Thursday, February 4, 2010

AZNIL BUAT KOMEN....BAGAIMANA PULA HUKUM HASIL BERSENI SILA TANYA ULAMA



Kaya ekspres


2010/01/31
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

ASSALAMUALAIKUM! Paknil ingin menarik perhatian pembaca ruangan ini untuk kita bersama-sama menganalisis logik kenyataan seseorang artis apabila menjawab soalan yang berkaitan dengan kehidupan mewah mereka.

Bukan Paknil ingin mempersoalkan kemewahan dimiliki mereka, malah Paknil turut bersyukur jika kelihatan ada rakan artis yang mampu hidup mewah.


Lumrah anak seni apabila apa saja yang berkaitan dengan diri kita turut menjadi perhatian ramai. Ini termasuk kehidupan peribadi artis. Peminat ingin tahu jenama apa yang disarung artis itu, kereta apa yang dipandu, sebesar mana rumah yang didiami dan sebagainya.


Jika dilihat cara hidup mewah seseorang artis itu menyebabkan ada antara kita menganggap pendapatan artis kita (pelakon atau penyanyi) sememangnya lumayan.


Paknil kadangkala turut bangga dengan pencapaian artis terbabit. Yalah, siapa kata seseorang itu tidak boleh mengecapi kemewahan hidup jika menjadi anak seni? Bangga juga apabila lihat harta yang dimiliki hasil titik peluh mereka. Paknil sangat kagum dengan cerita ‘Menuju Puncak’ yang dimiliki oleh Chef Wan umpamanya.


Muncul daripada celah kehidupan peneroka Felda, Chef Wan kini hidup senang dengan berbekalkan kebolehannya memasak dan berbicara.


Tiada siapa boleh mempertikaikan kejayaan hidupnya kini yang berada di mercu dan dilimpahi kemewahan yang menjadi impian ramai.


Namun dalam pada itu, tiada siapa yang bisa mempertikaikan kemewahan Chef Wan kerana masing-masing dapat melihat pencapaian kerjayanya sebagai tukang masak bertaraf dunia.


Begitu juga dengan Datuk Siti Nurhaliza yang menjadi ikon kepada sesiapa saja yang ingin menjadi anak seni di negara ini. Rata-rata tahu bagaimana Siti bermula, iaitu pernah berulang alik dengan bas dari Kuala Lipis ke Kuala Lumpur untuk menempatkan diri sebagai anak seni yang berjaya.


Setelah lebih 15 tahun mengabadikan diri dalam bidang nyanyian, semua dapat melihat kedudukan Siti kini. Tiada siapa boleh mempertikaikan kemampuan anak bekas polis ini untuk memperagakan tas tangan berjenama bernilai puluhan ribu ringgit.


Lama sebelum berkahwin dengan usahawan berjaya Datuk Khalid Mohamad Jiwa, Siti membuktikan kejayaan hidupnya. Kemewahan hidupnya kini jelas berkat usaha gigih anak jati Pahang ini sendiri.


Chef Wan dan Siti antara contoh figura negara yang membuktikan kesenangan hidup tidak datang bergolek. Jelas mereka tidak mengecapinya melalui jalan pintas.


Eh, ada jalan pintas ke untuk ‘Menuju Puncak’? Paknil tidak berani menuduh dan tidak mahu berperasaan dengki dengan kesenangan seseorang artis. Namun Paknil tidak dapat mengelak pertanyaan masyarakat yang mempersoalkan kehebatan seseorang artis yang bagi mereka tidak mempunyai rekod kejayaan seperti dua ikon yang Paknil sebutkan tadi.


Ada antara artis kita yang masih ‘hijau’ jika diukur jangka usia pembabitan mereka dalam seni tetapi begitu hebat memperagakan kehidupan yang sama tarafnya dengan Siti. Mereka melaram dengan kereta mewah berharga ratusan ribu ringgit dan tinggal di rumah bernilai jutaan ringgit.


Itu belum lagi jenama pakaian yang menyaluti tubuh mereka yang kadangkala melebihi gaji seorang pengurus bank! Memang bukan hak sesiapa pun untuk mempersoalkan kemampuan mereka, tetapi peminat boleh jadi bingung dengan jawapan yang mereka peroleh apabila persoalan itu dilaporkan dalam media.


Ada antara mereka yang masih terlalu baru tetapi mengakui kemewahan itu adalah hasil kerja mereka. Si pelakon umpamanya, dilaporkan mampu berkereta mewah hasil pendapatan kerja lakonannya.


Rata-rata yang tahu ‘betapa tingginya’ bayaran yang dibayar kepada pelakon mungkin terbahak ketawa dengan alasan itu.


Sedangkan seorang pelakon yang sudah lama terbabit dalam bidang lakonan drama dan filem pun belum tentu dapat mengumpul harta yang mahal itu dalam setahun dua.


Lebih nyata lagi, pastinya bayaran mereka jauh lebih tinggi daripada pelakon yang setahun jagung itu tetapi masih mustahil baginya memperoleh kemewahan sedemikian.


Maka mulalah timbul spekulasi bukan-bukan mengenai punca kekayaan artis itu kerana jika dibanding dengan jumlah tawaran lakonan yang diperoleh dalam setahun, angka ini memang mengelirukan. Lebih membingungkan bila umum mengetahui pelakon terbabit bukan berasal daripada keluarga orang berada.


Sana-sini juga masyarakat kita dipaparkan dengan ‘life-style’ artis kita yang kadangkala di luar jangkauan pendapatan mereka. Sukar untuk mengelak bersangka buruk kerana paparan cara hidup mereka tidak seimbang dengan pencapaian kerjaya.


Bayangkan artis yang jarang sekali kita dapat tonton lakonannya yang baru dan artis yang sudah lama tidak muncul dengan album atau lagu baru, alih-alih dilaporkan dalam akhbar mempunyai cinta terhadap sukan berkuda.


Kanak-kanak kecil pun tahu bagaimana mahalnya untuk seseorang itu membabitkan diri dalam sukan golongan elit itu. Alih-alih si artis muncul dengan foto berpakaian ekuestrian di atas seekor kuda berlatarkan kelab ekuestrian elit untuk bukan calang-calang orang.


Lebih mengejutkan pula bila si artis turut bercerita kemampuannya memiliki seekor kuda peribadi! Ha, Paknil bukan bernada iri, tetapi mulut Paknil melopong terpegun kagum.


Sekali lagi, bukan hak sesiapa untuk mempertikaikan kemampuan artis terbabit tetapi jawapan standard ‘hasil daripada kerja seni’ sukar diterima akal.


Baru-baru ini Paknil disergah oleh seorang Datin yang bertanya bagaimana seorang penyanyi lelaki ini mampu memandu kereta mewah berjenama Porsche? Untuk tidak bersangka buruk, Paknil berikan jawapan lumrah artis kepadanya: ‘Hasil daripada kerja seninya’.


Menggeleng dan tersenyum sinis Datin itu, seolah-olah tidak mahu diperbodohkan dengan jawapan secetek itu. Katanya, mana mungkin penyanyi lelaki itu yang sudah tiga tahun tidak melahirkan album baru, sebaliknya hanya mengharapkan duit persembahan nyanyian yang tidak seberapa dan bukan daripada keluarga yang berada, mampu hidup mewah sebegitu.


Rasanya daripada wajah sinis Datin itu, Paknil boleh terjemahkan apa yang ada di dalam kotak fikirannya ketika itu, tetapi siapa pula Paknil untuk menjawab bagi pihak artis itu kerana Paknil tiada jawapannya.


“Hai Aznil… artis lelaki sekarang ni pun kena bela ke?” tiba-tiba terpacul daripada mulut Mak Datin itu. Tergamam juga Paknil. Rasa sakit hati pun ada juga. Kenapa kita tidak boleh bersangka baik saja kepada persoalan yang ada di dalam kepala kita? Terkini ketika jualan album begitu lembap sekarang di negara kita dan ketika masyarakat kita sering dihidangkan dengan konsert percuma, tiada siapa boleh menerima bulat-bulat alasan itu.


Paknil tidak mahu membuat apa-apa andaian kepada kemewahan artis seperti yang dapat kita baca dan tonton, tetapi Paknil harap artis kita biarlah bijak memberi alasan lebih munasabah.


Geram dan sakit hati bila timbul kata-kata sinis yang seolah-olah mempertikaikan kemampuan golongan artis untuk hidup mewah.


Apabila muncul cerita Rozita Che Wan ditawarkan jet peribadi untuk membawanya melancong ke luar negara dan Fizo Omar ditawarkan ribuan ringgit untuk mendampingi Datin hartawan, bertambah terang lagilah spekulasi orang ramai. Bagaikan sudah terang lagi bersuluh.


Paknil bukan orang terbaik untuk memberi jawapan kepada pertanyaan orang ramai itu. Jadi Paknil harap anda semua dapat hormati diri ini dan elak bertanya Paknil soalan yang boleh menimbulkan fitnah ini.


Paknil juga bukan orang yang terbaik untuk menasihati artis yang ‘kaya ekspres’ ini tetapi jika anda (artis terbabit) membaca artikel ini, kini anda tahu yang kami memang benar-benar tidak selesa dengan soalan yang sepatutnya anda jawab.


Wassalam.

No comments:

Post a Comment