Tuesday, December 7, 2010

MUHARRAM BULAN PERTAMA DALAM TAHUN HIJRAH...IA MERUPAKAN BULAN MEMBAYAR ZAKAT...ATAU DIKENAL BULAN ZAKAT....BUKAN RAMADHAN SEBAGAIMANA ORANG RAMAI FAHAM.....SEBAB DAH CUKUP SETAHUN SETELAH ABISNYA BULAN ZULHIJJAH...

Wanita, enam lelaki ditahan pukul remaja hingga maut



HULU SELANGOR: Seorang wanita dan enam lelaki ditahan selepas disyaki memukul seorang remaja hingga mati di sebuah kelab golf di Serendah, di sini, malam Khamis lalu dan kini direman hingga esok.
Remaja berkenaan dipukul selepas mengganggu wanita itu yang juga teman wanita seorang daripada kumpulan lelaki terbabit, awal Oktober lalu. Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa yang berusia 18 tahun dan bekerja sebagai pemasang jubin di Rawang dipanggil ke kelab golf berkenaan untuk berunding bersama semua suspek sebelum dipukul menggunakan botol arak. “Dalam pertemuan itu, mangsa mengaku menyintai wanita itu di depan teman lelaki wanita terbabit hingga membuatnya suspek memukul menggunakan botol arak berulang kali hingga mati,” katanya.

Sumber berkata, mayat mangsa dijumpai dua hari kemudian kira-kira jam 9 malam oleh seorang pekerja kelab golf itu.
Sehubungan itu, satu gerakan memburu suspek dilancarkan sebelum semua mereka ditahan di sebuah rumah di Rasah, Negeri Sembilan.

Difahamkan, semua suspek berusia 18 hingga 26 tahun itu ditahan Khamis lalu kira-kira jam 8 malam.

Ketua Polis Hulu Selangor, Asisten Komisioner Norel Azmi Yahya Affandi, berkata semua suspek tidak bekerja dan tidak mempunyai rekod lampau jenayah. “Siasatan awal mendapati motif pembunuhan disebabkan mangsa mengganggu teman wanita seorang daripada suspek. Kami menahan semua suspek untuk siasatan lanjut,” katanya.



Penguatkuasaan ikhlas boleh kekang anasir jahat



KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan yang dijalankan dengan ikhlas, jujur dan amanah secara tidak langsung mampu mengekang anasir jahat daripada terus meracuni masyarakat menerusi pusat perniagaan yang menggalakkan maksiat.
Pakar motivasi, Dr Robiah Kulop Hamzah, berkata sesebuah premis perniagaan sama tidak sepatutnya diserbu lebih dari sekali sekiranya penguatkuasaan yang ikhlas dilakukan.

Beliau berkata, cukup sekali serbuan dilakukan dan mana-mana premis perniagaan yang tidak mengikut peraturan serta menjalankan aktiviti bermoral dan ia sepatutnya ditutup terus dan tidak dibenarkan menjalankan perniagaan.
“Tidak perlu ada serbuan kedua dan seterusnya, tetapi sekali sudah cukup jika pihak penguatkuasaan tegas dan ada rasa tanggungjawab terhadap anak-anak dan masyarakat supaya perkara yang tidak elok dihapuskan terus.

“Masalahnya sekarang ini tindakan penguatkuasaan tidak mampu menyekat serta gagal menimbulkan rasa takut dalam diri peniaga yang menjalankan urusan perniagaan secara menyeleweng,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dr Robiah yang juga Presiden Pertubuhan Wanita Muslim Antarabangsa Malaysia, berkata pihak berkuasa juga perlu lebih bersikap mengambil tahu mengenai aktiviti sebenar yang dijalankan di sesuatu premis perniagaan kerana perniagaan seperti spa berpotensi besar menyeleweng.

Katanya, berdasarkan pengalaman sendiri, beliau mendapati kebanyakan spa terletak di kawasan sunyi serta menggunakan cahaya suram yang boleh membawa kepada aktiviti lain sekiranya pengusaha tidak jujur dalam menjalankan perniagaan.

“Itu spa yang mendapat lesen dan di pusat bandar pula. Bagaimana pula yang tidak ada lesen serta terletak di tempat sunyi seperti di atas bukit atau ceruk, tentu ada kecenderungan besar untuk ia menyeleweng melakukan aktiviti tidak bermoral.
“Sehubungan itu, pemilik perlu bertanggungjawab untuk tidak menjalankan perniagaan yang bukan saja menyalahi undang-undang, malah bermoral,” katanya.

Beliau berkata, peranan orang sekeliling serta anggota masyarakat juga penting dalam memastikan sesebuah perniagaan itu tidak menyimpang daripada landasan undang-undang.

Semalam Harian Metro melaporkan dua pusat spa yang menjalankan perniagaan di rumah kedai di Jalan Kampung Pantai dan Jalan Hang Jebat, Melaka, yang disyaki terbabit aktiviti seks songsang diserbu kali kedua oleh pihak berkuasa kelmarin, selepas dikesan masih menjalankan aktiviti itu walaupun pernah didedahkan kira-kira sebulan lalu



Mujur tak sempat bertunang

Oleh Michelle Gun
am@metro.com.my

SIBU: Hasrat seorang gadis mengikat tali pertunangan dengan kekasihnya terpaksa dibatalkan selepas majlis pertunangan yang diadakan di Sungai Menyan di sini, dihalang isteri lelaki berkenaan yang sedang mengandung empat bulan, semalam.
Isteri lelaki terbabit yang mendiami sebuah rumah panjang di Jalan Oya, Batu 36, turut ditemani tuai rumah bersama beberapa ahli keluarga ke majlis pertunangan pasangan itu selepas mendapat tahu suaminya ingin berkahwin lagi.

Difahamkan, sebagai bukti, isteri berusia 23 tahun itu menunjukkan sijil perkahwinan yang mencatatkan dia sudah berkahwin dengan kekasih gadis terbabit sejak lapan tahun.
Menurut sumber, lebih malang, gadis berusia 20-an yang bekerja di sebuah farmasi sekitar bandar ini diberitahu kekasihnya itu sebenarnya pemandu lori dan bukan guru sekolah seperti didakwanya sebelum ini. Difahamkan, sebelum ini, lelaki berusia lewat 20-an berasal dari Sungai Assan itu memberitahu wanita terbabit yang dia masih bujang dan bertugas sebagai guru di sebuah sekolah di bandar Sibu. "Akibat termakan kata-kata manis lelaki itu, gadis terbabit bersetuju menjalinkan perhubungan dan bertunang dengan kekasihnya serta merancang mendirikan rumah tangga," katanya.

Merasakan dirinya ditipu, gadis terbabit dan keluarganya membatalkan majlis pertunangan itu dan membuat laporan polis terhadap lelaki terbabit, semalam. Bagaimanapun, selepas mengetahui pertunangan mereka dibatalkan, lelaki terbabit masih tidak berputus asa dan menghubungi kekasihnya memberitahu dia mahu menceraikan isterinya, namun rayuannya tidak diendahkan



Beria-ia ingin tukar cat kereta



HULU LANGAT: “Saya pada mulanya tidak mengesyaki apa-apa apabila kakak beria-ria ingin menukar warna keretanya dari biru kepada putih tetapi ia sebenarnya satu petanda dia akan pergi buat selama-lamanya. Kereta itu baru dicat minggu lalu,” kata Muhamad Razlan Mohd Said, 23, anak bongsu daripada lima sekeluarga yang maut dalam kemalangan di Port Dickson, Negeri Sembilan petang kelmarin.
Dalam kemalangan itu, mereka yang maut Mohd Said Lakan, 58, isterinya, Rosnani Buyong, 50, anak mereka, Nordiana, 30, menantu mereka, Saipol Naaim Mat Din, 36, dan anak mereka, Muhamad Harith Firdaus Saipol, berusia empat tahun.

Kereta dipandu Saipol bertembung dengan sebuah trak tentera, di Kilometer 19.6 Jalan Pantai, Pasir Panjang, kira-kira jam 1 tengah hari.
Katanya, dia ada menerima panggilan telefon daripada anggota polis dari Port Dickson kira-kira jam 2.30 petang yang memaklumkan kejadian itu tetapi dia tidak mempercayainya dan menganggapnya sebagai
gurauan.
 “Saya kemudian menghubungi abang Redzuan memaklumkan kejadian itu kerana tidak yakin dengan panggilan anggota polis itu.

“Abang yang turut terkejut dan tidak mempercayai berita itu cuba menghubungi telefon bimbit ibu,” katanya

Bagaimanapun panggilan itu diangkat orang lain yang memperkenalkan diri sebagai polis dan memberitahu apa yang menimpa keluarganya.

“Selepas kami ke Port Dickson dan melihat sendiri, baru kami tahu apa sebenarnya berlaku,” katanya.
Sementara itu, Mohd Redzuan Mohd Said, 29, pula terkilan selepas panggilan daripada arwah ayahnya minggu lalu tidak sempat dijawabnya.

“Arwah kakak juga pernah menghubungi saya bertanyakan mengenai pusat percutian di Lumut. Saya kemudian memberikan nombor telefon pusat berkenaan supaya arwah boleh menghubungi pihak berkenaan dan berbincang.

“Itulah kali terakhir saya bercakap dengan arwah kakak dan tidak menyangka ia perbualan terakhir kami,” katanya.

Abangnya, Mohd Radzi Mohd Said, 32, yang baru pulang bercuti dari Padang, Bukit Tinggi, Indonesia ternyata tidak dapat menahan sebak selepas melihat lima keluarganya meninggal dunia serentak.

Dia yang baru tiba dari lapangan terbang terus meluru ke arah jenazah untuk melihat mereka buat kali terakhir sebelum disemadikan.

Mohd Radzi berkata, dia menerima panggilan dari Malaysia oleh ibu saudaranya kira-kira jam 4 petang tetapi hanya diberitahu ibu, bapa, adik, suami adiknya dan anak saudaranya kemalangan.

“Ketika itu saya masih tidak tahu mereka sudah tiada. Kemudian saya menghubungi adik yang dalam perjalanan ke Port Dickson supaya memberitahu perkembangan terkini,” katanya.

“Tidak lama kemudian adik menghubungi dan memberitahu ayah sudah tiada. Saya sangat terkejut dan seakan-akan tidak percaya. Masih terngiang-ngiang nasihat ayah supaya menjaga diri dan menjaga makan pakaian anak serta jangan memarahi mereka,” katanya.

Menurutnya, dia pada mulanya tidak mengesyaki apa-apa dengan nasihat itu kerana tahu hubungan yang sangat rapat antara bapa dengan anaknya.

“Anak saya dengan atuk dan neneknya sangat rapat. Mereka seolah-olah tidak boleh berpisah. Mungkin kerana anak saya dijaga oleh mereka sejak dari kecil ketika saya dan isteri bekerja.

“Malah, jika saya pergi ke tempat yang jauh pasti ayah akan bertanyakan mengenai cucu kesayangannya malah anak saya juga terkejut dan menangis selepas melihat jenazah mereka,” katanya.

Mohd Radzi berkata, kejadian ini sedikit sebanyak mungkin akan memberi kesan kepada anaknya kerana kehilangan tempat untuk bermanja dengan datuk dan nenek mereka.

Semua jenazah mangsa dikebumikan dalam satu liang lahat di Tanah Perkuburan Batu 19, Lubuk Kelubi, di sini kira-kira jam 2.30 petang semalam.



Terpulang pada Peguam Negara



PUTRAJAYA: “Saya tak boleh nak komen, ini proses biasa,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika diminta mengulas mengenai bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo yang didakwa ke Mahkamah Sesyen, Shah Alam, Selangor berhubung pemilikan dua lot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7, Shah Alam.
Najib berkata, selepas siasatan yang dibuat SPRM mendapati mereka boleh membuat pendakwaan, kertas siasatan akan dihantar kepada Peguam Negara, sebelum memutuskan sama ada ada kes atau sebaliknya.

“Ini bermakna, SPRM siasat dan hantar pada peguam negara dan kata ada kes... jadi terpulang kepada Peguam Negara untuk membuat keputusan.
“Sekarang ini baru kena dakwa... kita tak tahu bersalah atau tidak, jadi kita perlu melalui semua prosesnya dulu,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Talent Corporation (TC) di pejabatnya, semalam.



'Ini dakwaan pembangkang'



SHAH ALAM: “Saya rasa tindakan ini (didakwa di mahkamah) akan membersihkan nama saya. Perbicaraan kes ini akan menunjukkan rumah itu bukan berharga RM6.5 juta.
“Ini adalah dakwaan pembangkang dan ia tidak betul,” kata bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo ketika ditemui selepas membayar ikat jamin RM750,000 di kaunter bayaran di Kompleks Mahkamah, di sini, semalam. Dr Mohamad Khir dikenakan ikat jamin itu selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan berhubung pemilikan dua lot tanah dan banglo di Seksyen 7, di sini, bernilai RM6.5 juta tetapi diperoleh pada harga RM3.5 juta, tiga tahun lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang itu berkata, beliau yakin berada di pihak yang benar kerana membuat pembelian hartanah itu mengikut peraturan dan undang-undang. Oleh itu katanya, beliau berharap perbicaraan kes itu dapat disegerakan bagi membersihkan namanya dari dakyah parti pembangkang.
Bagaimanapun, Dr Mohamad Khir enggan mengulas ketika ditanya sama ada tuduhan itu bermotifkan politik. Ditanya sumber bagi membayar ikat jamin, beliau berkata, “Saya pinjam dari ahli keluarga dan orang lain. RM750,000 adalah satu jumlah yang tinggi, sebab itu ambil tempoh tiga jam untuk menjelaskannya”. Sementara itu, Dr Mohamad Khir dalam kenyataan di laman blognya http://www.drkhir.com/ berkata akan melepaskan jawatan Ketua Pembangkang Selangor berkuat kuasa serta-merta.

“Berkenaan jawatan dalam parti ia terserah kepada pucuk pimpinan parti. Jika ia menjadi masalah besar kepada parti saya rela mengundur diri,” katanya.

No comments:

Post a Comment