Tuesday, December 7, 2010

AJAIBNYA CIPTAAN ALLAH...BANYAK LAGI YANG KITA TIDAK KETAHUI.......

DUNIA


Saintis kaji rahsia haiwan boleh pulihkan organ yang terputus


HAIWAN salamander Axolotl boleh memulihkan organ tubuhnya yang putus.



HANOVER - Anggota badan dan organ manusia yang kudung boleh tumbuh semula pada masa depan setelah sekumpulan saintis di Jerman semakin hampir membongkar rahsia bagaimana haiwan salamander menumbuhkan semula kakinya yang putus atau memulihkan organnya yang tercedera, lapor sebuah akhbar semalam
Kumpulan saintis Sekolah Perubatan Hanover di sini sedang mengkaji haiwan salamander Axolotl yang hidup di Mexico.
Mereka berjaya mengasingkan gen amfibia itu yang berfungsi menumbuhkan semula organnya dengan harapan gen berkenaan dapat digunakan untuk menumbuhkan organ manusia kelak.
"Proses penyembuhan haiwan salamander Axolotl berlaku dalam sekelip mata," kata seorang saintis kumpulan itu Björn Menger yang disiarkan dalam majalah tempatan, Spiegel pada minggu ini.
"Anda dapat menyaksikan sendiri proses penyembuhan itu berlaku," tambahnya.
Selain anggota badan, ia juga dapat memulihkan kecederaan pada otak dan saraf tunjangnya sekali gus meningkatkan harapan pesakit yang lumpuh untuk kembali berjalan. - Agensi


DUNIA


Pengasas WikiLeaks ditangkap


PENGASAS WikiLeaks, Julian Assange (dalam bulatan) menaiki kereta ke Mahkamah Majistret Westminster, Lon don semalam.



LONDON - Pengasas laman web WikiLeaks, Julian Assange ditangkap polis Britain semalam dengan menggunakan waran tangkap pihak berkuasa Sweden pada 18 November lalu kerana disyaki terbabit dalam jenayah rogol wanita di Sweden.
Assange yang berusia 39 tahun dan berasal dari Australia menyerah diri di sebuah balai polis di sini.
Dia ditangkap selepas lebih 250,000 kabel diplomatik Amerika Syarikat (AS) didedahkan di laman webnya.
Pendedahan itu mencetuskan kekecohan kepada dunia kerana maklumat sulit tersebut melibatkan tingkah laku para pemimpin dunia selain perancangan rahsia beberapa buah negara.
Laman web WikiLeaks turut menjadi sasaran penggodam bagi mengelak orang ramai mengakses laman itu untuk membaca kandungan maklumat sulit tersebut.
"Assange ditangkap oleh polis London pada pukul 9.30 pagi waktu tempatan dengan menggunakan waran tangkap Eropah (Sweden) dan dia dihadapkan ke mahkamah Majistret Westminster di London (semalam)," kata satu kenyataan polis London.
"Dia dituduh pihak berkuasa Sweden berhubung satu kesalahan melakukan paksaan, dua kesalahan mencabul dan satu kesalahan rogol, semuanya didapati dilakukan pada Ogos 2010," tambah kenyataan sama.
Bekas penggodam komputer itu yang kali terakhir muncul di khalayak pada November lalu menafikan semua tuduhan ke atasnya.
Dia memberitahu, semua tuduhan tersebut berpunca daripada satu pertelingkahan berhubung seks suka sama suka melibatkan dirinya dengan dua wanita selain mempunyai motif politik.
Assange kini terpaksa bergelut dengan sistem perundangan Britain bagi mengelak diekstradisi ke Sweden.
Beberapa peguamnya berkata, Assange seboleh-bolehnya mahu mengelak daripada dihantar pulang ke Sweden kerana bimbang dia akan diserahkan kepada pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS).
Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Pertahanan AS, Robert Gates yang berada di Afghanistan semalam menyifatkan penangkapan itu sebagai 'berita baik'.
Sementara itu dalam satu kenyataan di laman sosial Twitter, WikiLeaks menyatakan: "Penangkapan ketua pengarang kami, Julian Assange pada hari ini tidak akan menjejaskan operasi kami, kami akan terus mendedahkan lebih banyak kabel diplomatik pada malam ini seperti biasa." - Agensi


DUNIA


Suami didakwa rancang bunuh isteri


ZOLA TONGO menutup wajahnya semasa dia dihadapkan ke sebuah mahkamah di Cape Town, Afrika Selatan semalam.



CAPE TOWN - Seorang ahli perniagaan Britain, Shrien Dewani, 30, merancang komplot untuk membunuh isterinya, Anni Dewani, 28, ketika mereka berbulan madu di Afrika Selatan, menurut beberapa keterangan di sebuah mahkamah semalam.
Tuduhan itu dibuat pendakwa raya, Rodney de Kock bahawa Shrien membayar dua pembunuh upahan sebanyak £1,400 (RM6,958) untuk membunuh isterinya selepas dua minggu mereka berkahwin.
"Mangsa dibunuh atas arahan suaminya," kata De Kock.
Menurutnya, ahli perniagaan itu mengupah pemandu teksinya, Zola Tongo supaya mengaturkan kedua-dua pembunuh upahan itu untuk menyerang teksi mereka ketika ia melalui bandar raya di sini pada 13 November lalu.
Kelmarin, Tongo dihukum penjara 18 tahun kerana terbabit dalam pembunuhan wanita Britain itu manakala dua lelaki yang dituduh membunuh Anni akan dihadapkan ke mahkamah pada 25 Februari depan.
Pihak pendakwa raya mendakwa Shrien membuat perancangan supaya dia dan pemandu teksi itu tidak dicederakan.
Dalam rancangan itu, isterinya perlu kelihatan mati dalam satu kes rompakan.
Mayat mangsa ditemui di satu kawasan di bandar raya itu.
Maklumat tersebut diperoleh daripada ketiga-ketiga lelaki terbabit sebagai persetujuan dengan pihak pendakwa raya supaya pertuduhan lebih ringan dikenakan ke atas mereka. - Agensi



DUNIA


Bina rumah berbentuk telur


RUMAH berbentuk telur yang didiami Dai Haifei di Beijing baru-baru ini.



BEIJING - Seorang siswazah, Dai Haifei membina sebuah kabin berbentuk telur dengan menggunakan buluh, rumput dan kayu kerana tidak mahu dibebani kos sewa rumah yang mahal di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
Kabin unik itu menarik perhatian ramai di China dan di luar negara.
Pada minggu lalu, pemuda berusia 24 tahun itu berkata, dia membina kabin tersebut kerana tidak mampu membayar sewa selain dapat tinggal berhampiran dengan tempat kerjanya.
Namun, pada Jumaat lepas beberapa saksi melihat Haifei dan rakan-rakannya memindahkan kabinnya ke atas sebuah lori.
Dia menyatakan, rumahnya itu dibawa oleh syarikatnya yang merupakan sebuah firma reka bentuk kerana ia kelihatan unik.
Namun, kini terdapat khabar angin bahawa rumah itu sengaja dibina untuk tujuan promosi. - Agensi


TERKINI


Pelajar SPM gempar lihat tukang kebun mati

08/12/2010 12:53pm

KUALA LUMPUR 8 Dis. — Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (L) Methodist Sentul di sini yang sedang bersiap-sedia untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) awal pagi tadi gempar apabila tukang kebun sekolah berkenaan mati selepas terjatuh di atas lantai simen.
Difahamkan, ekoran kejadian kira-kira 8 pagi itu, para pelajar diberikan masa untuk menenangkan diri mereka sebelum memulakan kertas peperiksaan.
Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Zakaria Pagan berkata tukang kebun itu K. Thagaraj, 58, dilaporkan terjatuh ketika berjalan berhampiran bangunan kelas menyebabkan kepalanya terhantuk di lantai dan mati di tempat kejadian.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lanjut,” katanya kepada pemberita. — Bernama

No comments:

Post a Comment