Norliana sah tidak mengandung
ALOR SETAR – Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar mengesahkan Norliana Manaf dari Kampung Kelut, Jabi, Pokok Sena dekat sini yang sebelum ini mendakwa kandungannya hilang secara misteri pada Isnin lalu sebenarnya tidak hamil.
Jurucakap pejabat kesihatan tersebut memberitahu, wanita itu ada mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Pokok Sena pada 12 November lalu dan pemeriksaan mendapati tiada tanda-tanda dia mengandung.
Katanya, jururawat klinik itu kemudian merujuk perkara tersebut kepada pegawai perubatan, namun wanita terbabit tidak mendapatkan rawatan doktor sebaliknya terus pulang.
“Pihaknya juga menghubungi Klinik Kesihatan Bukit Jambul, Pulau Pinang tempat dia mendakwa mendapatkan rawatan sebelum ini dan dimaklumkan bahawa tiada rekod pesakit tersebut di sana,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Kosmo! pada Jumaat lalu melaporkan Norliana berada dalam kebingungan apabila mendapati bayi kembar berusia sembilan bulan yang dikandungnya didapati hilang secara misteri.
Gadis Maghribi mati lepas gaduh
KUALA LUMPUR – Seorang gadis warga Maghribi ditemui mati dipercayai terjatuh dari tingkat 12, Kondominium Mutiara Villa, Jalan Changkat Tung Shin di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 8 pagi itu, mangsa Low Ali Ghizlale, 21, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Rakan serumah mangsa yang merupakan wanita warga Sudan memberitahu, sebelum kejadian mangsa didakwa bertengkar dengan teman lelakinya menerusi telefon bimbit.
Pemeriksaan mendapati, mangsa yang menyewa di tingkat 12 memiliki pasport yang sah dan merupakan penuntut sebuah universiti swasta di ibu negara.
Curi pisau kelar leher sendiri
TUMPAT – Seorang peniaga wanita berdepan detik-detik cemas apabila seorang pemuda menceroboh kedai makannya di Kampung Ana di sini semalam sambil menjerit meminta pisau.Selepas mencapai sebilah pisau di atas meja, lelaki berusia 20-an itu kemudian mengelar lehernya sendiri sebelum beredar.
Cerita Zaleha Awang Hamat, 50, kejadian tersebut berlaku pada pukul 7.30 pagi dan ketika itu kedai makan Zaleha belum dibuka kecuali pintu dapur.
“Semasa menjerang air tiba-tiba seorang lelaki masuk ke dapur sambil menjerit meminta pisau.
“Lelaki itu kemudian terus mencapai pisau di atas meja sebelum mengelar leher sendiri,” kata wanita itu yang masih takut mengingati kejadian tersebut.
Tiga maut kereta terbabas
PEKAN – Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terbunuh bersama dua sahabatnya selepas kereta Proton Wira yang mereka naiki terbabas lalu melanggar penghadang jalan sebelum terbalik di Kilometer 29.5, Jalan Kuantan-Pekan dekat Kampung Ubai di sini semalam.
Tiga mangsa yang terbunuh dalam tragedi pada pukul 12.45 tengah malam itu ialah Hasroy Haniff Hamsah, 17, manakala dua rakannya, Mohd. Faqih Mohd. Nor, 18, dan pemandu kereta tersebut, Shahrul Azwan Jaafar Shah, 18.
Seorang lagi rakan Hasroy, Mohd. Hasri Razali, 19, hanya cedera ringan dan dirawat di Hospital Pekan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff berkata, kemalangan tersebut berlaku apabila kereta dinaiki empat mangsa itu yang dalam perjalanan dari arah Pekan menuju Kuantan hilang kawalan ketika melalui tempat kejadian.
Lelaki guna helah tempah cincin tunang, larikan rantai emas
ALOR SETAR – Seorang lelaki berlagak sebagai pelanggan sebelum menyamun seutas rantai leher emas daripada seorang pembantu kedai emas di Jalan Langgar di sini semalam.Kejadian berlaku kira-kira pukul 12 tengah hari apabila seorang lelaki berusia 30-an datang ke kedai tersebut dengan helah hendak menempah cincin pertunangan.
Pembantu kedai, Zamzalina Zakaria, 38, berkata, lelaki yang sama pernah datang ke kedai tersebut untuk menjual emas dalam bentuk loceng dengan harga RM65 pada bulan lalu.
“Sewaktu lelaki itu masuk ke kedai, saya layan dia seperti pelanggan lain kerana pernah berurus niaga dengan dia sebelum ini.
“Pada mulanya dia memberitahu hendak menempah cincin pertunangan dengan menggunakan batu permata. Saya meminta dia membawa batu itu untuk memudahkan kami menganggarkan jumlah yang patut dikenakan,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Dilema tidak mempunyai MyKad
JOHOR BAHRU – Selama lebih tiga dekad, seorang pemotong rumput di sini sentiasa dilanda ketakutan untuk ke mana saja ekoran tidak mempunyai MyKad meskipun sudah berkeluarga dan mempunyai lima cahaya mata.
Muhammad Shah Abdullah, 38, sewaktu menceritakan kisah perit hidupnya mendakwa, polemik bermula apabila keluarga kandungnya dikatakan bertindak membuangnya di sebuah perhentian bas di Bentong, Pahang sewaktu dia masih bayi berusia empat hari.
“Saya kemudian dipelihara oleh seorang bekas anggota polis, Ismail Othman, 63, yang menemui saya di perhentian bas tersebut dan kemudian membesarkan saya di Kampung Sertik, Bentong,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Desa Mutiara di sini semalam.
Entah mana silapnya dan ditambah dengan kesibukan bapa angkatnya yang sentiasa berpindah tempat kerja, Muhammad Shah berkata, Ismail seolah-olah ‘terlupa’ untuk membuat MyKad untuknya sehinggalah warga emas itu menghidap penyakit alzheimer.
“Kesan tidak mempunyai MyKad sangat besar kerana percaya atau tidak, saya seorang buta huruf kerana tidak bersekolah sejak kecil. Saya hanya ke sekolah pondok untuk mempelajari ilmu agama.
“Perkahwinan saya pada tahun 2000 juga diurus oleh kadi tanpa saya ketahui bagaimana prosesnya,” katanya yang kini mempunyai lima orang anak berusia antara sebulan hingga sembilan tahun.
Israel ancam tingkat serangan
|
GENTING GAZA - Pihak Israel mengancam untuk meningkatkan serangan ke atas Gaza, biarpun usaha gencatan senjata giat dijalankan bagi menghentikan serangan yang memasuki hari kelima semalam.
Bedilan tentera Israel telah meragut enam lagi nyawa yang terdiri daripada tiga orang kanak-kanak dan seorang bayi berusia 18 bulan.
Angka korban terbaharu itu kini menjadikan jumlah rakyat Palestin yang terkorban meningkat kepada 52 orang.
Serangan udara yang dilakukan turut menggegarkan dua pusat media di bandar ini menyebabkan sekurang-kurangnya lapan orang wartawan cedera dan salah seorang kehilangan kaki, kata jurucakap kesihatan, Ashraf al-Qudra kepada agensi berita AFP.
Sementara stesen televisyen Rusia, RT memberitahu pejabatnya di Genting Gaza musnah dalam serangan yang dilakukan semalam. Namun semua kakitangannya selamat.
Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Luar Britain, William Hague memberi amaran, tindakan Israel menceroboh Genting Gaza akan menyebabkan simpati dan sokongan masyarakat antarabangsa terhadap Israel hilang.
Hague memberitahu stesen televisyen Sky News, korban orang awam akan meningkat jika serangan darat dilakukan dan ia hanya memanjangkan tempoh konflik.
Komen beliau hadir selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, pasukan tentera daratnya bersedia untuk menggempur Genting Gaza bagi menentang pejuang Hamas.
Di Tel Aviv, bunyi siren terus kedengaran bagi memberi amaran kepada pejalan kaki dan pemandu kereta supaya mendapatkan perlindungan daripada serangan yang dilakukan oleh pejuang Hamas.
Tujuh buah roket telah dilancarkan ke arah Tel Aviv sejak Khamis lalu. Tiga daripadanya meletup di laut, tiga lagi dipintas oleh sistem perisai Iron Dome dan satu lagi mengenai kawasan lapang. - Agensi
Dua terbunuh kereta api dibom
PATTANI - Kumpulan pemberontak disyaki meletupkan bom buatan sendiri, mengakibatkan sebuah kereta api tergelincir dan membunuh dua orang pengawal kereta api di selatan Thailand, beberapa jam sebelum Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama melawat negara tersebut.
Serangan pada Ahad berlaku di daerah Rue So, wilayah Narathiwat dan menyebabkan gangguan perkhidmatan kereta api di tiga wilayah selatan yang bergolak itu.
Jurucakap polis, Dulyaman Yaena berkata beberapa pemberontak berbalas tembakan dengan pengawal kereta api sebelum melarikan diri.
Dua pengawal kereta api maut akibat letupan, sementara 15 mangsa yang cedera dimasukkan ke hospital.
Lebih 5,000 orang terbunuh sejak pemberontakan meletus di wilayah selatan Thailand pada 2004. Insiden tersebut merupakan serangan kedua pada hujung minggu ketibaan Obama ke Thailand. Obama turut dijadual melawat Myanmar dan Kemboja. - Agensi
Mumia anjing ditemui di Mexico
BANDAR MEXICO - Rangka seekor mumia anjing yang dipercayai berusia kira-kira 1,000 tahun ditemui di Cueva de la Candelaria, Coahuila pada 12 November lalu di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
Mumia tersebut merupakan satu-satunya artifak seumpamanya yang ditemui di sini.
Ia dijangka menjalani beberapa kajian seperti radiografi dan analisis ujian asid deoksiribonukleik (DNA) oleh Institut Antropologi dan Sejarah Kebangsaan Mexico (INAH) untuk dipulihkan.
Seorang pakar arkeologi INAH, Isaac Aquino Toledo berkata, ia merupakan salah satu daripada beberapa spesimen mumia anjing yang ditemui di dunia. Mumia anjing biasanya ditemui di Mesir dan Peru.
Spesimen itu akan disimpan bersama-sama dengan 2,500 bahan arkeologi lain yang ditemui pada tahun 1953.
Penemuan itu menguatkan lagi pendapat bahawa anjing ditanam bersama-sama tuannya dalam pengebumian orang nomad di rantau ini.
Beberapa objek lain yang ditemui bersama anjing mumia tersebut ialah tekstil, anyaman rotan, kayu, artifak tulang serta 200 rangka tulang manusia. - Reuters
No comments:
Post a Comment