Thursday, November 22, 2012

POLITIK TAK LEBIH DARI ISLAM...MENCEGAH MUNGKAR...AJAK AMAL MAKRUF...JANGAN MUNGKAR TAK BOLEH TEGUR..ATAU KAWAN BUAT MUNGKAR DIAM DIRI...KAWAN SALAH TAK DIHUKUM...LAWAN SALAH KUTUK MACAM NAK MAMPUS...KAWAN TAK TEGUR MACAM TAK SALAH...AKHIRAT NANTI JAWAB

Ahli ‘motor besar’ maut

Oleh Asmah Rusman
asmah@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Seorang maut manakala enam lagi parah dalam kemalangan membabitkan konvoi 12 motosikal berkuasa tinggi dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 13.6 Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) sebelum susur Subang Jaya di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa yang terbunuh dikenali sebagai Ishak Jaafar, 53, ahli Kelab Kota Tinggi Bikers manakala isteri mangsa yang cedera parah, kini dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Antara mangsa yang cedera parah ialah Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi, Johor, Asisten Superintendan Kamardin Yusof yang sedang bercuti.

Difahamkan, Kamardin bersama konvoi kelab motosikal berkuasa tinggi itu dalam perjalanan ke Phuket, Thailand, dan beliau patah tangan kanan.

Menurut sumber polis trafik, kemalangan berlaku apabila kenderaan SUV jenis Honda CRV yang berada di laluan tengah lebuh raya berkenaan, menukar laluan secara tiba-tiba.

Ancam emak demi nafsu

Oleh Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my

JITRA: Seorang lelaki yang ditinggalkan isteri tergamak mengusir ibu kandungnya keluar dari rumah mereka di Kampung Malau, di sini, semata-mata untuk memadu kasih dengan pasangannya sejak seminggu lalu.
Tindakan lelaki berusia 30 tahun yang masih berstatus suami orang itu terbongkar apabila dia dan pasangannya dicekup kerana disyaki berkhalwat oleh sepasukan anggota penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu (PADKP), pada jam 11.45 malam kelmarin.
Menurut sumber penguat kuasa agama daerah, sebelum melakukan serbuan, pihaknya menerima maklumat lelaki terbabit mengusir ibunya daripada rumah itu semata-mata untuk membolehkan dia tinggal bersama teman wanitanya.

“Maklumat itu kami peroleh daripada pengadu yang juga pihak yang rapat dengan lelaki terbabit dan pengadu itu memberitahu tindakan keji lelaki terbabit menyebabkan ibunya terpaksa menumpang di rumah jiran.

“Malah, ibunya takut pulang ke rumah kerana anaknya mengugut mahu membunuhnya jika dia pulang,” katanya.

Ugut bunuh bayi

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Wan Asrudi Wan Hasan
metroperak@yahoo.com.my

LAKON SEMULA...begini keadaan keluarga Mohd Yusri dijadikan tawanan.
LAKON SEMULA...begini keadaan keluarga Mohd Yusri dijadikan tawanan.
SUNGKAI: Seorang anggota polis dan keluarganya menempuh detik cemas apabila sekumpulan empat perompak bersenjatakan pedang yang memecah masuk rumah mentuanya, merampas dan mengugut mahu mencampakkan bayinya ke dalam sungai, awal pagi kelmarin.
Kejadian berlaku kira-kira jam 3 pagi, ketika Lans Koperal Mohd Yusri Che Deraman, 27, dan tujuh penghuni lain nyenyak tidur di rumah mentuanya di Kampung Kelah Baru, di sini.
Mohd Yusri dari Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur berkata, dia dikejutkan daripada tidur oleh keempat-empat penjenayah yang menghalakan pedang ke mukanya.

“Mereka kemudian mengikat tangan dan kaki saya dengan tali, selain menyumbat mulut dengan kain,” katanya.

Menurutnya, isterinya, Faizatul Qhairiah Yahya, 27, bersama anak perempuan, Nur Fatini Damia, 4, bapa serta ibu mentua, Yahya Abdullah, 60, dan Lon Abd Aziz, 55, serta dua adik iparnya, Muhd Zariat Yahya, 21, dan Lailatul Najwa, 10, turut diperlakukan sedemikian.

Cedera jatuh bumbung

Oleh Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my

RAMPAS...Mohd Adnan menunjukkan kereta curi yang dirampas dalam serbuan terbabit.
RAMPAS...Mohd Adnan menunjukkan kereta curi yang dirampas dalam serbuan terbabit.
SUNGAI BULOH: “Apabila nampak penjenayah depan mata, saya tidak fikir bahaya, sebaliknya hanya mahu tangkap mereka” kata Inspektor Saiful Bahari Yunus, 28, yang cedera terjatuh dari tingkat dua rumah teres ketika menyertai serbuan bagi menahan suspek kes curi kereta di Subang Perdana, Kampung Baru Subang, dekat sini, Selasa lalu.
Saiful yang bertugas di Unit Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, kini dirawat di Hospital Sungai Buloh (HSB) di sini, kerana patah tangan kiri dan tulang pipi kiri.

Menurutnya, ketika serbuan jam 5.40 petang itu, beliau bersama beberapa pegawai dan anggota lain menyerbu rumah teres di Subang Perdana itu bagi menahan sembilan suspek kes curi kereta.
“Saya nampak dua suspek memanjat bumbung untuk melarikan diri. Saya dan seorang lagi anggota turut memanjat bumbung itu untuk mengejar mereka dan menahan dua lelaki terbabit.

“Namun, tiba-tiba atap genting tempat saya berdiri pecah menyebabkan saya terjatuh dan tidak sedarkan diri,” katanya yang ditemui di HSB ketika menerima lawatan Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, semalam.

Lebih menyedihkan, isterinya, Nor Hazwani Abdul Halim, 29, tidak dapat melawat atau menjaganya di hospital kerana berpantang anak kedua mereka di Ipoh, Perak.
Saiful yang sudah tujuh tahun berkhidmat berkata, kejadian itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus membanteras jenayah.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, semalam, berkata, sebelum kejadian seorang penyelia berusia 46 tahun disamun empat lelaki bersenjata parang di Bukit Puchong.
“Dalam kejadian jam 4.50 petang di depan pasar raya Tesco Bukit Puchong, suspek yang menaiki Honda Civic mengacukan parang ke arah mangsa dan mengarahkannya serta dua saksi kejadian, mendiamkan diri. “Mereka melarikan kereta mangsa jenis Toyota Hilux bernilai RM102,000. Mangsa membuat laporan polis dan satu gerakan mengesan suspek dilakukan,” katanya.

Sepasukan polis termasuk Saiful mengesan suspek dan mereka menyerbu rumah teres disyaki dihuni kumpulan terbabit.

“Hasil serbuan, sembilan lelaki berusia 18 hingga 30 tahun termasuk dua suspek yang cuba meloloskan diri ditahan. Polis merampas tujuh kenderaan iaitu dua Toyota Hilux, dua Proton Wira, Proton Satria, Proton Saga dan Honda Civic.

“Turut dirampas tiga parang disyaki digunakan bagi melakukan jenayah manakala semakan mendapati semua kereta dilaporkan dicuri di Selangor dan Pulau Pinang,” katanya.

Mohd Adnan berkata, semua suspek yang aktif mencuri kereta lebih setahun lalu, kini direman sehingga 23 November ini mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Wanita dalam pantang mati tunggu pasport bayi

JOHOR BAHRU: Hanya sempat berada di pangkuan ibu selama 11 hari. Itu nasib seorang bayi lelaki apabila ibunya disahkan mati beberapa minit selepas rebah dan tidak sedarkan diri ketika menunggu pasport bayi berkenaan siap di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Setia Tropika di sini, jam 5.30 petang kelmarin.
Ketika kejadian, wanita berusia 33 tahun itu ditemani dua rakan pergi ke Bahagian Pasport Jabatan Imigresen untuk memohon pasport bagi bayinya.

Wanita berkenaan juga masih dalam pantang berikutan baru melahirkan anak namun datang ke situ untuk urusan pasport.
Saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Mimi, 30, berkata, mangsa duduk di kerusi ruangan menunggu sementara permohonan pasport bayinya itu diproses.

“Secara tiba-tiba badannya menggelongsor ke bawah dan jatuh ke lantai tidak sedarkan diri. “Kami sangka wanita itu pengsan akibat keletihan. Bagaimanapun, kami terkejut apabila dia disahkan mati oleh anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang dipanggil untuk membawanya ke hospital,” katanya ketika ditemui.

Menurut Mimi, sepasukan anggota paramedik yang tiba tidak lama kemudian turut mengesahkan wanita itu sudah meninggal dunia.

Mangsa tembak hubungi polis

JOHOR BAHRU: Seorang mangsa tembakan sempat menghubungi polis meminta bantuan sebelum pasukan polis bersama ambulans menemuinya dalam keadaan kritikal manakala teman lelakinya maut dalam kejadian di Jalan Permas 11/15, Taman Permas Jaya, di sini, semalam.
Mangsa, Surene Toh, 30, ditemui parah di badan dan kepala di sebuah bilik di tingkat atas rumah teres dua tingkat manakala teman lelakinya, Ang Keng, 40, yang juga tukang patung Buddha serta pengamal Feng-Shui ditemui maut dengan beberapa kesan tembakan di badan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.15 petang daripada mangsa wanita itu yang mengatakan dia ditembak sebelum sepasukan polis dikejarkan ke lokasi.
Katanya, selain polis pihaknya menghubungi ambulans bagi memberikan rawatan kecemasan kepada mangsa.

“Sebaik tiba, kami menemui Surene di sebuah bilik tingkat atas dan pasukan perubatan menghantarnya ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mendapatkan rawatan, manakala Ang ditemui maut dengan beberapa kesan tembakan di badannya di sebuah bilik di tingkat bawah.

“Surene kini dilaporkan stabil dan kami menyiasat kes ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Siasatan dilakukan mengikut pelbagai sudut dan kami akan mengambil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dalam rumah itu serta menemubual jiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, tiada kesan pecah masuk ditemui dan siasatan mendapati tiada barangan berharga hilang dari rumah mangsa.
Katanya, siasatan mendapati mangsa seorang pengamal perubatan tradisional dan teman wanitanya tidak bekerja.

“Kami percaya kejadian ini dilakukan lebih daripada seorang suspek dan berharap sesiapa mempunyai maklumat tampil membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, saksi enggan dikenali berkata, pasangan itu tinggal bersama sejak enam tahun lalu dan dia mengenali mereka kerana sering bertegur sapa.

Katanya, mendiang seorang pembuat patung Buddha menjadikan rumah berkenaan sebagai pejabat untuk menerima tempahan, manakala Surene tidak bekerja.

“Dalam kejadian semalam, kami tidak mendengar apa-apa bunyi atau melihat kejadian mencurigakan kecuali melihat pagar utama rumah mereka terbuka sejak jam 2 petang.

“Bagaimanapun, kira-kira tiga jam kemudian sepasukan polis datang memasuki rumah dan saya serta beberapa jiran lain meninjau apa yang berlaku.

“Ketika kami melangkah masuk dalam rumah itu, saya terkejut melihat Hong terbaring dalam sebuah bilik di tingkat bawah dengan kesan luka di kepala, manakala Surene ditemui parah dalam bilik berasingan di tingkat atas,” katanya ketika ditemui, semalam.

‘Panik abang tiada tangan’



SEBERANG JAYA: “Saya panik melihat abang berlumuran darah dan tangan kirinya sudah terputus,” kata Ashok Charles, 35, adik kepada N Mugesh Edmond, 36, yang maut ditetak dalam kejadian di Lorong Tembikai 1, di sini, kelmarin.
Ashok berkata, ketika kejadian, dia berada di rumah di Juru, dekat sini, dan dihubungi seorang mekanik yang bekerja di stor simpanan kenderaan milik abangnya itu sebelum bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, ketika tiba di tempat kejadian, abangnya sudah terbaring berlumuran darah, tetapi masih bernyawa sebelum meminta bantuan rakan membawa abangnya ke hospital swasta berhampiran.
“Sebaik tiba di stor, saya lihat abang terbaring berlumuran darah dengan kecederaan di seluruh anggota badan,” katanya ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Seberang Jaya, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa anak sulung daripada enam beradik yang juga pemilik stor simpanan kenderaan maut ditetak menggunakan parang oleh sekumpulan penjenayah.

Penyerang dipercayai melarikan tangan kiri mangsa yang putus ditetak dalam serangan bermotifkan dendam itu.
Ashok berkata, dia tidak dapat menerima kenyataan itu apatah lagi kejadian berlaku selepas mereka sekeluarga meraikan pendaftaran perkahwinan adik perempuan mereka.

“Pagi hari kejadian, kami sekeluarga ke Pejabat Pendaftaran untuk mendaftar perkahwinan adik perempuan kami dan mendiang kelihatan sangat gembira,” katanya.
Katanya, abangnya seorang yang baik dan mudah mesra serta yakin dia tidak mempunyai musuh.

Dalam pada itu, suasana sedih menyelubungi pekarangan bilik mayat apabila bekas kekasih mangsa yang datang gagal menahan emosi dan meraung meratapi kematian lelaki itu.

Sementara itu, adik seorang lagi mangsa, K Jeysigan, 33, yang turut ditetak dalam kejadian itu, berkata abangnya cedera di tangan kanan dan kiri serta kaki kiri.

J Baran, 25, berkata abangnya sudah menjalani pembedahan enam jam dan keadaannya dilaporkan stabil.

“Abang bernasib baik kerana dia bersembunyi di bawah meja, jika tak saya tak tahu nasib abang. Begitupun, kami sedih dengan kejadian ini terutama selepas mendapat tahu rakan abang maut dalam kejadian itu,” katanya ketika ditemui di sebuah hospital swasta di bahagian pulau, semalam.

Baran berkata, dia percaya abangnya itu tidak mempunyai musuh kerana dia sentiasa bersikap baik dengan semua orang.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner, Mazlan Kesah ketika dihubungi berkata, sehingga jam 4 petang semalam, tangan kiri mangsa masih belum ditemui dan beberapa suspek sudah dikenal pasti.

Janji manis Datuk

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: “Datuk Rizal mengatakan jangan sampai peluru pistolnya mengenai kepala saya selepas menyedari saya membuat laporan polis berkaitan penipuannya.
“Hingga kini, Datuk Rizal gagal mengembalikan wang saya RM7,650. Dia juga gagal menunaikan janji menaja RM2 juta kepada syarikat produksi milik rakan saya,” kata pelakon, Nur Ilane Sharulmin Abdullah Sharulmin Abdullah, 25, semalam.

Menceritakan berkaitan penipuan lelaki dikenali sebagai Datuk Rizal dan berasal dari Skudai, Johor Bahru, Nur Ilane yang menjadi mangsa ugutan itu berkata, dia mengenali lelaki terbabit sejak awal Oktober lalu menerusi pengurus syarikat produksi di Kuala Lumpur.

Katanya, selama perkenalan itu, Datuk Rizal kerap menghubunginya termasuk mengirim khidmat pesanan ringkas (SMS) dan BlackBerry Messenger (BBM).

“Datuk Rizal meraih keyakinan saya dan rakan apabila berjanji mahu menaja RM2 juta kepada syarikat produksi milik rakan bagi pembikinan filem pada tahun depan.

Usah berpolitik melebihi Islam

Oleh Ahmad Tajuddin Idris al-Manhaji

TIDAK dinafikan di dalam Islam ada membincangkan hal-ehwal politik dan pentadbiran. Sememangnya politik adalah sebahagian daripada Islam. Apa yang dimaksudkan politik di dalam Islam adalah perkara-perkara yang berkaitan dengan pengurusan dan pentadbiran sebuah negara atau wilayah.
Al-siasah (politik) dalam bahasa Arab bererti menguruskan sesuatu urusan dan memperbaikinya. Apabila dikatakan Sasa al-‘Amr siasah bererti ia melaksanakannya.

Dalam hadis disebutkan ertinya, “Bani Israel ditadbir - tasusuhum - (mereka disiasahkan) oleh nabi-nabi.” Maksudnya, Nabi menguruskan hal-ehwal mereka sebagaimana pemerintah yang menguruskan hal-ehwal rakyatnya.
Cuma kita tidak boleh pisahkan antara Islam dan politik, juga tidak boleh berpolitik melebihi Islam. Cuma apabila melihat ke dalam konteks negara kita hari ini dari sudut masyarakat orang Islam berpolitik, mereka sebenarnya lebih kepada politik berparti yang akhirnya parti itu menjadi medan atau menjadi tempat keutamaan untuk berpolitik.

Jika seseorang itu tidak masuk mana-mana parti maka dia dikira tidak berpolitik. Sedangkan tidak semestinya tidak masuk parti, dia tidak berpolitik. Asalkan perkara yang boleh membawa keuntungan kepada Islam, keuntungan kepada umat Islam di atas politik, maka kita bertanggungjawab ke arah itu.

Syaikh Abdul Wahhab Khallaf (wafat: 1357H) menyebutkan: “Siasah syariah adalah proses pentadbiran yang selari dengan syarak, yang mana perjalanan urus tadbirnya berfungsi menjaga kepentingan rakyat melalui ruang lingkup daulah Islam dengan cara yang dapat menjamin tercapainya kebaikan umum, dapat menolak pelbagai bentuk kerugian, dan tidak melanggar batas Islam serta kaedah asasinya, walaupun tidak selari dengan apa yang diutarakan oleh imam mujtahid.” (Abdul Wahhab Khallaf, Siyasah Syar’iyah, m.s 15. Dinukil dari: ‘Abdul Malik Ramadhani al-Jazairi, Madarikun Nadzar fii as-Siyasah, m.s 142-143) Negara kita negara demokrasi, setiap lima tahun perlu turun mengundi. Namun, perlu diberi catatan, demokrasi mutlak bukan berasal daripada ajaran Islam. Yang memberikan hak sepenuhnya kepada rakyat atau pengundi untuk memilih apa sahaja mengikut kecenderungan mereka. Ini bertentangan dengan ajaran Islam. Namun, tidak ada negara di atas muka bumi ini yang tidak melaksanakan demokrasi dan pilihan raya, melainkan Arab Saudi. Justeru pembabitan umat Islam dalam demokrasi dan pilihan raya adalah atas dasar darurat dan diambil sekadar keperluan sahaja. Inilah yang sering disebutkan sebagai ‘demokrasi terpimpin’.
Apabila tiba musim mengundi masing-masing mempunyai kecenderungan hendak memilih parti mana. Cuma perlu dinasihatkan di sini, di dalam berpolitik, di dalam kita hendak mengundi itu ataupun untuk memilih pemimpin itu ada dua perkara yang perlu tekankan.

Pertama, pastikan kita membuat pilihan itu boleh menyebabkan Islam itu kukuh dan kuat di dalam negara kita. Ini kerana Islam adalah agama rahmat untuk universal. Kuatnya Islam memberi banyak faedah dan manfaat kepada rakyat secara umumnya baik yang Islam mahupun bukan Islam. Agama Islam tidak hanya menjaga kebajikan umat Islam semata-mata. Di dalamnya turut terdapat peruntukan untuk menjaga kebajikan dan kepentingan orang bukan Islam. Bahkan Islam juga memperuntukkan kebajikan kepada haiwan dan alam sekitar.
Dalam sebuah hadis Nabi memberi jaminan yang maksudnya, “Sesiapa sahaja yang berbuat zalim terhadap orang kafir mu’ahid, mengurangkan hak mereka, membebankan mereka melebihi kemampuan mereka, atau mengambil hak milik mereka tanpa izin mereka, maka aku akan menjadi pembela mereka pada hari kiamat.” (riwayat Imam Abu Dawud (3,052) dan Imam al-Baihaqi (18,511).

Tidak ada negara lain dalam dunia ini yang memberikan hak dan kebebasan beragama kepada rakyatnya kecuali negara umat Islam khususnya negara kita. Di negara kita ada rumah ibadah agama lain yang diiktiraf terbesar di Asia Tenggara. Dan di negara kita yang majoriti beragama Islam, namun membenarkan orang bukan Islam mengumpul harta sehingga menjadi yang terkaya berbanding orang Islam. Semua ini berlaku kerana pemimpin utama negara adalah beragama Islam.

Kkedua, tidak menampakkan ataupun tidak berlaku perpecahan, bahkan ianya menambahkan perpaduan umat Islam dan kekuatan orang Islam. Islam adalah agama yang membawa mesej perpaduan. Ini dijelaskan dalam sebuah ayat yang bermaksud: “Dan berpegang teguhlah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah dan jangan bercerai-berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (sebelum Islam) bermusuh-musuhan, lalu Dia menyatukan hati kamu. Maka, menjadilah kamu kerana nikmat-Nya bersaudara, padahal dahulu kamu sudah berada di tepi jurang neraka, tetapi Dia menyelamatkan kamu daripadanya.” (Surah Ali-Imran, ayat 103) Jadi untuk memilih itu kita perlukan analisis dan pengkajian terperinci. Jangan tersalah pilih kerana kemungkinan boleh merugikan Islam dan orang Islam. Kadangkala kita ingin memilih Islam berdasarkan parti itu berjenama Islam tetapi hakikatnya tidak demikian.

Perlu dijelaskan di sini perpecahan orang Islam di negara kita ini sebenarnya berpunca daripada sistem kepartian. Jika sekadar khilaf dan berbeza dalam pendapat hukum agama itu bukanlah perpecahan tetapi pertarungan sesama Islam di atas nama parti inilah menyebabkan serta menampakkan perpecahan umat Islam di negara kita ini nampak besar dan parah. Apabila parti menampakkan perpecahan umat Islam, perpaduan Islam itu tidak kelihatan.

Bertambah sedihnya pula sebahagian golongan yang berada di dalam parti itu terlalu taksub (fanatik) kepada perjuangan parti mereka, akhirnya kemuncak perjuangan adalah untuk membuktikan partinya lebih baik daripada parti orang lain. Mereka bukannya hendak membuktikan Islam itu hebat dan Islam itu tinggi melainkan hendak membawa orang lain turut taksub kepada tokoh dan parti mereka sahaja. Malangnya mesej dan agenda Islamnya sudah tidak terbawa.

Jadi kita nasihatkan sekali lagi kepada golongan muda yang berada di luar sana, jika hendak berpolitik ataupun berparti sekalipun jangan mengetepikan hal-hal berkenaan perpaduan Islam dan jangan membawa kepada perkara yang boleh memecahkan perpaduan Islam. Jadi sekiranya perkara itu berkaitan Islam maka kita perlu bersatu dan berganding bahu.

Generasi muda hari ini adalah pelapis kepada kepemimpinan negara akan datang. Jadi persediaan ataupun persiapan ilmu perlu dikuasai untuk menyambung politik, pengurusan dan pentadbiran negara ini. Generasi muda juga perlu istiqamah untuk meneruskan perjuangan Islam, kestabilan politik, perpaduan Islam dan kaum di dalam negara ini. Hanya kepada Allah kita mohon pertolongan.

Penulis berkelulusan Syariah Fiqh dan Usul UM adalah Ketua biro Ilmuan Malaysia (iLMU)

400 pokok ganja ditanam dalam 7 bilik tidur rumah mewah

POKOK ganja ditanam di bawah lampu dengan pengedaran udara dari kipas.
POKOK ganja ditanam di bawah lampu dengan pengedaran udara dari kipas.
RUMAH agam dibina dengan ciri silam di Whitworth.
RUMAH agam dibina dengan ciri silam di Whitworth.
LONDON: Sebuah ladang ganja yang “canggih dan mewah” ditemui polis di bangunan tidak dijangka sebuah kediaman mewah berciri zaman silam bernilai �750,000 (RM3.7 juta), semalam.
Di rumah mewah itu, polis Britain menemui pokok ganja bernilai �160,000 (RM781,500) yang ditanam di semua tujuh bilik tidur yang ada.

Rumah itu terletak di Whitworth, berhampiran Rochdale.
Bangunan berkenaan yang dikelilingi taman dan tiga ruang tamu, kini ditawarkan untuk dijual pada harga RM3.7 juta.

Ejen hartanah menganggap bangunan itu sebagai unik kerana dibina dengan ciri era zaman Victoria. Jurucakap polis berkata, kira-kira 400 pokok ganja ditemui ditanam dalam rumah itu dan membesar dengan bantuan haba dari lampu dan kipas. Seorang lelaki berusia 40 tahun ditahan kerana disyaki membekalkan pokok ganja itu. - DM

Berhati-hati! Ada rumah di tengah jalan



HANGZHOU: Sebuah bangunan apartmen berada di tengah-tengah sebatang jalan baru dibina apabila sepasang suami isteri warga emas enggan berpindah, lapor media semalam.
Luo Baogen dan isterinya enggan meninggalkan kediaman mereka di bandar Wenling di wilayah Zhejiang, China, walaupun separuh daripada bangunan itu dirobohkan.

Menurut media, pasangan terbabit enggan berganjak daripada keputusan mereka kerana mendapati pampasan disediakan kerajaan tidak mencukupi.
Akibatnya, laluan berkenaan terpaksa dibina mengelilingi apartmen itu dan mewujudkan landskap aneh di bandar berkenaan. Untuk memastikan keselamatan pasangan terbabit, kerajaan memutuskan tidak merobohkan unit bersebelahan kediaman mereka.

Semua penghuni apartmen berkenaan berpindah ke tempat lain sebelum ini. Kerajaan membina laluan berkenaan untuk menghubungkan perkampungan Xia Zhangyang dengan stesen kereta api Wenling yang belum dibuka secara rasmi. Menurut Luo, pampasan ditawarkan kerajaan tidak mencukupi untuk menampung kos pembinaan semula rumahnya. Sebelum ini, bangunan persendirian di China dirobohkan dengan mudah bagi memaksa orang awam berpindah.

Namun, undang-undang kini diperketatkan dan mana-mana pihak dilarang merobohkan bangunan persendirian secara paksa atau tanpa persetujuan dengan penghuninya. Golongan pemilik bangunan yang berdegil itu dikenali sebagai “Pemilik Paku” - merujuk kepada paku yang sukar dicabut dari kayu lama tanpa menggunakan tukul besi. Awal tahun ini, sepasang suami isteri warga emas yang menetap di dua bangunan usang bersama anak lelaki mereka di Taizhou, Zhejiang, bersetuju pada peringkat awal menjual kediaman mereka selepas menerima pampasan bernilai RM39,000.
Namun, mereka menukar fikiran dan memulangkan wang pampasan berkenaan sejurus selepas kerja membina jalan dimulakan. Dalam kes lain, juga awal tahun ini, dua penduduk Zaozhuang bertegas enggan meninggalkan rumah mereka yang sepatutnya dirobohkan pemaju tempatan. Kedegilan itu menyebabkan pasangan berusia 60-an itu hidup di tengah-tengah projek pembangunan pencakar langit. Pasangan terbabit juga sering diganggu samseng, selain menghadapi beberapa cubaan merobohkan rumah berkenaan. Kemudahan asas di situ dipotong pada 2009, selaras dengan projek pelaksanaan pembinaan di sekitar rumah berkenaan. - DM

Seks dalam teksi Dubai: Pasangan Barat dipenjara



DUBAI: Seorang wanita Britain dan pasangannya, lelaki Ireland yang didakwa melakukan aktiviti seks di dalam sebuah teksi di Dubai, dipenjara tiga bulan semalam.
Mereka akan dihantar pulang sebaik saja selesai jalani hukuman.

Ia merupakan kes terbaru melibatkan pelancong Barat melanggar Undang-Undang Tatasusila Emiriyah Arab Bersatu dan menekankan perbezaan budaya sedang negara itu cuba mengekalkan identiti Islam dan meningkatkan industri pelancongan.

Rebecca Blake dan Conor McRedmond mengaku tidak bersalah atas dakwaan “melanggar kehormatan dengan persetujuan” dan melakukan “perbuatan tidak senonoh dalam teksi” ketika hadir di mahkamah bulan lalu. Mereka mengaku bersalah atas dakwaan ketiga iaitu minum minuman keras di tempat awam. - Reuters

5 ditawan bagi paksa PM letak jawatan



TOKYO: Seorang lelaki bersenjatakan pisau menjadikan lima orang sebagai tebusan di sebuah bank di sini, semalam.
Media melaporkan, lelaki itu menuntut supaya Kabinet Perdana Menteri, Yoshihiko Noda, meletak jawatan.

Lelaki itu mula menawan cawangan Bank Tokoyawa Shinkin Bank di Zoshi, tengah wilayah Aichi, kira-kira jam 2.20 petang waktu tempatan, kata polis. Tiada butiran lanjut diberikan.

Sambil menghunuskan pisau memburu, dia menjadikan empat pekerja dan seorang pelanggan wanita sebagai tahanan dan menuntut anggota Kabinet Noda meletak jawatan.

Menurut media tempatan, lelaki itu juga meminta untuk bercakap dengan wartawan.

Lelaki itu dianggarkan berusia dalam lingkungan 30-an atau 40-an tetapi media kemudian melaporkan usianya mungkin dalam lingkungan 50-an.

Stesen televisyen NHK berkata, selepas empat jam dijadikan tawanan, tiada di antara mereka dilaporkan cedera. Lelaki itu juga tidak menuntut wang tebusan.

Asahi Shimbun melaporkan, lelaki itu meminta bekalan makanan dan minuman untuk sepuluh hari.

Media lain turut melaporkan, lelaki itu meminta rokok dan pemetik api.

Rakaman televisyen menunjukkan seorang pegawai polis membawa pembesar suara dan beg plastik ke bahagian tepi bangunan. - AFP

90 ditahan dalam kes culik kanak-kanak



BEIJING: Polis menahan 90 suspek geng penculikan di seluruh negara dan menyelamatkan 28 kanak-kanak yang dikatakan diculik di bahagian barat dan di bawa ke beberapa bandar untuk menjadi pencuri.
Akhbar China Daily memetik Jurucakap Kementerian Keselamatan Awam, Huang Shihai sebagai berkata, “Anggota geng dikatakan memukul, mendera dan mengancam kanak-kanak ini untuk memaksa mereka mencuri dan merompak di tempat awam.”

Lokasinya merata tempat seperti pusat beli-belah, bawah jejambat dan stesen keretapi, katanya.

Pihak berkuasa menjalankan operasi bulan lalu di Beijing dan beberapa wilayah di China sebagai sebahagian kempen yang dilancarkan April tahun lalu.

Setakat ini mereka berjaya menahan 2,700 suspek dan menyelamatkan 2,300 kanak-kanak.

Pakar Siasatan Jenayah, Dai Peng berkata, geng ini biasanya mensasarkan remaja di wilayah Xinjiang di mana etnik minoriti Uighur bercakap dalam bahasa mereka menjadikan kes ini sukar untuk disiasat. - AFP

No comments:

Post a Comment