Thursday, November 22, 2012

PENGHUNI NERAKA BANYAK WANITA...NI MUNGKIN MEREKA MEMANG RAMAI LELAKI KOD...SALAH SATU SEBAB DERHAKA@NUSYUZ PADA SUAMI

Amaran Hamas kepada Israel

PENDUDUK Gaza membawa jenazah dua kanak-kanak yang menjadi mangsa serangan udara Israel untuk dikebumikan di Beit Lahiya, utara Genting Gaza semalam.


GENTING GAZA - Komander tertinggi sayap tentera Hamas, Mohammed Deif memberi amaran, Israel akan menerima padah jika ia berani melancarkan serangan darat ke dalam wilayah Palestin ini.
"Pihak musuh (rejim Zionis) akan menerima padah jika ia merancang untuk masuk ke Gaza," kata Mohammed yang merupakan komander Briged Ezzedine Al-Qassamzz kepada stesen televisyen Hamas, Al-Aqsa.
"Perang darat merupakan harapan terbaik untuk membebaskan tahanan Israel," tambahnya.
Beliau merujuk kepada rancangan pejuang Palestin untuk menawan askar-askar Israel dan menukarnya dengan tahanan Palestin sekiranya Tel Aviv menceroboh Gaza.
Dalam perkembangan terbaharu, pasukan perubatan di sini menyatakan seramai enam penduduk Palestin terbunuh dalam serangan udara tentera Israel yang masuk hari ketujuh semalam
Angka kematian tersebut menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat keganasan Israel kini meningkat kepada 116 orang termasuk sejumlah wanita dan kanak-kanak.
Serangan udara dan bedilan artileri Tel Aviv itu yang bermula pada 14 November lalu turut mencederakan lebih daripada 920 orang awam.
Mengulas serangan terbaharu itu Tentera Israel menyatakan, operasi semalam melibatkan kira-kira 100 sasaran di sini yang dibedil dengan pesawat pejuang dan meriam.
Salah satu sasaran tentera Israel merupakan Bank Islam Kebangsaan milik pejuang Hamas yang rosak teruk selepas diserang.
Dalam perkembangan berkaitan, sebuah roket yang ditembak dari sini mengenai sasaran dekat Baitulmuqaddis tetapi tidak menyebabkan kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda.
Pasukan Briged Al-Qassam mengaku melancarkan roket tersebut ke arah bandar Baitulmuqaddis yang ditakluki Israel.
Perkembangan itu berlaku ketika Mesir yang menjadi pengantara gencatan senjata antara Israel dan Gaza menyatakan pertempuran yang berlaku akan tamat minggu ini.
Dalam pada itu, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama telah menghantar Setiausaha Negara Hillary Clinton ke Asia Barat untuk menghentikan pertempuran antara Israel dan Hamas.
White House berkata, Hillary akan berjumpa dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Baitulmuqaddis, pegawai-pegawai Hamas di Ramallah dan pemimpin Mesir di Kaherah bagi mencari jalan penyelesaian. - Agensi

110 negara sokong hukuman mati dimansuh

LONDON - Sebanyak 110 buah negara menyokong resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memansuhkan hukuman mati.
Resolusi yang dibuat setiap dua tahun sekali itu mencipta rekod sokongan paling tinggi oleh negara-negara dunia.
Malaysia mengambil pendirian tidak bersetuju dengan resolusi terbabit.
Namun, resolusi tersebut turut mencetuskan jurang perbezaan antara negara-negara anggota PBB yang sebelum ini merupakan sekutu rapat.
Resolusi tersebut ditentang oleh 39 buah negara termasuk Amerika Syarikat (AS), Jepun, China, Iran, India, Korea Selatan, Syria dan Zimbabwe manakala 36 buah negara lain bersikap berkecuali.
Israel bertindak menentang sekutu kuatnya, AS apabila menyokong resolusi tersebut bersama negara-negara Kesatuan Eropah, Australia, Brazil dan Afrika Selatan.
Pada tahun 2010, sebanyak 107 buah negara menyokong resolusi badan dunia itu.
Resolusi tersebut dibuat sebelum perhimpunan kongres sedunia bagi menentang pelaksanaan hukuman mati yang akan diadakan di Madrid, Sepanyol pada Jun 2013. - AFP

Pemandu teksi Singapura pulangkan wang RM2.7 juta


WANG kertas berjumlah RM2. 7 juta yang ditemui Ka Tian di dalam teksinya selepas ditinggalkan sepasang pelancong warga Thai kelmarin.



ka tian di sisi teksinya.


SINGAPURA - Seorang pemandu teksi di sini dijulang sebagai wira kerana memulangkan wang tunai berjumlah AS$900,000 (RM2.7 juta) milik pasangan pelancong Thailand yang tertinggal di dalam teksinya.
Pemandu berusia 70 tahun itu, Sia Ka Tian berkata, dia terkejut menemui wang tersebut di dalam sebuah beg kertas berwarna hitam di tempat duduk belakang selepas menurunkan mereka di sebuah pusat beli-belah di sini.
"Apabila saya melihat wang itu, saya berfikir masalah sudah datang. Saya pasti terdapat sekurang-kurangnya AS$200,000 (RM612,800) di dalam beg itu," katanya yang sudah 31 tahun memandu teksi.
Namun, apabila dia membawa beg kertas itu pulang ke syarikat pengangkutan teksi ComfortDelGro tempat dia bekerja, rakan-rakannya yang mengira wang itu terkejut kerana beg itu mengandungi wang sebegitu banyak.
Beg tersebut mengandungi sejumlah wang kertas bernilai seribu dolar Singapura.
"Duit itu tidak penting buat saya. Ia bukan milik saya, jadi bagaimana saya hendak gunakannya?" katanya kepada akhbar Straits Times.
Pasangan warga Thai tersebut melaporkan kehilangan tersebut kepada syarikat ComfortDelGro dan Ka Tian siap sedia menunggu apabila mereka tiba untuk menuntut kembali wang itu.
Bagaimanapun, akhbar berkenaan tidak menyatakan tujuan pasangan itu membawa wang dalam jumlah yang begitu banyak.
Ka Tian pula menerima sejumlah ganjaran daripada pasangan tersebut tetapi jumlahnya tidak didedahkan.
Pihak syarikat turut merancang untuk memberikan anugerah kepada Ka Tian kerana sikap jujurnya itu.
"Kami amat berbangga dengannya (Ka Tian) dan lega kerana penumpang tersebut menemui semula wang mereka," tambah jurucakap yarikat penghantar itu, Tammy Tan.
Pada 2009, seorang pemandu teksi lain mengembalikan beberapa jongkong emas seberat lima kilogram bernilai 377,000 dolar Singapura (RM942,807) yang ditemui di dalam teksinya. - AFP

Pertuduhan gadis bakar al-Quran digugurkan

RIMSA yang dituduh murtad duduk di dalam sebuah helikopter selepas dibebaskan dari sebuah penjara di Rawalpindi pada 8 September lalu.


ISLAMABAD - Mahkamah Pakistan semalam menggugurkan semua pertuduhan terhadap seorang gadis beragama Kristian yang dituduh murtad dalam kes yang mendapat kecaman masyarakat antarabangsa, kata beberapa peguam.
Gadis tersebut, Rimsha Masih ditahan oleh polis Pakistan selama tiga minggu selepas ditangkap pada 16 Ogos lalu kerana didakwa membakar kitab al-Quran.
Dia dibebaskan dengan ikat jamin pada September lalu dan polis memberitahu, gadis itu tidak bersalah.
Sebaliknya, seorang ulama yang membuat tuduhan tersebut terhadap dirinya perlu dihadapkan ke mahkamah.
"Mahkamah telah menutup kes ini dan mengisytiharkan Rimsha tidak bersalah," kata peguam belanya, Akmal Bhatti kepada agensi berita AFP.
Ulama berkenaan, Hafiz Mohammed Khalid Chishti menyerahkan naskhah al-Quran yang dibakar kepada polis sebagai bahan bukti telah ditahan pada 1 September lalu kerana menghina kitab suci itu dan memalsukan bukti.
Laporan perubatan rasmi sebelum ini mendapati Rimsha tidak berpendidikan dan berusia 14 tahun tetapi mempunyai pemikiran seperti kanak-kanak yang mengalami penyakit Down Sindrom. - AFP

Bunga bangkai mekar buat kali kedua


ORANG ramai berkumpul untuk melihat bunga bangkai mekar buat kali kedua di Taman Botanikal Basel, Switzerland kelmarin.


BASEL, Switzerland - Para pengunjung di Taman Botanikal Basel di sini berpeluang melihat dengan lebih dekat bunga terbesar di dunia, Amorphophallus titanum, yang mekar untuk kali kedua pada tahun ini kelmarin.
Dikenali juga sebagai bunga bangkai kerana bau tumbuhan itu seperti daging mereput, bunga berkenaan mekar buat kali pertama pada April lalu selepas 17 tahun ditanam.
Tumbuhan setinggi 2.27 meter itu berwarna kuning dan merah gelap.
Dalam pada itu, beberapa pakar botani di taman berkenaan memberitahu bahawa mereka terkejut kerana bunga tersebut mekar buat kali kedua dalam tempoh kurang 20 bulan. - AFP

Dua wanita ditahan kerana kritikan di Facebook


DUA orang wanita yang ditangkap kerana mengkritik di laman sosial Facebooknya berjalan keluar dari sebuah mahkamah di Mumbai semalam.


MUMBAI - Pihak berkuasa India menahan seorang wanita kerana mengkritik dalam akaun Facebooknya mengenai penutupan sebuah kawasan perniagaan di sini bagi memberikan laluan kepada upacara pengkebumian seorang ahli politik berpengaruh India, Bal Thackeray.
Wanita berkenaan menyatakan penutupan tersebut dibuat kerana takut dan bukan kerana menghormati ahli politik tersebut.
Turut ditahan bersama merupakan seorang wanita lain yang menekan butang suka pada komen itu.
Beberapa penganalisis dan pihak media semalam secara meluas mengutuk penangkapan mereka oleh pihak berkuasa negeri Maharashtra sebagai cubaan untuk menyekat kebebasan bersuara.
Pada Ahad lalu, kedai-kedai, perkhidmatan pengangkutan awam dan kewangan di seluruh bandar raya ini ditutup ekoran kematian pemimpin itu.
Penahanan kedua-dua wanita itu dilihat sebagai langkah oleh polis untuk mengelak daripada berlakunya kekacauan oleh penyokong Thackeray.
Kedua-dua wanita berkenaan kemudian dibebaskan dengan ikat jamin kelmarin. - AP

18 maut insiden rempuhan jambatan runtuh di India


SEORANG wanita menangis di samping mayat-mayat mangsa yang terkorban akibat rempuhan pada satu sambutan Chhath Puja di Patna, India pada Isnin lalu.


PATNA, India - Pihak berkuasa India membuka satu kertas siasatan mengenai kejadian rempuhan yang mengorbankan 18 orang wanita dan kanak-kanak selepas sebuah jambatan buluh yang dibina sempena festival perayaan Hindu runtuh kelmarin.
Insiden itu berlaku di timur bandar Patna, berhampiran sungai Ganges pada lewat malam kelmarin ketika berpuluh-puluh ribu penganut Hindu berpusu-pusu melalui jambatan itu.
Di sebalik bencana yang berlaku, para penganut tetap berkumpul di kawasan kejadian untuk bersembahyang sebelum matahari terbit.
Ia merupakan ritual wajib pada festival tersebut dengan mempersembahkan buah-buahan kepada Tuhan, menyalakan lilin dan mandi di sungai Ganges.
"Ketua Menteri Bihar, Nitish Kumar telah mengarahkan satu siasatan dilakukan," kata setiausaha dalam negeri, Amir Subhani kepada agensi berita AFP.
Berpuluh-puluh orang yang cedera parah kelihatan menunggu di luar Kolej Perubatan Patna dan Hospital di mana kebanyakan mangsa yang cedera dibawa.
"Ramai yang panik selepas rempuhan berlaku menyebabkan mereka mencampak barang persembahan sembahyang bagi menyelamatkan diri masing-masing," kata seorang peniaga teh, Akhilesh Prasad kepada wartawan tempatan.
Superitendan polis di Patna, Jayant Kant berkata, 18 orang disahkan maut termasuk 10 wanita dan lapan kanak-kanak.
Angka kematian dijangka meningkat kerana masih ramai mangsa yang dilaporkan hilang belum ditemui.
"Mayat kesemua yang maut dalam rempuhan telah dihantar ke hospital untuk dibedah siasat," kata Kant. - AFP

Dituduh rancang culik 100 wanita


SEORANG lelaki yang mendakwa dirinya saudara lelaki anggota polis Gilberto Valle, disoal oleh media pada 25 Oktober lalu.


NEW YORK - Seorang anggota polis di sini, mengaku tidak bersalah di atas tuduhan merancang untuk menculik, memasak serta memakan sehingga 100 orang wanita.
"Saya tidak bersalah," kata anggota polis tersebut, Gilberto Valle kepada hakim Mahkamah Persekutuan Manhattan apabila ditanya mengenai tuduhan itu.
Dia juga didakwa menceroboh pangkalan data komputer polis bagi mendapatkan maklumat tentang wanita yang akan dijadikan mangsanya.
Valle yang berusia 28 tahun didakwa merancang jenayah tersebut bersama seorang rakan yang tidak dikenali dengan menggunakan klorofom untuk membuatkan mangsa pengsan.
Mereka kemudian akan membawa mangsa-mangsa pulang ke rumahnya dan merancang untuk memasak mayat mereka yang dikerat-kerat di dalam oven atau dipanggang.
Dia didakwa bertukar-tukar e-mel mengenai konspirasi itu dengan konconya dan menceroboh masuk pangkalan data polis untuk mengumpul maklumat mangsa-mangsanya.
Hasil carian dalam komputer milik Valle mendedahkan terdapat sekurang-kurangnya 100 fail wanita yang lengkap dengan nama, gambar, maklumat peribadi termasuk alamat.
Peguam Valle berkata, tiada seorangpun wanita menjadi mangsa dan ia sekadar satu fantasi.
Semalam, peguam Valle, Julia Gatto merayu supaya anak guamnya dibebaskan dengan ikat jamin.
Bagaimanapun hakim Paul Gardephe menegaskan, permohonan sama pernah ditolak sebanyak dua kali oleh dua orang hakim lain sebelum ini dan permintaan itu sukar untuk ditunaikan. - AFP

Dunia semakin teruk tercemar karbon dioksida

GENEVA - Agensi meteorologi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan, pencemaran karbon dioksida (CO2) di udara adalah paling tinggi pada tahun lalu.
Agensi berkenaan yang dikenali sebagai Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) memberitahu, kadar kandungan CO2 di atmosfera kini meningkat 40 peratus berbanding sebelum Zaman Industri yang bermula sekitar tahun 1700.
Beberapa pegawai WMO semalam turut berkata, terdapat 30 peratus peningkatan kesan pemanasan iklim dunia antara tahun 1990 dan 2011 yang berpunca daripada gas CO2 hasil pembakaran bahan api fosil.
Setiausaha Agung WMO, Michel Jarraud berkata, sebanyak 350 bilion metrik tan gas CO2 dilepaskan ke atmosfera Bumi sejak tahun 1750. - AP

Dua maut kongsi gelap bergaduh

SEORANG penduduk melihat tempat dua mangsa ditetak sampai mati oleh sekumpulan lelaki di padang permainan kanak-kanak di Kampung Ampang Campuran, Ampang Jaya kelmarin.


AMPANG JAYA - Dendam angkara berebut kawasan untuk dikuasai melibatkan dua kumpulan kongsi gelap dipercayai menjadi punca dua pemuda maut manakala seorang lagi cedera parah diserang oleh sekumpulan lelaki bersenjatakan parang di padang permainan kanak-kanak di Lorong Ikan Jelawat 6, Kampung Ampang Campuran di sini kelmarin.
Sebelum kejadian pada pukul 6.30 petang, ketiga-tiga mangsa yang berusia 21 dan 25 tahun itu bersama empat lagi rakan berkumpul dan minum di padang berkenaan sebelum mereka tiba-tiba dihampiri sekumpulan 10 lelaki yang menaiki sebuah kereta Proton Waja dan empat buah motosikal.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, kesemua suspek itu kemudian turun dari kenderaan masing-masing sebelum beberapa pemuda dalam kumpulan lelaki yang bersenjatakan parang itu menyerang tiga mangsa yang duduk di padang itu.
Ketiga-tiga mangsa cuba melarikan diri tetapi mereka dikejar sebelum ditetak bertubi-tubi oleh kumpulan lelaki itu.
Bagaimanapun, menurut beliau, empat lagi rakan mangsa yang berada di situ tidak dicederakan.
"Serangan itu menyebabkan seorang mangsa maut di tempat kejadian, seorang lagi mati sejurus tiba di Hospital Ampang manakala seorang lagi cedera parah di beberapa bahagian badan," kata beliau kepada Kosmo! di sini.
Kata beliau, siasatan awal mendapati ada kemungkinan kumpulan berkenaan merancang untuk menyerang ketiga-tiga sahabat itu setelah mendapat maklumat mereka berada di padang tersebut.
Mangsa yang mati di tempat kejadian ialah B. Balaraj. Lelaki berusia 25 tahun itu dikatakan mati dalam keadaan ngeri dengan kepalanya putus. T. Haridas, 21, yang meninggal dunia di Hospital Ampang pula dikatakan hampir putus tangan dan kaki kirinya.
Amiruddin memberitahu, seorang orang awam yang menjadi saksi kejadian dan empat lagi rakan mangsa telah dipanggil dan diambil keterangan bagi membantu siasatan kes pembunuhan itu.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan kedua-dua mayat dipindahkan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk bedah siasat.
Mengikut satu sumber, kumpulan mangsa dan kumpulan penyerang dipercayai menganggotai kumpulan kongsi gelap yang bertapak di Ampang Jaya dan Cheras.
Dua kumpulan kongsi gelap itu dipercayai berdendam selepas berlaku masalah dalam perebutan kawasan untuk dikuasai.
Selain itu, semasa kejadian kumpulan penyerang berada dalam pengaruh alkohol.
Sementara itu, bapa saudara kepada Haridas, Abdul Rahman Jayaraja, 53, berkata, anak saudaranya itu bukan anggota kongsi gelap tetapi dia yang bekerja sebagai penghantar surat turut ditetak ketika cuba menyelamatkan rakan-rakannya yang diserang lebih 10 lelaki.
Menurutnya, Haridas sentiasa melindungi rakan-rakannya dan kematiannya kelmarin juga kerana dia mahu menyelamatkan rakan-rakannya daripada diserang.
"Saya diberitahu, dia baru pulang daripada kerja dan singgah sebentar di tempat kejadian untuk berjumpa rakan-rakannya.
"Sebelum kejadian, Haridas dikatakan singgah di padang itu tetapi tiba-tiba sekumpulan lelaki muncul dan menyerang rakan-rakannya," kata Abdul Rahman ketika ditemui di Bilik Mayat PPUKM di sini.

Nasib malang anak comel ditinggal ibu bapa


dorothy Chong Mei Sem menunjukkan gambar ibu dan bapanya pada sidang akhbar bersama Lee Kon Yin di Ipoh semalam.


IPOH – Kata pepatah Cina, kasih ayah setinggi gunung, kasih ibu sedalam laut.
Bagaimanapun, pepatah tersebut tidak menggambarkan nasib seorang kanak-kanak comel berusia tiga tahun, Chong Mei Sem apabila dia ditinggalkan oleh ibu bapanya untuk dipelihara oleh seorang peniaga sejak tiga bulan lalu.
Lebih memilukan, bapa kanak-kanak malang itu, Chong Chee Liong sanggup pula mengucapkan selamat hari lahir untuk anaknya itu melalui khidmat pesanan ringkas baru-baru ini.
Dia juga sanggup meletakkan sebiji kek hari jadi untuk anaknya itu di hadapan pintu pagar rumah penjaga anaknya di sini baru-baru ini.
Bercerita lanjut mengenai masalah yang timbul, wanita dikenali sebagai Madam Choong, 52, yang memelihara Mei Sem berkata, kanak-kanak tersebut ditinggalkan oleh ibunya sendiri yang dikenali sebagai Chu Sin di rumahnya di Kampung Gunung Rapat dekat sini pada kira-kira pukul 10 malam, 9 Ogos lalu.
Katanya, Chu Sin meminta dia menjaga Mei Sem sementara dia keluar untuk mencari kerja dan berjanji memberikan upah sebanyak RM1,000 sebulan.
“Betul, memang dia beri upah RM1,000 itu dengan memasukkannya ke akaun bank saya tetapi hanya pada bulan September. Selepas itu langsung tiada apa-apa berita daripada mereka.
“Setiap panggilan ke telefon bimbit Chu Sin dan suaminya langsung tidak berjawab malahan saudara-mara pasangan terbabit juga tidak tahu ke mana mereka pergi,” katanya pada sidang akhbar bersama Pengerusi Biro Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional negeri, Datuk Lee Kon Yin di sini semalam.
Menurutnya, Mei Sem seorang kanak-kanak yang baik dan tidak pernah buat perangai.
“Apabila diberitahu ibu bapanya tiada, dia cuma diam dan bermain seperti biasa.
“Cuma sekarang saya tidak mampu lagi menanggungnya. Saya minta ibu atau bapanya ambil semula anaknya dan saya beri masa seminggu sebelum menyerahkan kanak-kanak ini ke Jabatan Kebajikan Masyarakat,” ujarnya.
Sementara itu, Kon Yin meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ibu bapa kanak-kanak itu supaya menghubungi beliau menerusi talian 05-253 6981 atau 012-515 1178.

Kecewa isteri tetap ingkar


YUSRI menunjukkan surat keputusan Mahkamah Tinggi Syariah di Kangar semalam.


KANGAR – Seorang suami sanggup turun naik tangga Mahkamah Tinggi Syariah di sini lebih 22 kali semata-mata untuk mengesahkan status perkahwinan selepas diceraikan oleh isterinya dengan menggunakan surat cerai taklik palsu kira-kira dua tahun lalu.
Kesungguhan Yusri Ahmad Jusoh, 55, itu berbaloi apabila mahkamah tersebut pada 8 Novemver lalu memutuskan bahawa perkahwinannya dengan Intan Fazilah Othman, 35, pada 29 Januari 2009 sebagai sah.
Bagaimanapun, dia terus berdepan dengan kekecewaan apabila isterinya masih tidak pulang ke pangkuannya selepas hampir dua minggu mahkamah membuat keputusan tersebut.
Malah ketika dia cuba menghubungi isterinya itu secara baik, seorang lelaki yang menjawab panggilan telefon telah memberi amaran kepadanya supaya jangan mengganggu wanita itu.
“Ketika mahkamah membuat keputusan tersebut, dia dan saya berada di hadapan hakim mendengarnya. Kami faham dengan perintah yang dikeluarkan itu.
“Tetapi selepas selesai kes di mahkamah, dia terus keluar dan menghilangkan diri.
“Keesokannya saya dapat menghubungi telefon bimbit Intan Fazilah tetapi saya terkejut apabila seorang lelaki memberi amaran jangan mengganggu wanita itu sedangkan dia isteri saya yang sah,” katanya ketika di temui di pejabat Kosmo! di sini semalam.
Kosmo! pada Mac 2011 lalu melaporkan Yusri yang merupakan seorang peniaga kecewa selepas ikatan perkahwinannya terputus apabila isterinya menghantar surat perceraian taklik dari negara jiran.
Lebih mengejutkan, Yusri mendakwa surat taklik yang dihantar oleh Intan Fazilah itu rupa-rupanya palsu setelah dia membuat pemeriksaan di Jabatan Agama Islam Songkhla.
Dua bulan kemudian, dia membuat permohonan terhadap status perkahwinannya di Mahkamah Tinggi Syariah di sini dan prosiding kes tersebut berlarutan selama dua tahun apabila mahkamah memutuskan perkahwinan mereka masih sah pada 8 November lalu.
Yusri menjelaskan, sehingga kini dia masih gagal menghubungi isterinya itu untuk berbincang mengenai keputusan mahkamah terbabit bagi merancang masa depan termasuk nasib seorang anak perempuan hasil perkahwinan mereka yang sehingga kini dia tidak dibenarkan berjumpa.

Obama setuju hentikan keganasan


NAJIB (kiri) hadir pada Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang
dipengerusikan oleh Obama (dua dari kanan) di Phnom Penh, Kemboja semalam. Turut hadir Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah (kanan).


PHNOM PENH - Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama memberi respons positif kepada gesaan Malaysia dan Indonesia dalam usaha menghentikan keganasan yang berlaku di Gaza, Palestin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Obama memaklumkan kepadanya pagi semalam bahawa beliau telah membuat beberapa panggilan telefon malam kelmarin dalam usaha menghentikan keganasan.
Tindakan itu adalah susulan langkah Malaysia dan Indonesia membangkitkan isu berkenaan pada Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin ASEAN-Amerika Syarikat di sini.
"Dalam pertemuan itu, saya memohon kepada Obama agar bertindak menghentikan keganasan yang sedang berlaku di Gaza dan mencari penyelesaian jangka sederhana dan panjang berdasarkan penyelesaian dua negara (seperti yang dicadangkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) sebagai asas kepada resolusi konflik itu," kata Najib kepada media Malaysia di sini semalam.
Kedua-dua pemimpin berkenaan bertemu sekali lagi pagi semalam semasa Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Perkongsian Rentas Pasifik di sini.
"Obama memaklumkan kepada saya pagi ini (semalam) bahawa beliau telah bertindak dengan membuat beberapa panggilan telefon.
"Obama berkata beliau akan cuba. Beliau mahu supaya keganasan yang berlaku sekarang dihentikan dan beliau tahu bahawa untuk mencari penyelesaian yang menyeluruh dan muktamad merupakan satu tugas yang sangat besar.
"Kami tahu tentang cabaran dan betapa rumitnya isu ini. Saya fikir di pihak beliau ada hasrat untuk mencari penyelesaian muktamad kepada perkara ini," kata Najib.
Israel melancarkan operasi serangan terkini yang dipanggil Pillar of Defence di Gaza sejak 14 November mengakibatkan lebih 100 orang terkorban dan sekurang-kurangnya 300 lagi cedera.

Wang palsu RM10,000 dirampas


HOCK SING menunjukkan wang kertas palsu RM100 (kanan) dan wang kertas asli (kiri) pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Melaka semalam.


MELAKA - Polis Melaka menahan lapan individu termasuk empat warga asing yang dipercayai terlibat dalam penipuan wang palsu bernilai hampir RM10,000 di sekitar negeri itu antara Januari hingga awal November lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka, Superintendan Soh Hock Sing berkata, kesemua mereka yang berusia antara 22 hingga 26 tahun itu ditahan selepas dikesan oleh pihak bank dan pekerja pasar raya.
"Kita berjaya merampas wang palsu bernilai RM9,970 dengan RM4,960 berjaya di kesan melalui bank manakala RM4,810 dikesan oleh pihak pasar raya," kata beliau kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini.
Menurut beliau, kesemua wang palsu yang dirampas itu melibatkan 91 keping wang kertas RM100, 17 keping wang kertas RM50 dan dua keping wang kertas RM10.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dengan cubaan pihak tidak bertanggungjawab dalam mengedarkan wang palsu tersebut terutama melibatkan wang kertas bernilai RM100 dan RM50.

Ditembak ketika buka bungkusan


RAMAN dan isteri berada di dalam kereta BMW milik mereka yang diletakkan di tempat letak kereta di Pusat Komersial Taman Johor Jaya, Johor Bahru ketika berlaku percubaan membunuh mereka semalam.


JOHOR BAHRU – Seorang kontraktor menyangka dia akan mati apabila seorang lelaki berjaket gelap tiba-tiba melepaskan dua das tembakan ke arahnya yang ketika itu berada di dalam kereta dan sedang membuka sebuah bungkusan di Pusat Komersial Taman Johor Jaya di sini semalam.
Semasa kejadian pada pukul 1.20 petang, mangsa O. Raman, 56, rakyat Singapura yang mempunyai taraf penduduk tetap negara ini dan isterinya, S. Padmavathi, 52, baru masuk ke dalam kereta BMW miliknya yang diletakkan di tempat letak kereta di depan pusat kurier di situ.
Bagaimanapun, cerita Raman, tiba-tiba seorang lelaki yang memakai topi keledar dan berjaket gelap muncul di tepi keretanya dan terus melepaskan tembakan ke arahnya.

KEADAAN Raman yang menahan kesakitan selepas kaki kanannya terkena satu das tembakan.


“Ketika mendengar tembakan itu, saya hanya ingat mati tetapi apabila lelaki berjaket itu beredar saya bersyukur kerana masih bernyawa dan hanya cedera di kaki kanan terkena satu das tembakan manakala tembakan lagi satu menembusi cermin tingkap tempat duduk sebelah pemandu.
Terdahulu, Raman yang banyak berurusan di Singapura dan Pasir Gudang berasa hairan apabila bungkusan yang dibuka hanya mempunyai sebuah diari.
“Kami tidak pasti sama ada bungkusan itu merupakan perangkap untuk musuh saya mencederakan saya,” kata Raman ketika ditemui di sini.
Raman bagaimanapun menafikan dia mempunyai musuh perniagaan.
Sementara itu, Padmavathi berkata, sebaik penjenayah itu beredar, dia yang dalam keadaan panik terus menghubungi anak perempuannya untuk mendapatkan bantuan.
Pasangan tersebut mempunyai tiga anak perempuan dan Padmavathi memiliki tiga buah tadika di sini.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin berkata, polis sedang menyiasat motif kejadian tersebut selain memburu lelaki yang dipercayai cuba membunuh mangsa.

Yang Dipertua Negeri dapat elaun rumah RM72,000

KUCHING - Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng akan menerima elaun perumahan RM72,000 setahun susulan pindaan Ordinan Senarai Awam 1963 (Pindaan 2000), kata Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu.
Beliau berkata, memandangkan ketua negeri tinggal di kediaman sendiri, kerajaan negeri mengusulkan agar elaun perumahan itu dibayar kepadanya sama seperti yang dinikmati anggota pentadbiran awam lain.
"Elaun sedemikian dilihat perlu bagi penyelenggaraan kediaman beliau," kata Jabu ketika membentangkan usul yang kemudian diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini semalam.
Katanya, sejak 19 Disember 2011, Abang Muhammad Salahuddin yang berasal dari Sibu tinggal di kediaman sendiri di Nombor 88, Sri Impian, Kampung Temenggong, Jalan Matang di sini manakala kediaman rasmi Astana diguna untuk majlis rasmi dan sebagai pejabat.
Di bawah ordinan itu, beliau turut layak menikmati Privy Purse (perbelanjaan) berjumlah RM215,280 setahun dan Elaun Tugas sebanyak RM152,490 setahun. - Bernama  
AKHIR ZAMAN KIBLAT KEPADA WANITA

Tempahan Almera catat 7,000 unit


SEORANG model bergaya di sisi kereta baharu Nissan Almera selepas majlis pelancarannya di Kuala Lumpur baru-baru ini.


KUALA LUMPUR - Nissan Almera, sedan global Nissan paling laris keluaran Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd. (ETCM), yang baru dilancarkan akhir bulan Oktober lalu telah menerima lebih 7,000 tempahan daripada pelanggan.
Pengarah Eksekutif ETCM, Datuk Dr. Ang Bon Beng berkata, antara faktor tarikan bagi pencapaian memberangsangkan itu ialah ia ditawarkan pada harga mampu milik daripada serendah RM66,800 seunit serta memiliki ciri-ciri, teknologi dan keluasan mengagumkan yang lazimnya hanya ditemui pada kenderaan-kenderaan lebih premium.
Nissan Almera juga menawarkan penggunaan minyak yang menjimatkan, alat ganti mampu milik dan senang diperoleh membuatkan kos keseluruhan bagi pemilikan model itu begitu menarik.
"Sejak ditubuhkan pada tahun 1957, Tan Chong dan Nissan telah menawarkan rakyat Malaysia kereta-kereta ikonik yang sememangnya tidak dimakan masa. Bermula dengan generasi Sunny diikuti oleh Sentra dan kini, kami meneruskan warisan itu menerusi sedan segmen B serba baharu iaitu Almera.
"Penerimaan positif terhadap model baharu ini menjadi penunjuk kukuh mengenai kepercayaan dan keyakinan rakyat Malaysia ke atas kenderaan, produk serta perkhidmatan kami," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
Bon Beng menerangkan, Tan Chong kini sudah mengambil langkah-langkah sewajarnya berkaitan saluran pengeluaran di kilang bagi memenuhi permintaan tinggi dan memastikan bekalan yang berterusan.
Menurutnya, sehingga kini Tan Chong Motor Group telah mengembangkan operasi di kilangnya di Serendah, Selangor dengan lebih banyak syif pengeluaran dan tenaga kerja tambahan.
Dalam usaha mempromosikan model menarik itu, syarikat tersebut telah menganjurkan program jelajah di beberapa lokasi menarik untuk membolehkan orang ramai melihat dengan lebih dekat kereta baharu itu.
Siri jelajah itu bakal diadakan di AEON, Seberang Prai, Pulau Pinang pada 20 hingga 25 November; One Borneo Hypermall, Kota Kinabalu, Sabah (30 November hingga 2 Disember) dan di One Utama, Petaling Jaya, Selangor (26 Disember hingga 1 Januari 2013)

13 GRO asing dicekup imigresen


DUA pegawai imigresen memeriksa dokumen perjalanan GRO yang ditahan dalam operasi di dua buah premis hiburan di bandar Seremban malam kelmarin.


SEREMBAN – Sebanyak 13 gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing yang asyik melayan pasangan terkedu apabila mereka dicekup sepasukan anggota imigresen di dua premis hiburan di sekitar bandar ini malam kelmarin.
Pengarah Imigresen Negeri Sembilan, Faizal Fazri Othman berkata, pihaknya menyerbu pusat hiburan di Seremban 2 dan Kemayan Square pada pukul 10 malam.
“Semasa serbuan di Taman AST, GRO terbabit sedang melayan pelanggan dan cuba melarikan diri tetapi gagal.
“Lapan lagi wanita ditahan di Seremban 2 yang dipercayai bekerja sebagai tukang urut,” katanya.
Menurut beliau, kesemua mereka merupakan warga China, Vietnam dan Thailand berusia 20 hingga 30-an.
“Kebanyakan mereka menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja di sini,” katanya.

Diganggu ah long kerana hutang anak


KOK ON (dua dari kiri) bersama Chew Fun (tengah) dan Kah Yeow (dua dari kanan) menunjukkan gambar anak lelaki mereka di Kuala Lumpur semalam. Turut sama di kiri sekali ialah Michael Chong.


KUALA LUMPUR - Seorang ibu dan dua orang bapa terpaksa memutuskan hubungan dengan anak lelaki masing-masing ekoran kegagalan mereka melangsaikan hutang dengan ah long.
Ketiga-tiga lelaki yang merupakan tahi judi itu telah menghilangkan diri disebabkan hutang keliling pinggang, menyebabkan keluarga mereka diganggu kumpulan ah long termasuk rumah dan kereta disimbah cat.
Salah seorang bapa, Siow Kah Yeow, 60, berkata, ah long mula mengganggunya selepas anak lelakinya, Siow Fong Loong, 36, melarikan diri pada 10 September lalu.
"Saya menjual dua buah rumah demi melangsaikan hutangnya berjumlah kira-kira RM500,000. Malangnya, dia masih tidak insaf malah selepas itu membuat pinjaman dengan lapan ah long berjumlah RM9,600," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA di sini semalam.
Turut hadir Ketua Pejabat Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong dan peguam penasihat biro tersebut, James Ee.
Seorang lagi bapa, Tham Kok On, 60, berkata, dia juga terpaksa memutuskan hubungan dengan anak lelaki bongsunya, Betram Tham Hou Yin, 33, kerana tidak tahan dengan gangguan ah long.
"Sebelum ini saya telah membantunya melangsaikan hutang berjumlah RM70,000 dan dia berjanji tidak akan mengulangi kesilapan yang sama. Namun, selepas itu dia masih meminjam dengan lapan ah long," ujarnya yang bekerja sebagai pemandu peribadi.
Seorang wanita, Wong Chew Fun yang mengalami nasib serupa meminta kumpulan ah long tidak mengganggunya ekoran hutang anak lelakinya, Ung Han Foo, 33.
"Saya telah langsaikan hutangnya berjumlah RM50,000 tetapi dia kemudian membuat pinjaman lagi dengan lima kumpulan ah long," katanya yang menyara hidup dengan menjual sayur.

No comments:

Post a Comment