Mati terjatuh sebelum jumpa kekasih
|
KUALA LUMPUR – Hajat seorang gadis keluar dari rumah tanpa pengetahuan keluarga bagi bertemu kekasihnya mengundang padah apabila dia maut selepas terjatuh dari tingkat tujuh sebuah apartmen kuarters kerajaan di Desa Pandan di sini semalam.
Sebelum kejadian pada pukul 8 pagi, mangsa, Siti Khadijah Muhammad, 16, mengurung diri di dalam bilik di rumahnya selepas dipercayai memberontak kerana dihalang keluarga untuk bertemu kekasihnya.
Bagaimanapun, selepas terdesak untuk berjumpa kekasihnya, mangsa cuba keluar dari tingkap di bilik rumahnya.
Khadijah dikatakan menyambung lima helai selendang yang setiap satu sepanjang kira-kira satu meter setengah dengan niat dapat sampai ke bawah dan berjumpa kekasihnya.
Semasa kejadian, ibu gadis itu dan empat adik mangsa berada di rumah sementara bapa mangsa berada di pejabat.
Bagaimanapun, hajat Khadijah bertemu buah hatinya tidak kesampaian apabila kain selendang yang disambungnya itu terputus sebaik mangsa bergantung pada kain tersebut.
Mangsa ditemui terbaring berlumuran darah dalam keadaan sudah tidak bernyawa oleh penduduk di apartmen sembilan tingkat itu.
Remaja lelaki sedih kehilangan Khadijah
KUALA LUMPUR - Seorang remaja lelaki yang mendakwa kekasih Siti Khadijah Muhammad, 16, yang ditemui mati terjatuh dari sebuah apartmen di Desa Pandan di sini tidak dapat menerima hakikat dia sudah kehilangan gadis itu.Menerusi laman Twitter miliknya, remaja berusia 16 tahun yang dikenali sebagai Farid itu melahirkan rasa sedih kerana tidak dapat berjumpa mangsa sebelum gadis itu meninggal dunia.
Remaja lelaki yang tinggal di Damansara Damai, Petaling Jaya itu turut mendakwa, ibu dan seorang adik perempuan mangsa menjadi punca gadis itu nekad keluar daripada rumah melalui tingkap.
Antara petikan yang ditulis dalam Twitter remaja lelaki itu: "Aku hidup sekarang sampai mati aku takkan maafkan korang berdua ****. Kalau korang bagi dia keluar aku rasa dia masih ada lagi."
Selepas mendapat maklumat kekasihnya mati terjatuh daripada apartmen, remaja lelaki itu terus pergi Rumah Mayat Hospital Kuala Lumpur untuk menatap wajah kekasihnya itu.
Mengikut Twitter itu lagi, remaja berkenaan meluahkan, air matanya tidak berhenti mengalir selepas menatap wajah gadis pujaannya yang sudah tidak bernyawa di hospital.
Pada sebelah petang, remaja lelaki itu mengemas kini Twitter miliknya lagi dengan memberitahu, dia yang tiada wang memberanikan diri menaiki teksi ke rumah arwah kekasihnya untuk sama-sama membaca surah Yasin.
Sampai di apartmen tersebut, remaja itu memberitahu, dia bernasib baik kerana keluarga kekasihnya membayar wang tambang teksi.
Kemas kini pada pukul 8.30 malam tadi pula menyebut, dia berasa bersalah kerana kematian Khadijah dianggap mempunyai kaitan dengan dirinya.
"Aku rasa serba salahlah, dia meninggal sebab aku. Dia sanggup buat macam itu semata-mata nak jumpa dengan aku."
Tinjauan Kosmo! di akaun Twitter remaja itu pada pukul 8.47 malam tadi mendapati akaun tersebut dibanjiri ucapan takziah pengikutnya yang berjumlah 3,390 orang yang rata-ratanya melahirkan rasa simpati terhadap nasib mangsa dan remaja lelaki itu.
Remaja itu bagaimanapun gagal dihubungi Kosmo! bagi mendapatkan komen mengenai kejadian itu.
Sementara itu, laman Facebook dan Twitter milik Khadijah sudah ditutup oleh keluarga mangsa.
Majoriti tidak subur
KUALA LUMPUR - Satu kajian mengenai kesuburan dalam kalangan pasangan yang baru berumah tangga di Malaysia mendapati kira-kira 69 peratus tidak menyedari mereka dikategorikan sebagai tidak subur jika gagal mendapat anak setelah setahun berkahwin.
Masalah tersebut berpunca daripada sikap pasangan yang terlalu fokus kepada pencapaian dalam kerjaya, kesihatan dan keinginan memiliki hubungan yang stabil sebelum memiliki anak.
Kajian Starting Families Asia 2011-2012 yang dijalankan ke atas 1,000 orang wanita di 10 buah negara Asia mendapati, mereka mengalami jurang pengetahuan yang tinggi tentang kesuburan, punca ketidaksuburan dan pilihan mendapatkan rawatan kesuburan.
Pakar Perunding Kanan Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Zainul Rashid Mohamad Razi berkata, keadaan bertambah buruk apabila pasangan terbabit enggan mendapatkan bantuan pakar dengan segera.
Beliau berkata, sikap itu bertentangan dengan negara-negara lain di Asia apabila kaum wanita negara ini menentukan masa sesuai untuk memiliki anak berbanding suami mereka.
120,000 belia diramal muflis menjelang tahun 2020
KUANTAN - Jumlah golongan belia yang muflis akibat berhutang mungkin mencecah 120,000 orang menjelang tahun 2020 sekiranya langkah-langkah pencegahan tidak diambil mulai sekarang.Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, usaha perlu diambil bagi mencegah kegagalan golongan belia melunaskan pelbagai hutang yang diambil seperti hutang kad kredit, beli kereta dan pinjaman peribadi.
"Saya bimbang jika perkara ini dibiarkan, ia pasti mengancam masa depan negara kerana golongan belia merupakan sumber produktiviti utama negara.
"Justeru, golongan belia terutamanya mahasiswa perlu melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu kepenggunaan untuk kepentingan masa depan," katanya pada Majlis Penyerahan Kad Siswa 1Malaysia dan Karnival Gerakan Pengguna Siswa (GPS) Universiti Malaysia Pahang di sini kelmarin.
Jual darjah kebesaran RM200,000
KOTA BHARU - Istana Kelantan mengesan perbuatan pihak tertentu yang menyamar sebagai Kerabat Diraja Kelantan dan cuba menipu orang ramai dengan mendakwa boleh mendapatkan pingat dan darjah kebesaran Negeri Kelantan.
Ketua Istiadat Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad berkata, pengurniaan pingat dan darjah kebesaran tersebut dijual dengan harga mencecah hingga RM200,000.
Beliau berkata, penjualan pingat dan darjah kebesaran tersebut bercanggah dengan Fasal (1) Perkara 43 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Kedua) yang menyatakan hanya Sultan Kelantan yang berhak mengurniakan gelaran dan darjah kebesaran kepada individu-individu yang layak.
"Tiada mana-mana orang atau individu boleh mengurniakan Darjah-darjah Kebesaran Negeri. Pihak yang menganjurkan majlis tersebut telah melanggar Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kelantan.
"Saya ingin tegaskan tidak ada mana-mana pihak diberi autoriti oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V untuk pengurniaan Darjah Kebesaran dan melibatkan bayaran kewangan," katanya pada sidang akhbar di Istana Balai Besar di sini semalam.
Abdul Halim berkata, penjualan darjah kebesaran kepada individu dari dalam dan luar Kelantan itu mula dikesan pada akhir tahun lepas dan Istana Kelantan telah membuat beberapa laporan polis mengenainya.
Beliau berkata, ada pihak tertentu mendakwa dirinya adalah kerabat Diraja Kelantan dan telah mengurniakan pingat kepada beberapa individu termasuk dari Sarawak dan Kuala Lumpur.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan rakyat Kelantan atau dari luar negeri ini supaya tidak terpedaya dengan kegiatan untuk menganjur atau menerima pengurniaan daripada mana-mana pihak selain daripada Istana Kelantan sendiri.
"Kami juga menasihatkan individu yang menerima darjah kebesaran (secara tidak sah) supaya menyerahkannya kepada pihak berkuasa.
"Saya amat dukacita dengan pihak-pihak tertentu yang masih tidak serik dengan tindakan yang dikenakan dan masih terus menawarkan darjah dan pingat kebesaran secara tidak sah dan menipu individu tertentu," katanya. - Bernama
Tuntut ganti rugi lebih RM69,000
|
KUALA LUMPUR – Sepasang suami isteri menyaman syarikat pengedar kasut Crocs dan dua yang lain bagi menuntut ganti rugi RM69,058.70 selepas kaki anak lelaki mereka yang ketika itu berusia dua tahun tersepit di celah eskalator sebuah pusat beli-belah di Damansara Utama dekat sini dua tahun lalu.
Syed Najib Syed Jaffar Albar dan isterinya, Nor Faezah Amir hadir ke Pejabat Pendaftar Kompleks Mahkamah Tinggi di sini bersama kanak-kanak itu, Abdullah, 5, selaku plaintif.
Abdullah diwakili Tetuan Shukor Baljit & Partners menamakan syarikat Kinderdijik Sdn. Bhd. sebagai defendan pertama manakala defendan kedua dan ketiga, syarikat Hitachi Elevator Engineering (M) Sdn. Bhd. dan Bandar Utama City Cor- porations Sdn. Bhd.
Mengikut writ saman, plaintif mendakwa, kejadian berlaku pada 31 Januari 2010 di pusat beli-belah One Utama apabila dia dan ibunya menggunakan eskalator untuk turun dari aras satu ke aras bawah yang dipasang, diselenggara dan diperiksa defendan kedua.
TUNTUT...AKHIRAT ALLAH TUNTUT YANG BUAT MUNGKAR...YANG TERLEPAS SEBAB SONGLAP HAK RAKYAT..PENIPU...ZALIM DAN TAK TUNAI JANJI JUGA
2,000 ibu tunggal di Selangor fail saman tuntut RM10.9 juta
SHAH ALAM - Seramai 2,020 ibu tunggal di Selangor memfailkan saman berjumlah RM10.9 juta terhadap kerajaan negeri Selangor dan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana didakwa gagal memberi elaun ibu tunggal seperti yang terkandung dalam Manifesto Pilihan Raya Umum ke-12.
Tuntutan itu difailkan melalui Tetuan Kamarudin & Partners di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini semalam.
Kira-kira 50 wakil ibu tunggal hadir ketika saman berkenaan difailkan.
Dalam pernyataan tuntutan tersebut, kerajaan negeri dan Abdul Khalid yang dinamakan sebagai defendan pertama dan kedua, didapati gagal membayar elaun ibu tunggal RM100 seperti yang dijanjikan dalam Manifesto Pakatan Rakyat (PR) selama 54 bulan bermula 1 April 2008 hingga 30 Oktober 2012 kepada kesemua plaintif dengan jumlah keseluruhan RM10,908,000.
Polis cari 15 individu
GEORGE TOWN – Seorang wanita antara 15 individu yang dicari bagi membantu siasatan berhubung kes samun bersenjata dan pecah rumah sekitar Timur Laut sejak awal tahun ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, identiti mereka diperoleh selepas pihaknya menjalankan siasatan ke atas 12 laporan kes samun dan pecah rumah di lapan kawasan di sekitar Pulau Pinang.
“Jumlah kerugian dianggarkan mencecah RM300,000. Kesemua individu yang dicari itu berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun,” katanya pada sidang akhbar di sini.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kesemua individu tersebut menghubungi polis Timur Laut di talian 04-228 2222 bagi membantu siasatan.
Tukang tilik Siam mati ditembak
JOHOR BAHRU - Seorang tukang tilik berketurunan Siam maut manakala teman wanitanya parah akibat ditembak di rumah lelaki tersebut di Jalan Permas 12/10, Permas Jaya di sini petang semalam.
Dalam kejadian pada pukul 5.15 petang itu, mangsa, Ang Keng, 40, meninggal dunia di tempat kejadian apabila terkena beberapa das tembakan di kepala dan tubuhnya.
Teman wanitanya yang dikenali sebagai Sureen Toh, 30, pula dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah di sini akibat terkena serpihan peluru di dahinya.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob, Sureen yang cedera sempat menghubungi polis memaklumkan kejadian itu.
"Apabila polis tiba di tempat kejadian, lelaki tersebut telah meninggal dunia manakala teman wanitanya itu dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
"Mangsa ditembak di tingkat bawah manakala Sureen ditembak ketika dia berada di salah sebuah bilik di tingkat atas rumah teres dua tingkat itu," katanya di sini semalam.
Zainuddin berkata, polis tidak menolak kemungkinan mangsa mengenali suspek kerana tiada kesan pecah masuk di pintu dan pagar rumah tersebut.
Dalam pada itu, bapa mangsa yang dikenali sebagai Hong, 70, berkata, perbuatan itu dipercayai dilakukan oleh individu yang mengenali anaknya.
Ujarnya, mangsa merupakan tukang tilik dan menjalankan bisnes menjual peralatan sembahyang sejak lebih enam tahun lalu.
JANGAN URUS AKHLAK GAGAL
Generasi Y bijak urus kewangan
KUALA LUMPUR - Golongan generasi Y yang berumur antara 18 hingga 28 tahun pada masa ini lebih bijak menguruskan kewangan peribadi berbanding generasi sebelum mereka.
Generasi sekarang suka menabung daripada pendapatan bulanan mereka, hidup bebas daripada hutang dan lebih cenderung menggunakan kad debit untuk berbelanja.
Maklumat tersebut diperoleh daripada satu kaji selidik yang dijalankan oleh syarikat pembayaran global Visa terhadap lebih daripada 5,500 responden yang berumur antara 18 hingga 28 tahun di rantau Asia Pasifik, Eropah Tengah, Asia Barat dan Afrika.
Pengurus Visa Malaysia, Stuart Tomlinson berkata, daripada kaji selidik tersebut, 83 peratus daripada golongan berkenaan menyimpan sehingga 32 peratus daripada pendapatan bulanan mereka. Ia akan digunakan pada masa depan selain diberikan kepada ibu bapa.
"Enam daripada 10 golongan muda dalam kumpulan itu juga kini hidup bebas hutang dan 41 peratus daripada mereka lebih gemar menggunakan kad debit mengikut keperluan.
"Penggunaan kad debit dapat membendung masalah hutang dan mendidik sifat berbelanja secara bijaksana," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
Penduduk Gaza gembira
|
BANDAR GAZA, Palestin - Presiden Palestin, Mahmud Abbas menghubungi Perdana Menteri Hamas, Ismail Haniyeh semalam bagi mengucapkan tahniah di atas 'kemenangan' menentang Israel.
"Dalam satu perbualan telefon, Abbas mengucap tahniah kepada Haniyeh di atas kemenangan Hamas dan takziah buat mereka yang mati syahid," kata satu kenyataan pejabat Haniyeh.
Agensi berita rasmi Palestin, Wafa melaporkan, Abbas menerima panggilan telefon daripada Haniyeh bagi memaklumkan mengenai situasi di Gaza selepas persetujuan gencatan senjata dicapai pada Rabu lalu
"Presiden 'tabik' di atas kesabaran penduduk Palestin ketika menghadapi serangan dan menekankan kepentingan gencatan senjata," lapor Wafa.
Pergerakan Hamas menguasai Gaza manakala Abbas daripada pergerakan Fatah menguasai pentadbiran Tebing Barat di Palestin.
Sementara itu, jalan-jalan raya di Gaza yang lengang ekoran serangan udara dan laut tentera Israel sebelum ini kembali dipenuhi dengan kereta dan orang ramai selepas gencatan senjata tersebut dipersetujui kedua-dua pihak.
Penduduk juga bersorak kegembiraan kerana sempadan Gaza yang ditutup Israel dibuka semula ekoran persetujuan gencatan tersebut.
Para pemimpin Hamas turut mengisytiharkan kemenangan ke atas Israel semalam.
Ribuan penyokong pergerakan itu mengibarkan bendera pada satu perhimpunan pada hari pertama gencatan senjata.
Serangan Israel berlaku selama lapan hari bagi membalas serangan roket para pejuang Palestin.
Haniyeh yang berucap menerusi televisyen meminta para pejuang menghormati gencatan senjata itu.
Gencatan senjata itu diusahakan oleh Presiden Mesir, Mohamed Morsi.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mengucapkan terima kasih kepada Morsi kerana peranannya melakukan rundingan gencatan senjata itu.
"Presiden mengucapkan terima kasih kepada Morsi kerana usaha-usahanya untuk mencapai satu gencatan senjata dan disebabkan kepimpinannya dalam rundingan (gencatan senjata)," kata satu kenyataan White House.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyatakan beliau menerima cadangan AS supaya memberi peluang terhadap gencatan senjata tersebut dilaksanakan.
Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak menyatakan, Israel telah mencapai semua matlamat ketenteraan semasa serangan selama lapan hari itu.
Beliau juga mengarahkan pihak tentera memantau gencatan tersebut.
Gencatan senjata itu meminta Israel menghentikan semua aktiviti ketenteraan di daratan, laut dan udara termasuk melakukan serangan terhadap individu Palestin.
Serangan roket para pejuang Hamas juga akan dihentikan ekoran gencatan itu.
Israel juga akan membenarkan pergerakan penduduk Palestin dan barang melalui sempadan Gaza berdasarkan persetujuan yang dicapai kedua-dua pihak.
Semasa serangan itu, tentera Israel menyatakan lebih 1,500 sasaran di Gaza telah diserang.
Para pejuang Palestin melancarkan 1,354 serangan roket ke wilayah Israel.
Menurut Kementerian Kesihatan Hamas, seramai 163 penduduk Palestin mati dan 1,235 lagi cedera.
Seramai lima penduduk Israel terbunuh dan 280 lagi cedera.
Sementara itu, Ketua Hamas, Khaled Meshaal menyatakan Israel gagal dalam serangan tersebut.
"Selepas lapan hari, Tuhan menjauhkan tangan mereka daripada penduduk Gaza.
"Semua matlamat Israel menemui kegagalan," katanya. - Agensi
Pasangan Britain berkelakuan tidak senonoh dalam teksi dipenjara
DUBAI, Emiriyah Arab Bersatu - Seorang wanita warga Britain dan lelaki Ireland yang didapati bersalah melakukan hubungan seks di dalam sebuah teksi di sini dihukum penjara selama tiga bulan semalam sebelum dihantar pulang, kata peguam mereka.
Wanita itu, Rebecca Blake dan pasangannya, Conor McRedmond menafikan mereka berkelakuan tidak senonoh di dalam teksi semasa menghadiri perbicaraan pada bulan lepas.
Bagaimanapun, pasangan itu mengaku bersalah terhadap tuduhan ketiga di sebuah mahkamah iaitu minum minuman keras di tempat awam.
"Mereka dihukum penjara selama tiga bulan dan dihantar pulang serta didenda AS$817 (RM2,500) setiap seorang," kata peguam mereka, Shaker al-Shammary.
Shaker berkata, kedua-dua mereka akan membuat rayuan berhubung keputusan tersebut. - Reuters
Wanita Arab Saudi diawasi menerusi sistem elektronik
RIYADH - Wanita-wanita di Arab Saudi diawasi menerusi sistem pemantau elektronik yang mengesan pergerakan mereka melepasi sempadan.
Sejak minggu lalu, golongan lelaki yang menjadi penjaga wanita menerima mesej pesanan menerusi telefon daripada pihak berkuasa.
Mesej itu memberitahu bahawa wanita yang berada di bawah jagaan mereka telah menyeberangi sempadan.
"Pihak berkuasa menggunakan teknologi untuk memantau wanita," kata seorang kolumnis, Badriya al-Bishr.
Wanita-wanita di negara ini tidak dibenarkan untuk meninggalkan Arab Saudi tanpa mendapat kebenaran daripada penjaga mereka.
Para penjaga itu yang terdiri daripada suami, abang atau saudara mereka perlu menandatangani 'borang kuning' bagi membenarkan golongan Hawa keluar dari negara ini.
Bagaimanapun, tindakan pihak berkuasa itu dikritik di laman Twitter.
"Kenapa anda tidak 'menggari' wanita anda dengan menggunakan gelang pengesan di kaki?' soal seorang pengguna di laman tersebut. - Agensi
Bangunan kediaman di tengah jalan raya
WENLING, China - Sebuah bangunan kediaman setinggi lima tingkat berada di tengah sebatang jalan raya yang baharu di Kampung Xiazhangyang di sini.
Bangunan itu tidak diruntuhkan kerana Luo Baogen dan isterinya enggan berpindah disebabkan ganti rugi yang ditawarkan pemerintah masih rendah.
Dia dan isterinya tinggal di salah satu tingkat bangunan tersebut.
Menurut laporan media, semua jiran pasangan tersebut sudah berpindah.
Beberapa buah kenderaan yang melalui jalan tersebut akan bergerak bahagian depan dan belakang bangunan berkenaan.
Bagaimanapun, jalan raya tersebut masih belum dibuka secara rasmi. - Agensi
Planet Makemake tiada atmosfera
WASHINGTON - Sebuah planet kecil dalam sistem suria Bima Sakti didapati tidak mengandungi atmosfera, menurut laporan jurnal Nature kelmarin.
Sekumpulan saintis menyatakan dalam artikel jurnal tersebut bahawa penemuan itu dilakukan menerusi ukuran cahaya di planet berkenaan.
Ukuran tersebut diperoleh daripada data-data yang dikumpulkan oleh beberapa teleskop besar.
Makemake merupakan antara empat planet kecil yang terdapat dalam sistem galaksi Bima Sakti.
Planet tersebut ditemui pada 2005.
Suhu di planet itu ialah -240 darjah Celsius. - Agensi
No comments:
Post a Comment