Thursday, February 4, 2010

MANA SILAPNAYA.....HUKUM QURAN JELAS





Ibu curang halau anak
Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my
2010/02/04


JOHOR BAHRU: Akibat kemaruk kerana digilai pelbagai jenis ‘jantan’, seorang ibu tergamak mengusir anak kandung sendiri yang datang ke tempat kerjanya untuk melepaskan rindu.
Malah, wanita anak tiga berusia 23 tahun dan masih bersuami itu kini tinggal bersama teman lelaki bukan Islam selepas dia hamil tiga bulan hasil hubungan sulit mereka. Perbuatan curang dan tidak tidak bertanggungjawab wanita dikenali sebagai Misha itu didedahkan rakan sekerjanya di sebuah pusat urutan refleksologi di bandar raya ini yang dikenali sebagai Anita, 24.


Menurutnya, disebabkan tidak mahu statusnya bersuami diketahui rakan sekerja dan teman lelaki, Misha enggan mengakui kanak-kanak berusia enam tahun itu anaknya semata-mata tidak mahu rahsianya bocor.


Wanita itu bukan saja sering bertukar-tukar pasangan, malah sanggup memakan makanan tidak halal hanya kerana mahu melayan selera teman lelakinya yang bukan Islam.


“Misha yang mendakwa anak dara bukan saja bertukar pasangan kekasih hampir setiap hari, malah meminta kami bersubahat merahsiakan statusnya isteri orang dan ibu tiga cahaya mata di depan pelanggan lelaki kerana bimbang ‘sahamnya’ jatuh,” katanya.


Menurut Anita, dia tidak menyangka rakannya yang berasal dari kampung berubah sikap begitu ketara hanya selepas tiga hari bekerja bersamanya di pusat refleksologi di pusat bandar raya ini.


Katanya, pada awalnya, dia bersama majikan menganggap Misha wanita berfikiran terbuka dan mesra pelanggan.


Tambahan pula, Misha sentiasa memberi alasan terpaksa membohongi pelanggan lelaki untuk memudahkannya menambah rezeki bagi membantu meringankan beban suaminya yang berpendapatan rendah.


“Bagaimanapun, kami pelik sikap Misha yang mula menjalin hubungan dengan pelanggan lelaki apabila hampir setiap hari dia sibuk dengan temu janji untuk keluar bersiar-siar dan makan bersama lelaki berbeza.


“Sejak itu, dia lupa diri dan seronok bertukar kekasih tanpa memikirkan masa depan rumah tangga yang dibina sejak tujuh tahun lalu.


“Lebih mengejutkan, dia juga mula mengubah gaya hidupnya terutama selepas berkenalan dengan seorang lelaki berasal dari Sabah berusia 20-an yang bekerja di Singapura hingga sanggup memakan makanan tidak halal,” katanya.


Anita berkata, perbuatan curang Misha berlarutan hampir setahun biarpun dia dan majikannya cuba menasihati wanita itu yang mempunyai anak berusia dua hingga enam tahun kembali ke pangkal jalan.


Menurutnya, dia terkilan dengan perbuatan Misha tergamak mengusir anak sulungnya yang mahu melepas rindu terhadapnya semata-mata kerana bimbang kehadiran kanak-kanak itu di tempat kerja bersama seorang kenalan keluarganya membongkar status dirinya.


“Kerana bimbang penipuannya terbongkar, Misha sanggup berbohong konon dia pernah bekerja di pusat asuhan kanak-kanak beberapa tahun lalu hingga ada kanak-kanak memanggilnya dengan gelaran ibu hingga tergamak tidak mengaku darah daging sendiri.


“Malah, dia juga mengambil kesempatan terhadap suaminya yang dayus selain kerap memperbodohkan lelaki berkenaan yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat swasta di bandar raya ini setiap kali keluar bersama lelaki Sabah itu,” katanya.


Katanya, Misha juga tidak menyesal menduakan suami sedangkan teman hidupnya itu seorang yang baik dan jujur.


Anita berkata, selepas Misha menyedari dia hamil hasil hubungan sulit dengan lelaki Sabah itu, dia berhenti kerja tiga bulan lalu dan kini tinggal bersama teman lelakinya.


“Kami turut menemui diari peribadinya selain gambar perkahwinan dan sijil pernikahan dengan suaminya yang tidak mahu dituntut di tempat kerja kerana menganggap dokumen itu sebagai sampah dan tidak bermakna kepadanya.


“Kami yang rasa bersalah atas perbuatannya itu selain tidak mahu dia terus bergelumang maksiat melaporkan perkara itu kepada Jabatan Agama Islam Johor (JAJ).


“Tetapi hingga kini tiada tindakan dilakukan dan difahamkan, kini kandungan Misha mencecah enam bulan dan teman lelakinya itu pula dikatakan mahu pulang ke Sabah,” katanya.


Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan JAJ, Mohd Nooh Kadri, berkata pihaknya sudah menerima aduan berkenaan dan meminta pegawai operasi mengambil tindakan lanjut.


“Pegawai kami akan menyiasat aduan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

No comments:

Post a Comment