang ‘turun dari langit’ iaitu bagi apa-apa istilah Inggeris yang ada akhiran ‘tion’ maka istilah yang dimelayukan akan berakhiran dengan ‘si’ kecuali nation,” kata Dr Yusof.

Bala paling besar berlaku apabila tatabahasa Melayu yang dipelopori oleh Zaa’ba itu ‘dikhianati’ oleh penggubal tatabahasa angkatan baru, kononnya demi menjadikan bahasa Melayu itu lebih ‘moden’. Yang anehnya, kata beliau, selepas Zaa’ba ahli bahasa yang bertanggungjawab menggunakan satu kerangka pemikiran Barat dan peristilahan Inggeris untuk memperihalkan bahasa Melayu, seolah-olah bahasa Melayu itu tidak mempunyai kosa kata yang cukup untuk memperihalkan dirinya sendiri, sesuatu yang agak sukar untuk diterima akal.

Maka muncullah istilah saduran seperti ‘frasa’ (phrase), ‘klausa’ (clause), ‘predikat’ dan ‘subjek’ dan istilah seperti ‘vokal’ bagi menggantikan ‘huruf saksi’; ‘ayat aktif’ bagi menggantikan ‘ayat bangun membuat’; ‘ayat pasif’ bagi menggantikan ‘ayat bangun kena buat’; dan pelbagai lagi kerenah lain yang menghancurkan atau menidakkan kerja-kerja murni yang dipelopori oleh Zaa’ba.

Ahli bahasa mendabik dada dengan megah kerana kejayaan menjadikan bahasa Melayu kaya dengan istilah baru. Tetapi apalah makna kekayaan itu jika kita berhutang di sekeliling pinggang. Di manakah letaknya maruah dan jatidiri bahasa Melayu? Dr Yusof selanjutnya menarik perhatian betapa istilah yang sedia ada dan digunakan sekian lama digantikan pula dengan istilah saduran yang kononnya menampakkan kecanggihan bahasa Melayu.

Maka ‘produk’ menggantikan ‘hasil mahsul’, ‘keluaran’ dan ‘barangan’; ‘bajet’ menggantikan ‘belanjawan’; ‘informasi’ menggantikan ‘maklumat’; ‘artis’ menggantikan ‘seniman’, ‘pelakon’, ‘anak wayang’ dan ‘orang seni’; ‘diskusi’ menggantikan ‘perbincangan’; ‘demonstrasi’ menggantikan ‘tunjuk perasaan’ dan ‘tunjuk cara’; ‘destinasi’ menggantikan ‘tempat tuju’ dan ‘hala tuju’; ‘kualiti’ menggantikan ‘mutu’; serta beratus-ratus lagi contoh yang boleh pembaca lihat sendiri.

Carilah apa-apa perkataan yang berakhir dengan ‘si’ maka itulah istilah saduran, kecuali ‘nasi basi’ dan ‘lembu kasi’. “Kerja ahli bahasa nampaknya sangat mudah, tidak seperti zaman Zaa’ba yang bertungkus-lumus mencipta istilah baru dengan memberikan makna baru kepada istilah asli yang sedia ada dalam kosa kata Melayu. “Kalau tidak kerana Zaa’ba kita tidak akan ditinggalkan dengan khazanah perkataan yang sedap didengari dan yang dapat mencerminkan jatidiri Melayu sebenar seperti ‘setiausaha’. Kalau diharapkan kepada ahli bahasa selepas zaman Zaa’ba mungkin mereka akan lebih bermegah dengan memelayukan saja ‘secretary’ - satu jalan mudah,” katanya. Dr Yusof memberi contoh lagi bagaimana banyak lagi istilah ciptaan Zaa’ba sudah diketepikan. Pembaca tentu masih ingat istilah lama seperti ‘mata-mata’ dan ‘mata-mata gelap’ yang digantikan dengan ‘polis’ dan ‘detektif’.

“Demi memodenkan bahasa Melayu kita terima bulat-bulat permainan sihir ini. Tetapi anehnya dalam bahasa Jepun, China dan Thai mereka masing-masing mempunyai perkataan asli untuk ‘polis’ dan nama-nama pangkat dalam susun lapis perjawatannya.

“Zaa’ba cuba mempertahankan keaslian dan kemelayuan ini tetapi ahli bahasa angkatan baru menyonglapkannya dengan polis dan detektif,” katanya.

Dr Yusof berpendapat penggubalan istilah baru dengan cara memberikan makna baru kepada perkataan lama tidak berlaku dengan bersungguh di kalangan ahli bahasa selepas Zaa’ba, tidak sehebat seperti yang berlaku di kalangan orang Inggeris. Misalnya, apabila ‘komputer’ mula-mula timbul terdapat keperluan mencari istilah baru bagi memenuhi kehendak baru dalam bidang ini. Mereka mencari dari dalam kepuk sendiri, bukan pergi ke China atau Russia. Sebagai contoh, istilah ‘cursor’ diambil daripada perbendaharaan Inggeris lama, tetapi diberikan makna baru sesuai untuk bidang ‘komputer’. Ahli bahasa di Malaysia memelayukannya terus kepada ‘kursor’ sedangkan kalaulah Zaa’ba masih ada mungkin beliau akan mencadangkan istilah ‘kekelip’, ‘kekunang’ atau ‘tetunjuk’ kerana itulah sifat hakiki ‘kursor’ pada setiap layar komputer. Negara yang tidak pernah dijajah Thailand mempunyai sejarah penciptaan istilah yang mungkin boleh kita contohi. Mereka dapat menangkis serangan istilah asing kerana iltizam yang kuat di kalangan ahli bahasa mereka serta sokongan padu daripada pihak diraja dan golongan bangsawannya.

“Bahasa Thai juga banyak mengalami ‘serangan’ bahasa asing, terutama sekali daripada bahasa Inggeris, tetapi mereka dapat menangkisnya dengan berpegang teguh kepada petua pencarian dari dalam atau dari kepuk serumpun. Bagi mereka kepuk serumpun dan kepuk turun termurun adalah Sanskrit, Khmer dan Melayu,” katanya.

Apakah selepas ini kita masih mahu penginggerisan bahasa Melayu berterusan atau sebaliknya kita berusaha mencari istilah daripada kepuk khazanah kita seperti ‘halimunan’ bagi ‘stealth’ (pesawat pengebom kalis radar), siasah bagi ‘politik’ dan ‘nilai-nilai karamah insaniah’ bagi ‘dignity of human beings’? Penulis adalah wartawan sambilan Portal Berita UKM dan BH Singapura

Telefon pintar boleh lipat

PENGGUNAAN OLED membolehkan telefon bombit dilipat.
PENGGUNAAN OLED membolehkan telefon bombit dilipat.
Samsung yakin ia dapat dipasarkan pada separuh pertama tahun depan.
Samsung yakin ia dapat dipasarkan pada separuh pertama tahun depan.
SEOUL: Kedatangan tahun baru tidak lama lagi mungkin turut menampakkan peralihan terkini kepada evolusi telefon pintar.
Syarikat Samsung dilaporkan semakin gigih menghasilkan telefon bimbit menggunakan skrin fleksibel dan tahan pecah sehingga ia boleh dilentur, digulung atau dilipat untuk disimpan dalam dompet. Menurut media, syarikat teknologi gergasi Korea Selatan itu kini dalam peringkat akhir pembangunan telefon pintar fleksibel itu dan dijangka sedia untuk dipasarkan tahun depan. Penemuan terbaru itu dibuat hasil penggunaan diod pemancar cahaya organik (OLED) yang amat nipis dan boleh dipasang pada bahan seperti plastik atau lingkaran tembaga. Sambung bukan satu-satunya syarikat yang membuat pelaburan besar dalam penyelidikan menghasilkan skrin menggunakan OLED.

Selain Samsung, syarikat dari Jepun, Sony, serta LG Display - juga dari Korea Selatan - turut melancarkan prototaip seumpama itu. Bagaimanapun, Sambung menjadi syarikat pertama menjanjikan tarikh pengeluarannya dengan sumber yang rapat dengan syarikat itu memberitahu Wall Street Journal, produk berkenaan akan dipasarkan pada separuh pertama 2013.
Melihat kepada tarikh pelancaran produk penting dalam siri S Samsung itu, pemerhati berpendapat, produk teknologi skrin fleksibel berkenaan mungkin dinamakan S4. Penghasilan itu dibuat ketika pengeluar telefon pintar dan tablet mencari jalan mencipta produk berbeza daripada apa yang ada di pasaran. Pengarah Telefon Bimbit dan Paparan Baru IHS Electronics and Media, Vinita Jakhanwal, berkata AMOLED fleksibel boleh membantu Sambung menghasilkan produk unik di pasaran. - DM

Dadah RM750 juta dalam penggelek jalan dari China



SYDNEY: Polis Australia merampas kokain dan methamphetamine bernilai A$237 juta (RM751 juta) yang disembunyikan dalam sebuah jentera penggelek jalan dibawa dari China, semalam.
Jurucakap polis Australia berkata, mereka menahan dua lelaki, masing-masing dari Kanada dan Amerika Syarikat (AS) di Sydney selepas menemui 350 kilogram dadah berkenaan.

Katanya, kedua-dua lelaki terbabit didakwa mengimport dadah dan berdepan hukuman penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan. Ia adalah rampasan kedua terbesar polis Australia dalam tempoh seminggu.
Pada 16 November lalu, polis menahan sebuah bot membawa 200 kilogram kokain selepas ia dilaporkan melarikan diri dari Tonga. - AP

RM6.37 bilion untuk besarkan Lapangan Terbang Soekarno-Hatta



JAKARTA: Pengendali lapangan terbang terbesar Indonesia, PT Angkasa Pura II, cuba mendapatkan Rp20 trilion (RM6.37 bilion) pinjaman komersial dan bon bermula tahun depan untuk membiayai pembangunan lapangan terbang utama negara ini yang menelan belanja AS$2.7 bilion (RM8.26 bilion), kata ketua pegawai eksekutifnya, semalam.
Tri S. Sunoko berkata, syarikat milik negara itu mensasarkan projek Lapangan Terbang Soekarno-Hatta itu siap sepenuhnya pada 2015. Lapangan terbang itu tidak mampu menampung pertambahan jumlah penumpang ketika ekonomi Indonesia yang semakin meningkat.

“Lapangan terbang ini mampu menampung 62 juta pengguna setiap tahun menjelang 2015, sebaik saja projek pembangunan ini selesai,” katanya. - JP

No comments:

Post a Comment