RENCANA UTAMA
Semakin jauh di hati generasi muda
APABILA dilontarkan soalan mengenai urutan nama-nama bulan Islam kepada 10 anak muda kini, tidak mustahil sembilan daripada mereka terdiam atau tergagap-gagap menyebut satu demi satu bulan Islam.
Sementara yang seorang lagi pun, mungkin berjaya menamakan bulan-bulan Islam selepas menyanyi perlahan sebuah lagu bertajuk Bulan-bulan Islam nyanyian kumpulan nasyid Alarm Me yang pernah dihafalnya ketika di bangku sekolah.
Bagi kebanyakan anak muda, mereka sekadar tahu nama bulan-bulan tertentu yang melibatkan perayaan seperti bulan Ramadan, Syawal, Muharam dan Zulhijjah.
Senario sebegitu adalah gambaran umum mengenai betapa jauhnya takwim Islam di hati anak-anak muda kini berbanding takwim Masihi yang kita gunakan setiap hari.
Jika ada antara kita yang menghafal bulan-bulan Islam sekali pun, mungkin ada segelintirnya yang tidak tahu mengenai sejarah takwim Islam itu sendiri.
Bila ia bermula dan siapa yang mencetuskan takwim tersebut?
Hijrah Rasulullah
Menurut Ketua Penolong Pengarah Cawangan Falak, Bahagian Penerangan dan Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Che Alias Che Ismail, kalendar Islam ataupun takwim Hijrah dimulakan oleh Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua iaitu Saidina Umar al-Khattab.
Peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah telah dijadikan asas kepada penetapan permulaan sambutan Maal Hijrah, kalendar Islam ataupun takwim Hijrah.
Asas pembinaan takwim Islam sebenarnya telah digambarkan di dalam al-Quran iaitu Surah Yunus Ayat 5 yang bermaksud:
‘Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang benderang) dan bulan bercahaya, dan Dialah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-pindah) pada tempat peredarannya (masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa.
‘Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-Nya (tanda-tanda kebesaran-Nya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui hikmat sesuatu yang dijadikan-Nya.'
“Sebelum dilaksanakan penetapan takwim Hijrah ini dan semasa hayat Rasulullah SAW, takwim yang digunakan ialah sistem takwim Qamariyah (sistem hitungan bulan).
“Penentuan tahun pula dirujuk kepada tahun berlakunya sesuatu peristiwa atau kejadian seperti tahun gajah, peperangan al-Fijar, tarikh pembinaan Kaabah dan sebagainya. Cara penetapan sedemikian tidak boleh dijadikan pegangan kerana catatannya tidak menggunakan kaedah yang tetap dan seragam,” jelasnya.
Tambah Che Alias, segalanya bermula pada tahun 17 Hijrah iaitu tahun keenam selepas kewafatan Rasulullah SAW. Saidina Umar al-Khattab bersetuju dengan cadangan Saidina Ali Abi Talib supaya menjadikan tahun Rasulullah SAW berhijrah sebagai tahun pertama bagi takwim Hijrah.
Saidina Uthman Affan pula mencadangkan supaya bulan Muharam adalah bulan pertama dalam sistem takwim Hijrah walaupun tarikh sebenar Rasulullah berhijrah adalah pada akhir bulan Safar dan tiba di Madinah pada hari Jumaat 12 Rabiul Awal bersamaan 24 September 622 Masihi.
Bermula daripada peristiwa tersebut, umat Islam dengan rasminya mempunyai satu sistem kalendar tersendiri yang dinamakan takwim Hijrah.
Perbezaan
|
|
Perhitungan takwim Qamariah adalah berdasarkan peredaran bulan mengelilingi bumi yang setiap pusingan mengambil masa selama 29.53059 hari dalam hitungan falak. Ini berbeza dengan perkiraan takwim Syamsiyah yang merujuk kepada kedudukan dan pergerakan matahari.
Firman Allah dalam Surah al-Kahfi Ayat 250 bermaksud: ‘Dan mereka tinggal dalam gua mereka selama 300 tahun dan (sebahagian) manusia menambah sembilan (tahun kepadanya)’.
“Mengikut perkiraan ilmu falak, ayat tersebut menunjukkan bahawa 300 tahun bagi tahun Masihi (Syamsiyah) adalah menyamai 309 tahun Qamariah atau tahun Hijrah yang digunakan sebagai takwim Islam sekarang.
“Ini terbukti melalui kiraan jumlah hari yang berkitar 29-30 hari bagi satu pusingan pergerakan bulan mengelilingi bumi (satu kitaran), bersamaan dengan satu tahun mempunyai 354 hari iaitu 11 hari kurang dari tahun Syamsiyah iaitu kalendar Masihi yang berjumlah 365 hari atau 366 pada tahun lompat,” jelasnya.
Tambahnya, takwim Hijrah telah diambil kira pemakaiannya semenjak tahun 622 Masihi yang dikuatkuasakan penggunaannya pada zaman Khalifah Saidina Umar al-Khattab hingga kini.
Sementara itu, walaupun takwim Syamsiyah (Masihi) telah diperkenalkan pada zaman pemerintahan kerajaan Rom (kalendar Julian), namun kalendar yang diguna pakai sekarang adalah takwim yang diperkenalkan oleh Pope Gregory XIII (kalendar Gregorian) pada tahun 1582 Masehi.
Menyentuh mengenai keistimewaan takwim Islam, Che Alias memberitahu, ia menjadi panduan kepada umat Islam bagi hari dan bulan ibadat, contohnya penetapan awal Ramadan, Syawal dan Zulhijjah.
“Takwim Islam juga penting dari segi sejarah terutamanya bagi memperingati berlakunya peristiwa besar Islam seperti Nuzul al-Quran, Israk Mikraj, Maulidur Rasul, Maal Hijrah dan amalan-amalan yang lain.
“Takwim Islam dapat melenyapkan era takwim zaman jahiliah dalam setiap aspek kehidupan umat Islam sama ada dari segi akidah, syariah, muamalah dan akhlak,” katanya.
Jelas Che Alias, pada akhir tahun bagi takwim Hijrah iaitu akhir bulan Zulhijjah, umat Islam digalakkan berdoa (doa akhir tahun) sementara menunggu masuknya awal Muharam yang ditetapkan sebagai awal tahun Hijrah yang baru.
Umat Islam juga digalakkan membaca doa awal tahun bagi memohon keampunan dan keberkatan daripada Allah SWT.
Tarikh global
Dalam pada itu, Penyandang Kursi Syeikh Abdullah Fahim, Institut Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr. Ismail Ibrahim memberitahu, senario ramai anak muda tidak mengetahui bulan-bulan Islam berlaku kerana kita sudah mewarisi penggunaan kalendar Masihi yang menjadi satu amalan penggunaan tarikh global.
“Tidak menjadi satu kesalahan untuk mengamalkannya kerana semua masyarakat antarabangsa menggunakan tarikh yang sama. Walaupun kini mereka hanya mengingati peristiwa atau hari-hari kebesaran Islam tertentu, itu sudah cukup baik.
“Kita bersyukur kerana negara kita mementingkan penggunaan tahun hijrah dari sudut cuti umum seperti satu Muharam, 12 Rabiul Awal, awal Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Tambahnya, bagi meningkatkan kesedaran, pengetahuan mengenai bulan-bulan Islam ini perlu diterapkan pada peringkat pendidikan anak-anak, bermula di peringkat rendah, menengah dan seterusnya ke peringkat tinggi.
“Kini sudah banyak yang menggunakan tarikh-tarikh hijrah sebagai contoh di akhbar-akhbar dan di dalam takwim-takwim yang sedia ada.
“Walaupun sambutan tahun baru Hijrah tidak semeriah tahun baru Masihi, ini tidak bermakna mereka tidak mengenali tahun Hijrah.
“Kita lihat tahun baru Masihi lebih meriah diraikan kerana budaya dan amalan masyarakat berbilang kaum di negara ini mengikut cara sambutannya di seluruh dunia,” ujar Ismail.
Berbeza pengisian
Cara meraikan sambutan tahun baru Islam juga berbeza pengisiannya berbanding tahun baru Masihi yang sinonim dengan pelbagai jenis hiburan yang melalaikan.
“Sebagai mengimbanginya, kita juga meraikan tahun baru Masihi dengan cara mengadakan forum-forum dan acara-acara keagamaan bagi mengingati syiar Islam dan kebesaran Allah.
“Selain itu, sambutan Maal Hijrah juga disambut meriah dengan pelbagai program seperti perarakan, perjumpaan Maal Hijrah di negeri-negeri seluruh negara, pengurniaan Tokoh Maal Hijrah dan sebagainya,” katanya.
Ismail menyarankan, cara terbaik untuk menimbulkan kesedaran mengenai bulan-bulan Islam adalah mengaitkannya dengan peristiwa yang berlaku dalam keluarga seperti pertunangan, perkahwinan, kelahiran dan sebagainya.
Di sekolah pula, takwim Islam mungkin boleh disertakan dengan tahun Masihi bagi mendedahkan generasi muda mengenai takwim Islam.
Selain itu katanya, kalendar-kalendar sepatutnya disertakan dengan tarikh-tarikh Islam kerana di Malaysia takwim Islam sudah ditetapkan sepanjang tahun
No comments:
Post a Comment