Tuesday, November 20, 2012

KITA MUNGKIN AKAN DIARAK MASUK SYURGA JIKA KITA PILIHAN ALLAH...TAPI KITA AKAN HUMBAN KE NERAKA JIKA BUAT KEZALIMAN DIDUNIA

Kokain RM22 juta dirampas


NOOR Rashid (dua dari kanan) menunjukkan tin-tin berisi santan kelapa bercampur dadah kokain yang dirampas pada sidang akhbar di Bukit Aman semalam.


KUALA LUMPUR - Sindiket pengedaran dadah semakin kreatif dan terbaharu polis dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menumpaskan cubaan menyeludup dadah kokain yang dilarutkan dalam tin berisi santan kelapa dipercayai didalangi warga Nigeria.
Kegiatan itu terbongkar hasil serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama JKDM yang memeriksa sebuah kapal kontena yang tiba di Pelabuhan Barat, Klang, Selangor pada pukul 2 pagi Isnin minggu lalu.
Pemeriksaan ke atas kapal kontena yang belayar dari Guyana, Amerika Syarikat itu dilakukan hasil maklumat risikan pihak Pentadbiran Penguat Kuasa Dadah Amerika Syarikat.
Dalam serbuan tersebut, kapal itu didapati membawa muatan 980 karton tin mengandungi santan kelapa dan tin berisi ketulan nanas yang diproses.
Pengarah JSJN, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, ujian ke atas 16 karton berisi 384 tin santan kelapa dikesan dicampur dengan larutan dadah jenis kokain tetapi baki tin santan kelapa dan nanas tidak mengandungi larutan dadah tersebut.
"Kita menganggarkan larutan dadah yang ditemui daripada 16 karton tin berisi santan kelapa itu mampu menghasilkan sekurang-kurangnya 76 kilogram dadah kokain yang nilai pasarannya hampir RM22 juta apabila diproses," kata beliau pada sidang akhbar di sini.

Mayat wanita dalam tong sampah

ANGGOTA polis memeriksa mayat seorang wanita yang ditemui dibuang di dalam tong sampah di Bandar Rahman Putra, Sungai Buloh semalam.


PETALING JAYA – Seorang buruh binaan warga Bangladesh tidak menyangka bungkusan kanvas yang ditemui di dalam tong sampah di Bandar Rahman Putra, Sungai Buloh dekat sini semalam mengandungi mayat seorang wanita yang dipercayai mangsa bunuh.
Buruh yang mahu dikenali sebagai Hassan, 22, berkata, bungkusan itu ditemui pada pukul 11 pagi ketika dia mahu membuang sisa binaan ke dalam tong sampah yang diletakkan di hadapan sebuah rumah kedai yang sedang diubah suai.
“Melihat kepada bentuk bungkusan itu, saya takut untuk membuka menyebabkan saya terus menghubungi tauke saya yang ketika itu berada di Batu Caves sebelum tauke saya menghubungi polis,” kata Hassan yang bekerja sebagai buruh di rumah kedai yang sedang dalam proses diubah suai.
Hassan yang ditemui di sini memberitahu, polis yang tiba di tempat kejadian pada pukul 12.30 tengah hari membuka bungkusan tersebut dan menemui mayat seorang wanita berusia lewat 20-an.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan berkata, mayat wanita warga asing itu dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum dicampak ke dalam tong sampah tersebut.
Semasa ditemui mayat itu lengkap berpakaian.

45,054 calon dapat semua A

PUTRAJAYA – Sebanyak 45,054 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini mencatatkan markah A dalam semua mata pelajaran namun peratusnya menurun 0.54 peratus berbanding 46,012 calon pada tahun lalu.
Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pelajaran, Dr. Na’imah Ishak berkata, pencapaian keseluruhan bagaimanapun menurun sebanyak 0.01 mata Gred Purata Nasional (GPN) iaitu daripada 2.30 tahun lalu kepada 2.31 tahun ini.
“Sebab penurunan ini masih belum diketahui dan jabatan pelajaran negeri dan sekolah-sekolah akan membuat kajian mengenainya selepas ini,” katanya ketika mengumumkan analisis keputusan UPSR di sini semalam.
Sebanyak 517,139 calon menduduki UPSR tahun ini iaitu meningkat 3.9 peratus berbanding 497,691 tahun lalu.
Daripada jumlah itu, 98.2 peratus atau 507,783 adalah calon sekolah Kementerian Pelajaran manakala bakinya calon sekolah swasta.
Menurut Na’imah, sebanyak 286,930 calon tahun ini memperoleh keputusan baik iaitu minimum C tidak termasuk semua A telah meningkat 1.49 peratus berbanding 269,021 calon tahun lalu.
Sebanyak 17,251 calon lagi berada di bawah tahap penguasaan minimum iaitu mendapat semua D atau E atau kombinasi kedua-duanya dan ia meningkat 0.54 peratus berbanding 13,958 peratus tahun lalu

Kecoh bila calon UPSR melarikan diri



NORLIDA (kanan) menangis bersama Hafeq selepas anaknya dijumpai semula selepas melarikan diri selepas namanya tercicir sebagai calon mendapat 5A di SK Bandar Uda 2, Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU – Keriangan 267 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Uda 2 di sini semalam meraikan kejayaan bertukar kecoh apabila salah seorang calonnya melarikan diri kira-kira dua jam.
Semuanya bermula apabila nama pelajar terbabit, Hafeq Shakirin Abdul Halim, 12, tercicir daripada senarai pelajar yang berjaya mendapat keputusan 5A di sekolahnya.
Setelah menyedari kehilangan pelajar itu, pihak sekolah dan keluarga Hafeq panik sehingga membuatkan ibunya, Norlida Mohd. Yusop, 36, dan seorang lagi anaknya, Dania Elliana, 9, menangis di tengah-tengah orang ramai.
Selepas dua jam mencari akhirnya Hafeq ditemui di dalam Dewan Jubli Perak yang terletak satu kilometer dari sekolah dalam keadaan menangis pukul 3.10 petang oleh bapanya, Abdul Halim Abdul Manaf, 40.
Hafeq ketika ditemui berkata, dia kecewa apabila namanya tidak disebut oleh guru sekolah sebagai pelajar mendapat 5A walaupun telah memperoleh keputusan cemerlang itu dan mengambil keputusan melarikan diri kerana tidak mahu melihat ibunya bersedih.
“Saya lihat nama kawan-kawan lain yang dapat 5A sudah dipanggil tapi nama saya tidak. Jadi saya tertekan. Waktu itu saya hanya fikir saya tidak berguna untuk keluarga,” kata anak sulung daripada dua beradik itu sambil menangis teresak-esak.

SBP hanya menawarkan tempat kepada 7,657 pelajar cemerlang

KUALA LUMPUR - Sebanyak 45,054 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) cemerlang tahun ini terpaksa berebut kekosongan sebanyak 7,657 kekosongan di 107 buah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) pada tahun 2013 di seluruh negara.
Menurut jurucakap Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), pemilihan akan dibuat secara teliti termasuk mengambil kira pengambilan murid berdasarkan merit yang merangkumi pencapaian akademik, kokurikulum, pencapaian khas seperti aspek kepemimpinan dan status sosioekonomi keluarga.
Permohonan kemasukan ke SBP dan Sekolah Kawalan KPM bagi tahun 2013 boleh dibuat sejak 15 September lalu.
Sebelum ini, KPM tidak bercadang menambah tempat di SBP bilangan murid yang mencapai prestasi cemerlang dalam UPSR dan kokurikulum, semakin meningkat dari setahun ke setahun.
Pada tahun lepas, permohonan ke Tingkatan 1 di SBP yang diterima oleh KPM ialah 99,765.

Agensi amah Indonesia jangan sorok maklumat

KUALA LUMPUR – Agensi pembantu rumah warga asing khususnya dari Indonesia diminta jangan berselindung dalam urusan bayaran pengambilan tenaga kerja itu serta menyembunyikan peraturan-peraturan baharu yang dikuatkuasakan bagi mengelak majikan menanggung kesulitan.
Presiden Persatuan Majikan Amah Malaysia (Mama), Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein (gambar) menegaskan, adalah menjadi kewajipan setiap agensi untuk menjelaskan secara terperinci semua peraturan serta bayaran yang dikenakan kepada bakal majikan yang mahu mengambil pembantu rumah.
“Pihak agensi kena terangkan jumlah bayaran yang telah ditetapkan dan bayaran itu pula untuk tujuan apa,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Beliau mengulas dilema yang dihadapi sesetengah majikan yang mendakwa tidak dimaklumkan mengenai peraturan pihak berkuasa Indonesia kepada rakyat mereka yang bekerja di negara ini.
Antara peraturan itu ialah syarat wajib mohon kad Tenaga Kerja Luar Negeri, surat izin cuti daripada majikan kepada amah yang pulang sementara ke negara asal serta surat kebenaran bekerja di Malaysia seperti yang terkandung dalam kontrak masing-masing.
Ada majikan mendakwa pihak tertentu di Indonesia menuntut bayaran 1 juta rupiah (RM318) sebagai caj untuk menulis surat izin pulang bercuti.
Engku Ahmad memberitahu, arahan mewajibkan pembantu rumah membuat kad Tenaga Kerja Luar Negeri jika ingin bekerja di luar negara itu telah berkuat kuasa Mei tahun lalu.
“Ia termaktub dalam Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Pengambilan dan Penempatan Pembantu Rumah Indonesia 2006 yang ditandatangani pada 30 Mei 2011,” ujarnya.

Lima terbunuh dalam kemalangan



LOKASI kemalangan membabitkan empat buah kenderaan yang meragut lima nyawa di Pasir Gudang kelmarin.


JOHOR BAHRU – Lima lelaki termasuk seorang kanak-kanak berusia setahun maut manakala sepasang suami isteri cedera dalam kemalangan ngeri melibatkan empat buah kenderaan di Jalan Masai-Kong Kong berhampiran Taman Zamrud, Pasir Gudang di sini kelmarin.
Mangsa-mangsa yang terbunuh ialah S. Varathan, 35; S. Sivakumar, 40; Mohd. Ismail Abd. Rahman, 46; V. Sadhees, 23, dan Muhammad Danial Syafiq Aziz, 1.
Pasangan suami isteri yang cedera ialah Aziz Yakub, 33, dan Nurul Hafizah Mohamed, 30.
Kemalangan pada pukul 9 malam itu dipercayai berpunca daripada motosikal ditunggangi Sadhees yang cuba memotong sebuah kereta di garisan berkembar tetapi gagal sebelum bertembung dengan Perodua Kembara yang dipandu Varathan.
Turut berada dalam Perodua Kembara itu ialah Mohd. Ismail dan Sivakumar.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin berkata, akibat pertembungan tersebut, Perodua Kembara terbabit hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung pula dengan sebuah kereta Perodua Viva yang dinaiki pasangan suami isteri dan anak mereka, Danial Syafiq.

Jualan akhir tahun Firefly tawar diskaun 20 peratus



PROMOSI jualan akhir tahun Y.E.S Firefly menawarkan penjimatan yang menarik untuk mereka yang merancang program percutian tahun depan.


KUALA LUMPUR - Syarikat penerbangan komuniti, Firefly telah melancarkan jualan akhir tahun (Y.E.S) dengan diskaun sebanyak 20 peratus untuk para penumpang yang mahu berjimat dalam rancangan perjalanannya tahun depan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam, diskaun itu boleh digunakan di semua destinasi Firefly untuk semua penerbangan termasuk hujung minggu, cuti sekolah dan pengembaraan masa puncak iaitu bermula 8 Januari depan hingga 30 Jun 2013.
Ketua Pegawai Eksekutif Firefly, Ignatius Ong berkata, ia merupakan promosi kali pertama syarikat penerbangan itu menawarkan jualan seperti ini dan dalam tempoh pengembaraan yang panjang.
"Apa yang membuatkan Y.E.S berbeza dengan tawaran tambang rendah yang lain ialah penumpang yang memutuskan bila dan ke mana mereka hendak pergi kerana diskaun itu boleh digunakan untuk semua destinasi dan semua tarikh dalam tempoh perjalanan tersebut.
"Dengan tawaran tambang yang rendah, penumpang perlu terbang pada tarikh yang mempunyai tempat duduk tambang rendah.
"Selain itu, pertumbuhan ketara Firefly yang menyaksikan pengenalan destinasi baharu dan tiga laluan baharu, telah membolehkan kami menawarkan promosi menarik ini di keseluruhan laluan kami," tambah beliau.

Korban serangan Zionis meningkat 96 orang


PENDUDUK Palestin berkumpul melihat sebuah rumah yang musnah selepas serangan udara tentera Israel di Khan Younis, selatan Genting Gaza.


GENTING GAZA - Serangan udara tentera Israel yang masuk hari keenam semalam meragut 13 lagi nyawa warga Palestin menjadikan angka korban keseluruhan kini meningkat kepada 96 orang.
Serangan itu berlaku ketika usaha gencatan senjata sedang giat dilakukan oleh para pemimpin antarabangsa bagi menamatkan kekejaman Zionis.
Serangan yang dilancarkan ke atas wilayah Genting Gaza kali ini adalah yang terburuk dalam tempoh empat tahun.
Dalam pada itu, tentera Israel menyatakan, pihaknya telah berjaya mengambil alih sebuah program stesen televisyen milik Hamas.
Dalam perkembangan berkaitan, beberapa penganalisis politik berkata, pemimpin Israel berpuas hati dengan kejayaan Operation Pillar of Defence yang dilancarkan pada Rabu lalu bertujuan untuk menghentikan tembakan roket pejuang Hamas.
Operasi tersebut melibatkan serangan udara bertubi-tubi ke atas wilayah Palestin berkenaan.
Sejak keganasan ke atas Genting Gaza bermula, Israel tidak henti-henti melakukan serangan udara dan langsung tidak menunjukkan sebarang tanda untuk berhenti walaupun serangan udara kian berkurangan sejak Jumaat.
Sehingga semalam, pihak tentera Israel berkata, ia telah membedil lebih daripada 1,350 kawasan Gaza manakala pejuang Hamas telah menembak lebih 850 roket ke Tel Aviv dan satu ke Baitulmuqaddis.
Kelmarin, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, pasukan tentera daratnya kini bersedia untuk menggempur Genting Gaza bagi menentang pejuang Hamas.
Stesen radio awam melaporkan seramai 40,000 pasukan tentera simpanan kini bersiap sedia berhampiran sempadan Gaza.
Sementara itu, Perdana Menteri Mesir, Hisham Kandil berkata, usaha damai yang dikelolakan pihaknya sedang berjalan dan peluang untuk menamatkan peperangan adalah cerah.
"Rundingan sedang berjalan sekarang ini dan saya berharap kami akan mencapai sesuatu bagi membolehkan keganasan dihentikan," kata Hisham dalam satu wawancara di Kaherah. - Agensi

Puluhan ribu penduduk keluar sambut Obama



WARGA Myanmar berbaris di jalan raya semasa konvoi yang membawa Obama tiba di Yangon semalam.


YANGON, Myanmar - Berpuluh-puluh ribu orang membanjiri jalan-jalan raya di sini untuk menyambut kedatangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama yang tiba di negara ini semalam.
Obama merupakan Presiden AS pertama yang melawat Myanmar.
Selepas mendapat sambutan karpet merah, Presiden AS berkenaan menemui rakan sejawatnya dari Myanmar, Thein Sein.
Dalam pertemuan tersebut, beliau menyeru bekas jeneral itu supaya mempercepatkan proses demokrasi di Myanmar setelah negara mengamalkan pemerintahan tentera selama beberapa dekad.
Bercakap di hadapan beribu-ribu orang di Universiti Yangon di sini, Obama menghulur tangan persahabatan dan menyatakan komitmen AS kepada rakyat Myanmar.
"Sepanjang setahun setengah yang lepas, satu peralihan dramatik bermula apabila pemerintahan diktator selama lima dekad kini kian pudar," kata Obama kepada para hadirin.
Beliau berkata, kerajaan awam yang baharu perlu memupuk demokrasi atau melihat demokrasi dan sokongan AS kepada negara itu pudar.
Myanmar merupakan kemuncak lawatan empat hari Obama ke rantau ke Asia Tenggara yang bermula di Bangkok Thailand dan berakhir di Phnom Penh, Kemboja hari ini.
Presiden berkenaan dijangka menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur di Kemboja.
Dalam lawatan pertama ke luar negara selepas memenangi pilihan raya Presiden AS, Obama turut mengunjungi kediaman ikon demokrasi Aung San Suu Kyi.
Pada pertemuan mereka, Obama memberikan ciuman dan pelukan erat kepada Suu Kyi yang dianggapnya sebagai sumber inspirasi. - Agensi

Puting beliung air landa pantai

SEBUAH kenderaan pacuan empat roda melalui jalan pantai di Teluk Batemans, Australia ketika puting beliung air berlaku kelmarin.


SYDNEY, Australia - Satu kejadian puting beliung air gergasi dilihat di kawasan pantai Teluk Batemans yang terletak sekitar 225 kilometer ke selatan bandar raya ini kelmarin, lapor akhbar dalam talian MailOnline kelmarin.
Fenomena alam semula jadi itu terbentuk apabila puting beliung berlaku di atas permukaan laut.
Puting beliung air boleh bergerak selaju 128 kilometer sejam (km/j) dengan pusaran anginnya pula bertiup pada kelajuan antara 96 km/j hingga 192 km/j.
Ribut berkenaan boleh menyebabkan kemusnahan besar pada terumbu karang, hidupan marin dan mengancam bot, pesawat serta perenang.
Walaupun jarang berlaku di Australia, empat puting beliung air gergasi pernah dilihat di Pantai Avoca di sini pada Mei tahun lalu. - Agensi

Kapsul Soyuz mendarat di Kazakhstan



BEBERAPA petugas memeriksa kapsul roket Soyuz TMA-05M yang membawa pulang tiga kru Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa semalam.


ALMATY - Seramai tiga angkasawan yang menaiki kapsul roket Soyuz TMA-05M mendarat dalam persekitaran gelap dan sejuk di pedalaman Kazakhstan semalam selepas berada selama 125 hari di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS).
Angkasawan Pentadbiran Aeronautik Dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Sunita Williams, kosmonaut Rusia Yury Malenchenko dan angkasawan agensi angkasa lepas Jepun, Aki Hoshide mendarat pada pukul 7.56 pagi waktu tempatan di timur laut bandar Arkalyk.
Sebanyak lapan buah helikopter membawa sejumlah kru mencari dan menyelamat dihantar untuk menghulurkan bantuan selepas kapsul mereka tersasar sedikit dari lokasi pendaratan sepatutnya.
" Bagi saya, semuanya berada dalam keadaan baik," kata Williams kepada kru penyelamat berkenaan.
Seramai tiga angkasawan lain terus berada di ISS dan akan disertai angkasawan NASA, Tom Marshburn, angkasawan Agensi Angkasa Lepas Kanada, Chris Hadfield dan kosmonaut Rusia, Roman Romanenko pada bulan depan.
Setakat ini, kapal angkasa Soyuz merupakan satu-satunya pengangkutan untuk membawa angkasawan antarabangsa ke ISS sejak perkhidmatan kapal angkasa Shuttle milik Amerika Syarikat berakhir pada 2011. - Agensi

Broadwell kesal skandal dengan pengarah CIA



GAMBAR fail 13 Julai 2011 oleh Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF) menunjukkan Jeneral David Petraeus berjabat tangan dengan penulis bersama buku autobiografinya, Paula Broadwell.


WASHINGTON - Penulis biografi, Paula Broadwell yang menjalin hubungan sulit dengan bekas Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), David Petraeus, memberitahu rakan-rakannya bahawa dia sengsara akibat kesilapan tersebut.
Seorang kenalan rapat Broadwell yang enggan dikenali berkata, dia melahirkan rasa kesal di atas kesilapan tersebut terutama kepada ahli keluarga dan jiran-jirannya.
Dia kini berusaha untuk membetulkan kesilapan tersebut dan meneruskan kehidupannya.
Dalam pada itu suami, anak dan rakan-rakan Broadwell mengalu-alukan kepulangannya ke kediaman mereka di Charlotte, Utara Carolina kelmarin.
Sebelum ini, dia bersembunyi di rumah abangnya di Washington selama lebih seminggu bagi mengelak daripada diganggu oleh wartawan dan jurugambar.
Seorang rakan keluarga Broadwell berkata, wanita berkenaan terharu dengan sokongan yang diberikan oleh jiran-jirannya.
Broadwell masih lagi disiasat oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) mengenai dokumen sulit yang dijumpai dalam komputer riba di rumahnya yang dipercayai dikumpul penulis itu semasa menghasilkan biografi Petraeus di Afghanistan.
Skandal Broadwell dan Petraeus diketahui FBI apabila mereka menemui e-mel yang dihantar Broadwell kepada seorang sosialit negeri Florida, Jill Kelley supaya menjauhkan diri daripada kekasih gelapnya itu.
Petraeus, 60, yang merupakan jeneral empat bintang terpaksa menanggung malu selepas hubungan beliau bersama Broadwell terbongkar pada awal bulan lalu.
Hubungan sulit Petraeus dengan Broadwell bermula kira-kira dua bulan selepas dia memegang jawatan Pengarah CIA pada September 2011 sejurus selepas bersara daripada perkhidmatan tentera AS. - Agensi

No comments:

Post a Comment