NEGARA
Majikan maut di tangan amah
PASIR MAS – Seorang pembantu rumah warga Indonesia dipercayai membunuh majikannya, seorang warga emas sebelum melarikan diri di Kampung Lubok Tapah di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 12.30 tengah hari itu, suspek yang hanya dikenali sebagai Faridah, 21, dipercayai menggunakan senjata tajam menyebabkan kecederaan parah di muka mangsa, Yeap Seok Pen, 60.
Anak mangsa, Lee Chee Kiong, 30, berkata, dia bersama bapanya terkejut melihat keadaan ibunya yang berlumuran darah sebaik sahaja memasuki rumahnya selepas pulang dari berniaga di bandar ini pada pukul 1.30 petang.
Menurutnya, dia yang panik melihat keadaan ibunya terus berlari keluar dan meminta bantuan orang ramai sebelum bertindak menghubungi pihak polis.
“Pada masa itu, saya dapati pembantu rumah yang bekerja sejak dua minggu lalu telah melarikan diri dan beberapa jenis barangan berharga turut hilang,” katanya ditemui di tempat kejadian semalam.
NEGARA
Banglo di hujung jalan mati bawa nasib malang
SHAH ALAM – Apakah ada kaitan sesebuah rumah dengan nasib seseorang?
Dalam kes kedudukan rumah banglo milik bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo yang lokasinya terletak di hujung jalan mati, sekurang-kurangnya ada pakar Feng Shui percaya ia boleh menyebabkan nasib malang sehingga dua generasi.
Menurut seorang pakar Feng Shui, Joe Choo, terdapat masalah aliran medan tenaga magnetik di kawasan jalan mati menyebabkan pemilik sesebuah rumah mengalami pemikiran bercelaru dan gagal membuat keputusan yang baik.
“Kedudukan rumah di hujung jalan mati menyebabkan tiada aliran tenaga. Ia ibarat sebuah kenderaan yang hanya boleh membuat pusingan U.
“Ia membawa makna orang yang tinggal di rumah tersebut berada dalam keadaan tidak tentu arah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
NEGARA
Ajar seks berasingan lebih baik
KUALA LUMPUR – Keputusan mengajar pendidikan seks secara berasingan dan tidak menumpang mata pelajaran lain mulai tahun depan mampu mendedahkan para pelajar mengenai ilmu dalam bidang itu dengan cara yang lebih sistematik.
Ketua Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara, Prof. Dr. Zakaria Kasa berkata, keputusan mengasingkan pendidikan seks merupakan satu tindakan tepat dan sesuai dengan masa sekarang.
“Biasanya bila sebut pasal seks, pelajar-pelajar sentiasa terbayangkan perkara-perkara yang menghairahkan kerana sumber mereka lebih kepada Internet atau majalah.
“Sedangkan isunya lebih meluas terutama dalam menguruskan aspek keselamatan, kebersihan dan konflik bila berhadapan dengan masalah seks,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Jadi tegas beliau, sudah tiba masanya masyarakat di negara ini didedahkan dengan corak pembelajaran tersebut bagi mengurangkan masalah sosial dalam masyarakat seperti seks rambang, jangkitan HIV dan aids.
No comments:
Post a Comment