Thursday, November 22, 2012

KERJA AMAL TAPI HUKUM AGAMA KENA JAGA JUGA...JANGAN TAK JAGA...MASALAH AURAT...MASALAH CAMPUR GAUL...NI JUGA ROSAK IMEJ ISLAM

Nyawa melayang waktu dinihari


KEADAAN treler membawa makanan ringan yang meragut empat nyawa pekerja Propel dalam kemalangan di Kilometer 294.1, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Kampar semalam.


KAMPAR – Empat pekerja Projek Penyelenggaraan Lebuh Raya Berhad (Propel) maut manakala empat lagi cedera parah dirempuh sebuah treler membawa muatan barangan makanan ringan di Kilometer 294.1, Lebuh Raya Utara-Selatan, kira-kira tiga kilometer dari susur keluar ke Gopeng di sini semalam.
Dalam kemalangan ngeri pada pukul 4.30 pagi itu, tiga mangsa yang terkorban di tempat kejadian ialah Shaharudin Abdul Aziz, 51, dari Kuala Kangsar; Mohd. Shafie Ismail, 56, dari Ipoh dan Mohd. Hafez Yunos, 39, dari Keramat, Kuala Lumpur.
Mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Kampar.
Seorang lagi mangsa tragedi itu ialah Ismady Mohd. Rodzi, 32, dari Kulim, Kedah. Ismady meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.
Empat mangsa yang cedera parah merupakan dua pekerja Propel iaitu Dino Azmi, 38, dan Shafudin Abdul Jalil, 31, manakala dua lagi mangsa membabitkan kakitangan Time.com, Azhan Ismail, 44, dan Mahyuddin Idris, 48.
Kesemua mangsa yang cedera parah dirawat di HRPB.


Kiri ISMADY, HAFEZ, SHAHARUDIN, SHAFIE


Semasa kejadian kesemua mangsa sedang melakukan kerja-kerja penggantian kabel optik telefon kecemasan SOS di laluan kecemasan di kawasan tersebut yang rosak dipercayai angkara perbuatan mencuri kabel di situ.
Seorang mangsa yang cedera parah, Dino memberitahu, tragedi itu berlaku dengan pantas iaitu sejurus selepas dia terdengar bunyi brek kenderaan yang kuat sebelum dia dan tujuh yang lain terus terpelanting ke tepi lebuh raya akibat dirempuh sebuah kenderaan.
Cerita Dino yang patah kaki kanan, mereka semasa itu baru memulakan kerja-kerja di kawasan tersebut dan langsung tidak nampak kehadiran treler berkenaan sehingga terdengar bunyi brek yang kuat.
Sekitar kawasan yang terlibat dengan kerja-kerja penggantian kabel optik itu sudah di kelilingi kon keselamatan.
“Sedar-sedar, saya nampak tiga rakan terperosok di bawah tayar treler dan dalam keadaan merangkak saya menghubungi polis dan ambulans,” katanya ketika ditemui.
Kesemua mangsa yang berada di bawah tayar meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi mangsa yang maut di hospital tercampak kira-kira lima meter.
Pemandu treler, Zulkifli Mohd. Noor, 41, dari Langkawi, Kedah dan kelindannya, Mohd. Rozi Mat Sharif, 44, turut cedera parah dan dirawat di HRPB.
Jenazah kesemua mangsa yang terbunuh dituntut keluarga masing-masing petang semalam.

Jaga anak-anak pesanan suami sebelum kemalangan

MANGSA yang cedera, Mahyuddin Idris dibawa ke wad kecemasan, Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh semalam.


KAMPAR – Norazian Mohamed Abdul Rashid, 34, tidak menyangka permintaan suaminya, Mohd. Hafez Yunos supaya dia menjaga dua anak mereka dengan baik merupakan pesanan terakhirnya.
Cerita Norazian, arwah Hafez menghubunginya pada pukul 8.30 malam kelmarin dan bertanya mengenai dua anak mereka, Siti Aishah, 12, dan Siti Hadibah, 10, sebelum meminta dia menjaga mereka dengan baik.
Siti Aishah memperoleh keputusan 5A pada peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan Isnin lalu.
“Antara pesanan arwah ialah minta saya mendidik anak-anak tidak tinggal sembahyang dan saya tidak akan sia-siakan mereka,” kata wanita itu ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Kampar.
Dalam kemalangan pada pukul 4.30 pagi itu, empat pekerja Projek Penyelenggaraan Lebuh Raya (Propel) termasuk Hafez terbunuh selepas dirempuh treler di Kilometer 294.1 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat sini.
Sementara itu, anak sulung Mohd. Shafie Ismail, Shahrol, 29, berkata, kematian bapanya mengejutkan kerana mereka sekeluarga baru meluangkan masa bersama pada hujung minggu lalu.

Polis guna Facebook cari kaki pecah rumah



LAMAN Facebook Polis Kuala Lumpur yang menyiarkan gambar-gambar lelaki yang dicari bagi membantu siasatan kes-kes pecah rumah di ibu negara.


KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur mencari 16 lelaki pelbagai keturunan bagi membantu siasatan kira-kira 200 kes pecah rumah yang berlaku di ibu negara dalam tempoh tiga tahun lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, selain terlibat dalam kes-kes pecah rumah, ada dalam kalangan mereka yang dicari itu mempunyai rekod jenayah berkaitan kes-kes dadah.
“Jenayah pecah rumah boleh disifatkan menjadi kerja harian sebahagian daripada orang yang dicari itu malah ada antara mereka itu mempunyai 14 kes jenayah pecah rumah,” kata beliau pada sidang akhbar di Balai Polis Jalan Travers di sini.
Menurut beliau, kesemua orang yang dicari itu bergerak secara bersendirian dan ada sebahagian daripada mereka tinggal di luar Kuala Lumpur tetapi menjadikan rumah-rumah di ibu negara sebagai sasaran jenayah.
Chin Wah memberitahu, wajah-wajah penjenayah ini turut dimuat naik ke laman rasmi Facebook Polis Kuala Lumpur bagi memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat mengenai mereka yang dicari.

Tabung masjid jadi sasaran pencuri di Kuala Lumpur



MASJID Abu Ubaidah Al-Jarrah, Taman Sri Rampai, Setapak yang kehilangan wang tabung tiga kali dalam tempoh seminggu.


KUALA LUMPUR – Kegiatan pecah tabung masjid menjadi kebimbangan jemaah Masjid Abu Ubaidah Al-Jarrah, Taman Sri Rampai, Setapak di sini apabila tabung masjid itu menjadi sasaran buat kali ketiga dalam tempoh seminggu lalu.
Satu sumber berkata, kejadian terbaru pada malam kelmarin hanya disedari oleh imam masjid berkenaan yang terkejut apabila mendapati mangga pada tabung itu sudah dipecahkan manakala tabung kosong.
Bagaimanapun, kata sumber itu, tidak diketahui berapa banyak duit dalam tabung itu. Kejadian tersebut dilaporkan kepada polis pada pukul 3 pagi semalam.
“Kejadian pecah tabung itu kemungkinan berlaku antara pukul 10 malam hingga pukul 3 pagi semalam selepas kesemua jemaah pulang sebaik selesai menunaikan solat Isyak,” kata sumber itu.
Menurut sumber itu, dua hari sebelum itu, dua kejadian sama berlaku berturut-turut dengan pencuri mengait duit dari dalam tabung menggunakan dawai penyangkut baju yang diubai suai.
Tiada laporan polis dibuat berhubung kejadian pertama dan kedua.
Jelas sumber itu lagi, imam masjid berkenaan tidak menolak kemungkinan perbuatan itu dilakukan oleh orang awam yang menjadikan masjid sebagai tempat tidur sementara dan mereka yang mengetahui selok-belok dalam masjid itu.

Tiga pegawai kastam dihimpit lori, tonto



ANGGOTA polis memeriksa kenderaan kastam (belakang, kanan) yang dilanggar lori dan kenderaan tonto di Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU – Tiga pegawai Kastam Johor nyaris terbunuh apabila dihimpit sebuah lori 40 tan dan enam kenderaan pacuan empat roda yang dipercayai tonto dalam cubaan melarikan diri daripada ditahan malam kelmarin.
Bagaimanapun, pegawai kastam terbabit berjaya menyelamatkan diri apabila melepaskan tembakan amaran ke arah penjenayah terbabit.
Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Superintendan Nor Azizan Anan, dalam kejadian pada pukul 10.30 malam itu, pegawai Kastam terbabit yang sedang bertugas menaiki kenderaan penyamaran bertindak memintas sebuah lori di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Bandar Datuk Onn di sini.
“Ia dilakukan selepas kenderaan berat tersebut diekori dari Pusat Pemeriksaan Kastam Bangunan Sultan Iskandar, Tanjung Puteri selepas dipercayai membawa barangan larangan.
“Tindakan pegawai Kastam itu menyebabkan beberapa kenderaan pacuan empat roda mengekori mereka lalu menghimpit kereta penguat kuasa,” katanya kepada Kosmo! semalam.

3 ditahan culik bayi tiga minggu

SHAH ALAM – Tindakan pantas polis berjaya menyelamatkan seorang bayi lelaki berusia tiga minggu daripada menjadi mangsa culik dua pembantu rumah warga Kemboja selepas dilarikan daripada rumah ibunya di Ukay Bestari, Ampang kelmarin.
Bayi itu ditemui semula dalam tempoh kurang 12 jam selepas kedua-dua wanita berusia 22 dan 24 tahun diberkas bersama seorang lelaki Kemboja berusia 35 tahun dipercayai ejen pembantu rumah di sekitar Jalan Kolam Air Lama, Ampang pada pukul 1 pagi semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, kejadian bermula apabila tujuh anak termasuk bayi itu ditinggalkan dengan dua pembantu rumah selepas ibu mereka keluar pada pukul 12 tengah hari kelmarin.
Menurutnya, sebaik pulang ke rumah pada pukul 6.45 petang, ibu mangsa berusia 32 tahun dan merupakan seorang pensyarah mendapati kesemua anaknya berada di rumah kecuali bayi serta dua pembantu rumah.
“Ibu mangsa kemudiannya membuat laporan kehilangan bayinya pada pukul 8.15 malam sebelum siasatan rapi dijalankan dan pasukan khas ditubuhkan bagi mencari mangsa,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Media Polis Selangor di sini semalam.
Mohd. Adnan memberitahu, polis merampas sejumlah wang tunai dan sebilah pisau daripada ketiga-tiga suspek tersebut yang kurang fasih berbahasa Melayu.

Lima dituduh miliki ganja di masjid



LIMA lelaki keluar dari Mahkamah Majistret Kota Bharu semalam
selepas didakwa memiliki ganja di masjid.


KOTA BHARU - Lima lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan memiliki ganja seberat 7.60 gram di sebuah masjid di Sungai Keladi di sini Isnin lalu.
Bagaimanapun, kesemua mereka mengaku tidak bersalah dan mohon untuk dibicarakan ketika dihadapkan di depan Majistret Mohd. Hafiz Mohd. Noor.
Mereka ialah Mohd. Salman Ab. Rahman, 37, Khairul Anuar Mohd. Bajuri, 41, Abdullah Ghazali, 22, Shaifulizan Alias, 37, dan Abdul Halim Sabri, 30.
Mohd. Salman merupakan seorang peniaga barangan bundle dari Kuala Lumpur, Khairul Anuar (pekerja kilang dari Johor Bahru) dan Shaifulizan pemotong rumput dari Ipoh, Perak.
Abdullah pula bekerja sebagai kelindan lori dan Abdul Halim seorang buruh masing-masing berasal dari sini.
Menurut pertuduhan, mereka dituduh secara bersama memiliki dadah jenis ganja (kanabis) seberat 7.60 gram di Masjid Kampung Tanjung Chat, Sungai Keladi pada pukul 11.45 malam 19 November lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dan menetapkan 6 Januari depan untuk sebutan kes.

Artis turun padang kutip derma bantu rakyat Palestin



Sebahagian daripada artis yang terlibat dalam program mengutip derma untuk rakyat Palestin di pusat beli-belah Pavilion, Bukit Bintang, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Kira-kira 20 orang artis berkumpul di hadapan pusat beli-belah Pavilion, Bukit Bintang di sini semalam bagi mengutip dana untuk membantu rakyat Palestin yang menderita akibat serangan rejim Zionis.
Semua hasil kutipan dana dari pukul 4.30 hingga 6.30 petang yang berjumlah kira-kira RM10,000 itu akan disalurkan kepada Badan Aman Palestin.
Antara yang hadir menjayakan program anjuran Usrah Fitrah dengan sokongan Tabung Aman Palestin itu ialah Irma Hasmie, Yatt Hamzah, Heliza Helmi, Zoey Rahman, Farhan AF, Siti Nordiana, Ayu Damit, Iqram Dinzly dan personaliti TV, Farah Deeba.
Irma yang juga Penolong Pengerusi Usrah Fitrah memberitahu, rancangan untuk mengadakan kutipan dana itu diputuskan dua hari lalu.
“Kami hanya menguar-uarkan cadangan ini menerusi laman Twitter dan Facebook. Tidak sangka pula ramai rakan artis memberi sokongan,” ujarnya.
Katanya, ia langkah permulaan bagi golongan artis melakukan kerja amal selain bercadang mengadakan aktiviti lain seperti solat hajat.
“Selepas ini, kami merancang mengadakan solat hajat perdana dan solat hajat selepas waktu Jumaat di beberapa masjid,” tambahnya.

Apek, Leuniey nikah 28 Disember

APEK (kiri) dan Leuniey akan melangsungkan perkahwinan pada 28 Disember depan.


PETALING JAYA - Penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat bakal mendirikan rumah tangga dengan kekasihnya, Nur Eilunie Natasha Nazri atau Leuniey pada 28 Disember ini pada majlis perkahwinan yang membabitkan kos RM300,000.
Khairul Fahmi atau lebih dikenali sebagai Apek, 23, berkata, keputusan untuk bernikah dengan Leuniey, 21, pada tarikh tersebut dicapai hasil persetujuan kedua-dua keluarga.
"Saya harap dengan pengumuman ini segala teka-teki mengenai perkahwinan kami sudah terjawab," ujar Apek pada sidang akhbar di Hotel Royale Bintang di sini semalam.
Leuniey bagaimanapun tidak hadir kerana menghadiri kursus perkahwinan di Kelantan.
Menurut Apek, majlis pernikahan bakal dilangsungkan di rumah Leuniey di Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan pada 28 Disember manakala majlis resepsi pengantin perempuan di Hotel Renaissance, Kota Bharu pada 30 Disember.
Persandingan di sebelah pengantin lelaki pula akan diadakan di rumah keluarga Apek di Kampung Chenang, Kota Bharu pada 5 Januari 2013.
Pasangan itu turut mengadakan satu lagi majlis resepsi di Hotel Royale Bintang, Damansara pada pukul 8 malam 13 Januari tahun depan.
Apek dan Leuniey mula menjalin hubungan selepas terlibat dalam pembikinan iklan minyak wangi SimplySiti Eau De Parfum milik penyanyi Siti Nurhaliza awal tahun ini.

Guru besar mengaku tidak bersalah makan rasuah RM32,400

ZAKARIA (kiri) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Alor Setar semalam selepas didakwa menerima suapan berjumlah RM32,400 empat tahun lalu.


ALOR SETAR – Seorang guru besar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas lima tuduhan menerima suapan bernilai RM32,400 membabitkan bekalan pakaian seragam kokurikulum sekolah empat tahun lalu.
Zakaria Md. Lazim, 54, yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Tandop Besar (SKTB), Kuala Nerang dekat sini mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Rosli Osman.
Bagi tuduhan pertama, Zakaria didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan dengan memilih ZNR Kuala Nerang Enterprise (ZNR) sebagai pembekal set pakaian Puteri Islam bernilai RM3,300 yang mempunyai kepentingan kerana pemilik syarikat adalah adiknya, Ros Adimas.
Bagi tuduhan kedua hingga keempat, Zakaria dituduh atas kesalahan serupa dengan memilih ZNR sebagai pembekal set pakaian Persatuan Bulan Sabit Merah bernilai RM6,300, set pakaian Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS) bernilai RM8,200 dan set pakaian pengakap RM8,700.
Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di SKTB pada November 2008 tanpa dinyatakan waktu.

Dukun ditahan rogol tiga wanita



KUALA LUMPUR – Seorang penjaga sebuah tokong Cina di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya yang mengaku dirinya dukun tergamak merogol tiga wanita yang membantu menjaga rumah ibadat tersebut dalam tiga kejadian berasingan.
Lebih teruk lagi, dukun berusia 50 tahun itu mengugut akan berdoa supaya kesemua mangsa ditimpa musibah jika memberitahu kejadian itu kepada orang lain.
Kesemua mangsa berusia awal 20-an dan mereka dipercayai dirogol dalam tiga kejadian iaitu pada April, September dan minggu lepas.
Kejadian berlaku di rumah suspek yang masih bujang di Kepong dekat sini.
Tindakan keji dukun terbabit bagaimanapun terbongkar apabila seorang daripada mangsa membuat laporan pada 19 November lalu di Balai Polis Sentul.
Laporan itu mendorong pihak polis menahan suspek di hadapan tokong tersebut pada hari yang sama.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah (gambar) berkata, dukun tersebut dikatakan mendakwa mangsa telah ditimpa musibah dan seterusnya perlu dirawat.
Menurut beliau, mangsa kemudian mengikut suspek ke rumahnya untuk dirawat dengan ubat-ubatan tradisional Cina termasuk diberi minuman bercampur dadah jenis syabu sehingga khayal sebelum dirogol.

Yang Dipertua Negeri dapat elaun rumah RM72,000

KUCHING - Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng akan menerima elaun perumahan RM72,000 setahun susulan pindaan Ordinan Senarai Awam 1963 (Pindaan 2000), kata Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu.
Beliau berkata, memandangkan ketua negeri tinggal di kediaman sendiri, kerajaan negeri mengusulkan agar elaun perumahan itu dibayar kepadanya sama seperti yang dinikmati anggota pentadbiran awam lain.
"Elaun sedemikian dilihat perlu bagi penyelenggaraan kediaman beliau," kata Jabu ketika membentangkan usul yang kemudian diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini semalam.
Katanya, sejak 19 Disember 2011, Abang Muhammad Salahuddin yang berasal dari Sibu tinggal di kediaman sendiri di Nombor 88, Sri Impian, Kampung Temenggong, Jalan Matang di sini manakala kediaman rasmi Astana diguna untuk majlis rasmi dan sebagai pejabat.
Di bawah ordinan itu, beliau turut layak menikmati Privy Purse (perbelanjaan) berjumlah RM215,280 setahun dan Elaun Tugas sebanyak RM152,490 setahun. - Bernama

ADA PEMIMPIN KAYA RAYA...RAKYAT DAIF

Berumah tangga dalam bot usang



SULAIMAN (kanan) dan Sabiah terpaksa makan di bahagian enjin bot miliknya di Kuching semalam.


KUCHING – Sepasang suami isteri yang tidak mampu memiliki rumah terpaksa tinggal di dalam sebuah bot usang di Sungai Sarawak di sini sejak tiga tahun lalu.
Sulaiman Tegak, 58, dan isterinya, Sabiah Busamah, 60, hidup dalam keadaan tidak selesa ekoran bot kayu itu akan dilimpahi air hujan dan hanyut beberapa kilometer dari tepi sungai sekiranya hujan lebat.
Sulaiman berkata, sebelum ini dia tinggal di rumah abangnya di Kampung Sungai Apong di sini namun berpindah kerana keadaan rumah itu yang usang.
“Sungai Sarawak sudah menjadi sebahagian daripada hidup kami berdua dan saya sendiri tidak dapat bayangkan nasib kami tanpa bot ini.
“Di atas bot inilah kami berlindung, tidur, makan, minum dan solat. Kami hidup dalam keadaan daif malah peralatan dapur seperti pinggan mangkuk, kuali, periuk, cerek dan dapur gas adalah pemberian orang ramai,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Pasangan itu mempunyai enam orang anak berusia antara 20 hingga 35 tahun yang kini tinggal di rumah saudara-mara di Kampung Sungai Apong.

17 cedera letupan bas di Tel Aviv


BEBERAPA pakar bom memeriksa bahagian bawah bas yang meletup di Tel Aviv. Israel semalam -REUTERS


TEL AVIV, Israel – Sebutir bom yang diletakkan di dalam sebuah bas meletup berhampiran ibu pejabat tentera di sini tengah hari semalam menyebabkan 17 orang cedera.
Kejadian terbaharu itu dilihat merumitkan usaha gencatan senjata antara Israel dan pejuang Hamas di Genting Gaza.
Serangan tersebut berlaku ketika Setiausaha Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton berulang-alik antara Baitulmuqaddis dan Tebing Barat untuk berusaha mencapai satu perjanjian damai terhadap konflik Asia Barat itu yang masuk hari kelapan semalam.
Setakat ini, seramai 130 orang rakyat Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak disahkan terbunuh dalam serangan bertalu-talu oleh rejim Zionis.
Lima rakyat Israel turut dilaporkan terbunuh akibat terkena bedilan roket pejuang Hamas yang dilancarkan ke selatan Israel.
Sementara itu, Washington segera mengutuk serangan bom itu yang disifatkan akan melemahkan usaha damai dalam konflik Israel-Gaza.
“Serangan terhadap orang awam Israel yang tidak bersalah adalah keterlaluan,” kata White House dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Clinton dilaporkan tiba di ibu kota Mesir, Kaherah untuk menemui Presiden Mohammed Morsi bagi membincangkan usaha gencatan senjata bagi mengakhiri konflik di Gaza.
Serangan udara ke atas Gaza oleh tentera Israel bermula pada 14 November lalu mendapat kecaman masyarakat antarabangsa.
Selain menggunakan pesawat pejuang untuk membedil Gaza, tentera Israel turut menggunakan meriam untuk menyerang beberapa kedudukan penting pejuang Hamas.
Dalam perkembangan lain, pemerintah Iran telah menghantar bantuan ketenteraan kepada pejuang Hamas, kata speaker Parlimen semalam.
“Kami berbangga dapat mempertahan penduduk Palestin dan Hamas dan bantuan kami meliputi kewangan dan ketenteraan,” kata Ali Larijani di dalam laman web rasmi Parlimen negara itu. – Agensi

Dadah RM753 juta dalam penggelek jalan



PENGGELEK jalan yang diimport dari China digunakan untuk menyembunyikan 350 kilogram dadah.


SYDNEY - Polis Australia menyatakan pihaknya berjaya merampas dadah jenis kokain dan methamphetamine bernilai AS$246 juta (RM753 juta) yang disembunyikan di dalam sebuah jentera penggelek jalan.
Jentera berkenaan dibawa masuk dari China.
Menurut polis, penemuan dadah seberat 350 kilogram (kg) itu membawa kepada penahanan seorang lelaki warganegara Kanada dan Amerika Syarikat di sini.
Kedua-dua lelaki berkenaan didakwa kerana mengimport dadah dan bakal berdepan hukuman penjara seumur hidup jika didapati bersalah.
Ini merupakan rampasan kedua terbesar di Australia dalam tempoh seminggu.
Pada Jumaat lalu, polis negara itu berjaya menumpaskan cubaan menyeludup masuk kokain seberat 200kg menggunakan sebuah bot ke Australia. - Agensi

Datuk popular selepas peraga fesyen wanita



GAMBAR butik Yuekou menunjukkan Xianping memperagakan koleksi fesyen cucu perempuannya di Guangzhou, selatan China.


GUANGZHOU - Seorang datuk di China menjadi popular sekelip mata selepas gambar-gambarnya memperagakan pakaian wanita disiar di Internet, lapor akhbar MailOnline kelmarin.
Pada mulanya, lelaki berusia 72 tahun itu, Liu Xianping, bergambar dengan memakai pakaian koleksi butik atas talian Yuekou milik cucu perempuannya sebagai bahan jenaka.
Namun, selepas cucunya memuat naik gambar-gambar itu di Internet, mereka tidak menyangka imej tersebut menjadi popular dalam masa semalaman.
Gambar-gambar itu kemudian menjadi bahan publisiti yang berjaya, sekali gus meningkatkan jualan koleksi butik Yuekou sebanyak lima kali ganda.
Butik tersebut beribu pejabat di sini dalam wilayah Guangdong, selatan China.
Menurut akhbar tempatan, China Newsweek, wanita berkenaan memberitahu bahawa idea untuk memperagakan fesyen wanita itu datang daripada datuknya.
"Dia mengambil sehelai pakaian dan mencubanya untuk memberi tunjuk ajar mengenai suai dan padan," kata cucu perempuan Xianping.
"Kami anggap aksinya lucu dan terus merakamnya," tambah wanita itu. - Agensi

Eksekutif tipu bank RM7.04 bilion dipenjara


Adoboli


LONDON - Seorang eksekutif bank UBS, Kweku Adoboli (gambar) dijatuhi hukuman penjara selama tujuh tahun kelmarin kerana didapati bersalah menyalahguna wang bank Switzerland itu sebanyak AS$2.3 bilion (RM7.04 bilion).
Ia merupakan kes penipuan terbesar di Britain.
Adoboli , 32, yang merupakan rakyat Ghana didapati bersalah atas dua tuduhan penipuan oleh pihak juri di Mahkamah Southwark Crown kelmarin, tetapi terlepas daripada empat pertuduhan penipuan akaun.
"Terdapat sifat kuat berjudi pada diri kamu," hakim Brian Keith memberitahu Adoboli ketika menjatuhi hukuman tersebut.
"Kamu terlalu angkuh kerana menyangka peraturan bank terhadap pedagang tidak terpakai terhadap kamu".
Hakim berkata, Adoboli perlu menjalani separuh daripada hukumannya sebelum diberikan parol.
Adoboli mengesat air matanya apabila keputusan dibacakan.
Dia mengaku kerana kehilangan wang tersebut tetapi menafikan melakukan perkara salah.
Adoboli merupakan anak bekas seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Taktiknya itu membuahkan hasil apabila berjaya memperoleh AS$90 juta (RM275.4 juta) untuk bank tersebut pada Mei 2011 dan bank memberikan ganjaran bonus yang besar kepadanya sebanyak £250,000 (RM1.21 juta) pada 2010 berbanding £15,000 (RM73,039) pada 2008.
Bagaimanapun, apabila timbul krisis kewangan, pertaruhan Adoboli tidak menjadi sehingga boleh menyebabkan bank UBS kehilangan AS$12 bilion (RM36.7 bilion).
Penangkapannya pada September lalu mengakibatkan nilai saham bank tersebut jatuh sepuluh peratus. - Agensi

No comments:

Post a Comment