Sunday, November 18, 2012

PATUT KITA LAGI SEDIH JIKA HILANG IMAN DAN AKIDAH....TAPI TAK KISAH SEBAB TAK TAU

Wanita dihukum pegang papan tanda


HARDIN memegang papan tanda yang menyatakan kesalahannya di Cleveland kelmarin.



CLEVELAND, Amerika Syarikat - Seorang wanita terpaksa memegang papan tanda di sebuah kaki lima di sini.
Wanita berkenaan, Shena Hardin diperintahkan oleh Hakim Pinkey Carr supaya berdiri di kaki lima berkenaan selama sejam pada Selasa lalu dan kelmarin.
Dia memegang papan tanda itu yang tertera ayat: "Hanya orang bodoh memandu di laluan pejalan kaki kerana mahu memotong sebuah bas sekolah".
Hardin dikenakan hukuman itu selepas dia memandu kereta di laluan pejalan kaki dengan tujuan untuk memotong bas tersebut. - Agensi

Ito jadi lelaki paling pantas berlari guna 'empat kaki'



SALAH satu aksi Ito di garisan penamat.



TOKYO - Seorang lelaki berusia 30 tahun, Kenichi Ito menjadi manusia paling pantas di dunia berlari dengan menggunakan dua kaki dan tangannya.
Dia mencatatkan masa 17.47 saat semasa berlari dengan menggunakan kaki dan tangannya itu sejauh 100 meter di sini semalam.
Ito belajar berlari dengan menggunakan semua kaki dan tangannya itu sejak berumur sembilan tahun.
Dia meniru larian spesies monyet dari Afrika, Erythrocebus patas untuk melakukan perbuatan tersebut.
Rekod baharunya itu disahkan oleh pihak pengurusan Guinness World Records. - Agensi

Bekas atlet wanita didapati lelaki





KOLKATA, India - Bekas atlet wanita India yang memenangi tiga pingat emas pada acara trek Sukan Asia Selatan 2006, Pinki Pramanik (gambar) meminta Ketua Menteri Bengal Barat, Mamata Banerjee campur tangan bagi membantunya selepas dia diisytiharkan sebagai lelaki oleh satu panel doktor, lapor berita NTV semalam.
Keputusan panel doktor itu menyebabkannya dikenakan dakwaan merogol bekas teman wanitanya.
Polis mengemukakan dakwaan merogol tersebut terhadap Pramanik, 26, pada Isnin lalu selepas satu panel doktor mengumumkan hasil pemeriksaan mereka itu.
Pramanik ditangkap pada awal Jun lalu selepas bekas kekasihnya, Anamika Acharya membuat aduan polis bahawa dia diperkosa oleh bekas bintang sukan tersebut.
Pramanik dibebaskan dengan ikat jamin selepas dipenjara dua minggu apabila seorang hakim memutuskan dia tidak berupaya untuk melakukan jenayah rogol.
Beberapa ujian perubatan pada masa itu gagal mengesan jantinanya dengan tepat menyebabkan satu panel doktor diarah melakukan pemeriksaan terhadap tubuhnya.
"Beliau (Banerjee) sepatutnya memberi perhatian terhadap kes ini. Banerjee perlu campur tangan," kata Pramanik.
"Seluruh episod ini merupakan satu penghinaan kepada pemerintah India selepas saya berusaha untuk memenangi kesemua pingat emas. Saya berasa sedih kerana jantina saya menjadi topik perbincangan secara terbuka," tambahnya.
Pramanik juga mendakwa polis melakukan gangguan terhadapnya dan cuba 'menghasutnya' untuk melakukan perbuatan bunuh diri.
Kes Pramanik akan didengar pada 26 November ini. - Agensi

28 orang disumbat dalam kereta mini



SEORANG jurugambar merakamkan gambar 28 orang wanita yang melakonkan semula cara mereka berada di dalam sebuah kereta mini di London semalam.



LONDON - Seramai 28 wanita berjaya berada di dalam sebuah Mini Cooper di sini semalam sekali gus mencipta rekod baharu Guinness World Records.
Rekod sebelum ini mencatatkan seramai 27 orang berjaya berada di dalam kereta kecil tersebut. Kejayaan rekod terbaharu itu dibuat dalam tempoh 18 minit. - AP

Rai hiburkan kanak-kanak miskin


RAI bermain dengan sekumpulan kanak-kanak di Mumbai kelmarin.



MUMBAI - Pasangan pelakon Bollywood, Abhishek Bachchan dan isterinya, Aishwarya Rai memberikan kejutan menggembirakan kepada puluhan kanak-kanak miskin sempena sambutan Hari Kanak-Kanak di India, lapor akhbar Times of India semalam.
Dua pelakon popular tersebut bergabung tenaga dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan untuk meraikan golongan kurang bernasib baik itu selama sehari.
Pada majlis tersebut di sini kelmarin, Bachchan, 36, sempat ketawa bersama kumpulan kanak-kanak itu manakala Rai, 39, pula kelihatan kagum dengan kegembiraan yang ditunjukkan oleh mereka.
Pada acara sama, Bachchan turut menekankan bahawa setiap kanak-kanak perlu diberi peluang membesar dalam persekitaran yang sihat.
"Zaman kanak-kanak merupakan fasa yang amat istimewa dan setiap kanak-kanak berhak menikmatinya dengan senyuman kerana ia ialah hak yang diberikan oleh Tuhan kepada mereka," kata Bachchan.
"Kami berdua bertuah kerana memiliki ibu bapa yang baik dan penyayang yang memberikan kasih sayang serta kebahagiaan. Kami ingin berkongsi nikmat ini," tambahnya.
India menyambut 14 November pada setiap tahun sebagai Hari Kanak-Kanak. - Agensi

Ramai lelaki Jepun bekerja sehingga berumur lebih 70 tahun



KOBUNA bekerja di kedai ikannya di Tokyo pada 26 Oktober lalu.



TOKYO - Ramai lelaki di Jepun terus bekerja walaupun selepas mereka memasuki usia persaraan.
Seorang lelaki warga emas, Mitsumi Kobuna masih menguruskan gerai milik keluarganya di sini sejak 55 tahun lalu walaupun usianya kini mencecah 73 tahun.
Kobuna bekerja selama 15 jam sehari dan bangun pada pukul 5 pagi untuk pergi bekerja.
Sementara itu, seorang lelaki, Koji Sato yang berusia 75 tahun dan mengendalikan sebuah kedai teh berkata, dia akan berasa tua jika berhenti bekerja. Sato bekerja 12 jam sehari.
Pada kebiasaannya, dia bekerja tujuh hari seminggu.
Rata-rata warga emas di Jepun akan bekerja sehingga 16 jam setiap hari selama enam hari dalam seminggu.
"Kami bekerja bukan hanya kerana wang," kata seorang peguam yang juga berusia 73 tahun, Kenji Wada.
"Apa yang penting adalah untuk memberikan sumbangan kepada masyarakat," tambahnya.
Purata usia persaraan lelaki Jepun ialah 69 tahun dan bagi pekerja wanita ialah 67 tahun.
Usia persaraan tersebut lima tahun lebih lama berbanding di negara-negara maju. - AFP

Kembar hilang di malam hari



CHE SOM (kiri) menunjukkan pakaian bayi yang telah dibeli oleh Norliana di Kampung Kelut, Jabi, Pokok Sena, Kedah semalam.



POKOK SENA – Penantian lima tahun seorang suami untuk menimang cahaya mata sulung musnah apabila kembar perempuan dalam kandungan isterinya didakwa hilang secara misteri pada Isnin lalu.
Kejadian tidak diduga itu didakwa menimpa Norliana Manaf, 28, semasa dia bermimpi ketika dia tidur di rumah ibunya, Che Som Endut, 57, di Kampung Kelut, Jabi di sini malam kelmarin.
Lebih mengejutkan, rekod pemeriksaan bulanan kandungannya di Klinik Kesihatan Bukit Jambul, Pulau Pinang turut dipercayai hilang pada malam yang sama.
“Pada malam berkenaan, saya bermimpi lima wanita berjubah mendekati saya sambil membacakan sesuatu sebelum mereka hilang selepas azan Subuh berkumandang.
“Apabila terjaga, saya mendapati perut yang selama ini besar dan berat, tiba-tiba berasa ringan dan kempis.
“Saya mula syak ada benda yang tidak kena berlaku lalu mengejutkan suami saya, Aziz Hussein untuk memberitahu apa yang berlaku.
“Apabila saya pergi ke Klinik Kesihatan Pokok Sena untuk tujuan pemeriksaan pada kira-kira pukul 9 pagi esoknya, bayi dalam kandungan saya disahkan sudah hilang. Saya hanya mampu menangis,” cerita Norliana kepada pemberita di sini semalam.
Dia yang tinggal di Bukit Jambul, Pulau Pinang, dijadual bersalin pada 3 November lepas.
Berikutan itu, dia mengambil keputusan untuk tinggal di rumah ibunya sejak sebulan lalu untuk tujuan bersalin.
Menjelaskan lebih lanjut, Norliana berkata, suaminya yang berusia 27 tahun telah membawanya membuat ujian pengimbasan di Klinik Kesihatan Bukit Jambul sebelum ini yang memaklumkan dia mengandung kembar perempuan.
“Bagaimanapun semasa kakitangan Klinik Kesihatan Pokok Sena menghubungi Klinik Kesihatan Bukit Jambul untuk mengesahkan dakwaan saya itu, mereka dimaklumkan bahawa rekod tersebut telah hilang,” ujarnya.
Norliana turut dibawa menemui pengamal perubatan tradisional oleh keluarga dua hari lalu untuk mendapat kepastian mengenai kejadian itu.
“Mereka memaklumkan perkara sama seperti doktor iaitu anak saya hilang dalam kandungan," katanya.

Suami durjana tipu isteri



NORA (kiri) dan Michael Tay menunjukkan salinan laporan polis serta dokumen pinjaman yang menggunakan tandatangan palsu di Johor Bahru semalam.



JOHOR BAHRU - Detik perkenalan seorang jururawat dan seorang doktor hingga membawa ke gerbang perkahwinan disangkakan membawa bahagia berpanjangan tetapi rupa-rupanya mengundang derita berpanjangan.
Demikian nasib malang seorang janda kerana dia bukan saja ditinggalkan suaminya tanpa diberi nafkah malah lelaki yang pernah bersumpah sehidup semati dengannya itu turut bertindak kejam memalsukan tandatangannya untuk membuat pinjaman sehingga membuatkan wanita itu bakal diisytiharkan muflis.
Nora Ahmad, 42, yang merupakan jururawat di sebuah pusat hemodialisis di Senai dekat sini ketika menceritakan kisah perit hidupnya berkata, kepincangan hidupnya bermula ketika rumah tangga yang dibina oleh suaminya yang juga merupakan seorang doktor mengalami keretakan sejak tahun 2005.
"Hampir lapan tahun lamanya dia meninggalkan saya dan empat orang anak tanpa pesan dan rupa-rupanya dalam tempoh itu dia sudah berkahwin tiga iaitu pada tahun 1998, 2006 dan pada tahun 2009, saya difahamkan dia melangsungkan perkahwinan di Thailand bersama pasangannya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabat Timbalan Pengerusi Biro Aduan Awam MCA Cawangan Johor Bahru, Michael Tay Chee Boon di sini semalam.
Pada 12 Jun lalu, ibu tunggal ini dikejutkan dengan surat berdaftar yang dikirimkan oleh sebuah bank di sini yang menyatakan dia bakal diisytiharkan muflis dan namanya akan disenaraihitamkan oleh Bank Negara jika hutang pinjaman tidak dilangsaikan.
"Saya tertanya-tanya apa kesalahan saya dan bila semakan dibuat, rupa-rupanya bekas suami saya telah meletakkan nama saya sebagai penjamin tanpa pengetahuan saya untuk membeli mesin pengimbas berharga RM35,000 pada 3 Januari 2007 yang lalu.
"Yang lebih membuatkan saya marah, dia telah memalsukan tandatangan saya. Sekarang, pihak bank terus memburu saya untuk membayar semula pinjaman itu yang kini sudah mencecah RM58,000," kata jururawat yang baru saja bercerai dengan suaminya yang berumur 44 tahun yang berasal dari Pontian pada Februari lalu.
Apabila tembelang jahat lelaki beristeri empat itu pecah, Nora memberitahu, bekas suami yang pernah memiliki dua buah klinik di Senai terus menyembunyikan diri dan kali terakhir dia sempat bercakap dengan suaminya ialah pada Jun lalu dengan pelbagai alasan diberi.
"Saya sudah tak mampu menanggung bebanan ini, ia bukan masalah saya tetapi saya telah diperdaya dengan bekas suami dan saya minta dia tampil selesaikan kemelut ini," rayunya yang telah membuat laporan polis di Balai Polis Senai di sini.
Mengulas lanjut mengenai kemelut ini, Michael berkata, pihaknya akan membantu Nora untuk mendapatkan peguam bagi memohon agar menangguhkan seketika prosiding kes yang akan berlangsung pada 19 Disember ini.
"Selain menggesa bekas suami Nora supaya tampil, saya ingin meminta penjelasan pihak bank berkenaan mengapa pihak penjamin tidak dipanggil bersama ketika surat perjanjian ditandatangani?," soalnya.

Keluarga guru sedih hilang kucing



ANAK Harun, Habib Muhd. Qardawi menunjukkan sangkar kucing Parsi yang dipotong pencuri di Jalan Astana, Petra Jaya, Kuching semalam.



KUCHING - Seorang guru bukan saja sedih malah kerugian RM3,000 apabila tiga ekor kucing Parsi yang menjadi kesayangan keluarga dicuri dari rumahnya yang terletak di Jalan Astana, Petra Jaya di sini semalam.
Kehilangan seekor kucing jantan yang diberi nama Bluey dan dua ekor kucing betina - Garfield dan Cocca merupakan kejadian kedua dalam tempoh dua minggu selepas seekor kucing jenis sama yang dipanggil Kiki hilang.
Dalam kejadian terbaharu, Harun Abdul Jabar, 38, berkata, kehilangan Bluey, Garfield dan Cocca yang berusia empat bulan sehingga setahun dilarikan oleh dua lelaki kira-kira pukul 12.30 pagi.
Kelibat dua pencuri terbabit yang menaiki motosikal jenis Honda EX5 dirakam melalui televisyen litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kawasan rumah dua tingkat miliknya.
Semasa kejadian, Harun, isterinya, Syarifah Linora Wan Zain, 39, dan tiga orang anak lelaki pasangan itu yang masing-masing berusia 9, 11 dan 12 tahun sedang tidur.
Harun memberitahu, kejadian tersebut disedari pukul 7 pagi selepas dia ternampak pintu sangkar yang menempatkan sembilan ekor kucing peliharaannya di depan rumah terbuka selepas dipotong.
"Rakaman CCTV menunjukkan imej sebuah motosikal berhenti berhampiran rumah jiran sebelum pembonceng motosikal itu memanjat pagar dan masuk ke halaman rumah saya.


IMEJ seorang lelaki dipercayai mencuri kuncing Parsi milik Harun yang dirakam CCTV.



"Lelaki itu yang memakai baju berwarna biru serta bertopi keledar dilihat memotong sangkar kucing saya setinggi dua meter sebelum membawa lari Bluey, Garfield dan Cocca," kata Harun ketika ditemui di sini.
Penjawat awam itu berkata, menerusi rakaman itu juga seorang lagi suspek iaitu penunggang motosikal yang berbaju kelabu menunggu di luar rumahnya.
Harun percaya kedua-dua suspek terbabit merupakan orang sama yang mencuri Kiki, seekor kucing jantan berusia lapan tahun dua minggu lalu.
"Dalam tempoh dua minggu, sudah empat ekor kucing kami hilang dan menyebabkan saya kerugian hampir RM4,000.
"Saya sekeluarga amat sedih dengan kehilangan haiwan kesayangan kami kerana semuanya manja sehinggakan kami menganggap haiwan itu seperti anggota keluarga sendiri," katanya yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Muara Tebas di sini.
Katanya, dia percaya kucing-kucing tersebut menjadi sasaran pencuri itu kerana harganya di pasaran boleh mencecah ribuan ringgit seekor kerana mempunyai penampilan fizikal seperti bulu yang halus dan rupa yang cantik.
"Seekor kucing Parsi berusia enam bulan yang cantik boleh mencecah harga RM600 seekor," kata Harun.
Berikutan kejadian itu, kata Harun, dia membuat laporan polis dengan turut menyerahkan rakaman CCTV di Balai Polis Gita, Petra Jaya di sini.

 


Mayat bayi lelaki atas katil


KIRI: RUMAH di Lorong Haji Salleh, Jalan Meru, Klang inilah tempat mayat seorang bayi lelaki ditemui di atas katil semalam.
GAMBAR KANAN: Anggota polis mengiringi jurujual yang ditangkap selepas disyaki menyembunyikan kelahiran bayinya.



KLANG - Polis menangkap seorang jurujual selepas dipercayai cuba menyembunyi kelahiran bayi lelakinya yang sudah tidak bernyawa di sebuah rumah di Lorong Haji Salleh, Jalan Meru di sini semalam.
Ibu muda berusia 24 tahun itu ditangkap pada pukul 5.45 petang apabila kakaknya yang berusia 27 tahun membuat laporan polis selepas terkejut menemui mayat seorang bayi diletakkan di atas katil di rumah sewa yang didiami bersama adiknya itu.
Bayi itu dipercayai dilahirkan oleh suspek yang bekerja di sebuah kedai di Pekan Meru pada pukul 4 petang kelmarin. Semasa dilahirkan, bayi itu dipercayai sudah tidak bernyawa.
Suspek dipercayai membiarkan mayat anaknya di atas katil di dalam biliknya selepas dipercayai bimbang perkara itu diketahui keluarganya.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd. Shukor Sulong berkata, pasukan polis yang menerima laporan kakak suspek terus ke tempat kejadian dan menemui mayat seorang bayi lelaki yang cukup sifat di atas katil.
"Polis turut menemui tali pusat bayi dalam satu beg plastik yang dipercayai dipotong oleh si ibu selepas melahirkan anaknya itu," kata beliau ketika dihubungi di sini.
Menurut beliau, soal siasat ke atas suspek mendapati bapa kepada bayi malang itu merupakan lelaki Bangladesh namun kekasihnya itu sudah pulang ke negara asal sejak Mac lalu.
Mohd. Shukor memberitahu, suspek bersama mayat bayinya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini untuk pemeriksaan dan bedah siasat.

Dua sepupu hilang dilari penculik






KOTA KINABALU - Dua sepupu hilang selepas dipercayai diculik sekumpulan lelaki bersenjata api ketika sedang meninjau operasi rumah burung walet milik keluarga mereka di Ladang Lian Hin Lee berhampiran Felda Sahabat 15, Lahad Datu dekat sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 3.30 pagi, kedua-dua mangsa lelaki berusia 25 dan 33 tahun yang turut menguruskan ladang kelapa sawit di situ juga dikatakan pergi ke lokasi tersebut bersama dua lagi pekerja mereka.
Ketika berada di rumah burung walet itu, keempat-empat mangsa dipercayai didatangi lima lelaki membawa empat laras senjata api dipercayai jenis M203 dengan salah seorang daripada mereka memakai topeng.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib (gambar kecil) berkata, kumpulan suspek itu kemudian menahan kedua-dua sepupu terbabit manakala dua lagi pekerja tidak diapa-apakan dan dibebaskan.
Ketika kejadian, dua pemuda yang bekerja sebagai pengurus dan penolong pengurus di ladang kelapa sawit juga milik keluarga mereka dipaksa berjalan kaki sejauh dua kilometer menuju ke pantai di Kampung Manakayang.
"Kedua-dua mangsa kemudian menaiki sebuah bot dipercayai milik kumpulan itu dan beredar.
"Dua lagi pekerja yang turut berada di rumah burung walet itu dilepaskan tanpa dicederakan," kata beliau pada sidang akhbar di sini.
Polis sedang mengesan lokasi dua pemuda tersebut disembunyikan. Bagaimanapun, ada penduduk kampung di Pandami mendakwa melihat sebuah bot melintasi kawasan itu membawa tebusan.
Lokasi terdekat dengan kawasan penculikan tersebut ialah Pulau Sitangkai di selatan Filipina.
Hamza memberitahu, selain menculik dua pemuda itu, suspek turut merampas barangan berharga milik dua mangsa itu seperti cincin, rantai emas, telefon bimbit serta dua kunci kereta yang kesemuanya dianggar bernilai RM28,000.
Beliau bagaimanapun menafikan kegiatan itu didalangi oleh kumpulan pengganas dari selatan Filipina.
Setakat petang semalam, kumpulan suspek terbabit belum menghubungi keluarga kedua-dua mangsa terbabit untuk meminta wang tebusan.
Difahamkan, dua mangsa yang berasal dari Semenanjung telah mengusahakan rumah burung walet dan ladang kelapa sawit itu sejak 10 tahun lalu.

MANA PUSAT ZAKAT

Warga emas mohon bantuan



MUNAH (kanan) melipat kain sambil ditemani Siti Hajar di rumah mereka di Batu 16, Serdang, Kulim semalam.



KULIM – Selepas kematian suami lebih 10 tahun lalu, Munah Mat Deris, 67, bagaikan hilang tempat bergantung.
Dia yang hilang arah tuju kemudiannya tinggal bersama anak lelakinya, Hazaman Othman, 33, yang ketika itu tinggal bersama keluarga mertua di Batu 16, Serdang dekat sini.
Namun, Munah bernasib baik apabila adik berlainan bapa, Halimah Yaacob, 52, mempelawa dia tinggal di sebuah rumah kosong milik saudara-mara mereka di Kampung Terap Mukim 11, Serdang.
Walaupun tinggal selesa bersama anak bongsunya yang juga orang kelainan upaya, Siti Hajar, 23, kehidupan Munah tetap sukar kerana tiada pendapatan kerana tidak mampu bekerja.
“Selepas suami meninggal, saya bergantung bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM150 sebulan tetapi entah apa sebabnya, bantuan dihentikan tiga tahun lepas.
“Saya buat rayuan dan JKM meluluskan bantuan bulanan RM150 kepada Siti Hajar tetapi ia tidak cukup untuk menampung hidup kami berdua,” katanya ketika ditemui semalam.
Menurut Munah yang turut menghidap kencing manis dan darah tinggi, walaupun mempunyai tiga anak, dia tidak mengharapkan bantuan mereka kerana masing-masing hidup susah.
Orang ramai yang ingin membantu Munah, boleh menghubungi Hazaman di talian 017-507 0475.

No comments:

Post a Comment