Monday, December 6, 2010

BOLEHKAH MENARI DALAM BERCAMPUR GAUL LELAKI PEREMPUAN....MASALAH AURAT2 PENARI...JIKA INI MELALAIKAN....JIKA ADA UNSUR DILARANG ISLAM MAKA HUKUMNYA JADI HARAM..APA KOMEN MUFTI2...ADAKAH TUTUP MULUT ITU LEBIH AULA....KITA TUNGGU KEPUTASAN DIAKHIRAT NANTI....

15,333 menari 1Malaysia



KUALA LUMPUR: Seramai 15,333 peserta dari seluruh negara termasuk pelancong memenuhi Dataran Merdeka bagi menjayakan Karnival Pelancongan Tarian Cuti-cuti 1Malaysia 2010 yang direkodkan dalam Malaysia Guiness Book of Record, semalam.
Selain mengekalkan medley tarian ‘Malaysia Truly Asia’ dan enam tarian lain termasuk tarian Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak serta Sewang, acara tahun ke dua itu turut memperkenalkan tarian baru iaitu tarian Siam.

Pesta tarian anjuran Kementerian Pelancongan itu dirasmikan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan turut dihadiri Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.
Rosmah berkata, tarian bukan hanya seni budaya yang perlu dikekalkan, namun ia juga menjadi elemen penting dalam memupuk perpaduan dan semangat berpasukan di kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Katanya, promosi yang berterusan melalui pelbagai program dalam usaha mengetengahkan keunikan tarian tradisional di negara ini juga mampu menjadikannya sebagai satu produk penting dalam sektor pelancongan.

“Tarian harus dilihat sebagai elemen yang dapat memupuk perpaduan serta semangat berpasukan kerana ia sering dilakukan secara berkumpulan. Malah, ia juga dapat menyihatkan tubuh badan dan merangsang minda.

“Ekoran kejayaan Karnival Pelancongan Tarian Cuti-cuti 1Malaysia pada tahun lalu, saya yakin ia mampu diteruskan menjadi satu produk pelancongan yang menarik kerana tarian merupakan produk penting dalam industri pelancongan,” katanya ketika merasmikan karnival berkenaan, di sini, semalam.

Menurutnya, dalam usaha menarik minat pelancong ke Malaysia, aspek kebersihan perlu diberi perhatian kerana ia melambangkan imej sesebuah negara.

Terselamat datang bulan



KUALA LUMPUR: Gara-gara cuba menyembunyikan kesalahan kekasihnya yang minum arak daripada pengetahuan keluarga, seorang wanita berusia 24 tahun nyaris dirogol abang teman lelakinya itu di sebuah hotel bajet di Jalan Doraisamy, di sini, Jumaat lalu.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, suspek berubah fikiran apabila mengetahui teman wanita adiknya itu datang bulan sebelum memaksanya melakukan onani.

Menurut sumber, semuanya bermula apabila mangsa bersama teman lelakinya berusia 20-an itu menjamu selera di sebuah restoran di kawasan berkenaan.
“Teman lelakinya yang mendakwa tertekan dengan pekerjaannya minum arak kononnya untuk mengurangkan tekanannya itu. Walaupun mangsa berulang kali melarangnya, lelaki terbabit berkeras untuk minum minuman beralkohol itu.

“Selepas menceritakan masalah kepada mangsa, teman lelaki wanita terbabit mendakwa tidak mampu untuk memandu pulang ke rumahnya kerana terlalu mabuk selain bimbang perbuatannya diketahui keluarga,” katanya.

Sumber berkata, teman lelakinya itu menghubungi abangnya berusia awal 30-an untuk mencari penyelesaian

“Sebaik suspek tiba, dia mencadangkan adiknya yang mabuk itu bermalam di hotel bagi mengelakkan perbuatannya diketahui ibu bapa mereka,” katanya.

Sumber berkata, sebaik memperoleh bilik penginapan, mangsa membawa teman lelakinya itu ke dalam bilik diikuti suspek.
“Teman lelaki wanita terbabit yang terlalu mabuk tertidur sebaik tiba di bilik hotel berkenaan. Mangsa yang hendak pulang ke rumah bagaimanapun dihalang suspek.

“Dia (suspek) memaksanya melakukan hubungan seks dengannya, namun lelaki terbabit berubah fikiran sebaik mengetahui kekasih adiknya itu datang bulan,” katanya.

Mangsa yang menceritakan kejadian itu kepada ahli keluarganya dinasihatkan membuat laporan polis sebelum tampil membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, di sini



Almari hadiah terakhir adik



HULU LANGAT: “Kakak ambil almari ini, saya bagi untuk kenang-kenangan,” itu antara hadiah dan kata-kata terakhir Mohd Said Lakan, 58, kepada kakaknya, Saodah Lakan, 66, sebelum dia maut dalam kemalangan ngeri di Port Dickson, Negeri Sembilan, yang turut mengorbankan empat ahli keluarganya, semalam.
Saodah berkata kali terakhir dia bertemu adik lelaki tunggalnya itu pada Jumaat lalu ketika mangsa menghantar sebuah almari ke rumahnya kerana dia baru saja memasang kabinet dapur baru.

Menurutnya, dalam pertemuan terakhir itu Said tidak memberitahu ingin pergi ke mana-mana, tetapi dia difahamkan arwah ke rumah anak perempuannya (Nordiana) di Puchong, Selangor, pada hari sama.
“Selalunya dia akan beritahu jika ingin pergi berjalan atau bercuti, namun kali ini selepas menghantar almari hari itu tidak pula dia beritahu nak ke rumah anak atau ke Port Dickson.

“Arwah anak ketiga daripada empat adik-beradik, dia dan isteri rapat dengan saya serta sering membantu keluarga,” katanya ketika ditemui di rumah mangsa di perumahan PKNS Batu 10, Kampung Padang, di sini, semalam.

Katanya, dia terperanjat mendapat tahu kejadian itu daripada polis yang datang ke rumah adiknya kira-kira jam 3.30 petang, semalam. Walaupun pada awalnya tidak percaya, tetapi selepas dia dan ahli keluarga lain melihat gambar arwah sekeluarga dalam berita di televisyen pada jam lima petang hari sama mereka reda.

Menurutnya, adik kesayangannya itu bekerja di Jabatan Perhutanan dan baru bersara pada 10 Oktober lalu, manakala adik iparnya tidak bekerja.

Semua mangsa dijangka dikebumikan di tanah perkuburan dalam satu liang lahad di Batu 19 Hulu Langat esok (hari ini).



Hati kelindan trak tentera tersentuh



PORT DICKSON: “Hati saya tersentuh melihat lima mangsa dalam sebuah kereta yang remuk sudah tidak bernyawa dan tersepit,” kata kelindan trak tentera yang terbabit kemalangan ngeri menyebabkan lima sekeluarga maut di Kilometer 19.6 Jalan Pantai, Pasir Panjang, dekat sini, semalam.
Prebet Gadafi Norsali, 24, berkata, semua mangsa yang parah di kepala dan badan itu dipercayai sudah meninggal dunia sejurus kemalangan.

“Kejadian berlaku begitu pantas apabila saya melihat sebuah kereta datang dari Port Dickson yang dipandu laju dilihat seperti ‘makan jalan’.
“Tiba-tiba kenderaan itu merempuh tayar belakang trak yang saya naiki menyebabkan ia hilang kawalan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Kejadian kira-kira jam 11.15 pagi itu dipercayai berlaku selepas sebuah kereta dari Port Dickson menghala Linggi memasuki laluan bertentangan lalu merempuh belakang trak tentera yang menuju Port Dickson menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan dan berlanggar dengan Proton Wira dinaiki lima sekeluarga itu yang datang dari Port Dickson.

Dua lagi kenderaan turut terbabit iaitu sebuah Perodua Myvi dan Kia Spectra. Empat mangsa cedera termasuk seorang kanak-kanak dan mereka dikejarkan ke Hospital Port Dickson untuk rawatan
Gadafi berkata, trak dinaikinya terbalik selepas berlanggar dengan Proton Wira berkenaan menyebabkan dia cedera di muka dan tangan.

“Sejurus kemudian saya mendapati pemandu trak cedera di telinga manakala tiga lagi dalam trak tidak cedera,” katanya


Ajal lepas pulangkan payung


PORT DICKSON: “Saya menghubungi telefon bimbit ibu untuk bertanyakan khabar, namun terkejut apabila panggilan dijawab anggota polis memaklumkan kejadian itu,” kata Mohd Redzuan Mohd Said, 29, yang kehilangan ibu bapa dan tiga ahli keluarganya dalam kemalangan di Kilometer 19.6, Jalan Pantai, Pasir Panjang, dekat sini, semalam.
Menurutnya, dia yang terkejut dengan kejadian itu segera bergegas ke Hospital Port Dickson untuk melakukan pengecaman dan menuntut jenazah.

“Kira-kira jam 1 tengah hari tadi (semalam), hati saya terdetik untuk menghubungi telefon bimbit ibu bagi bertanyakan khabarnya sebelum dimaklumkan kejadian itu.
“Walaupun sedih, tetapi saya reda dengan kejadian yang berlaku dan menganggapnya suratan takdir,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Port Dickson, di sini, semalam.

Sementara itu, adik kepada Rosnani, Rosnim, 44, berkata, lima sekeluarga itu ada berkunjung ke rumahnya semalam iaitu beberapa jam sebelum kejadian itu untuk memulangkan payung yang dipinjam sehari sebelum itu.

“Mereka datang ke rumah semalam (kelmarin) dan kami berborak mesra kerana sudah lama tidak berjumpa. Saya nampak menantu kakak, (Saipol Naaim) banyak bercakap berbanding sebelum ini kerana dia seorang yang pendiam

“Saya mempelawa mereka tidur di rumah tetapi kakak menolak kerana sudah menempah hotel untuk bermalam. Ketika mahu pulang ke hotel, hujan lebat dan saya memberikan mereka payung.

“Pagi kelmarin kakak datang memulangkan payung dan memberitahu mahu pergi bersiar-siar di Melaka bersama suami dan anak menantunya,” katanya.
Katanya, dia dimaklumkan kejadian yang meragut nyawa kakak dan empat yang lain itu kira-kira jam 2.30 petang sebelum bergegas ke Hospital Port Dickson.

Tinjauan Harian Metro di pekarangan rumah mayat hospital itu mendapati ramai sanak-saudara dan ahli keluarga menunggu untuk menuntut jenazah lima beranak itu.

Jenazah akan dibawa pulang ke Kampung Padang, Hulu Langat, Selangor untuk dikebumikan sebaik selesai dibedah siasat.


Kurang sifat malu



KUALA LUMPUR: Masalah kurangnya sifat malu menjadi antara faktor utama golongan remaja terjebak dalam aktiviti tidak bermoral termasuk sesuka hati memaparkan maruah diri di laman web atau laman sembang.
Pengerusi Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (Pertiwi), Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim berkata, apabila sifat malu tidak ada, mereka mengikut tuntutan nafsu serakah yang membahayakan struktur masyarakat negara.

Menurutnya, kemajuan bidang teknologi komunikasi sepatutnya digunakan untuk kebaikan, tetapi banyak disalahgunakan.
“Timbul masalah apabila pengguna, lebih-lebih lagi saya tekankan kepada golongan wanita kurang menggunakan akal fikiran hingga terjadinya salah guna alat hubungan maya.

“Bagai api dalam sekam, hubungan maya tanpa kawalan dan berlandaskan nafsu sebenarnya membahayakan generasi muda.

“Tidak ramai mengetahui apa berlaku walaupun keluarga terdekat sebab hubungan maya selalunya terjadi menggunakan alatan komunikasi seperti telefon canggih dan komputer ketika mereka bersendiri,” katanya
Beliau mengulas laporan muka depan Metro Ahad berhubung laman sosial Facebook dikesan disalah guna segelintir golongan lesbian menjalin hubungan songsang.



Curah kekasih dengan air panas



AMPANG: Bukan saja khayal dadah, seorang lelaki tergamak mencurahkan air panas ke arah teman wanitanya selepas mangsa menegur perbuatannya yang menjadikan rumah wanita itu di Pandan Jaya, di sini, sebagai tempat melepaskan gian, Khamis lalu.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa bernasib baik kerana dia sempat mengelak dan teman lelakinya yang ketakutan kemudiannya terus melarikan diri.

Menurut sumber polis, mangsa yang berusia lingkungan 20-an itu pada mulanya tercium bau pelik dalam rumah sebelum mendapati teman lelakinya sedang menghisap dadah.
“Mangsa menegur perbuatan yang dilakukan teman lelakinya sebelum dia secara tiba-tiba naik angin dan mengambil air panas lalu mencurahkan ke arah wanita terbabit namun dia sempat mengelak.

“Lelaki itu yang tidak dapat menerima nasihat teman wanitanya selain takut kerana perbuatannya diketahui kemudian terus keluar dari rumah terbabit,” katanya.

Menurutnya, lelaki berkenaan bagaimanapun sempat mengugut akan melakukan sesuatu perkara yang buruk kepada teman wanitanya itu jika melaporkan perbuatan berkenaan kepada polis



“Namun, kerana tidak tahan dengan perangai teman lelaki dan takut ugutan yang dilakukan itu, mangsa akhirnya terpaksa membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit.

“Selain itu, mangsa juga membuat laporan polis kerana dia dikatakan sudah tidak tahan dengan perangai teman lelakinya itu yang dikatakan kerap memukulnya,” katanya.
Sumber berkata, siasatan awal mendapati wanita terbabit dan teman lelakinya menjalinkan hubungan cinta sejak sembilan bulan lalu dan pernah beberapa kali dipukul teman lelakinya itu.

“Teman lelakinya dikatakan panas baran dan sering memukul mangsa dipercayai akibat di bawah pengaruh dadah selain pernah beberapa kali mengugut akan mencederakan wanita itu,” katanya




Penipu maya

ALOR SETAR: Pelbagai taktik digunakan sindiket penipuan bagi memerangkap mangsa termasuk terbaru dengan menjadikan penyedia laman web popular untuk urusan jual beli barangan termasuk kenderaan yang menawarkan kereta mewah dengan harga murah.
Sindiket terbabit dipercayai didalangi pihak tertentu cuba memerangkap mangsa dengan menawarkan kereta mewah dengan harga murah dan tidak masuk akal. Difahamkan, sindiket berkenaan dikesan melakukan kegiatan itu sejak beberapa bulan lalu dengan memperdayakan mangsa sebelum mereka terjebak dan akhirnya akan memasukkan sejumlah wang deposit sebagai tanda persetujuan.

Taktik kotor itu digunakan sindiket terbabit dengan mempamerkan gambar kereta mewah termasuk harga dalam laman web berkenaan atas nama individu atau syarikat kereta terpakai bagi mengelirukan pembeli.
Pembeli yang tertarik dengan model kereta dan harga yang ditawarkan itu akan membuat urusan dengan pengiklan berkenaan melalui laman web itu. Malah, kegiatan mereka sangat licik apabila tidak meletakkan nombor telefon yang lengkap sama ada terlebih digit atau sebaliknya.

Pembeli yang ingin menghubungi pengiklan berkenaan tidak boleh berbuat demikian, sebaliknya berurusan dengan menggunakan e-mel yang disediakan laman web berkenaan. Perkara itu didedahkan Pemuda MCA Kedah yang menerima beberapa aduan daripada pembeli yang berasa was-was dengan urusan jual beli kenderaan.

Setiausahanya, Loh Ang Song, berkata pihaknya menjalankan siasatan lebih dua minggu mengenai kegiatan pihak terbabit yang kononnya ingin menjual kereta mewah dengan harga murah menerusi penyedia laman web terkenal itu.

“Sindiket penipuan terancang melalui Internet dikesan menggunakan laman web berkenaan bagi memerangkap mangsa yang ingin membeli kereta mewah dengan harga murah. Siasatan mendapati sindiket itu menggunakan nama individu tertentu untuk menjual kereta mewah.

“Tinjauan di laman web berkenaan mendapati terdapat seorang pengiklan atas nama individu ingin menjual sebuah kereta Honda Accord 2006 dengan harga RM26,800.
“Bila kami mengamati betul-betul gambar kereta itu, terdapat kain rentang yang dipasang di belakang kereta berkenaan tertera nombor telefon syarikat itu.

“Saya terus menghubungi syarikat berkenaan dan bertanya adakah mereka ada membuat tawaran penjualan kereta melalui laman web itu. Saya terkejut apabila dimaklumkan mereka tidak pernah mengiklankan penjualan kereta itu menerusi Internet,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya turut menghubungi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mengesan nombor pendaftaran kereta berkenaan sama ada palsu atau sebaliknya.

“Pemeriksaan mendapati model kereta serta nombor pendaftaran itu adalah sah, tetapi JPJ enggan memberikan nama pemilik kereta berkenaan,” katanya

No comments:

Post a Comment