Tuesday, February 2, 2010

KUASA ALLAH DIAKUI MAHA BERKUASA ATAS SEGALANYA





RENCANA UTAMA

Kalau tiada jodoh tak kahwin juga

Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my

Lewat kebelakangan ini, mungkin salah satu isu paling diperkatakan dalam dunia hiburan ialah artis-artis cantik bertemu jodoh dengan lelaki kaya. Persepsi negatif kerap bertebaran terhadap ikatan seperti itu walaupun hakikatnya jodoh dan pertemuan di tangan Allah. Kosmo! mengupas isu itu dan menemui realiti di sebalik kes-kes perceraian masih ramai yang sehingga kini masih teguh bersama.

"JULIANA menempuh majlis perkahwinan gah pada tahun 2005. "

BUKAN mudah menjadi artis apatah lagi selebriti wanita yang perlu tampil dengan pakej lengkap bakat dan kejelitaan. Peminat dan pihak media bukan sahaja ingin mengetahui soal kerjaya tetapi juga kehidupan peribadi mereka termasuklah hal perkahwinan.

Baru-baru ini pada penghujung tahun 2009 rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita pernikahan aktres Zizie Ezette dengan Ali Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin.

Apabila berita itu tersebar dengan meluas dan menjadi berita utama kebanyakan akhbar di Malaysia, banyak orang berkata kalau sudah cantik dan terkenal, pastinya berkahwin dengan orang berpangkat dan kaya.

Benarkah begitu? Namun, jika dihitung dengan teliti, di Malaysia bukan Zizie sahaja artis wanita jelita yang berkahwin dengan orang berpangkat dan berharta.

Disebabkan perkahwinan artis-artis wanita ini mendapat perhatian walaupun ada yang cuba menyembunyikan majlis bersejarah mereka, ramai yang tertanya-tanya benarkah perkahwinan mereka disebabkan jodoh atau berlandaskan harta demi kesenangan hidup pada masa depan.

Namun memetik kata-kata ibu Zizie, Khaty Fauziah dalam satu temu bual bersama Kosmo! tidak lama dulu, "Siapa tidak mahu lelaki kaya. Itu adalah jaminan untuk masa depan diri dan anak-anak."

Dan begitulah realitinya, cuma sudah menjadi resmi golongan artis mereka meraih perhatian ramai terutamanya berkenaan kisah cinta dan perkahwinan.

ZIELA kini bahagia di samping dua cahaya matanya, Julia dan Jufri.
SAMA cantik sama padan, namun jodoh Natasha dengan Shahrin tidak panjang.

Zizie yang dihubungi memberitahu semua orang perlu bercakap dengan minda yang terbuka apabila berbicara mengenai jodoh. Ada juga orang kaya berkahwin dengan wanita biasa. Semua ini ketentuan Allah dan itu dinamakan jodoh.

"Saya sendiri tidak pernah meminta apa yang berlaku pada saya hari ini. Saya pernah bercinta dengan lelaki biasa dan tidak pernah mengidam untuk berkahwin dengan lelaki seperti suami saya.

"Sebagai manusia bukan semua yang kita idamkan akan diperoleh. Walaupun telah berkahwin saya tetap meneruskan kerjaya seni seperti biasa. Siapa kata kalau berkahwin dengan orang berduit saya tidak perlu bekerja," ujarnya.

Bukan satu perkara baru jika khalayak memandang serong terhadap artis jelita yang berkahwin dengan orang kaya tambahan pula jika disunting menjadi isteri kedua atau ketiga.

Mahu tidak mahu itulah harga yang harus dibayar apabila mereka mengambil keputusan nekad melayari bahtera bersama lelaki berpangkat dan berharta.

ZIELA kini bahagia di samping dua cahaya matanya, Julia dan Jufri.

Cinta sehingga ke akhir hayat

Hal yang sama turut terjadi kepada penerbit syarikat produksi Pena Creative yang suatu ketika dulu pernah mengecapi populariti sebagai pelakon popular selain imej seksi yang cukup sinonim dengannya.

Namun itu dulu, sebelum Ziela Jalil, 40, atau mesra di sapa Ziela bernikah sebagai isteri kedua kepada Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayob yang pernah menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Selepas bernikah banyak pula mulut yang mengatakan rumah tangga mereka pasti tidak kekal lama. Namun Ziela atau nama sebenarnya Norzila Jalil membuktikan sebaliknya.

Kerukunan rumah tangga dan keutuhan cinta Ziela terhadap suaminya tidak berbelah bagi sehinggalah Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 24 Januari 2008 akibat penyakit barah.

Bercakap mengenai artis jelita akan berkahwin dengan lelaki kaya, Ziela yang pernah melalui perkara yang sama menyangkal dakwaan itu.

"Sebenarnya jodoh, pertemuan dan ajal terletak di tangan Allah. Kalau artis cantik menggunakan kejelitaannya untuk pikat orang kaya tetapi jika Allah tidak tentukan jodohnya dengan orang kaya ia pasti tidak berakhir dengan perkahwinan.

"Kalau orang biasa sekali pun jika ditentukan jodoh dengan orang kaya maka dia akan berkahwin dengan orang kaya," katanya.

Tambah Ziela lagi, bukan mudah menjadi artis dan dalam masa yang sama menjadi isteri kepada orang penting di dalam politik negara.

"Cabarannya cukup banyak, ada yang mengharapkan jodoh saya tidak panjang dan pelbagai cerita yang keluar pada awal perkahwinan saya dulu. Tetapi saya membuktikan sebaliknya," luahnya.

Mengungkap tentang perkahwinannya, ujar Ziela sama seperti orang lain, dia berfikir semasak-masaknya sebelum bergelar isteri kepada orang penting negara.

"Memang banyak perkara negatif yang timbul tetapi semasa saya buat keputusan untuk berkahwin saya sudah nekad apa nak jadi, jadilah yang penting saya ingin menjaga rumah tangga sebaik mungkin.

"Orang cakap itu dan ini, saya buat tidak tahu, masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Sebelum itu saya berfikir 10 kali dan tidak boleh ambil tindakan terburu-buru. Tidak kiralah dengan siapa kita berkahwin kita mesti kenal hati budinya dan percaya antara satu sama lain," tuturnya yang bakal menerbit drama Sayang Cendana dan Matahari bahagian kedua.

Kini sebagai ibu tunggal Ziela bahagia menjalani kehidupan dengan dua anaknya Puteri Julia Nabilah, 18, dan Megat Jufri Nasrullah, 16, hasil perkongsian hidupnya bersama Allahyarham.

Sudah jodoh saya!

Seorang lagi artis wanita cantik, Juliana Banos juga mengakhiri zaman bujangnya bersama lelaki kaya. Lelaki yang dimaksudkan berasal dari keluarga korporat berpengaruh di Johor iaitu Mokhtar Ahmad.

Setakat hari ini Juliana atau mesra dipanggil Jun masih memegang rekod artis yang menerima hantaran wang perkahwinan tertinggi iaitu sebanyak RM77,888.77.

Ketepikan cakap-cakap orang perkahwinan artis dengan golongan berada tidak kekal lama kerana penyanyi yang terkenal menerusi hit Obsesi kini kekal bahagia bersama suami dan anak sulung mereka Mariam yang kini berusia dua tahun. Jun dan Mokhtar mendirikan rumah tangga pada tahun 2005.

"Kaya atau tidak, itu semua terletak pada jodoh. Mana boleh kita pilih mesti nak berkahwin dengan orang kaya. Sudah jodoh saya dengan suami yang kebetulan seorang ahli perniagaan saya nak buat macam mana," katanya jujur.

ZIELA kini bahagia di samping dua cahaya matanya, Julia dan Jufri.

Hakikatnya sebuah perkahwinan jelas Jun bukan terletak kepada harta kekayaan semata-mata tetapi bagaimana cara kedua-dua pasangan mengekalkan keharmonian rumah tangga.

"Saya seperti ayah yang berfikiran agak kolot tentang perkahwinan. Bagi saya kita orang perempuan mempunyai tanggungjawab berat terhadap suami dan anak," katanya.

Tuturnya, setiap perkahwinan tidak kiralah artis mahupun orang biasa bagi seorang wanita apabila bergelar isteri, mereka harus mengikut kata-kata suami.

"Semua perkahwinan harus ada usaha baru akan berkekalan itu nasihat ayah saya. Macam saya walaupun boleh bekerja tetapi kerana suami lebih suka saya duduk di rumah menjaga anak dan menguruskan keluarga, saya ikut katanya dan itu juga kemahuan diri saya sendiri.

"Buat masa ini suami sudah melarang saya berlakon masakan saya sengaja mahu melanggar larangan itu semata-mata minat saya. Cuma yang dibenarnya hanya menyanyi, itupun tengok juga majlisnya bagaimana," ucapnya yang cukup merindui dunia seni.

Namun, bukan semua artis jelita bernasib baik. Ada segelintir daripada mereka yang mengakhiri perkahwinan mereka dengan penceraian.

Apabila hal yang menyedihkan itu berlaku, ramai yang menyalahkan golongan artis kerana tidak pandai menjaga keharmonian rumah tangga apatah lagi jika dalam tahun yang sama banyak pula artis bercerai-berai.

Bukan gila orang kaya!

Pelakon jelita yang mengejutkan satu Malaya dengan penceraian kali keduanya sekitar awal Disember tahun lalu, Natasha Hudson juga tidak dapat lari daripada pelbagai tohmahan negatif.

Masakan tidak, perkahwinan pertamanya bersama Mohd. Faiz Mohd. Raih hanya mampu bertahan selama empat bulan. Selepas itu tidak sampai setahun, dia kembali bergelar isteri apabila disunting lelaki kaya, Datuk Shahrin Zahari dan memikul gelaran Datin dalam usia yang cukup muda.

Perkahwinan kali keduanya yang hanya bertahan selama dua tahun lebih, dikurniakan seorang puteri bernama Nessa Helena yang kini berusia setahun enam bulan.

Melihat rentetan sejarah perkahwinannya banyak pihak mendakwa Natasha hanya mahu jodohnya bersama lelaki kaya sahaja tetapi hakikat yang sebenarnya tidak begitu.

"Sebenarnya saya tidak kisah berkahwin dengan lelaki biasa yang mempunyai pendapatan sederhana, asalkan orang itu memahami dan boleh menerima saya seadanya. Cuma sudah tertulis jodoh saya dengan orang kaya dan jodoh itu tidak kekal," katanya.

Kebahagian dalam perkahwinan baginya bukan terletak pada harta seperti yang dicanang ramai orang sebaliknya kesefahaman, komunikasi dan kepercayaan yang menjadi tunggak utama.

"Bagi saya bila saya berkahwin, duit bukan segala-galanya kerana saya sendiri pun boleh cari duit. Kalau suami itu orang kaya belum tentu kekayaannya akan berkekalan.

"Hari ini mungkin dia kaya, mungkin esok lusa perniagaannya jatuh, dia pula boleh bergantung pada saya kerana saya juga mempunyai pendapatan sendiri," katanya.

Apabila berbicara tentang pandangan ada segelintir artis wanita jelita menggunakan kejelitaan untuk membolot harta suami demi kesenangan hidup pada masa hadapan, Natasha hanya tertawa besar kerana mengganggap orang yang sebegitu mempunyai fikiran yang cetek.

"Orang boleh fikir macam-macam pada artis macam saya. Walhal di luar sana ramai lagi orang biasa yang melakukan perkara lebih drastik sebegitu. Sekarang semua benda didokumen tidak boleh ambil sebegitu sahaja.

"Saya bukan bodoh seperti itu. Saya masih mempunyai tenaga dan bakat yang boleh digunakan untuk mendapatkan pendapat sendiri tidak perlu buat perkara sebegitu," katanya yang bakal bergelar penyanyi tidak lama lagi.

No comments:

Post a Comment