Norliana nafi pura-pura mengandung
POKOK SENA - Norliana Manaf yang mendakwa kandungannya hilang secara misteri pada Isnin lalu menafikan bahawa dia menghidap pseudosiesis iaitu kehamilan palsu kerana dia mendakwa benar-benar mengandung sebelum kandungan itu 'ghaib'.
Norliana, 28, seorang pembantu kedai makan memberitahu, dia tidak mereka-reka cerita mengenai kehamilan itu sebaliknya merasai sendiri pengalaman mengandung termasuk pergerakan kandungan ketika berusia lapan bulan.
Bagaimanapun katanya, terserah kepada orang ramai sama ada mahu mempercayai atau sebaliknya kerana tiada sebarang makna jika dia berbohong berhubung perkara itu.
"Saya berbelanja lebih RM500 membeli kelengkapan pakaian bayi sebagai persediaan menyambut kelahiran bayi kembar perempuan, namun sedih apabila ada pihak menyatakan kehamilan saya palsu.
"Buat apa saya berpura-pura mengandung. Selama sembilan bulan saya mengusung perut yang berat tetapi lain pula pandangan orang. Apa pun itu hak mereka, namun tetap dengan pendirian, saya memang hamil," tegasnya ketika ditemui di Kampung Kelut, Jabi di sini semalam.
Kosmo! semalam melaporkan Norliana kebingungan apabila mendapati bayi kembar berusia sembilan bulan yang dikandungnya didapati hilang secara misteri.
Norliana dari Bukit Jambul, Pulau Pinang mendakwa, kehilangan bayi kembar perempuan itu ketika dia bermimpi dikunjungi lima wanita berjubah semasa tidur di rumah ibunya, Cik Som Endut.
Bagaimanapun, Perunding Obstetrik & Ginekologi (Feto-Maternal) Pusat Perubatan Kedah, Dr. Kamarulzaman Ali berkata, simptom pseudosiesis itu bukan sahaja membabitkan perubahan fizikal malah gangguan mental serta tekanan perasaan.
Katanya, pesakit akan mengalami pertambahan berat badan khususnya di bahagian perut selain tidak datang haid, rasa mual, muntah dan ketegangan perut.
Norliana memberitahu, ketika hamil berat badannya meningkat kepada lebih 50 kilogram (kg) berbanding sebelum itu 40kg.
Hisham pangku tugas KP Kesihatan
|
KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah (gambar) akan menjalankan tugas-tugas Datuk Seri Dr. Hasan Abdul Rahman sebagai Ketua Pengarah (KP) Kesihatan untuk sementara waktu sehingga satu keputusan rasmi dibuat mengenainya.
Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Kamarul Zaman Md. Isa berkata, pelantikan Noor Hisham dibuat ekoran penggantungan tugas Hasan selepas beliau terlibat dalam kes khalwat baru-baru ini.
Menurutnya, pihak kementerian telah menerima secara rasmi keputusan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya berhubung kes khalwat yang melibatkan Hasan pada 16 November lalu.
“Pelantikan itu selari dengan peruntukan yang digariskan di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) P.U(A) 395/1993 terhadap mana-mana pegawai awam yang telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini semalam.
|
Kosmo! pada Khamis lalu melaporkan bahawa Hasan yang ditangkap berkhalwat dengan seorang jururawat berstatus isteri orang dan diarahkan membayar denda sebanyak RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
Hasan telah didakwa berkhalwat dengan seorang pegawai wanita di kementerian sama, Wan Syarifah Nooraazmanita Wan Hassan, 36, di sebuah bilik Hotel Pullman di sini pada pukul 2.18 pagi Rabu lalu.
Wan Syarifah pula didenda sebanyak RM2,900 selepas kedua-dua mereka mengaku salah atas tuduhan tersebut.
Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA), Tan Sri Mahmood Adam berkata, sebarang bentuk tindakan yang akan dikenakan ke atas Hasan bergantung kepada laporan yang dikemuka kementerian tersebut.
“Sehingga waktu ini, kami belum menerima apa-apa daripada kementerian itu,” katanya pada sidang media sebelum menandatangani memorandum persefahaman antara SPA dan agensi pekerjaan Kayell Sdn. Bhd. di sini semalam.
Tindakan saman
KUALA LUMPUR - Individu yang dijadikan penjamin tanpa pengetahuan menerusi pemalsuan tandatangan dalam urusan pinjaman bank perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap peminjam berkenaan.Presiden Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM), Datuk Mohd. Redza Shah Abdul Wahid berkata, tindakan saman perlu dibuat kepada peminjam kerana ia tidak melibatkan isu kecuaian pihak bank yang meluluskan pinjaman.
"Prosedur menandatangani perjanjian pinjaman memang kebiasaannya tidak memerlukan penjamin perlu hadir sama.
"Peminjam perlu dapatkan tandatangan penjamin dan saksi sahaja," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kes seorang jururawat, Nora Ahmad, 42, di Johor Bahru yang bakal diisytihar muflis berikutan tandatangannya dipalsukan oleh bekas suaminya sendiri yang merupakan seorang doktor.
Ekoran kejadian itu, wanita berkenaan kini diburu pihak bank yang menuntut membayar semula wang pinjaman yang dilakukan oleh bekas suaminya yang kini mencecah RM58,000.
Mohd. Redza Shah mengakui urusan kelulusan pinjaman daripada pihak bank pada masa kini agak mudah terutama jika melibatkan pinjaman peribadi.
"Namun, sekiranya ia melibatkan pinjaman seperti perumahan, surat perjanjian perlu ditandatangani oleh penjamin di hadapan peguam," katanya.
Tambah beliau, dalam kes Nora itu, dia juga boleh menyaman pihak saksi yang tercatat dalam surat perjanjian tersebut sekiranya turut terlibat dalam kes pemalsuan tanda tangan itu.
Pulihkan imej masjid
KUALA TERENGGANU – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mengingatkan rakyat di negeri ini supaya tidak menjadikan masjid sebagai tempat perbualan negatif, berkeadaan kotor dan tidak terurus.
Baginda bertitah, peranan dan imej masjid perlu dipulihkan kembali sebagai institusi yang bukan sahaja bersih, suci dan indah tetapi juga berperanan sebagai penggerak utama kepada perubahan ummah untuk mendidik masyarakat wasatiyyah.
“Beta tidak mahu masjid-masjid yang berada dalam negeri ini bertukar menjadi tempat perbualan negatif dengan persekitaran yang kotor, tidak terurus, tiada pengunjung dan tiada pengajaran agama kepada anak mukim,” titah baginda.
Sultan Mizan bertitah demikian ketika menyempurnakan majlis perasmian Masjid Khalifah, Taman Jaya di Jalan Pusara di sini semalam sebelum baginda bersama-sama para jemaah menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan.
Hadir sama ialah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang.
Masjid berharga RM4 juta itu mula dibuka pada Julai tahun lalu selepas melalui proses menaik taraf daripada sebuah surau di yang dibina pada 1976.
3 anggota polis dituduh merogol
BUTTERWORTH – Tiga anggota polis masing-masing berpangkat konstabel dan koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan merogol dan melakukan seks luar tabii terhadap seorang wanita warga Indonesia minggu lalu.
Konstabel Remy anak Dana, 25; Konstabel Syahiran Romli, 21, dan Koperal Nik Sin Mat Lazin, 33, didakwa merogol dan melakukan seks luar tabii ke atas mangsa berusia 25 tahun di bilik nombor 4, Berek Balai Polis Perai dekat sini antara pukul 6.40 dan 7.30 pagi 9 November lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 376(1)/377C Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun, sebat dan denda.
Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Ibrahim menawarkan ikat jamin sebanyak RM30,000 bagi setiap tertuduh namun dibantah peguam bela yang mewakili Remy, Anthony Samy.
Dua lagi tertuduh iaitu Syahiran dan Nik Sin diwakili peguam Parmjit Singh sementara peguam Rosli Ismail hadir sebagai peguam pemerhati mangsa.
Hakim Nabisha Ibrahim membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM25,000 dan menetapkan 12 Disember ini untuk sebutan semula kes. Ketiga-tiga tertuduh membayar wang ikat jamin itu.
Mahkamah juga memerintahkan ketiga-tiga tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran setiap awal bulan dan tidak membenarkan media menyiarkan nama dan gambar mangsa dalam mana-mana laporan.
Sementara itu, Pemangku Konsulat Indonesia di Pulau Pinang, Sofiana Mufidah yang hadir ke mahkamah memuji tindakan pantas pasukan polis menahan dan menghadapkan tertuduh ke mahkamah.
Selain media tempatan, kes itu turut menarik minat tiga media dari Indonesia iaitu MetroTV, TransTV dan TV1 yang turut membuat liputan di mahkamah tersebut.
Pada 11 November lalu, Kosmo! melaporkan pekerja sebuah restoran mendakwa dirogol tiga anggota polis selepas ditahan di kawasan berhampiran sebuah pusat beli-belah di Perai.
Wanita berkenaan mendakwa dia dipaksa melakukan seks bersama ketiga-tiga anggota polis berkenaan sebelum dihantar pulang ke rumahnya di Alma, Bukit Mertajam.
4 beranak ditemui mati berulat
|
|
BETONG – Empat sekeluarga yang ditemui dalam keadaan sudah berulat dan masing-masing mulut berair di sebuah rumah di Jalan Kolam, Lubuk Chepung, Pusa dekat sini kelmarin dipercayai mati akibat terhidu asap generator yang membekal tenaga elektrik di rumah tersebut.
Mereka yang terkorban ialah Zaidi Pandi, 62; isteri, Tiah Sauti, 53, dan dua anak mereka iaitu Atikah, 27, serta Kazil, 20. Semasa ditemui, keempat-empat mangsa itu dipercayai sudah meninggal dunia lebih daripada 48 jam.
Atikah dan Kazil merupakan orang kelainan upaya (OKU) iaitu lembam.
Penemuan mayat empat beranak itu terbongkar apabila adik kepada Zaidi, Omar, 39, pergi ke rumah itu pukul 5 petang dan terhidu bau busuk dari arah rumah kayu tersebut.
Keadaan keempat-empat mayat itu amat memilukan dengan Zaidi ditemui dalam keadaan memakai baju Melayu, kain pelekat serta berkopiah terlentang atas sejadah di ruang tamu.
Di sisi mayat pengusaha kantin itu pula, mayat Atikah. Atikah yang memakai baju-T semasa dijumpai dalam keadaan terbaring dengan kepala di atas bantal. Bersebelahan mayat Atikah ditemui sehelai telekung berwarna putih.
Mayat Kazil yang memakai baju-T dan seluar panjang turut ditemui di ruang tamu dan dalam keadaan terlentang di atas tilam.
Sementara itu, isteri Zaidi, Tiah dijumpai di dalam bilik tidur dengan keadaan terlentang di atas tilam. Tiah semasa itu memakai baju kuning dan berkain batik.
Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Superintendan Saifuddin Mustafa berkata, polis percaya kematian keempat-empat mangsa dipercayai berpunca daripada gas karbon monoksida daripada asap generator Motoyama model MPG3800 yang menggunakan minyak tanah.
Menurut beliau, polis menemui generator itu di dapur rumah dan sudah kehabisan minyak.
“Semasa mayat ditemui, pintu dan tingkap rumah mangsa dalam keadaan bertutup rapat. Polis terpaksa memecah pintu dapur untuk masuk ke dalam rumah,” kata beliau ketika dihubungi Kosmo!.
Menurut beliau, seluruh badan mayat empat beranak itu semasa ditemui berwarna hijau kehitaman, mulut berair dengan lidah terjelir.
Selain itu, terdapat beberapa tompokan darah dan air berwarna kekuningan berhampiran keempat-empat mayat mangsa.
“Punca sebenar kematian akan diketahui hujung minggu ini selepas keputusan bedah siasat yang dilakukan oleh doktor pakar Hospital Umum Sarawak (HUS), Kuching bermula pagi esok (hari ini) diketahui,” katanya.
Difahamkan generator tersebut kebiasaannya akan diangkat ke belakang rumah menjelang waktu malam namun pada hari kejadian generator itu ditemui masih berada di dalam dapur.
Keluarga itu menggunakan generator itu kerana masih menunggu kelulusan mendapat bekalan elektrik.
Zaidi dikenali dalam kalangan penduduk setempat sebagai seorang yang kuat agama dan disenangi oleh masyarakat tempatan.
Sembelih leher
GEORGE TOWN - Seorang tukang masak yang tertekan selepas permohonan cutinya untuk pulang menyambut Deepavali di India ditolak oleh majikannya ditemui mati dalam keadaan mengerikan dengan lehernya hampir putus akibat dikelar di dalam tandas sebuah restoran di Bayan Baru dekat sini kelmarin.
Mayat M. Muthuraj, 33, ditemui berlumuran darah dalam tandas restoran nasi kandar itu oleh polis yang bertindak memecahkan pintu tandas berkenaan selepas mendapati ia berkunci dari dalam.
Salah seorang rakan sekerja mangsa yang dikenali sebagai Mahmod memberitahu, Muthuraj dilihat masuk serta mengunci tandas pada pukul 8 malam dan enggan keluar walaupun telah dipanggil berkali-kali.
Katanya, mangsa yang telah empat tahun bekerja di restoran itu kelihatan murung serta menjadi pendiam beberapa hari lalu sejak permintaannya untuk pulang ke kampung halamannya di India sempena Deepavali lalu tidak diluluskan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Nasir Salleh berkata, sebaik memecahkan pintu, polis menemui mayat Muthuraj dalam keadaan berlumuran darah dengan lehernya hampir putus.
"Siasatan mendapati mangsa telah mengelar lehernya sendiri. Polis turut menemui sebilah pisau di dalam tandas tersebut," ujarnya.
Tambahnya, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat. Pihak Pesuruhjaya Tinggi India di Kuala Lumpur telah dimaklumkan mengenai kejadian itu.
4 dikhuatiri lemas musim cuti sekolah
KUANTAN - Keseronokan musim cuti sekolah dua sepupu dengan mencari siput sambil berkelah di Sungai Badong, Pekan semalam berakhir tragedi selepas mereka didapati hilang dan dikhuatiri lemas.Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Yahaya Othman berkata, kehilangan kedua-dua mangsa, Mohamad Syafiruddin Hussin, 14, dan Mazura Ali, 14, disedari oleh ahli keluarga mereka pada pukul 4 petang.
"Beberapa ahli keluarga tersebut terdengar jeritan kedua-dua mangsa sebelum jeritan itu hilang begitu sahaja.
"Dikhuatiri kedua-dua mereka hanyut dibawa arus deras sebelum hilang," katanya semasa dihubungi di sini semalam.
Yahaya menambah, polis bersama anggota Balai Bomba dan Penyelamat Nenasi, Pekan segera bergegas ke tempat kejadian selepas menerima aduan mengenai kejadian itu.
"Unit Skuba Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan turut bergegas ke tempat kejadian bagi membantu operasi mencari dan menyelamat.
"Sehingga pukul 7 petang, kedua-dua mangsa masih gagal dikesan dan operasi mencari serta menyelamat akan diteruskan esok (hari ini)," jelasnya.
Sementara itu di Taman Negeri Endau dekat Rompin, dua lagi mangsa turut dilaporkan hilang semasa berkelah dan mandi di kawasan itu kira-kira pukul 4.53 petang semalam.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Anuar Hassan berkata, pihaknya bagaimanapun belum mengenal pasti identiti kedua-dua mangsa.
"Dipercayai mangsa lemas semasa mandi. Namun, identiti mereka masih belum diketahui dan usaha mencari akan disambung esok (hari ini)," ujarnya.
No comments:
Post a Comment