Saturday, February 6, 2010

KESAN DARI BARAN








'Saya maafkan suami'
Oleh Amir Abd Hamid
amir@hmetro.com.my
2010/02/06


AMPANG: “Saya maafkan suami. Yang sudah itu lepaslah. Tak nak ingat lagi. Buat apa saya menyimpan dendam kerana ia hanya akan menyakitkan hati dan memudaratkan diri sendiri,” kata Noor Shamila A Majid, 34, wanita hamil lima bulan yang ditetak suami dalam kejadian Selasa lalu.
Dia yang mengalami cedera di kepala dan tangan akibat tetakan pisau pemotong daging digunakan suami dalam kejadian itu turut menyatakan sudah tawar hati untuk kembali bersama lelaki terbabit.


Menurutnya, dia berhasrat membuat tuntutan fasakh berhubung insiden berkenaan.
“Saya sudah memaafkan tindakannya, namun saya tidak akan menerimanya kembali dan akan menuntut fasakh,” katanya ketika ditemui di Hospital Ampang, di sini, semalam.


Noor Shamila berkata, dia juga tidak akan pulang semua ke rumahnya Pangsapuri Sri Ampang, Taman Dagang, tempat kejadian itu kerana enggan menyimpan memori duka akibat kejadian tragik itu.


“Selepas keluar hospital, saya dan anak-anak yang masih dalam trauma akan tinggal bersama ibu di Sungai Buloh.

Saya akan berusaha mencari rumah baru untuk menetap dalam suasana lain bersama empat anak,” katanya.


Sementara itu, Pengerusi Skuad Sayang Wanita Malaysia, Datin Reny Rahayu Mohd Ishak hadir bersama beberapa ahli jawatankuasanya bertemu dengan mangsa.


Reny Rahayu berkata, pihaknya akan membantu membawa anak mangsa bertemu dengan kaunselor bagi menghilangkan trauma.


Katanya, Skuad Sayang juga akan memberi bantuan kepada mangsa jika diperlukan.


Harian Metro kelmarin melaporkan seorang wanita yang mengandung lima bulan menjadi mangsa kekejaman suami sendiri apabila ditetak pisau pemotong daging menyebabkan empat jari tangan kirinya terkulai.


Kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu dikatakan berpunca daripada suami mangsa yang berang apabila isterinya pulang lewat walaupun disebabkan keretanya dipecah pencuri.


Berang isterinya yang bekerja di sebuah bank di Jalan Ipoh di sini, pulang lewat, lelaki terbabit menyerang wanita itu menggunakan pisau pemotong daging.


Bagaimanapun, lelaki itu yang menjual pakaian terpakai di Pasar Chow Kit akhirnya menyerah diri di Balai Polis Ampang.

No comments:

Post a Comment